Selesai sahaja kerja, Amirul memerhati jam dinding. Darwina hanya akan pulang pukul lima petang. Masih ada setengah jam. Dia memilih untuk berehat dahulu. Untuk kesekian kalinya, minda lelaki itu melayang. Perbualan dengan Rusydi masih bermain di minda, bagai pita rakaman yang dimainkan berulang kali. Puas dia berusaha menepis, bayangan Qistina pula menjelma.
Telefon bimbitnya dicapai lalu ditekan-tekan. Ya, hanya satu nombor telefon yang dicarinya. Qistina.
"Nombor yang anda dail telah ditamatkan. Terima kasih," operator talian pula yang menjawab panggilan Amirul.
'Betullah, Qis memang dah tak guna nombor telefon ni. Masa hendak ke Australia lagi dia sudah tukar. Tapi, kenapa sampai sekarang masih tak beritahu aku nombor telefon baru? Kalau online di Yahoo!Messenger atau Facebook pun dia tak pernah online. Mungkin masa tak sama, tetapi salahkah kalau dia tinggalkan pesan dalam inbox aku?' Fikir Amirul.
Qistina perlu ke Jordan untuk menjalankan kajian bersesuaian dengan bidang Fizik yang diambilnya. Dia terus membuat keputusan itu tanpa berbincang langsung dengan Amirul. Hanya seminggu sebelum dia berlepas dari lapangan terbang KLIA, barulah dia dengan selamba memaklumkan pemergiannya ke sana.
"Saya tak nak lukakan hati awak. Kalaulah saya cakap yang saya hendak pergi ke Jordan sejak awal, mesti awak tak berapa senang. Ini cita-cita saya, minat saya. Saya memang betul-betul hendak ke sana. Kalau saya beritahu awal, saya takut jadi keladak dalam hubungan kita," itulah jawapan Qistina apabila disoal oleh Amirul.
"Arisa Qistina, selama ini, kalau saya buat keputusan, pernahkah saya membelakangkan awak? Pernahkah saya buat sesuatu tanpa meminta pandangan awak, tanpa menghiraukan perasaan awak? Saya turutkan semua permintaan awak dan tak pernah belakangkan awak! But why?"
Hati lelakinya rasa sungguh tercabar. Tidak sangka kekasih hatinya bersikap begitu.
"Memang awak tidak membelakangkan saya, kerana saya tidak akan halang kalau awak betul-betul hajatkan sesuatu dalam hidup awak. Saya pula tidak pasti akan pendirian awak. Selama ini, kalau saya hajatkan sesuatu, sesetengahnya awak akan tolak dengan bermacam-macam hujah panjang awak tu. Saya tak tahu kalau awak akan halang saya lagi kali ini,"
"Kenapa awak tak percayakan saya?"
"Saya percaya awak, tetapi saya takut. Saya bimbang. Saya harap sangat awak faham kedudukan saya. Saya takut kalau-kalau awak ajak saya nikah dulu sebelum saya tamat belajar,"
"Kalau saya memang nak bernikah sebelum awak tamat belajar?"
"Keluarga saya tak akan izinkan. Awak nak tahu, mereka dah cukup marah semasa dapat tahu saya bercinta sebelum tamat pengajian. Kalau datang pula hal awak nak ajak kahwin sebelum saya tamat belajar, huh. Saya tak tahu apa nasib saya,"
Amirul hanya mampu diam. Sepatah pun dia tidak menjawab. Raut kekecewaannya terlihat jelas pada wajahnya. Namun, perlahan dia mula mengerti. Dia harus banyak mengalah dalam perhubungan ini kerana kedudukan Qistina yang masih belum tamat belajar. Dia perlu bersabar, dan terus bersabar. Sampai bila, dia sendiri pun tidak tahu.
'Dari gaya keluarga Qistina, nampak macam mereka kurang senang dengan kehadiran aku semasa di KLIA.'
Masih terngiang-ngiang suara Datin Qamariah merengus semasa Amirul menyalam hormat Dato' Herman semasa baru tiba di lapangan terbang itu. Mata wanita separuh abad itu bagai menyiat-nyiat tubuhnya dengan pandangan yang tajam berbisa. Apabila dia tidak bersalam dengan Datin Qamariah, kata-kata pedas menghiris telinganya.
"Hai, tidak tahukah hendak hormat calon emak mertua? Qis, kalau macam ni, nampak gayanya mama tak merasalah nak dapat layanan menantu," tajam sungguh sindiran itu.
"Maaf, datin. Saya tidak berniat nak hiris hati datin, tapi..." belum sempat ayat itu dihabiskan, suara Datin Qamariah lebih dulu memintas.
"Tak payahlah cakap apa-apa, er.. siapa nama kamu tadi, Amirul? Kalau tidak mahu salam dengan saya pun tidak apa,"
Nada hambar Datin Qamariah memberitahu Amirul bahawa wanita itu berkecil hati. Amirul jadi bingung. Mungkin silapnya juga yang enggan menghulurkan salam, tetapi adakah ibu Qistina tidak pernah belajar hukum bersalam dengan lelaki yang bukan mahram? Lupakah Datin Qamariah, dia belum bernikah dengan anak perempuannya?
'Rumit juga hal macam ni. Orang berumur ni kalau kecil hati, susah juga. Memang betullah, sosial orang ternama ni lain. Agama tak berapa dipedulikan. Astaghfirullah, apa aku buat ni? Fikir bukan-bukan pula tentang bakal emak mertua. Entah-entah aku saja yang fikir bukan-bukan. Manalah tahu, dia baik orangnya. Soal hukum, mungkin dia terlupa.'
Sudah hampir sebulan sejak peristiwa itu berlaku. Qistina tidak pernah cuba menghubungi Amirul langsung. Apabila Amirul bertanya pada Datin Qamariah, wanita itu acuh tidak acuh sahaja. Dia hanya mengatakan Qistina belum ada telefon rumah. Sempat lagi dia berpesan, kalau boleh janganlah terlalu banyak berhubung dengan Qistina, takut pelajarannya terganggu.
"Kalau aku hubungi Qistina, dilarang dek emaknya. Kalau aku tak hubungi langsung, nanti emaknya juga yang marah, nanti dikatanya aku ni tak sayang anak dia. Aduh! Serba-serba tak kena," Amirul bertutur sendiri.
Sebenarnya, beberapa hari lepas dia ada bersembang dengan kakak Darwina, Diyana. Perempuan itu memang baik dengannya malah memahami tujuan pernikahan itu. Entah apalah yang merasuk Diyana sehingga dia tidak kisah pun apabila dimaklumkan bahawa adiknya akan dinikahi dengan cara sebegitu.
"Kakak tak tahu nak komen apa, tetapi rumahtangga memang perlukan restu keluarga. Kakak dah kahwin, alhamdulillah bahagia sebab dua-dua pihak restu, taklah jadi macam kawan-kawan kakak, ada yang merana sebab tak ikut cakap mak ayah. Sebelah pihak tak restu pun jadilah, memang akan ada masalah. Selalunya, kalau orang dah tak suka, bila ada masalah sikit, banyaklah batu apinya," memang benar, daripada gaya Diyana berbicara, memang Amirul tidak meragui kejujuran bicara itu. Pernah sekali dia bertandang ke rumah Diyana, hatinya gembira bahkan cemburu dengan kebahagiaan kakak iparnya itu.
Sampai sekarang, sejak melihat kebahagiaan keluarga Diyana, Amirul tidak pernah jemu meminta pendapat Diyana dan suaminya, Hazriq. Namun, Diyana yang lebih banyak berkongsi kerana tuntutan kerja Hazriq menyukarkan mereka untuk bertemu. Lagipun, Hazriq nampak kurang senang dengan Amirul sejak mengetahui bahawa adik iparnya sekadar menjadi sandaran saja bagi Amirul.
Waktu Hazriq mendapat tahu hal sebenar pernikahan itu, nyaris-nyaris patah riuk Amirul hendak dikerjakan. Mujurlah Diyana yang lebih penyabar dapat menenangkan suaminya. Melihatkan keadaan itu, dia bertambah kagum. Dia kagum akan sikap penyayang Hazriq yang begitu mengambil berat dan menganggap Darwina seperti adik sendiri. Kagum bertandang lagi ketika dia menyaksikan sendiri kelembutan dan kebijaksanaan Diyana dalam meredakan kemarahan suami. Sesuatu yang sangat diimpikan sebagai ciri seorang wanita idaman.
"Sebenarnya, kakak Diyana kamu lebih kasar daripada Wina. Kalau masa belum kahwin dulu, memang Wynn yang kena tenangkan Diyana kalau Diyana marah. Wynn handal betul kalau bab pujuk-memujuk. Itu menurut kata ibu bapa Diyana," itu kata Hazriq semasa mereka berbual dahulu.
Amirul sangat suka akan kelembutan dan sifat keibuan yang ada pada Diyana. Memang dia sangat mengharapkan agar teman hidupnya sebaik Diyana. Apabila dikenangkan semula, Allah memberikannya peluang untuk menjadi suami Darwina. Menurut kata orang, dalam kalangan tiga beradik Diyana, Darwina dan Dzafirah, memang Darwina yang paling menjadi dan baik pula akhlaknya.
Bersama Darwina, dia akui memang benar kata orang. Walaupun hanya isteri sementara, layanan Darwina terhadapnya sungguh baik. Sebab itulah juga, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membalas budi wanita itu. Seboleh mungkin, dia akan cuba mengajarkan ilmu agama untuk pegangan hidup Darwina. Latar belakangnya dari sekolah agama rakyat dan berkelulusan dari UIA agak memberikannya kelebihan dalam ilmu agama, maka wajib baginya menurunkan kepada Darwina.
Sekilas Amirul memandang jam tangannya. Sepuluh minit lagi pukul lima. Dia terus menuju ke kereta lalu memandu ke pejabat Darwina. Dia tidak mahu membuat Darwina tertunggu-tunggu. Perempuan itu bukan boleh diduga. Silap-silap nanti satu SMS akan masuk ke dalam inbox Amirul memaklumkan bahawa dia pulang sendiri dengan menaiki teksi kerana enggan menyusahkan sesiapa.
Sampai di pejabat Darwina, perempuan itu sudah siap menunggu. Dia terus masuk ke dalam kereta dengan didahului lafaz salam. Sejuk hati mendengarnya. Masuk ke kereta, Amirul terus memandu tanpa membetulkan apa-apa. Dia malu kalau-kalau Darwina mahu bersalam dengannya lagi.
'Parah betul penyakit segan aku ni!' Lalu Amirul terus memandu pulang ke rumah dengan wajah yang terasa panas kemerahan. Pandangan dihalakan tepat ke jalan raya, sepatah kata pun tidak diucapkannya lagi.
Jemput Follow :)
Komplot Kita (7)
Labels:
karya,
Komplot Kita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment