Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (29)

"Assalamualaikum," suara Rifhan kedengaran di luar pintu. Hidayah bagaikan sukar mempercayai telinganya. Tidak pernah Rifhan pulang menjenguk sejak mereka tinggal berasingan, malah kehadirannya di rumah Rifhan tempoh hari pun tidak diterima.


Hidayah menangis hiba di tingkat atas. Dia tidak menduga abangnya sendiri sanggup menolak kehadirannya tempoh hari. Lelaki itu membenci dirinya. Salahnya juga kerana jatuh cinta pada abang sendiri. Namun cinta memang tidak boleh dipaksa.


'Kau telah pergi. Kenapa kini kau hadir lagi?' bisik hati Hidayah.


'Bodoh! Dia pergi tapi kembali, sebab hidup dan mati, dunia dan akhirat, dia abang kau!' pantas akal menjawab persoalan itu. Hidayah masih berteleku sendiri. Dia tidak kuat untuk pergi membuka pintu buat Rifhan.


'Tak mungkin aku akan putuskan sebuah persaudaraan semata-mata kerana cinta fana bisikan syaitan.' Akhirnya Hidayah keluar juga membuka pintu buat abangnya. Lelaki itu tersenyum manis. Hidayah melarikan pandangan. Dia tidak betah bertentang mata dengan abangnya, seorang lelaki yang telah mencuri hatinya. Mereka masuk bersama ke dalam rumah. Pintu dan tingkap segera dibuka kerana enggan menimbulkan fitnah.


"Ada apa abang datang sini?" tegas suara Hidayah. Dia tidak berniat mengasari abang sendiri, tetapi kalau tidak begitu, mungkin sahaja dia rebah menangis di pundak Rifhan. Dia pasti tidak mahu begitu, dan dia tahu, Rifhan pun tentu tidak mahu.


"Abang sudah tidak boleh datang menjenguk adik sendiri lagikah?" soal Rifhan semula. Nyata dia agak terasa hati dengan bicara Hidayah.


"Hidayah masih adik abang lagikah? Seorang adik yang mencintai abang sendiri bukankah tidak layak lagi menjenguk abangnya? Adakah abang masih ada hak itu sekiranya abang telah nafikan hak Dayah?" soal Hidayah bertubi-tubi. Rifhan terdiam. Dia tahu Hidayah masih kecewa.


"Abang minta maaf banyak-banyak. Abang cuma tidak mahu Dayah ke sana sebab abang takut orang buat fitnah lagi,"


"Jadi, abang datang ke sini tidak takutkah fitnah orang?" perli Hidayah sinis.


"Dayah, abang datang sini hendak berdamai, bukan hendak bergaduh. Cukuplah. Sudah terlalu lama kita bersengketa begini,"


"Baru abang ingat hendak berdamai? Selama ini, abang tidak pernah pula kisah!"


"Abang minta maaf. Abang mengaku abang salah," Rifhan terus mengalah sahaja. Dia tahu marah Hidayah perlu disurutkan.
"Mudahnya abang bercakap. Maaf ya? Semudah itukah abang boleh ubati luka yang abang sendiri toreh di hati Dayah?" sudahnya, tangan Hidayah dicapai lalu dikucup ibarat tangan seorang ibu. Hidayah tergamam.


"Abang minta maaf atas segalanya," keadaan mula reda setelah Rifhan memohon maaf.


"Abang datang ke sini ada hajat hendak sampaikan,"


"Apa?" Hidayah sudah mula berlembut.


"Abang hendak nikahkan Hidayah dengan kawan abang. Rizal namanya. Dia berkenan pada Hidayah," bagai mahu luruh jantung Hidayah mendengarnya. Air mata terus berlinangan tanpa mampu diseka.


"Sampai hati abang,"


"Syy, jangan menangis lagi. Ini semua demi Hidayah juga," air mata Hidayah dikesat lembut oleh Rifhan, namun terus sahaja mengalir tanpa henti.


"Abang tahu Hidayah cuma sayang abang, kan?"


"Abang tahu," Rifhan berusaha untuk berlaku tegas. Dia tidak boleh menunjukkan bahawa dia lemah. Dia tidak boleh membiarkan Hidayah tahu bahawa mereka saling cinta. Hidayah tidak boleh tahu.


"Jadi, kenapa suruh Hidayah kahwin?"


"Sebab abang nak ada orang yang jaga Dayah,"


"Dayah cuma hendak abang jaga Dayah. Dayah tak mahu sesiapa selain abang,"


"Abang tak mampu," Rifhan menggeleng keras.


"Semua ni akan berakhir. Takkan selamanya orang fitnah kita,"


"Semua ini akan berakhir tetapi abang tetap tidak mampu menemani Dayah. Takkan selamanya abang hanyut dalam cinta buta ini. Haram hukumnya,"


"Dayah rela sendiri, tunggu abang sampai bila-bila,"


"Tak mungkin,"


"Kenapa?"

"Abang dah melamar Fatimah," air mata Hidayah tumpah lagi tanpa mampu disekat.

Rasa kehilangan menyelubungi setiap inci pembuluh darahya. Berkali-kali dia membohong hati, nyata cinta itu tetap bukan miliknya. Air mata itu tidak akan mampu mengubah apa-apa. Segalanya telah termaktub sejak azali. Hanya dia yang belum mampu meredhai.

'Oh tuhan, sampai bilakah cinta ini kan terhijab?' bisik hati Hidayah ditemani air mata. Rifhan di sisi hanya mampu membisu, bungkam sendiri. Rasa bersalahnya tidak mampu ditahan lagi. Akhirnya dia melangkah pergi, meninggalkan Hidayah sendiri. Dia tidak berdaya untuk terus di sisi Hidayah.

*******************

"Assalamualaikum, Kak Dayah," suara Mizah kedengaran di hujung talian.

"Waalaikumussalam, Mizah. Ada apa? Aisya macam mana, sihat?" soal Hidayah. Suaranya serak kerana terlalu banyak menangis,namun ditahannya jua.

"Er, Aisya ada telefon Kak Dayah tak dalam dua tiga minggu ni?" Mizah memulangkan soalan. Dia sudah dapat mengagak jawapannya berdasarkan reaksi Hidayah. Apapun, dia tetap cuba bertanya.

"Sejak dia pindah duduk dengan kamu semua, manalah dia ingat nak telefon kakak di kampung ni," lirih suara Hidayah. Hatinya kesal akan sikap Aisya yang lupa akan keluarga setelah berhijrah ke bandar.

"Kak, Mizah harap kak sabarlah ya," takut-takut Mizah meluahkan. Dia tahu, Hidayah pasti akan mengamuk apabila mendengar apa yang ingin disampaikan olehnya.

"Kenapa Mizah? Apa dah jadi? Mizah!" tepat telahan Mizah. Suara Hidayah kedengaran sungguh panik.

"Er, sebenarnya Aisya hilang. Sudah dua tiga minggu dia tidak balik ke rumah kami. Kami fikir dia balik kampung, tetapi setiap kali telefon dia, telefon bimbitnya sudah ditamatkan talian. Kami tidak tahu dia di mana sekarang,"

"Ya Allah!" jerit Hidayah.

"Kak, Mizah minta maaf,"

"Minta maaf tak boleh pulangkan adik kakak, Mizah! Mizah tunggu di Stesen LRT Jalan Dato' Keramat jam lima pagi nanti. Kakak nak pergi sana," Hidayah sungguh panik. Dia terus mematikan talian dan menyiapkan barang ala kadar.

Habis sahaja semua barang dikemas, dia segera menunggang motosikal ke sebuah kedai sewa kereta. Sebuah kereta Proton Saga disewa dan dia terus memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan kepada sesiapa akan pemergiannya.

"Eh, Zal! Itu Dayah,kan?" panggil Hafiz apabila melihat Hidayah masuk ke dalam perut kereta dan terus memandu laju. Dia sebenarnya sedang membantu Rizal untuk memilih kereta.

"Ha'ah! Apa dia buat dengan kereta sewa tu? Dia hendak ke mana?"

"Jom kita tanya Encik Lim," dua lelaki itu pantas menuju ke arah majikan Hafiz.

"Encik, tadi ada seorang perempuan yang sewa kereta Proton Saga warna biru tua kan?"

"Ya. Kenapa?"

"Dia ada cakap ke mana dia hendak pergi?"

"Katanya hendak ke Kuala Lumpur cari adiknya," mendengar kata-kata itu, Rizal pantas menelefon Rifhan. Dia memaklumkan hal itu lantas menyewa sebuah kereta. Apabila Rifhan sampai, mereka terus memulakan perjalanan. Mereka mahu mengekori Hidayah sekiranya mampu.

*********************

Jam sudah menunjukkan angka 3.45 pagi. Hidayah masih belum tidur. Dia memandu kereta dengan laju tanpa rehat langsung sejak petang tadi. Matanya sudah mula merah kerana mengantuk, tetapi dia tetap meneruskan pemanduannya. Dia perlu tiba di Stesen LRT Jalan Dato' Keramat jam 5.00 pagi.

Pemanduannya sudah kurang stabil. Kelajuan keretanya sudah perlahan sedikit berbanding petang tadi kerana keletihan. Rifhan dan Rizal sudah berjaya menjejaki kereta yang dipandu oleh Hidayah walaupun kelajuan yang berbeza menyebabkan mereka gagal menyaingi kereta Hidayah. Dari belakang, mereka memerhati penuh risau kerana gaya pemanduan Hidayah nampak kurang stabil.

"YA ALLAH!" jerit Rifhan dan Rizal apabila apa yang mereka takuti benar-benar berlaku.

Kereta yang dipandu Hidayah tersalah memasuki lorong kanan sementara sebuah lori balak sedang memecut laju ke arah keretanya. Kereta Hidayah hanya terbabas sedikit ke lorong kanan, namun disebabkan dia di tempat pemandu sebelah kanan, berlaku impak pelanggaran dahsyat. Kereta Hidayah terus terbabas ke penghadang jalan. Lori tersebut terus berhenti pada kadar segera, namun pelanggaran yang dahsyat telahpun terjadi. Sekelip mata, segalanya bertukar menjadi igauan ngeri.

"Allahuakbar..." lafaz Hidayah sebelum segalanya sirna dari pandangan mata.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment