Bayangan Hidayah yang muncul dalam mimpi mengganggu tidur Rifhan. Setelah terjaga, dia tidak mampu menyambung tidur lagi walaupun jam baru 3.30 pagi. Setelah berteleku di katil gagal memberi ketenangan, dia mengambil wuduk, namun matanya masih juga berdegil enggan lena. Berkali-kali mencuba, akhirnya dia bangun membentang tikar sembahyang.
Solat istikharah dilaksanakan penuh khusyuk. Usai solat, dibacanya doa setelah solat istikharah, memmohon petunjuk dari Yang Maha Esa.
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, sediakanlah untukku sesuatu yang baik bagiku menurut-Mu, dan aku memohon kepada-Mu kekuatan dengan kudrat-Mu, dan aku memohon dengan kurniaan-Mu yang besar kerana sesungguhnya Engkaulah yang sanggup sedangkan aku tidak sanggup. Engkaulah yang mengetahui sedangkan aku tiada mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jika memang Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik bagiku dalam urusan agamaku dan kehidupanku serta akibat keputusanku, maka takdirkanlah ia untukku, maka tetapkanlah ia untukku dan permudahkanlah bagiku serta berkatilah aku di dalamnya. Sebaliknya, jika Engkau ketahui bahawa perkara ini tidak baik untukku dalam urusan dan kehidupanku serta akibat urusanku, maka hindarkanlah aku daripadanya. Dan tetapkanlah bagiku kebaikan di mana saja, kemudian hatiku meredhainya."
Usai solat istikharah, Rifhan menyambung ibadah di sepertiga malam itu. Solat sunat tahajjud, tasbih dan hajat menghiasi malamnya. Apabila subuh hampir menjelang, solat sunat witir pula dilaksanakan sebagai penutup sebelum dia melaksanakan solat fardhu subuh dengan didahului dan diakhiri solat sunat rawatib. Ternyata semua itu telah mencampakkan ketenangan dalam hatinya.
Mujurlah setelah terjaga tadi, Rifhan sudahpun mengalas perut dengan beberapa biji kurma. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk terus berpuasa sunat sahaja. Waktu selepas subuh itu dimanfaatkan pula untuk membaca Al-Quran dan menyemak rujukan hadis. Rohaninya benar-benar inginkan pengisian.
"Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu ialah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." Rifhan merenung lama ayat suci Al-Quran itu. Sekilas, dia terpandang rujukan hadis yang terselak halamannya.
"Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya sehingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid." (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami dan lain-lain.)
sementara dalam satu lagi riwayat,
"Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia memelihara kesucian dirinya dan bersabar sehingga meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang syahid."
Hadis dan ayat Al-Quran itu berlegar-legar di ruang minda dan hati Rifhan. Dia dapat merasakan seolah-olah Allah dan Rasulullah berinteraksi dengannya. Jiwanya bagaikan dihembus nafas kekuatan walaupun hakikatnya hampir rebah.
"Sewajarnya aku menuruti-Mu, Ya Allah serta rasul-Mu. Aku hamba-Mu. Biarlah aku berperang dengan jiwaku untuk-Mu. Aku memilih cinta-Mu, Ya Allah. Biarlah aku sepi dari cintanya. Semoga Engkau menjanjikan sesuatu yang terbaik untukku dan untuknya kelak," Rifhan bersuara kuat untuk dirinya.
Sekalipun keputusan itu suatu penyeksaan, dia redha melalui segalanya. Air mata lelakinya tumpah lagi. Jalan menuju cinta Ilahi ialah mujahadah, dan mujahadah itu jalan berduri, mengajar erti manisnya iman.
***************
"Rizal, kau habis kerja pukul berapa hari ini?" soal Rifhan ketika terserempak dengan Rizal. Lelaki itu bekerja sebagai guru sekolah rendah, tetapi kerap juga bekerja hingga ke petang kerana mengajar kelas tambahan atau menjalani aktiviti kokurikulum. Kadangkala dia mengikuti kursus.
"Saya balik lewat hari ini. Pukul 6.30 petang baru aktiviti sekolah tamat. Saya cadang nak singgah berbuka puasa di kedai makan sebelum pergi ke surau terus untuk solat maghrib. Kenapa?" sebenarnya, Rizal kekok juga hendak memanggil Rifhan 'abang', sebab itu dia cuba mengelak dari memanggil lelaki itu. Dia sudah biasa menganggap lelaki itu kawan biasa, aneh juga apabila bertukar pangkat.
"Eloklah tu. Kita berbuka puasa sama-sama," Rifhan terus mengusulkan cadangan. Dia tidak mahu bertangguh lagi, bimbang hatinya berbolak-balik.
"Okey," Rizal meminta diri setelah menyatakan persetujuannya. Rifhan pula terus ke kedai buku tempatnya bekerja.
*****************
"Ada apa abang nak jumpa saya tadi?" soal Rizal setelah mereka sama-sama memesan makanan.
"Semalam, kau cakap abang sudah patut berkahwin. Abang sudah fikir masak-masak," sejurus selepas itu, suasana sepi seketika. Rifhan mengumpul kekuatan untuk menyatakan apa yang bersarang di mindanya. Hatinya menentang apa yang ingin disampaikan, tetapi akalnya tetap bertahan.
"Abang dah nak kahwin ke?" pantas bayangan Hidayah menerpa ke minda Rifhan saat soalan Rizal diajukan untuknya.
'Ya Allah, kuatkanlah hatiku ini.'
"InsyaAllah. Abang sebenarnya perlukan bantuan kau dalam hal ini. Seumur hidup, abang tiada pengalaman mengurat perempuan. Abang perlu orang tengah," akhirnya, terlafaz juga permintaan itu walaupun dengan hati yang bagai mahu pecah dibuatnya.
"Alhamdulillah! InsyaAllah, saya sanggup tolong abang. Siapa perempuan yang bertuah itu?" berseri-seri muka Rizal. Nampaknya akan ada satu lagi baitulmuslim di kampung itu. Semoga dengan terbinanya baitulmuslim itu nanti, akan lebur segala fitnah.
'Tidak sia-sia aku korbankan cinta aku yang tidak kesampaian pada Fatimah. Aku memilih Hidayah demi maslahat Islam, malah aku redha pada agamanya. Mungkin inilah takdir yang tersurat sejak azali.' memang begitulah kata hati Rizal. Sejak sekian lama dia menaruh hati pada Fatimah, hatinya tidak pernah berani mendekati. Segalanya sekadar terpendam kerana dia khuatir dirinya tidak layak buat mawar berduri itu.
"Fatimah Nazifa," sebaris ayat yang terpacul dari bibir Rifhan sudah cukup untuk menyentap jantung Rizal. Tidak sangka bakal abang iparnya menaruh hati pada Fatimah!
'Aku hendak bantu Rifhan untuk bernikah dengan Fatimah? Ya Allah, mampukah aku?' fikir Rizal.
"Alhamdulillah, saya rasa abang tak salah memilih. Fatimah memang wanita solehah. Saya kenal siapa dia. Rupanya indah, agamanya pun hebat. Memang abang bijak memilih calon zaujah," walaupun hati merana, Rizal tetap merelakan sahaja.
'Tidak mengapalah, memang sudah tertulis jodohku bukan dengan Fatimah. Aku redha Hidayah bakal zaujahku. Aku tidak mengharapkan apa-apa selain keredhaan-Mu, Ya Allah. Aku tetap bersyukur, Engkau pilihkan Rifhan untuk Fatimah. Dia memang layak memiliki wanita sebaik itu. Aku redha.'
"Alhamdulillah. Abang harap kau boleh jadi orang tengah untuk risik dia cara Islam. Abang tak mahu tersalah langkah, maklumlah abang bukannya hebat sangat soal risik-merisik cara Islam. Harap kau dapat bantu abang,"
"InsyaAllah. Apa yang penting, selain ikhtiar, abang banyak-banyakkanlah juga berdoa dan solat hajat, mohon Allah lembutkan hatinya. Saya cuma membantu, selebihnya soal jodoh ni Allah yang menentukan," Rizal menyatakan kesanggupannya. Tatkala itu, imannya sahaja yang mampu berbicara. Dia menghormati pendirian Rifhan yang begitu bersungguh-sungguh menjauhi maksiat.
'Sekurang-kurangnya, aku tidaklah menyesal sangat sebab Fatimah dimiliki seorang lelaki soleh. Allah Maha Adil. Pilihan-Nya untukku pasti wanita yang tepat. Pilihan-Nya untuk Fatimah jelas memang sekufu.'
"Terima kasih banyak-banyak, Rizal. Abang harap kau doakanlah juga agar mudah urusan jodoh abang dengan Fatimah,"hati Rizal meronta mendengar permintaan Rifhan. Bukan mudah untuk membantu urusan itu, apalagi mendoakan agar dua insan itu bersatu.
"Ya, InsyaAllah. Abang doakanlah juga moga Hidayah terbuka hati untuk terima saya yang tak seberapa ni," Rizal kekal tawaduk dalam setiap urusannya. Barulah Rifhan teringat, dia masih belum menyuarakan hal itu kepada Hidayah. Perasaan khuatir mula menguasai dirinya, sanggupkah Hidayah menerima pilihan yang dibuat oleh lelaki yang dicintainya?
"Rizal, abang nak minta tolong kau satu perkara lagi,"
"Apa?" jantung Rizal berdetak kencang. Adakah satu lagi seksaan akan ditimpakan ke atas jiwanya?
"Ajarlah abang lebih banyak ilmu agama. Abang rasa ilmu abang masih belum cukup untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isteri yang begitu solehah," jujur Rifhan meluahkan.
"InsyaAllah," sekali lagi, Rizal bersetuju.
'Pengorbanan itu perlu.' fikir Rizal. Azan maghrib berkumandang. Mereka berbuka puasa ala kadar sebelum menuju ke surau untuk solat berjemaah. Masing-masing menahan gelojak rasa yang bermukim di dada. Kepada Yang Maha Esa jua ingin diadukan segalanya.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (27)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment