Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Komplot Kita (8)

Darwina pulang awal dari pejabat dengan menaiki teksi setelah habis mesyuarat. Awal-awal dia sudah memaklumkan kepulangannya kepada Amirul. Seperti yang dijangka, lelaki itu kurang senang dengan ideanya balik sendiri menaiki teksi. Setelah penat meyakinkan bahawa dia sudah biasa begitu, barulah lelaki itu memberi keizinan untuk dia pulang sendiri.


"Dah balik awal macam ni, mati kutu pula aku. Bosan, tak tahu nak buat apa. Inilah padahnya kalau dah terlalu biasa duduk berteman. Pergi ke mana pun semua berteman, lama-lama tertinggal seorang dah tak tahu nak buat apa," gerutu Darwina.


Sudah berkali-kali dia menukar siaran televisyen, namun tiada satu pun rancangan yang menarik perhatiannya. Sinetron, drama, dan filem sudah terlalu membosankan baginya. Rasa sunyi pun ada menjengah, sampai dia jadi penasaran. Sekuat hati dia berdoa, semoga Allah menutup pintu hatinya daripada cinta dan rindu terhadap Amirul.


Melihat jarum jam sudah bergerak ke angka empat setengah, suis televisyen segera dipadamkan. Darwina segera menuju ke dapur untuk memasak ala kadar. Dia tahu, Amirul tentu sudah makan tengahari, jadi untuk apa dia memasak makanan berat lagi?




*********************


Sepanjang perjalanan pulang, Amirul langsung tidak mampu fokus pada pemanduannya. Sudahnya, dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Wajahnya diraup berkali-kali. Fikiran yang tidak menentu cuba distabilkan sebaik mungkin.


"Qis, mana awak semasa saya perlu awak? Janji kita, saya akan pegang sampai mati, Qis, sampai mati. Janganlah gugat pendirian saya begini, saya pun manusia punya perasaan. Jangan buat saya jadi manusia yang mungkir janji!"


Tiada siapa yang mendengar pemberontakan jiwa lelaki itu. Dialah lelaki yang kini mula tenggelam akal warasnya. Dia buntu, perlakuan Qistina begitu menyentap hatinya. Tiada siapa yang akan memahaminya.


Jam dikerling. 5.15 waktu yang tertera. Setelah berusaha mengumpul kudrat tubuh dan jiwa, dia menyambung pemanduan. Seperti biasa, apabila mengenangkan Darwina, dia selalu tidak sampai hati menurut emosi yang menggila.


********************


Mendengar bunyi deruman enjin di luar pagar, Darwina bergegas ke hadapan untuk membuka kunci pagar dan rumah. Memang dia tahu Amirul mempunyai kunci, tetapi dia sengaja mahu memudahkan kerja suaminya. Sebelum keluar ke halaman rumah, tudung masih sempat dicapai dan disarung ala kadar. Biarlah tidak menjadi bentuknya, asalkan dapat menutup auratnya seketika.


'Lain macam saja muka dia,okey atau tidak?' getus hati Darwina apabila melihat wajah Amirul kelihatan kusut dan bermasalah. Melihatkan wajah tegang itu, dia sengaja mengunci pintu perlahan-lahan. Kalau boleh, dia mahu emosi Amirul reda dahulu. Takut juga dia seandainya lelaki itu naik berang jika dia menyibuk.


Suasana sepi. Tiada siapa yang mahu memulakan perbualan. Masing-masing membiarkan keadaan begitu berlarutan. Darwina hanya memerhati tingkah laku Amirul yang agak ganjil. Tanpa menghiraukan sesiapa, lelaki itu lantas menghenyakkan badan di sofa ruang tamu. Tali leher sekadar dilonggarkan, tidak pula ditanggalkan. Pakaian kerja pun tidak disalin, sekadar dibuka butang atas pada kemeja itu. Wajahnya menampakkan fikiran yang sungguh serabut.


"Assalamualaikum," akhirnya, lambat-lambat Darwina bersuara. Tidak betah rasanya dia menghadapi keadaan yang serba aneh begitu.


"Waalaikumussalam," jawapan itu terlalu ringkas, sekadar menjawab salam. Darwina bertambah bingung.Dia sendiri tidak tahu apa yang bersarang di minda lelaki itu.


Antara sedar atau tidak, dia sendiri tidak pasti. Tubuhnya bagai bergerak sendiri untuk duduk di sebelah Amirul. Entah ke mana agaknya dicampakkan rasa malu yang bersarang.

"Ada masalahkah?"Soalan itu dijawab dengan gelengan saja. Darwina tahu dia berbohong.

"You're not a good liar." Memang selalu pun Darwina berbahasa begitu dengan Amirul baik sebelum mahupun selepas nikah.

"Yeah, I'm not! So what?" Jerkahan itu mengejutkan Darwina. Itulah kali pertama seumur hidup Amirul bersikap kasar terhadapnya. Selama ini, lelaki itu sentiasa bersikap tenang, bahkan umpama seorang yang tidak kenal erti amarah. Sekarang, Darwina tidak tahu lagi siapa lelaki di hadapannya.

"Aku memang bukan penipu handalan. Aku memang tak tahu bagaimana nak bersandiwara macam kau semua orang perempuan! Aku tak pandai semua tu. Aku buat banyak kesilapan dan aku tak akan pernah nafi kesalahan aku. Kau takkan faham, Wynn! Better you shut up!" Amirul betul-betul memberontak.

Hakikatnya dia tidaklah prejudis terhadap perempuan. Kata-kata melampau itu semuanya datang dari nafsu amarah, bukan lagi akal waras. Dia sendiri bagaikan tidak sedar apa yang diucapkan. Kerinduan terhadap Qistina benar-benar menyeksa.

Darwina pula sudah terpaku di tempatnya seraya diam seribu bahasa. Dia benar-benar terkejut. Entah mengapa, kata-kata itu tidak lagi membuatnya ingin membelasah Amirul seperti yang pernah diugutnya setiap kali bergaduh sebelum nikah dahulu. Kali ini, kata-kata itu membuatkan dirinya ingin menangis.

Akhirnya, lidah perempuan itu kelu sendiri. Kakinya terus melangkah pergi dari ruang tamu. Dia ingin bersendirian melayan perasaan. Sakit sungguh hatinya.

'Ya Allah, apa yang aku buat tadi?' Amirul mula berfikir dengan rasional setelah pemergian Darwina mengejutkannya.

"Wynn, Wynn! Buka pintu ni," Darwina mengurung diri di biliknya tanpa menghiraukan panggilan Amirul. Dia tidak berminat melayan amarah lelaki itu. Lebih baik dia mandi daripada membuang masa memikirkan semua itu. Mana tidaknya, lelaki itu bukan jenis yang boleh diganggu sangat ketika sedang marah.

"Wynn, I'm so sorry about it." Sudahnya, Amirul menyampaikan pesan dari luar pintu. Dia tahu, pasti Darwina dapat mendengar pesanan itu. Sejurus kemudian, kedengaran bunyi seseorang mandi dari bilik itu.

'Aku bukannya teruk sangat. Sejak bila aku jadi sensitif? You should have known me better, Myrul.' Fikir Darwina. Dia bagai mahu ketawa dengan reaksi gelabah lelaki itu, pada masa yang sama menyimpan sisa-sisa kemarahan. Entah kenapa, hatinya sedikit terusik, tetapi ditepisnya perasaan itu dan menyedapkan hati sendiri.

Semasa makan malam, Amirul memerhatikan sahaja tingkah laku Darwina dengan wajah gelisah. Sedikit pun dia tidak berani berkutik, sedar akan kesilapannya tadi. Setelah habis makan, barulah dia memberanikan diri menegur Darwina.

"Wynn, aku minta maaf. I lost my temper just now. I didn't meant it."

Darwina hanya memandang kosong ke arahnya. Sekilas dia merenung tajam, lantas menjawab dengan ayat yang berbisa.

"Either you mean it or not, it doesn't matter to me. It's none of my business. We're just friends, and will forever be friends, okay?"

Ayat itu menjadi penutup bicara mereka, meninggalkan Amirul dengan rasa yang sebal, sementara Darwina bagai mahu menarik balik setiap patah ucapannya. Entah mengapa, Darwina tidak mengerti.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment