"Sofea, bangun. Kita dah sampai ni," suara Faizah membuat Aisya terjaga dari tidurnya. Seketika, dia yang masih mamun kehairanan apabila dipanggil 'Sofea'. Beberapa kali dipanggil dengan nama itu, barulah mindanya yang di awangan terpanggil ke dunia nyata semula. Terimbas semula semua kejadian yang berlaku hingga dirinya terpaksa membiasakan diri dengan nama baru itu. Memang dia masih kekok dengan identiti barunya.
Aisya menuruti jejak Faizah. Dia tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan melihat persekitaran baru. Rumah teres dua tingkat yang bakal ditumpang itu sederhana besar. Tidak banyak perhiasan yang kelihatan, cuma pokok-pokok kecil yang ditanam di dalam pasu menghiasi halaman rumah. Melihat keadaan itu, Aisya dapat mengagak bahawa keluarga ini berpendapatan sederhana.
"Masuklah, Sofea. Buat macam rumah sendiri ya," manis bicara Faizah. Zulfakar pula tidak mencuri dengar. Dia mengambil alih tugas mengunci pagar yang selalunya dijalankan oleh isterinya. Sengaja dia berbuat begitu agar Faizah dapat mengenalkan Sofea dengan kehidupan baru yang bakal ditempuhi.
"Er, mak cik dan pak cik tinggal berdua sajakah?" Aisya masih kekok dengan wanita berusia separuh abad yang kini sudah bergelar ibu angkatnya.
"Sofea, tak perlulah panggil 'mak cik' macam orang asing. Panggil saja ummi. Barulah rasa macam ada ikatan kekeluargaan. Tentang soalan Sofea tadi, kami memang tinggal berdua saja. Ummi bernikah dengan abi semasa usia ummi 48 tahun. Manalah sempat ummi hendak beranak," di hujung bicara, Faizah berseloroh. Isi hatinya cuma Allah yang tahu. Sesungguhnya, setiap kali menyebut soal anak, naluri keibuannya memberontak.
'Kalaulah anak aku tidak mati...' Bisikan yang hadir di hati Faizah segera ditepis. Tiada guna baginya menyalahkan takdir. Sudah tertulis takdirnya begitu, apalah hendak disesalkan lagi.
'Kun fayakun.' Sesungguhnya, jika Allah mengatakan jadi, maka jadilah. Tiada siapa mampu menghalangnya. Sesungguhnya kematian itu datangnya tanpa ada rukhsah barang sesaatpun. Sedangkan rasul Allah yang sungguh mulia pun tidak mampu menangguhkan tarikh dan saat kematian, inikan pula umatnya.
"Ummi, ummi," Aisya memanggil Faizah setelah wanita itu senyap beberapa lama. Tiada respon darinya seolah-olah mindanya tidak di situ. Setelah Aisya menyentuh bahu Faizah, barulah wanita itu sedar dari lamunan.
"Maafkan ummi. Ummi termenung tadi. Mari sini, ummi tunjukkan bilik Sofea. Maaflah, ummi memang sudah lama tidak kemaskan bilik ini. Maklumlah, usia sudah lanjut, anak cucu tiada, memanglah jarang ada tetamu. Ummi pun tidak sangka hendak bawa pulang anak dara pingitan ke rumah," seloroh Faizah. Aisya ketawa kecil, namun sebenarnya hatinya terasa sungguh sayu. Gelaran 'anak dara pingitan' mengembalikan memori indah bersama keluarga di kampung. Rifhan dan Hidayah memang selalu mengusiknya dengan gelaran itu.
"Tak apalah, ummi. Inipun sudah cukup baik untuk Ai.. er, Sofea. Ummi tak perlu risau, Ai.. er, Sofea akan kemas sendiri bilik ini," hati Aisya gelisah apabila beberapa kali dia hampir tersasul menyebut nama sebenarnya. Dia asyik tersalah tingkah semenjak kenangan bersama Rifhan dan Hidayah menerpa ke minda.
"Eloklah kalau begitu kata Sofea. Nanti ummi tolong Sofea. Kita kemas sama-sama ya," manis bicara Faizah menyejukkan hati Aisya. Nampaknya wanita itu langsung tidak menyedari sebarang keganjilan pada tingkah laku Aisya. Suara Aisya yang tersasul itu tidak jelas di pendengaran Faizah.
"Terima kasih ummi. Sofea hargai sangat-sangat pertolongan ummi,"
"Tidak ada apa yang berharga yang ummi beri. Kehadiran Sofea dalam hidup ummi sudah cukup berharga bagi ummi. Ummi bersyukur sangat-sangat sebab sempat merasai bagaimana memiliki seorang anak, walaupun bukan darah daging ummi," kata-kata Faizah membuatkan Aisya hampir menangis. Sayu sungguh kata-kata itu.
Lama mereka terdiam, masing-masing melayani fikiran sendiri. Kenangan yang datang bertamu menyepikan suasana. Namun, kesunyian itu terlerai apabila azan maghrib berkumandang.
"Sofea, ikut ummi kejap. Ummi hendak pilih pakaian dan tudung yang sesuai dengan Sofea. Sofea bersiap, lepas tu kita semua pergi solat berjemaah dan dengar ceramah di surau. Jangan lupa pakai stokin dan aurat lengan tau. Ummi sediakan," Aisya terpana. Rutin yang disebut oleh Faizah tidak ubah seperti rutin keluarganya di kampung.
'Rasanya, sejak aku tinggalkan kampung, langsung aku tidak ke surau. Dengar ceramah? Malaslah pula. Hmm, ikut ajelah. Takkan aku hendak kecewakan ummi pula.' Aisya mengangguk perlahan.
Aisya bagai mahu menjerit melihat pakaian yang dipilih ummi untuknya. Sehelai jubah berwarna krim dan tudung labuh berwarna senada. Di kampung dulu, tudung sekolahnya sahaja yang labuh begitu. Sudahlah tudung itu berjahit!
Hendak membantah, tiada pakaian lain yang ada di rumah itu selain jubah dan baju kurung. Kalau hendak memakai baju kurung, nampaknya tiada saiz yang sepadan dengan tubuhnya yang tinggi langsing. Aisya terduduk di birai katil. Dia merenung pakaian yang disediakan untuknya. Memang jauh berbeza berbanding pakaian yang sedang dipakainya.
"Zah, dah siap belum?" Kedengaran suara Zulfakar memanggil nama Faizah. Aisya terus bingkas bersiap dengan pantas. Walaupun agak kekok untuk berbusana muslimah begitu, namun dia cuba bersabar. Dia sedar, dia perlu bersikap fleksibel untuk menerima keadaan hidupnya yang baru. Itu lebih baik berbanding kembali merempat di jalanan.Usai bersiap, Aisya keluar dari kamarnya.
"Subhanallah! Cantiknya anak ummi," pujian Faizah menyenangkan hati Aisya. Hilang sedikit rasa gusarnya yang terlalu janggal dengan pakaian sedemikian. Berbunga hati Aisya mendengarnya.
"Kalau Sofea sentiasa berpakaian begini, subhanallah. Cantik sungguh," Zulfakar turut menyokong pendapat isterinya. Bukan hendak mengampu, tetapi itu hakikat. Aisya kelihatan sungguh ayu dengan busana muslimah itu. Tubuhnya yang terlindung membuatkan wajahnya bersih dipancari ketenangan hakiki.
Kata-kata itu membuatkan Aisya malu sendiri. Dalam hati, dia mula mempertimbangkan idea keluarga angkatnya. Memang sejak dulu lagi Fatihah, rakan sekelasnya selalu menyarankan idea itu kepadanya, namun dia tidak berminat. Dia jadi rimas apabila melihat perwatakan kakak Fatimah yang berpakaian begitu. Gayanya terlalu sopan hingga menampakkan dirinya sebagai ustazah.
'Fatihah, lamanya aku tidak contact engkau.' getus hati Aisya. Dia rindu akan sahabat baiknya itu. Entah berapa puluh kali Fatihah menghalang niatnya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Hujahnya setiap kali ditanya hampir serupa, 'Engkau tidak mahu fikirkan abang dan kakak kaukah?'.
Sekarang, apabila dikenangkan semula, barulah Aisya kenal makna rindu. Barulah dia tahu betapa berharganya kasih sayang seorang kakak dan abang. Barulah dia sedar betapa dalamnya makna persahabatan.
Melihat keadaan Faizah yang benar-benar menginginkan seorang permata hati, Aisya mahu menangis. Dia benar-benar rasa terharu. Sejujurnya, dia sendiri pun dahaga kasih seorang ibu. Ibu kandungnya sudah lama meninggal dunia semasa melahirkannya. Sejak lahir, dia tidak pernah merasai nikmat kasih sayang seorang ibu. Setitis susu ibu pun tidak pernah dihirupnya. Sekilas suara ibu pun tidak pernah didengarnya. Secebis sentuhan ibu pun tidak pernah dirasainya. Dirinya membesar sekadar mengharapkan susu botol dan belaian adik-beradik.
"Jomlah, Sofea. Ummi dah nak kunci pintu ni," panggilan Faizah menggamit nurani Aisya ke dunia nyata. Air mata yang tumpah di pipinya dikesat segera. Dia enggan air mata itu dilihat oleh keluarga angkatnya. Biarlah identitinya kekal menjadi rahsia. Mereka tidak perlu tahu kisah hidupnya.
Selepas pintu dikunci, Zulfakar terus menapak ke luar pagar tanpa menghidupkan enjin kereta. Faizah dan Aisya memang sudah mengenakan telekung. Aisya terpinga-pinga melihat jejak Zulfakar.
"Kenapa tercegat? Marilah kita ke surau," Zulfakar pantas menegur Aisya yang kelihatan kaget.
"Kita jalan kaki ke surau. Berjalan kaki lebih besar pahalanya, lagipun elok untuk kesihatan. Almaklumlah, duduk di bandar ni susah hendak cari waktu bersenam. Biar ini jadi senaman kita. Pahala dapat, badan pun sihat," Faizah menjelaskan, seolah-olah mengerti apa yang berlegar di minda Aisya.
Aisya mengangguk faham. Dia menuruti langkah keluarga angkatnya. Ada ketika dia terasa seolah-olah kembali ke kampung. Pergi ke surau bertiga seperti dahulu. Oh, kerinduannya terhadap keluarga tetap ada dan tidak akan pernah hilang! Hanya Allah yang mengetahui..
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (22)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment