"Aku rindu Hidayah," sudah berulang kali Rifhan menggumam ayat itu. Nada suaranya cukup perlahan, cukup untuk didengar dirinya seorang. Dia buntu.
'Aku memang lelaki dayus. Aku abaikan tanggungjawab aku sebagai seorang abang. Adik bongsu entah ke mana perginya. Adik yang seorang lagi aku kecewakan. Aku bodoh kerana turutkan nafsu. Kenapa aku tak mampu nak lupakan saja cinta yang tidak halal bagiku? Aku berdosa mencintai adik sendiri!' masih tidak henti-henti Rifhan menyalahkan diri atas segala yang terjadi.
Perasaan bersalahnya sudah tidak dapat dikawal lagi apabila mendengar sendiri cemuhan orang kampung terhadap mereka. Dia berpindah keluar dari rumah itu kerana ingin menjaga diri mereka dari fitnah, hakikatnya menambahkan lagi fitnah.
Kalau ikutkan hati, dia ingin sekali membelasah Helmy hingga patah riuk tulangnya. Masakan tidak, dia banyak mendengar khabar angin tentang lelaki keparat itu. Semua khabar angin yang didengarnya adalah cerita yang buruk-buruk. Tambahan pula perkara itu berkaitan dengan Hidayah. Lagilah tersirap darah mendengarnya.Masih jelas di ingatannya ketika Rizal datang berbual di rumahnya sebentar tadi.
"An, aku nak beritahu kau sesuatu, dan mungkin juga kau boleh anggap perkara ini sebagai teguran. Aku tak berniat langsung hendak buruk-burukkan sesiapa," Rizal agak berhati-hati semasa berbicara dengan Rifhan. Mungkin juga dia takut kalau-kalau Rifhan mengamuk lagi.
"Cakaplah. Ada apa?"
"Tentang Hidayah," ayat Rizal membuatkan Rifhan memandangnya tepat. Wajah Rifhan mula dipancari kerisauan.
"Hidayah? Kenapa dengan dia? Apa yang dah jadi?" Rifhan terus menyoal bertubi-tubi.
"Kalau kau tengok luaran dia macam tiada apa-apa, tapi aku dapat lihat batin dia menderita. Sejak kau pindah, bukan main hebat lagi orang mengata dia. Kita lelaki An, susah macam mana pun, kita touch and go pun tak ada masalah sangat. Orang perempuan lain An, kesucian tu mahkota mereka. Sekarang, satu kampung anggap adik kau tu dah bukan anak dara. Kau bayangkanlah sendiri macam mana nasib dia sekarang. Sampaikan kalau dia ke kedai pun, orang macam nak tak nak je jual barang untuk dia," panjang lebar Rizal berbicara. Wajahnya nampak simpati atas apa yang telah terjadi.
Rizal ialah rakan sekelas Hidayah semasa di bangku sekolah dulu. Dia cukup kenal baik buruk Hidayah. Baginya, Hidayah perempuan yang baik dan taat beragama. Sebab itulah apabila Hidayah ditimpa musibah sebegini, dia rasa bertanggungjawab untuk membantu, setidak-tidaknya dengan memaklumkan kepada Rifhan.
"Sampai begitu sekali?"
"Bukan setakat tu saja. Peristiwa kau bertumbuk dengan Helmy dulu memang sudah jadi heboh. Sekarang, ada pula yang syak adik kau mengandung. Yalah, mulut orang. Apa yang aku dengar, Helmy sendiri yang bukan main ligat promosi cerita dia tu. Mana tak tersebar satu kampung kalau ada orang macam tu,"
"Helmy memang nak kena!" Rifhan mengepal penumbuk, sebaliknya Rizal pantas menggeleng kepalanya.
"Penumbuk tak mampu selesaikan masalah, An. Kau jangan lupa, kerana penumbuklah keadaan jadi sebegini teruk,"
"Jadi, kau nak suruh aku buat apa? Tak mungkin aku biarkan saja Helmy buat perangai begitu! Mangsanya adik aku juga," kemarahan Rifhan sudah sukar untuk dibendung.
"Aku rasa fitnah ini berleluasa sebab Hidayah andartu. Maafkan aku sebab kata adik kau begitu, tetapi aku terpaksa jujur. Aku tidak berniat hendak buruk-burukkan sesiapa. Aku sendiri pun tahu Hidayah perempuan baik, bahkan dia perempuan yang mulia," dalam kekusutan begitu, Rizal terpaksa juga menyatakan hakikat. Dia khuatir juga kalau-kalau Rifhan mengamuk. Mujurlah lelaki itu dapat menerima penjelasannya.
"Tiada guna engkau hendak ungkit soal Hidayah belum kahwin. Apa kau fikir kau boleh cari penyelesaian melalui sebab yang engkau ungkitkan tu? Kalau kau nak ungkit dia belum kahwin, apa kau ingat boleh nak selesaikan hal tu. Tidak mungkin kau nak suruh mana-mana lelaki datang sini, menyamar sebagai suami dia. Itu kerja gila dan bodoh!"
"Memang itu punca sebenar. Kau tahukah apa sebenarnya motif sebuah perkahwinan? Dalam Islam, perkahwinan adalah untuk memelihara kehormatan, menyekat pandangan bahkan mengelakkan fitnah. Ini dunia akhir zaman, An. Fitnah bermaharajalela. Kalau kau tidak cari jalan untuk mengelakkan fitnah, memang kau tak mampu untuk mengelak! Lihat sendirilah keadaan kau dan Hidayah. Dua-dua dilambung fitnah yang hakikatnya langsung tak masuk akal. Sebab pertama, kamu berdua tak kahwin. Sebab kedua, pemergian Aisya. Aku rasa, selagi kamu berdua tidak ada pasangan hidup, selagi itulah fitnah ini tak akan pernah habis," Rizal berhujah dengan nada tegas.
"Kau gilakah hendak kahwin semata-mata menyelamatkan keadaan? Apa kau fikir hendak suruh aku jual adik aku?"
"Aku tidak pernah langsung menyuruh engkau jual Hidayah. Kalau kau hendak buat begitu, aku pun akan menentang. Mungkin kau boleh cari jodoh untuk diri kau atau adik kau. Salah seorang perlu berkahwin. Itu lebih baik. Kalau kau yang kahwin, selepas kahwin kau boleh bawa Hidayah tinggal serumah semula. Kalau isteri kau baik, tentu saja dia tak ada halangan. Tentu dia boleh faham masalah kau dan Hidayah,"
"Aku manalah ada calon, Zal. Kau jangan buat lawak," hakikatnya, Rifhan berasa sukar sungguh untuk melakukan apa yang disarankan oleh Rizal. Bolehkah dia menikahi perempuan lain padahal hatinya sudah lama terisi?
"Tidak semestinya kau kahwin dengan orang yang kau cinta semata-mata. Aku nasihatkan, kalau kau memang tiada calon, kau carilah seorang wanita yang solehah. Cari perantaraan dan risik cara Islam. Jangan pula mengurat anak dara orang terus. Perempuan beriman selalunya tidak suka cara begitu," nasihat Rizal.
'Fatimah? Adakah dia puteri agama yang mampu menjadi suri hidupku?' fikir Rifhan. Wajah ayu gadis yang sentiasa berjubah dan bertudung labuh itu menerpa ke minda. Dia masih ingat betapa lembut dan sabarnya Fatimah melayani Hidayah. Gadis itu tahu segala masalah Hidayah.
"Aku tidak pasti apa yang patut aku buat, Rizal. Engkau hendak suruh aku bernikah, tetapi aku bukan orang senang. Aku tak mahu isteri aku nanti kebuluran atau hidup dalam kemiskinan. Tanggungjawab suami bukannya perkara ringan," pantas Rifhan menyedari keadaan hidupnya. Dia bimbang tidak mampu menyara hidup keluarga nanti.
"Yakinlah dengan janji Allah. Dalam al-Quran ada menerangkan agar nikahkan sahaja orang yang telah sampai masa untuk menikah, kalau mereka miskin pun nanti Allah yang akan beri kecukupan. An, kalau kau bernikah niat ikhlas demi menjaga kehormatan dan tulus demi maslahat Islam, InsyaAllah, rezeki akan datang. Kau tidak perlu risau kalau niat kau kerana Allah, sebab Dia yang beri rezeki. Kalau kau lihat orang yang bernikah kerana nafsu dan mahukan kepuasan semata-mata memanglah banyak masalah yang datang," Rizal terus memberi kata semangat buat Rifhan.
"Wallahualam, Rizal. Aku risau sebenarnya,"
"Macam ni, aku sarankan kau ambil masa untuk berfikir. Kau fikirkan seorang wanita yang baik untuk dibuat zaujah, kemudian, beritahu aku. Biar aku tolong jadi perantaraan," pantas Rizal memberi keputusan.
'Rizal, aku tidak sangka kau sanggup hadir pada masa genting begini. Tatkala semua orang tidak percayakan kami, kau sanggup muncul memberi bantuan.' getus hati Rifhan ketika Rizal sudah hendak pulang. Tiba-tiba, dia memanggil Rizal semula.
"Rizal!"
"Ya, ada apa, An?" soal Rizal setelah berpatah balik ke muka pintu rumah Rifhan. Hatinya mendoakan agar hati Rifhan sudah terbuka untuk memilih seorang zaujah.
"Kau dulu sekelas dengan Hidayah, bukan?"
"Ya," hairan juga Rizal apabila Rifhan menyoalnya begitu, namun dia menjawab juga.
"Kau sukakah peribadi Hidayah?"
"Dia wanita mulia," apa lagilah perkataan yang sesuai untuk memuji peribadi insan sebaik Hidayah, fikir Rizal.
"Kalau begitu, sanggupkah kau menerimanya sebagai isteri?" sedar tidak sedar, Rifhan telah mengungkapkan kalimah itu.
"Seikhlas hati, saya menaruh hati pada Hidayah kerana kemuliaannya. Dia bukan wanita biasa tetapi seorang srikandi," akhirnya terlafaz kata-kata itu dari bibir Rizal. Sekian lama dia mengagumi peribadi wanita itu, akhirnya kini peluang itu tiba dalam hidupnya. Rifhan hanya diam dan tersenyum, dalam hatinya siapalah mengerti.
"Apa sekalipun, saya tetap mengutamakan kerelaan hati empunya diri. Dalam Islam, wali memang berhak menikahkan wanita, tetapi wanita itu juga berhak untuk diminta izin terlebih dahulu. Harap An mengerti, saya tidak akan sama sekali memaksa hatinya untuk memilih saya," kata ganti nama Rizal sudah kedengaran formal sejak tadi, mungkin kerana segan yang cuba dikawal.
Lafaz Rizal itu seolah-olah mengakhiri sebuah kisah cinta terlarang. Rifhan terpaksa redha jua, apapun yang terjadi, jodoh di tangan tuhan. Hatinya berat mengatakan Rizal lelaki yang baik buat Hidayah. Rifhan sedar, apa sekalipun suratan kehidupan, hukum Ilahi tetaplah yang paling utama. Biarlah kisah cinta jadi begitu, biarpun dia jua terluka.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (26)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment