"Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Alhamdulillah, hari ini bertambah ramai nampaknya jemaah di surau ini. Ucapkanlah syukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnianya kita masih dapat hidup di muka bumi. Tambah pula Allah pilih kita semua untuk sama-sama berada dalam majlis yang mulia ini, sama-sama kita berkumpul untuk saling ingat mengingati. Yalah, kita semua manusia ni memang fitrah pelupa. Hari ini orang berpesan, esok hari kita dah lupa. Iman kita ni sentiasa naik dan turun, macam laut juga, ada masa pasang dan ada masa surut. Hari ini tok nak berkongsi dengan semua jemaah tentang fitrah kita sebagai manusia," ceramah tok imam surau nampaknya tidak seperti yang dijangka oleh Aisya. Imam tersebut sungguh bijak menggunakan bahasa perbualan sehari-hari agar pendengarnya tidak rasa asing.
"Aisya dengarlah elok-elok ceramah Tok Imam Said. Dia seorang imam yang cukup tinggi ilmu agama, tetapi tidak pula menyombong. Bahasa yang dia gunakan selalunya bahasa mudah, bahasa orang kampung. Bukan apa, dia cuma hendak turun ke tahap para jemaahnya. Kalau dia berkuliah dengan bahasa tinggi macam pensyarah universiti, takut ada yang tak faham. Silap-silap terlena," Aisya tersengih mendengar penjelasan Faizah. Memang kata-kata itu tepat mengenai batang hidungnya.
Selalu dia ditegur oleh Hidayah kerana kurang menumpukan perhatian ketika ceramah agama di masjid. Namun itu bukan masalah yang besar kerana daya ingatan Aisya memang cukup kuat. Dia mampu menghafal makna hadis yang dibacakan imam tanpa perlu mendengarnya banyak kali. Walaupun semasa mendengar ceramah, dia ralit dengan telefon bimbitnya, tetapi apabila ditanya, dia mampu menceritakan sedikit sebanyak kandungan ceramah itu.
"Em, imam ni memang setiap hari beri ceramah di surau inikah? Semua orang nampak macam kenal sangat dengan dia,"
"Yalah. Sudah lebih dua puluh tahun berceramah di surau ni. Daripada ummi umur 20-an lagi orang cakap dia dah mula berceramah di sini, ganti arwah ayahnya. Tu menurut apa yang ummi dengarlah,"
"Ummi dengar? Maknanya ummi bukan orang sinilah dulu? Pindah ikut abi ya," Aisya terus menduga apabila mendengar kelainan pada butir bicara Faizah.
"Sekejap lagi ummi beritahu. Sekarang, ambil peringatan untuk akhirat dulu," arahan Faizah buat Aisya terdiam. Ada benarnya kata ummi, fikir Aisya.
Untuk pertama kalinya sejak Aisya mula mengikut jejak kawan-kawannya, dia mendengar ceramah dengan penuh perhatian. Entah kenapa, suara imam ini mengingatkannya kepada Amirul Mukminin. Ya, suara mereka memang hampir sama. Perbezaannya mungkin ada sedikit disebabkan umur dan konteks perbualan.
"Fitrah manusia kita ini, salah satunya memang pelupa. Sebab itulah Allah utus Rasulullah untuk memberi peringatan, bahkan bukan setakat Muhammad, ada lagi rasul-rasul lain. Semua sekali 25 rasul yang wajib kita ketahui. Disebabkan sikap pelupa manusia ni jugalah, Al-Quran dan hadis diperlukan sebagai panduan hidup kita Orang Islam. Cuba kita fikir balik, macam mana gamaknya jadi hidup kita orang Islam ni, kalau kata tak ada Al-Quran dan hadis. Sedangkan ada semua tu pun maksiat berlungguk depan mata, kalau tak ada, Masya-Allah. Silap-silap dunia jadi macam tak ada agama, sesat semuanya. Kewajipan entah ke mana, amar makruf nahi mungkar lagi lemah jadinya.
"Sayangnya, kita orang zaman sekarang ni, tak habis-habis juga dengan sifat pelupa, malah sampai melampau. Allah dah bagi kitab, kita tak belajar. Rasulullah dah tinggal hadis, kita tak ikut. Sunnah baginda kita lupa, walhal kita tak sedar, masa baginda nak mati pun, malaikat Izrail tengah cabut nyawa, baginda sebut lagi kita semua. Ummati, ummati, ummati. Ummatku, ummatku, ummatku. Cuba banding dengan kita. Kita sihat walafiat ni, berapa kali sehari kita sebut nama Rasulullah, selawat junjungan ke atas baginda. Apa yang kita sebut? Hari-hari sembang di kedai kopi, buka cerita WWE. Buka cerita P.Ramlee, Pak Pandir. Berapa kali dalam sehari, paling tidak seminggu, kita duduk bersembang, buka cerita sirah Rasulullah. Buka sirah orang Islam zaman dulu. Susahlah nak dengar orang duduk bersembang pasal sirah, kecuali kalau budak-budak yang ada kerja sekolah Pendidikan Islam. Kalau di sekolah tak ajarlah pasal sirah, tak tau apa nak jadi orang zaman sekarang. Silap-silap sirah dia hilang macam tu saja,"
"Paling bernanah mata kalau kita tengok generasi muda. Bukan saya nak mengutuk, saya tau dalam surau ni pun ada lagi anak muda yang baik-baik, yang datang sini dengar ceramah. Cuma yang saya nak pesan, anak-anak muda yang ada mendengar ceramah ni, keluar nanti berpesan-pesanlah dengan remaja di luar yang tak datang. Berpesan-pesanlah dengan orang yang masih lalai. Kita ni, kalau tengok kemungkaran tetapi kita biar, kita kena ingat. Kalau di dunia ini, kita nampak orang nak jatuh lombong, kita tak tolong dia, dia boleh marah kita. Nun di akhirat nanti, Allah pula akan soal kita, kenapa kita tak berdakwah, memperingatkan dia.
"Jangan ingat kita selesaikan urusan ibadat kita seorang, tak ada apa dah yang Allah akan soal. Ada. Kenapa kita tak menegakkan amar makruf dan nahi mungkar? Cuba renung balik, apa yang kita hendak jawab masa tu? Masa tu tak ada orang tolong, kalau ada pengawal peribadi sepuluh orang pun, tak ada gunanya. Itu antara kita dengan Allah semata-mata. Tak ada harta yang boleh beli syafaat pada masa tu," setiap bicara Imam Said menerobos ke relung hati Aisya. Dia benar-benar terasa.
Selepas itu, fikiran Aisya sudah melayang. Dia memuhasabah diri. Bicara tok imam yang makin panjang terus menyentuh tangkai hatinya. Apabila diungkit soal Al-Quran dan hadis, memang Aisya sedar diri. Kata-kata itu hampir sama sahaja dengan dirinya sendiri. Berapa lamakah dia tidak mempedulikan Al-Quran? Berapa lamakah dia lupa pada hadis?
Walaupun fikiran melayang, Aisya masih dapat mendengar setiap patah kata Imam Said. Setiap patah kata yang diucapkan lelaki itu terasa bagai sembilu yang menusuk kalbu. Aisya sebak. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia menangis di situ tetapi ditahannya. Dia enggan menimbulkan prasangka Faizah. Ibu angkatnya itu tidak boleh tahu hal ini.
Masa berlalu pantas meninggalkan slot ceramah itu. Faizah, Zulfakar dan Aisya melangkah bersama menuju ke rumah. Sepanjang perjalanan, Aisya cuma diam. Dia tidak tahu apa yang boleh diperkatakan. Seikhlas hati, sekiranya dia bertutur lagi, mungkin air mata pula yang merembes keluar dari pelupuk matanya.
Masuk ke kamar, Aisya terus mengunci pintu bilik. Dia mandi dan menukar pakaian yang disediakan Faizah. Sewaktu mandi, air matanya merembes keluar. Di dadanya ada keinsafan dan kerinduan yang payah ditahan. Bayangan keluarga hadir di hati tanpa mampu dihalang. Kenangan bersama Hidayah dan Rifhan menyerbu minda. Di benaknya tersimpan suatu impian, ingin pulang ke pangkuan keluarga.
'Kak, Sya rindu sangat kakak. Sya nak kak ada di sisi Sya. Sya tak nak terpisah dengan kak lagi.'
'Abang, Sya nak jumpa abang! Sya nak dengar suara abang azan, nak dengar abang imamkan Sya dan Kak solat. Sya rindu sangat-sangat. Sya menyesal sebab tinggalkan rumah kita.'
Sekarang, dia terputus hubungan dengan ahli keluarganya. Telefon bimbitnya sudah diragut. Tidak mungkin dia menghubungi sesiapa menggunakan telefon rumah Faizah. Dia tidak mahu identitinya terbongkar. Argh! Berserabut kepalanya memikirkan semua itu.
Sesudah mandi, akhirnya terbuka juga hatinya untuk solat. Kali ini solatnya bermandi tangisan. Tangisan kepiluan seorang adik, tangisan penyesalan seorang hamba Allah. Usai bersolat, dia membaca al-Quran. Surah Al-Mulk yang memberi peringatan tentang azab neraka membuatkannya takut.
Usai membaca Al-Quran, lampu biliknya dipadamkan, namun dia masih belum tidur. Dia berteleku di katilnya seorang diri. Dia memikirkan hala tujunya selepas ini. Adakah masih ada ruang untuknya memperbetulkan segala kekusutan yang dia sendiri cari?
'Kalau aku pulang ke kampung tanpa hijrah, seumpama aku pulang semata-mata kerana ditimpa susah. Aku yakin itu akan menimbulkan kurang senang di hati mereka pada hari kemudian. Adakah aku perlu pulang tanpa kuntuman iman? Tidak mungkin. Aku masih perlukan waktu untuk berhijrah. Biarlah aku pulang dalam keadaan diriku bisa menjadi penawar duka buat mereka. Mungkin aku perlu di sini dahulu, menjadikan diriku insan yang nanti pulang akan disambut dengan hati yang sejuk dan tenang.'
Dengan sebuah keputusan, Aisya akhirnya terlelap juga, menunggu hari esok yang bakal kunjung tiba.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (23)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment