Subuh itu, Aisya, Faizah dan Zulfakar solat berjemaah. Usai solat, Aisya menghulurkan tangan kepada Zulfakar untuk bersalam namun tidak disambut. Barulah Aisya teringat sesuatu. Cepat-cepat tangannya ditarik semula. Faizah hanya memerhati sahaja.
"Maaf, ummi. Ai.. er Sofea terlupa," sekali lagi, Aisya hampir tersasul menyebut nama sebenarnya. Dia jadi kalut dan serba tidak kena.
'Entah apalah ummi dan abi fikir. Mesti mereka ingat aku ni dah biasa bersentuhan dengan lelaki asing. Ummi, abi, tolonglah percaya! Aku ni tak pernah lagi bersentuhan bukan-bukan. Aku pernah hulur salam pada Amirul Mukminin saja sebelum abi. Itupun dua-dua tak sambut salam aku.' Monolog Aisya dalam keadaan tak keruan.
"Tak apalah, Sofea. Kami faham," Faizah membalas lembut sambil menepuk-nepuk bahu 'Sofea', meyakinkan bahawa tiada sangka buruk antara mereka.
"Maafkan abi sebab tak boleh nak sambut salam Sofea tadi. Harap Sofea tak kecil hati dengan abi," Zulfakar bersuara tenang. Dia berharap agar 'Sofea' tidak berkecil hati dengan tindakannya tadi.
"Tak adalah, abi. Sofea yang salah, memang tak patut pun Sofea hulur tangan pada lelaki yang bukan muhrim. Sofea terlepas tadi sebab rasa macam solat jemaah dengan keluarga sendiri,"Aisya tidak berkecil hati langsung. Kali ini, luahan hatinya itu tulus dan ikhlas. Memang benar, dia rasa begitu tadi. Maklumlah, selama ini solat berjemaah pasti dilakukan bersama Hidayah dan Rifhan. Usai solat, memang dia akan bersalam dengan kedua-duanya.
Faizah terus memeluk bahu 'Sofea' apabila mendengarnya. Dia sebak dan sayu mendengar luahan hati setulus itu. Dia dapat memahami perasaan 'Sofea' apabila disebut begitu.
"Anggaplah kami ni ibu bapa Sofea sendiri, pengganti mereka yang telah pergi,"
********************
Selepas solat dan tadarus, Faizah mengajak 'Sofea' ke dapur. Dia mahu mengajak 'Sofea' memasak bersamanya. Aisya cuma menurut. Hakikatnya, dia sudah berbulan-bulan tidak masuk dapur langsung.
'Harap-haraplah ummi bukan nak masak makanan pelik-pelik. Aku bukannya ingat sangat cara memasak.'
Aisya mengucap syukur di dalam hati apabila melihat Faizah hanya mahu menyediakan nasi lemak sahaja untuk sarapan. Aisya memilih untuk membantu Faizah menyediakan sambal tumis udang. Baginya, itu yang paling senang.
"Sedapnya lauk hari ni. Zah masak ke tukang masak baru yang masak?" Seloroh Zulfakar apabila menikmati sambal tumis udang yang sungguh lazat itu. Aisya tersenyum simpul. Dia kehairanan sebenarnya. Sebelum ini, tidak pernah dia memasak sebaik itu. Selalunya asyik dimarahi Hidayah sebab sambalnya selalu kurang menjadi.
'Hah! Inilah namanya kirim diri. Duduk rumah sendiri buat kerja cincai. Waktu menumpang buat elok k-eloklah sebab jaga hati tuan rumah.' bisik hati Aisya.
"Zah masak nasi saja. Sambal Sofea yang masak. Alhamdulillah, memang sedap. Tak sangka pula Sofea ni pandai masak. Kalau macam ni, Chef Wan tak boleh cari makanlah lepas ni," mereka bertiga ketawa.
"Sofea ni tak adalah pandai sangat bab-bab memasak ni. Ada yang lagi hebat daripada Sofea kalau hal memasak ni," Aisya yang masih menggunakan identiti 'Sofea' itu lantas menghentikan mulutnya dari berbicara. Hampir-hampir dia menyebut nama Hidayah.
"Siapa?"Soalan Zulfakar umpama pistol yang menembak tepat di kepala Aisya.
'Mampus!' Getus hati Aisya.
"Ha'ah, Sofea. Siapa?" Faizah juga ingin tahu.
"Siapa lagi, abi, kalau bukan ummi," pantas Aisya mencipta helah. Faizah dan Zulfakar sekadar ketawa sahaja.
'Huh, lega!' Bisik hati Aisya.
"Sofea ni, tak payahlah nak puji ummi. Ummi ni pun bukan pandai sangat memasak,"
"Alah, Zah. Merendah diri pula. Macamlah abang tak tahu Zah tu dah kembang hidung dengar Sofea puji,"sakat Zulfakar. Tawa meletus lagi.
'Bahagianya ummi dan abi. Kenapalah ibu pergi terlalu awal? Kenapalah ayah sanggup tinggalkan kami? Kenapalah kami sekeluarga tak bahagia begini?' Aisya bertanya sendiri. Tiada siapa yang mampu menjawab soalan itu.
****************
"Ummi, kelmarin ummi janji nak cerita pada Sofea," Aisya menuntut janji.
"Cerita apa?" Faizah sudah terlupa.
"Semalam kan Sofea tanya ummi, ummi dulu bukan orang sini ke? Ummi kata lepas ceramah nak cerita pada Sofea. Tahu-tahu, balik ceramah, semua orang senyap aje sepanjang jalan,"
"Oh, ya! Baru ummi teringat. Biasalah, ummi kan semakin muda," seloroh Faizah. Suaranya didengar oleh Zulfakar di hadapan.
"Sofea jangan dengar lawak ummi tu. Makin tua makin perasan pula dia," laung Zulfakar. Sudahnya, mereka bertiga ketawa lagi.
"Sofea, sabar ajelah ya. Abi tu memang tak ada kerja lain, tahu sakat ummi saja 24 jam. Tak penat-penat agaknya mengusik ummi," Faizah memulangkan paku buah keras.
"Alah, apa salahnya, ummi. Kan bahagia macam tu," usik Aisya sambil tersenyum simpul. Matanya dikenyit manja.
"Ish, sama ajelah Sofea dengan abi!" Faizah berpura-pura merajuk, walhal hatinya berbunga-bunga mendengar pujian Aisya bahawa mereka pasangan bahagia.
'Ya. Memang Zah bahagia dengan abang. Terima kasih, abang.' Tutur Faizah dalam hatinya, sambil mata tidak lepas memandang kelibat suami.
"Amboi, ummi! Pandang abi tak lepas-lepas. Dah honeymoon sampai ke mana dah tu, ummi?" Bisik Aisya, nakal. Wajah Faizah merona merah.
"Alah, ummi. Takkan dengan Sofea pun ummi nak segan silu. Malu-malu kucing pula ummi ni," Aisya masih tidak berhenti mengusik. Sudahnya lengannya dicubit kuat oleh Faizah.
"Aduh!"
"Rasakan. Kalau ummi tak buat macam ni, alamatnya sampai esok Sofea tak berhenti mengusik ummi," wajah Faizah ditegaskan, berpura-pura marah.
Hakikatnya, Faizah bahagia. Kehadiran Aisya memang menceriakan hidupnya dan Zulfakar.
"Okey, Sofea tak usik ummi, tapi ummi ceritalah cepat pasal ummi. Sofea tak sabar nak tahu ni!" Pujuk Aisya. Kemesraan dengan Faizah pantas tercipta.
"Sebenarnya, ummi memang bukan orang sini. Dulu ummi tinggal kawasan Puchong. Masa ummi tinggal di sana, kawasan tu tak adalah maju lagi. Ummi duduk taman perumahan. Lepas enam bulan arwah suami ummi meninggal, barulah ummi pindah rumah ke sini. Lepas kahwin dengan abi, abi pindah ke sini. Masa tu rumah ni masih dalam pinjaman bank. Apabila abi dah kerja, barulah abi bayar balik semua hutang rumah. Rumah ni pun dah jadi dua nama,"
"Er, abi dulu tak kerjakah masa bernikah dengan ummi?" Aisya menyoal lambat-lambat, bimbang mengguris perasaan Faizah.
"Tak. Ummi kenal abi pun di hospital,"
"Aik? Macam mana pula tu?" Aisya kehairanan.
"Ummi kan kerja di hospital. Abi tu pesakit masa tu,"
"Abi sakit apa? Lama ke dia di hospital?
"Masa tu abi kemalangan. Dia hilang ingatan. Lebih kurang sebulan dia koma, apabila sedar memang dia tak ingat apa-apa. Yang diketahui, isterinya meninggal dalam kemalangan tu. Itupun sebab pihak polis yang tahu,"
"Takkan polis tak siasat asal-usul abi?"
"Nak siasat pun tak boleh sebab semua identiti pengenalan diri abi tak ada dalam kereta,"
"Macam dirancang aje bunyinya, ummi," Aisya meluahkan apa yang terbuku di minda. Agak menghairankan sekiranya seorang pemandu langsung tidak membawa sebarang pengenalan diri.
"Wallahualam. Ummi dan abi tak berani nak tuduh sesiapa," Faizah menjawab begitu sahaja. Dalam hati, dia terpana. Tidak sangka Aisya berfikiran serupa dengannya.
'Kalau adalah orang yang sanggup rancang perkara begitu, siapa?'
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (24)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment