Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Komplot Kita (4)

Cuti yang diperoleh Amirul dan Darwina sudahpun tamat. Darwina sengaja tidur lebih awal supaya dapat bangun awal untuk memasak. Kalau dulu, masak lewatpun tidak mengapa, tiada siapa yang kisah. Sekarang, dia sudah punya tanggungjawab ke atas makan pakai suaminya. Sebenarnya, dia mahu membantu menyeterika pakaian kerja Amirul, namun belum sempat dia berkata apa-apa, lelaki itu sudah mengambil pakaiannya dan melakukan kerja itu sendiri.

Beberapa hari tinggal sebumbung dengan Amirul membuat Darwina semakin mengenali lelaki itu. Sikapnya memang tidak suka menyusahkan orang dan sangat mementingkan nilai agama dalam kehidupan. Kadang-kadang, Darwina geram juga apabila kedudukannya sebagai isteri kadangkala tercabar disebabkan sikap Amirul yang terlalu berdikari, namun perasaan itu tidak dihiraukan.

'Ah, malaslah aku nak fikir! Dia yang tak mahu aku bantu dia.' Selalu Darwina memujuk hati begitu.

Keesokan harinya, pukul lima pagi Darwina sudah terjaga. Dia baru sahaja hendak pergi memasak apabila terpandang susuk tubuh yang amat dikenalinya.

'Amirul, solat tahajjudkah? Malam tadi, rasanya dia tidur lebih lewat daripada aku.' Darwina berfikir sendiri. Rasa kagum datang lagi.

Darwina terjengket-jengket lalu di belakang Amirul yang sedang solat. Dia enggan mengganggu khusyuk lelaki itu. Namun, belum pun sempat dia keluar ke dapur, Amirul sudah selesai solat.

"Awalnya bangun. Tak nak tahajjud?"

"Kau dah habis solat kan?" Darwina memulangkan soalan.

"Memanglah sudah. Aku tanya tentang kau. Pergilah ambil wuduk, solat dua rakaat dulu. Tak sampai sepuluh minit pun. Kalau kau nak munajat pun takkanlah sampai tak sempat masak. Baru pukul 5.10 pagi. Kita masuk kerja pukul lapan," kata-kata Amirul buat Darwina malu sendiri.

"Baiklah, tetapi kau jangan masak pula. Biar aku yang masak," pantas Darwina mengingatkan. Dia tidak mahu jadi seperti hari pertama mereka tinggal bersama. Disebabkan dia tertidur, Amirul memasak untuk mereka berdua.

"Okey. Itupun kalau aku tak rasa rajin nak masaklah," Amirul tersengih nakal.

"Kau memang suka memasak ke?"

"Ya. Dulu masa zaman sekolah, ibu bapa aku selalu balik lewat dan tak sempat masak. Aku pula tak suka kalau ada bibik, rasa tak selesa kalau ada orang asing dalam rumah. Kak Lisa bersekolah di MRSM. Jadi, aku selalu masak sendiri. Mulanya memang susah, tapi aku selalu suruh Mak Su ajar setiap kali datang rumah,"panjang penjelasan Amirul. Darwina terangguk-angguk bagai burung belatuk.

"Er, kawan-kawan kau..." tersekat-sekat Darwina mahu menanyakan soalan yang satu itu.

"Memanglah. Kita bukannya boleh tutup mulut orang. Mulut tempayan lebih senang ditutup," seloroh Amirul. Dia sudah masak dengan soalan seperti itu.

"Kau tak kisah ke?"

"Aku tak ambil pusing pun cakap orang. Memanglah ada yang kata, lelaki yang gemar memasak macam kurang kejantanannya, tapi aku tak peduli. Lagipun, kau tengok aku ada rupa lelaki lembut tak?"

Darwina menggeleng pantas.

'Badan tegap, suara parau. Gaya pun memang gaya lelaki tulen. Tak ada gaya lelaki lembut langsung. Memang gila sesiapa yang kata kau lembut, Mirul.' Kata-kata itu hanya bergema dalam hati Darwina.

"Kalau macam tu, tak ada sebab nak pedulikan cakap orang kan?" Amirul tersenyum lalu mencapai Al-Quran dan keluar dari bilik. Dia enggan bacaannya mengganggu kekhusyukan Darwina.

"Baca sajalah Al-Quran dalam bilik,"

"Nanti kau tergoda dengar suara aku, susah.Hilang khusyuk nanti," seloroh Amirul.

Darwina mencebik. Amirul terus keluar dari bilik.

'Memang betul pun sebenarnya.' Bisik hati Darwina.

Usai solat dua rakaat, Darwina solat subuh setelah azan berkumandang. Kemudian,dia mengambil senaskhah Al-Quran. Al-Quran berwarna biru tua itu ditatap lama. Itulah hantaran perkahwinannya. Sejujurnya, itulah kali pertama dia mendapat sebuah Al-Quran lengkap dengan tafsir dan panduan tajwid.

'Terima kasih, Myrul. Agaknya kalau aku tak bernikah dengan kau, sampai bila-bila pun aku tak hayati Al-Quran. Kau memang lelaki soleh, pembimbing yang aku harapkan. Walaupun semuanya cuma sementara, impian aku untuk bertemu rijaluddin telah tercapai.'

Selepas itu, Darwina terus menyambung bacaan Al-Quran dalam surah An-Nur. Dia bertekad untuk memahami isi surah tersebut sebelum menyambung bacaan surah-surah lain.

'Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik-baik pula.' (Al-Nur:26)

Darwina berteleku lagi.

'No wonder he's not for me. Allah dah tetapkan lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Qistina, I hope you are a good person. Dia terlalu baik untuk dimiliki oleh wanita macam aku. Mungkin Qistina ialah wanita yang lebih baik berbanding aku.'

Setelah membaca Al-Quran sehelai dua, dia ke dapur untuk memasak. Sewaktu lalu di ruang tamu, dia nampak Amirul sudah terlelap di sofa dengan memeluk Al-Quran.

'Usang betul  Al-Quran tu. Entah berapa tahun agaknya dia guna Al-Quran tu. Selalunya, penghafal Al-Quran yang setia pada satu Al-Quran.'

Malas berfikir, Darwina ke dapur untuk memasak. Dalam hati, dia berdoa supaya Amirul terjaga sendiri sebelum dia siap memasak.Namun, sebelum memasak, barulah dia teringat bahawa Amirul sudah berpesan agar mereka bersarapan dengan kurma, badam, kismis dan makanan-makanan sunnah saja. Lelaki itu memang tidak boleh makan makanan berat semasa sarapan, mudah sakit perut katanya.

'Tak apalah. Senang sedikit kerja aku.'

Darwina terus menyediakan sepiring kurma dan kismis. Semangkuk aneka kacang yang dicampur bersama turut disediakan. Selepas itu, dia membancuh air madu.

Usai memasak, dia terus ke depan.

'Alamak, belum terjaga lagikah? Sudah 6.20 pagi. Tidak solat subuhkah? Rasanya cuma 40 minit aku di dapur tadi.' Darwina menggaru kepala yang tidak gatal. Hendak kejutkan? Segannya!

Dia menunggu lebih kurang sepuluh minit di sofa bersebelahan sofa tempat Amirul tidur. Lelaki itu masih nyenyak tidur, mungkin kerana dia tidur lewat semalam, sibuk dengan persiapan untuk masuk kerja pagi ini.

'Kalau tak kejut, kesianlah dia, silap-silap terlepas waktu subuh. Aku pun mungkin berdosa sekali, sebab tak kejutkan suruh solat. Kalau nak kejut, aduh! Janggalnya rasa.'

"Myrul, Myrul. Bangunlah. Dah 6.30 ni," Darwina hanya memanggil. Dia segan sungguh hendak menyentuh tubuh yang masih enak dibuai mimpi itu.

"Myrul, bangunlah," sudah beberapa kali dipanggil, Amirul masih tidak bangun-bangun. Makin resah Darwina dibuatnya.

Akhirnya, dengan tangan yang terketar-ketar dan wajah yang merah padam, digagahkan juga tangan Darwina untuk menggoncang sedikit bahu Amirul. Malu menyelubungi Darwina saat itu.

"Er.. Oh, Wynn. Kenapa?" Amirul masih mamai.

"Tak solat subuh ke? Sekarang sudah pukul 6.35,"

"Aku dah solat tadi. Ingatkan nak ajak berjemaah, tetapi kau terus solat waktu tengah azan. Aku solatlah di bilik sebelah. Habis solat, aku duduk sini baca Al-Quran. Entah macam mana boleh terlelap. Nasib baik kau kejutkan. Memang tak elok pun tidur selepas subuh,"

Darwina malu sendiri. Kalau tahu, tidak perlulah dia memalukan diri sendiri tadi!

"Tak nak makan?" Soalan Amirul mengembalikannya ke dunia nyata.

"Nak," Darwina menjawab sepatah lalu menuruti langkah Amirul ke meja makan.

"Alhamdulillah, semuanya makanan yang elok," Darwina hanya tersenyum mendengar pujian itu.

Lebih kurang jam tujuh suku pagi, mereka sudah bergerak keluar dari rumah. Mulanya, Darwina hendak memandu keretanya sendiri, namun ditahan oleh Amirul.

"Biar aku hantar. Jimat sedikit," Darwina menurut saja.

Sampai di perkarangan pejabat Darwina, Amirul menghulurkan beberapa keping not RM50. Darwina memandang hairan.

"Duit apa ni?"

"Nafkah," sepatah sahaja Amirul menjawab, namun kata-kata itu besar ertinya buat Darwina.

Sedar tidak sedar, Darwina mencapai tangan Amirul, lantas disalam dan dikucupnya tangan kasar itu. Setelah masuk ke perkarangan pejabat, barulah dia tersedar akan tingkah lakunya tadi. Wajahnya merona merah.

'Apapun, dia tetap suamiku.' Fikir Darwina. Not RM50 tadi dipandangnya lama. Nyata, lelaki itu tetap punya tanggungjawab meskipun tiada cinta di hati.

Pagi itu, Darwina tersenyum-senyum masuk ke pejabat. Gamat seluruh pejabat mengusiknya dengan gelaran 'seri pengantin' dan 'angau suami'. Dia tidak pula membalasnya.

'Kalaulah kamu semua tahu sebab apa kami berkahwin..'

Lengan Darwina dipegang. Ina tersenyum di sebelahnya, tanda memahami. Sahabatnya yang seorang itu memang sudah tahu sejak awal tentang dia dan Amirul.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment