Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Komplot Kita (3)

Usai solat dhuha berjemaah, Darwina bersalam dan mencium tangan Amirul sepertimana kebiasaan suami isteri yang lain. Tangan kasar itu agak sejuk semasa Darwina menyentuhnya. Darwina hairan melihat wajah Amirul yang tampak tenang. Adakah dia tidak rasa sebarang getaran ketika tangan mereka bersentuhan? Adakah dia tidak rasa apa-apa ketika tangannya dikucup oleh seorang wanita?


'Normal ke tidak suami aku ni?'


'Kau jangan jadi bodoh, Wynn! Tak sedar-sedar diri lagikah kau tu cuma jadi isteri palsu, isteri sandaran saja?'


Bisikan yang datang entah dari mana itu mengembalikan fikiran Darwina ke alam nyata. Sejak dia mendengar Amirul menerima dirinya sebagai isteri yang sah semalam, fikirannya seolah-olah berada di awangan, bukan di bumi nyata. Dia terus bingkas berjalan ke luar taman untuk menenangkan fikiran, namun terhenti apabila Amirul memanggilnya.


"Kenapa?" Soalan Darwina dijawab dengan huluran tangan Amirul yang memegang sehelai tudung. Memang nyata, Amirul sungguh prihatin tentang soal aurat.


"Terima kasih,"


"Myrul, kenapa kau baik sangat dengan aku? Kau sendiri yang cakap, kita ni berkahwin sekadar untuk menyelamatkan keadaan. Nanti pernikahan ini kau juga yang akan leraikan,"


Amirul menghela nafas panjang. Sekilas dia merenung tepat ke mata Darwina, kemudian membuang pandang ke luar tingkap sebelum menjawab soalan itu.


"Wynn, aku tak nafikan yang kita berkahwin tanpa perasaan cinta," Amirul diam selepas menjawab sebaris kata yang tidak jelas.


"Habis tu?" Sela Darwina.


"Kau kena faham, walaupun atas dasar apa kita kahwin, kau tetap dah jadi isteri aku. Walaupun aku berjanji akan tamatkan semuanya, akad tetap dah terlafaz. Selagi aku tak lafazkan talak ke atas kau, aku masih ada amanah ke atas kau. Selagi kau masih bergelar isteri, aku akan tunaikan tanggungjawab aku," selepas mengucapkan kata-kata itu, Amirul terus keluar dari kamar itu, meninggalkan Darwina yang tidak tentu arah.


'Tegas sungguh dia dalam menyatakan keputusan. Segala keputusannya berpandukan agama. Cuma satu soalanku. Adakah pernikahan ini masih lagi seperti keputusannya yang lain, berpandukan agama? Wajarkah aku dinikahi sekadar untuk mengisi ruang penantian?' Fikir Darwina.


Selepas memakai tudung, Darwina terus keluar ke halaman rumah. Mulanya dia mahu berehat di buaian, namun melihatkan kelibat Amirul yang duduk di situ, dia membatalkan niat itu.


'Malas aku nak bertembung dengan mamat tu lagi!' Bentak hati Darwina. Dia sendiri tidak faham kenapa dia dilanda amarah.


Akhirnya, Darwina masuk ke bilik tetamu dan melabuhkan punggungnya di birai katil. Fikirannya bercelaru. Mengapa semua ini datang mengacau fikirannya?


'Ah, Wynn! Apa yang susah sangat? Buat tak tahu aje kan senang.Tak sampai setahun pun pernikahan bodoh ni nak bertahan. Lepas ni, bercerailah kau orang. Tak payahlah nak susah-susah hati fikirkan rumah tangga palsu ni.' Suara itu datang lagi mengusik hati Darwina.

"Benci atau suka, he's still my husband, at least for the time being," Darwina bertutur kepada dirinya sendiri.

******

Sejam lamanya Darwina terpuruk sendiri di kamar itu. Macam-macam perkara singgah di benaknya. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang harus dilakukan. Lebih tepat lagi, dia tidak tahu mengapa dia perlu begini, tidak tentu arah pada awal pernikahan. Nyata sudah, pernikahannya itu tidak serupa dengan pasangan lain.

Akhirnya, Darwina memilih untuk melelapkan matanya sebentar. Badannya terasa hangat, mungkin demam. Nanti dia akan pergi sendiri ke klinik. Tidak perlu hendak menyusahkan Amirul.

"Wynn, bangun. Bangunlah," suara Amirul memecahkan kedamaian lena Darwina. Dia terpisat-pisat bingkas dari tidurnya. Jam di sebelah dikerling dan matanya membulat. Sudah pukul 12.45 tengahari! Terkocoh-kocoh dia hendak ke dapur tanpa menghiraukan suami yang duduk terpaku di birai katil. Sampai di meja makan, sudah ada nasi goreng yang siap dimasak. Panas lagi, fikir Darwina.

Belum sempat Darwina bertanyakan apa-apa, Amirul sudah menghampirinya seraya menjawab,

"Pergilah buat air. Aku dah goreng nasi," aduh! Malu lagi Darwina. Akhirnya dia meluru ke dapur membancuh air.

"Kau memang dah biasa masak ke? Boleh tahan sedap nasi goreng kau,"

"Mm, masa di kampus dulu memang aku masak sebab nak berjimat," jawapan ringkas Amirul menerbitkan rasa kagum di hati Darwina. Bacaan doa makan oleh Amirul diaminkan sahaja.

"Kau tak sihat ke?"Amirul bertanya.

"Sihat ajelah,"

"Habis, kenapa muka kau pucat?"

Darwina tidak keruan. Dia malas hendak mengaku bahawa dia demam. Rasanya kalau dia mengaku, memang sahlah suaminya hendak menghantar ke klinik, sedangkan dia sudah berfikir berpuluh-puluh kali untuk tidak menyusahkan lelaki itu langsung.

"Wynn, aku bukan bercakap dengan dinding,"

"Er, maaf. Aku sihat aje. Ya ke pucat? Tak perasanlah pula," dalih Darwina.

"Kalau tak sihat beritahu aku, boleh aku hantar ke klinik," kata-kata Amirul tidak mengejutkan. Memang Darwina sudah menduga Amirul akan berkata begitu.

'Myrul, Myrul. Can you please stop doing this?' Monolog Darwina sendiri. Dia pun keliru dengan apa yang berlaku sekarang.

"Aku tanya, kau jawab sihat. Habis tu, yang makan sedikit sangat tu kenapa?" Amirul bertanya untuk kali kedua.

"Err, aku tak berapa seleralah," jawapan Darwina membuatkan dahi Amirul berlapis.

"Tadi kau juga yang kata masakan aku boleh tahan sedap. Sekarang kau juga yang tak selera," gerutu Amirul. Dia juga pening dengan keletah Darwina.

'Apasal dengan minah ni? Pagi, tanya soalan pelik-pelik. Tengahari, makan pelik-pelik. Petang dengan malam apa pula yang pelik agaknya?' Getus hati Amirul.

"Yang kau ni pula, menungkan apa?" Soalan Darwina mencuri perhatian Amirul. Lelaki itu terus menyambung makan tanpa menjawab apa-apa.

"Menungkan kepelikan kaulah," kata-kata Amirul membuat wajah Darwina merah padam. Lelaki ini memang sengaja hendak cari pasal!

"Sejak bila pula aku pelik?"

"Entah. Sejak jadi isteri kut,"

"Oh, patutlah. Sebab berjangkit dari virus suamilah tu," pantas Darwina mengambil kesempatan.

"Kenakan aku ya?"

"Kalau terasa pedas, telan sajalah!" Sela Darwina. Mereka ketawa bersama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment