Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Komplot Kita (6)

Sampai di pejabat pagi tadi, Amirul tidak terus turun dari kereta. Dia duduk merenung tangannya sendiri. Entah mengapa, tindakan Darwina menyalam dan mengucup tangannya tadi membuatnya diserbu perasaan aneh.

"Qis, maafkan saya. Saya telah menyerahkan diri saya untuk disentuh oleh wanita lain, sedangkan dahulu saya telah berjanji tidak akan menyentuh wanita lain selain awak. Saya tidak pernah menyentuh perempuan yang bukan mahram termasuklah awak, malah saya bertekad, awaklah yang akan jadi wanita itu. Wanita yang halal untuk saya sentuh," tutur Amirul seorang diri tanpa ada siapa yang mendengar.

Pada hakikatnya, perlukah rasa bersalah itu hadir? Darwina halal untuknya. Janji itu bukanlah segala-galanya lagi. Tidak bermakna lagi ketika akad sudah terlafaz.

"Qis, janganlah begini. Awak tahu saya tak suka," larang Amirul ketika Qistina cuba meraih tangannya. Sebenarnya bukan mudah untuk dia berbuat begitu. Yalah, siapa tidak tergoda kalau tangannya diraih wanita cantik, malah berpangkat kekasihnya pula?

"Alah, awak ni! Pegang tangan sikit pun tak boleh. Cuba tengok keliling awak, tengok pasangan lain. Ada ke yang canggung macam kita ni? Awak buat saya ni macam kayu aje tau!"

"Qis, itu orang lain. Apa awak ingat tak berdosa ke buat kerja begitu? Awak sabarlah dulu, lepas kahwin nanti awak nak buat apa pun buatlah, saya tak kisah. Suka lagi ada," usikan itu tidak berbalas usikan, sebaliknya kata-kata bantahan.

"Awak ni memanglah. Kalau awak dah risau sangat tentang dosa, awak kahwin sajalah dengan ustazah! Penatlah cakap dengan awak ni. Tak pernah nak faham perasaan saya,"  Bentak Qistina.

"Kalau saya nak kahwin dengan ustazah, awak nak kahwin dengan siapa?" Qistina diam mendengarnya.

"Qistina, saya sayang awak. Kalau awak cakap awak nak suruh saya kahwin dengan ustazah, baiklah. Kalau itu yang buat awak bahagia,"

"Itulah! Awak memang tak sayang saya kan? Senang-senang aje nak nikah dengan orang lain,"

"Tapi.." ayat itu sengaja digantung.

"Tapi apa?"

"Saya akan pastikan ustazah dalam hidup saya ialah awak," kata-kata manis itu menyebabkan wajah Qistina merona merah. Hilang segala marah dan rajuknya tadi.

Kisah itu telah berlalu. Kini, janji itu telah dimungkiri saat Amirul menikahi Darwina. Walaupun sekadar komplot, dia tetap rasa sedikit bersalah. Di hadapan Darwina dan Qistina, dia cuba berlagak tenang dan menganggap dirinya tidak bersalah. Dalam hati, Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaannya.

Hampir lima belas minit lamanya dia berkeadaan begitu, tingkap keretanya diketuk tiga kali. Apabila menoleh ke kanan, teman baiknya, Fazli sedang tersengih memandangnya.

"Hai, dah tak reti nak turun kereta ke?" Mereka sama-sama ketawa.Amirul menurunkan sedikit cermin keretanya.

"Kalau nak suruh aku turun, ke tepilah sedikit. Nanti tak pasal-pasal kau yang jadi lempeng kalau aku buka pintu,"

"Alasan tak diterima, Mr. Amirul. Dah berapa lama aku perhati dari jauh, kau tak turun-turun. Sekarang nak berdalih pula,"

Amirul tersengih sahaja. Dia malas hendak memanjangkan cerita. Nanti, pasti dikorek pula alasan dia berkeadaan begitu. Apa yang pasti, dia tidak mahu menghebohkan kisah rumah tangganya. Perkara itu ditegah dalam Islam.

Sewaktu makan tengah hari, dia memilih untuk pergi ke restoran bersama Rusydi. Lelaki itu memang sahabat baiknya. Sengaja dia memilih restoran yang tidak terlalu dekat dengan pejabat kerana tidak mahu bertembung dengan rakan-rakan pejabat. Dia mahu bersembang tentang hal peribadi.

"Eh, itu Darwina kan?" Tegur Rusydi apabila melihat kelibat Darwina keluar dari restoran itu bersama rakan sepejabatnya.

Amirul tidak menyahut. Dia hanya memandang kosong ke arah Darwina. Memang dia sudah nampak sejak tadi. Pandangannya langsung tidak dialihkan. Langkahnya pun terhenti.

"Myrul, aku cakap dengan kau ni. Tu Darwina, kan?"

"Ya,"

"Asyik sungguh kau perhatikan dia ya. Tak apa, dapat pahala kalau kau pandang dia,"

"Ha'ah. Ada juga faedah daripada asyik pandang kau," 

"Yalah tu. Ajak aku lunch jauh ni, mesti nak sembang hal peribadi. Setiap kali, akulah yang jadi kaunselor tak bergaji kau. Itupun kau tak kenang. Lelaki oh lelaki,"

"You talk as if you are a lady." Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa Rusydi.

Amirul ingin terus mengambil tempat di meja makan, namun ditahan oleh Rusydi.

"Tak mahu ajak Wina duduk sekali? She's your wife, right."

"Er, tak perlulah kot. Dia dah nak balik pejabat dah tu," Amirul mencipta alasan. Dia malas hendak mengajak Darwina, atau lebih tepat lagi, dia malu sebenarnya.

"Nak ajak isteri makan pun segan? Di rumah, takkan kau makan berasingan?" Rusydi kehairanan melihat tingkah laku sahabatnya.

"Di rumah memanglah makan bersama. Tak ada kerja nak makan berasingan,"

"Habis tu?"

"Aku sengaja malas nak ganggu dia waktu kerja,"
Rusydi mengangkat bahu. Tidak relevan sungguh alasan Amirul pada pandangannya. Akhirnya, dia mengalah sahaja dan mengambil tempat di meja makan. Mereka memesan makanan sebelum meneruskan perbualan.

"Aku tak tahu apa yang aku buat sekarang ni, Di. Aku rasa fikiran aku melayang-layang sekarang. Depan Wynn, aku buat-buat tenang. Aku tak nak dia tahu apa yang aku fikirkan,"
"Tapi belakang dia, kau yang gelabah sebenarnya, kan? Sampai nak tegur dia pun tak berani," pantas Rusydi meningkah.

"Mm, aku memang tak mahu hubungan kami jadi rapat. Kau sendiri pun tahu sebabnya,"

"Aku faham. Kau terikat dengan janji,"

"Baguslah kalau kau faham. Jangan cuba nak rapatkan hubungan kami lagi," terus sahaja Amirul menegaskan pendiriannya.

Dia tidak mahu sama sekali memungkiri janji terhadap Qistina. Wanita itu pemilik cintanya setelah Allah dan Rasul. Qistina pilihannya. Hanya dia.

"Kau memang tak mahu beri peluang pada pernikahan ni?"

"Tidak. Muktamad. Jangan tanya apa-apa lagi," ketegasan Amirul menutup mulut Rusydi. Dia sudah tidak mampu menghalang. Amirul benar-benar sudah nekad.

"Aku tahu cara aku kejam, Di. Aku seolah-olah mempermainkan dan memperalatkan Wynn,"

"Kalau kau rasa begitu, kenapa kau masih melakukannya?"

"Dia sudah bersetuju tentang soal itu sebelum kami bernikah lagi. Dia pun sudah ada pilihan,"

"Hati perempuan ni lembut. Tak mustahil dia akan sayang kau. Apa sekalipun, kau tetap perlu ingat bahawa dia isteri kau, amanah untuk engkau. Kalaulah nanti dia jatuh cinta dan Qistina pulang, kau tak boleh sewenang-wenangnya menyuruh Wina mengalah. Itu kejam namanya,"

"Sebab aku tak mahu dia jatuh cintalah aku nak menjarakkan hubungan kami. Pada masa yang sama aku tak mahu abaikan tanggungjawab aku,"

Lama mereka terdiam apabila makanan yang dipesan tiba. Masing-masing melayani selera dahulu sebelum Rusydi bersuara semula.

"Mungkin kau tak sedar sesuatu. Sikap tanggungjawab yang ada pada diri kau tu pun mungkin menyebabkan dia jatuh cinta,"
"Habis tu? Takkanlah kau nak suruh aku abaikan terus tanggungjawab aku. Nafkah dia, kebajikan dia, takkan kau nak suruh aku lupa semua tu! Wajib tahu tak?"

Rusydi mengangkat bahu. Dia malas hendak menjawab soalan itu. Memang benar, Amirul tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya sesuka hati.

"Kau buat aku makin buntu," ujar Amirul. Dahinya berlapis. Dia sendiri pening dengan kata-kata Rusydi. Semuanya jadi serba tidak kena sekarang.

Akhirnya, mereka menamatkan perbualan tentang Darwina. Mereka berbual-bual kosong tentang topik yang lebih ringan. Masing-masing malas hendak memberatkan kepala dengan isu rumahtangga. Sebentar lagi, apabila masuk ke pejabat, bertambah berat pula kepala dengan kerja yang bertimbun.

Habis waktu makan, mereka pulang ke pejabat. Lawak bodoh masih lagi menghiasi perbualan mereka. Ketegasan pendirian Amirul akhirnya gagal ubah, namun hatinya berbolak-balik, antara janji dan tanggungjawab. Hanya kepada Allah dia mengadukan segalanya setelah gagal memperoleh ketenangan daripada perbualan bersama Rusydi.

"Termenung lagi! Kalau dah rindu tu telefon sajalah," tegur Rusydi.

"Bukan termenung, berdoa,"
"Baguslah. Aku pun nak berdoa juga ni, semoga Allah lembutkan hati kawan aku yang bernama Amirul ni. Janganlah dia buat kerja gila dan zalim ke atas isterinya tu. Bukakanlah mata dia untuk menilai dengan iman di dadanya," sindiran Rusydi terasa sungguh tajam.

"Kau fikir aku gila ya nak berlaku zalim ke atas Wynn?"

"Aku lebih harap agar kau buka mata kau dan bersyukur,"

"Maksud kau?"
"Darwina perempuan yang baik,"
Amirul diam lagi. Dia tidak menafikan kebaikan Darwina. Perempuan itu memang sangat baik. Dia punya ciri-ciri isteri solehah. Walaupun ilmu agamanya tidaklah sehebat mana, tetapi dia mudah dibimbing berbanding sesetengah wanita yang tidak suka diajar ilmu tarbiyyah.

'Memang betul, Di. Dia memang perempuan yang baik. Sejujurnya, Wynn lebih mudah dididik berbanding Qis.'

"Aku harap kau faham. Sebaik apapun Darwina, aku akan setia pada Qis. Apa yang aku mampu buat untuk hargai dia, cumalah mendidiknya menjadi wanita solehah. Semoga dengan cara itu, apabila aku sudah lepaskan dia nanti, dia mampu terbang bebas untuk mendapatkan pasangan yang sekufu. Sekurang-kurangnya, biar nanti dia menemui cinta sejati bersama lelaki yang soleh, bukan lelaki yang kejam seperti aku," Amirul menjelaskan rasional tindakannya.

Sebenarnya, tindakan itu tidaklah rasional sangat. Rusydi hanya mampu membantah dalam diam apabila Amirul enggan mendengar apa-apa lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment