Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Sekudus Nur Hidayah (28)

Rizal bertemu dengan Fatimah bertemankan adiknya Fahmi. Fatimah sendiri ditemani oleh Fatin, Syafiqah dan Husna. Fatimah sudah sedia maklum bahawa tujuan Rizal menemuinya di rumah itu adalah untuk tujuan merisik Fatimah bagi pihak seseorang. Namun dia tidak tahu pula siapa gerangan lelaki yang diwakili oleh Rizal.

Hakikatnya, dia betul-betul mengharapkan biarlah orang lain yang mewakili Rizal untuk merisiknya. Jauh di sudut hati, dia amat mengagumi peribadi pemuda itu. Sikap wara' yang dipegang oleh lelaki itu memang berjaya menambat hati wanitanya. Sejak dahulu lagi, dia memang menyimpan impian agar dirinya dimiliki oleh seorang putera agama.

'Mungkin juga aku bukanlah wanita yang layak untuknya. Diriku kotor dan banyak dosa. Jodohku mungkin dengan insan lain. Dia terlalu hebat untuk aku miliki.' begitulah cara Fatimah memujuk hati saban hari sejak mengetahui hasrat Rizal untuk mewakili seseorang untuk merisiknya.

"Assalamualaikum. Ana Rizal, datang mewakili seekor kumbang yang berhajat menyunting ukhti. Ana datang sebagai perantaraan kerana pihak sang kumbang segan, dikhuatiri timbul perkara lagha kalau dia berjumpa anti. Dia pun sedia maklum anti tiada wali mujbir," Rizal sopan memperkenalkan diri. Dia bimbang juga kalau-kalau Fatimah masih belum mengenalinya. Fatimah hanya tertunduk malu, keadaan itu akhirnya memaksa Husna untuk bersuara.

"Waalaikumussalam. Ana Husna, teman serumah Fatimah Nazifa. Asif jiddan, teman ana ini memang pemalu benar orangnya. Harap pihak anta tidak berkecil hati," seperti tadi juga, Fatimah masih tertunduk malu. Dia langsung tidak berani mengangkat pandangan.

"La ba'sa. Ana tidak kisah. Bukankah malu itu syauqah buat mawar yang sedang mekar di taman larangan?" seloroh Rizal cuba menghidupkan suasana. Hakikatnya, Allah sahaja yang tahu apa yang dia rasakan.

'Fatimah, engkau tertunduk menahan malu. Aku di sini terpaksa mengangkat wajah untuk tetap berani walaupun malu dan kecewa menerjah ke dadaku.' getus hati Rizal. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia membuat lamaran atas namanya sendiri. Peribadi Fatimah tampak terlalu sempurna pada kaca mata imannya.

"Jadi, ana rasa tidak perlu bertangguh lagi. Berlama-lamaan begini, takut jadi ikhtilat pula. Boleh ana tahu siapa akh yang ingin menyunting teman ana ini? Ana yakin, mawar di taman ini pun ingin tahu juga gerangan kumbang yang berani menghulurkan salam taaruf untuknya," mahu tidak mahu, Husna terpaksa mengambil peranan sebagai jurucakap setelah Fatimah kelihatan malu sampai tidak bersuara. Hairan juga dia melihatnya.

"Ana datang membawa hajat taaruf daripada rakan ana, Rifhan Fazly. Akh itulah yang memohon agar ana mewakilinya untuk menyampaikan hajat kepada ukhti Fatimah,"

Suasana terus sepi. Pelbagai reaksi berlegar di minda setiap insan pada saat itu.

'Ya Allah! Belumpun elok hubunganku dengan Hidayah, Engkau timpakan pula dugaan cinta abangnya. Ya Allah, apa sebenarnya yang tersirat di sebalik semua ini. Aku tidak berdaya, Ya Allah.' fikir Fatimah. Rasanya mahu saja dia menangis di situ juga.

'Rifhan ingin bernikah dengan Fatimah? Apakah maknanya selama ini aku cemburu pada Hidayah? Rupanya sahabatku yang jadi pilihannya. Mengapa bukan aku?' monolog Fatin.

'Ya Allah, peliharalah persahabatan kami semua. Cukuplah dulu Fatin sanggup memfitnah Hidayah semata-mata kerana Rifhan, janganlah Fatimah pula mendapat nasib yang sama!' Syafiqah sudah mula risau, tangannya menggenggam erat tangan Fatimah dan Fatin. Kedua-duanya sejuk sekali.

'Lelaki yang buat sumbang mahram itukah yang hendak jadi suami Fatimah? Na'uzubillah!' fikir Husna. Baginya lelaki tidak layak buat Fatimah, sahabatnya yang berperibadi mulia dan berpelajaran pula.

'Ya Allah, kuatkanlah jiwa aku! Aku tidak mampu berlama-lama di sini. Aku betul-betul tidak tahan menjaga pandanganku Ya Allah. Kuatkanlah aku untuk menafikan perasaan aku pada wanita ini Ya Allah! Jauhkanlah aku darinya kalau memang tiada jodoh antara kami.' Rizal masih berperang dengan hatinya sendiri.

"Er, maaf ana menyampuk. Hanya satu sahaja yang ana ingin jelaskan sebelum kita bincangkan hal taaruf. Boleh izinkan ana bersuara?" Fahmi, adik Rizal, menyampuk sebentar setelah lama semuanya membisu. Setelah mendapat keizinan, dia pun meneruskan bicara.

"Ana faham mungkin pihak ukhti akan berbelah bahagi untuk menerima risikan ini kerana fitnah yang hebat dibicarakan di kampung ini. Mungkin pihak ukhti juga akan serba salah dan meragui akh Rifhan kerana fitnah sumbang mahram antara akh dengan Hidayah, adik perempuannya. Ana di sini hendak membetulkan keadaan kerana ana berani menjunjung Al-Quran dan bersaksi bahawa semua itu fitnah belaka. Mereka tidak pernah melakukan sumbang mahram. Ana menjadi saksi kesucian Hidayah,"

"Asif jiddan. Ana rasa anta tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kesaksian begitu. Anta ada bukti yang jelaskah?" soal Husna. Hatinya masih ada su'zhon yang mengatakan boleh jadi Fahmi sedang membela Rifhan semata-mata.

"Hidayah pernah membuat pemeriksaan dahulu untuk membuktikan kesuciannya. Waktu itu, ana yang menghantar Rifhan dan Hidayah ke klinik swasta. Hidayah disahkan masih suci oleh doktor yang merawatnya. Sayangnya, tiada siapa yang hendak percaya kerana selepas itu masih ada lagi yang menabur fitnah," kata-kata Fahmi buat semuanya terkejut. Tiba-tiba, Fatimah yang lama tertunduk terus bersuara.

"Sesungguhnya apa yang anta katakan itu benar. Hidayah ialah teman baik ana walaupun beza umur ana dengannya agak jauh. Ana sudah tidak larat hendak mengira lagi berapa kalikah Hidayah pernah menangis kerana kesuciannya yang telah dipertikaikan. Demi Allah, ana mohon kepada semua, percayalah, Hidayah seorang wanita yang mulia. Dia tidak pernah melakukan segala apa yang dituduh ke atasnya selama ini. Ana kenal siapa dia. Dia bukan tidak boleh bernikah. Dia boleh sahaja bernikah. Sudah banyak risikan yang dia tolak. Semuanya bukan kerana kesuciannya dirampas oleh akh Rifhan, tetapi kerana adiknya Aisya. Fitnah yang mengatakan Aisya pergi kerana hamil anak zina juga tidak benar sama sekali. Dia berpindah mengikut rakan-rakannya yang menuntut di universiti. Dia tinggal bersama mereka. Sebelum dia ke Kuala Lumpur dahulu, Rifhan memaksa Aisya ke klinik untuk buat ujian kehamilan bagi membuktikan kepalsuan tuduhan itu. Ana masih simpan laporan kesihatan Aisya, Hidayah tertinggal di bilik ana ketika dia datang ke sini dua minggu lepas," Fatimah beransur ke biliknya untuk mengambil laporan itu.

Sebaik sahaja masuk ke bilik, Fatimah menangis sambil mencari laporan itu. Nyata, laporan itu masih ada dalam lacinya.

'Ya Allah, peliharalah hatiku. Jangan sampai aku jadi tidak redha pada takdir-Mu. Sekiranya Rizal bukan untukku, jauhkanlah diriku daripadanya.' bisik hati Fatimah. Dia segera mengambil laporan itu lalu menemui semua yang hadir di ruang tamu.

"Ini laporannya," laporan pemeriksaan kesihatan Elya Aisya Humaira bertukar tangan. Seorang demi seorang membaca laporan kesihatan itu. Jelas sudah, gadis itu tidak pernah berzina. Fatin memendam rasa bersalah terhadap Hidayah.

Setelah keadaan mula reda, Rizal akhirnya bersuara.

"Nampaknya salam taaruf ini telah membongkar banyak perkara, alhamdulillah. Izinkan ana berbalik kepada tujuan asal kedatangan ana dan Fahmi ke mari. Ana ingin mohon kepastian daripada ukhti Fatimah. Sudikah ukhti menerima risikan ana mewakili akh Rifhan, agar nanti boleh ana aturkan majlis taaruf?" Suasana sepi lagi. Fatimah berbisik sesuatu di telinga Husna. Sejurus kemudian, Husna bersuara lagi.

"Asif jiddan. Nampaknya pihak perempuan masih memerlukan masa untuk berfikir. Maklum sahajalah, soal nikah kahwin ini, perempuan lebih perlu berfikir panjang, kerana talak di tangan suami. Andai tersalah tingkah, banyak pula hal yang mendatang. Harap pihak anta dapat memahami dan bersabar dahulu," Rizal dan Fahmi redha. Setelah habis urusan, mereka berdua beransur pulang.

'Maha Suci Allah, setiap satu kejadian-Nya disertai hikmah yang terlalu berharga. Bergembiralah wahai Hidayah, fitnah untukmu hampir terlerai, walaupun belum semua.' fikir Fatimah. Setidak-tidaknya, ada juga hikmah walaupun dirinya ditimpa musibah cinta.

"Soalnya hati, mampukah aku menerima Rifhan? Tegakah aku mengkhianati Hidayah? Ya Allah, tunjukkan aku jalan yang lurus," gumam Fatimah sendirian.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment