Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Komplot Kita (10)

"Engkau okey?" soal Amirul. Setelah Ruzial melepaskan diri bersama teman lelakinya tadi, Amirul enggan mengejar lagi. Kalau ikutkan memang dia boleh mengejar, tetapi hatinya kasihan melihat reaksi Darwina tentang kata-kata Ruziah.


"Aku okey," Darwina sekadar menyedapkan hati Amirul sahaja. Hakikatnya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sakitnya hati mendengar kata-kata Ruziah. Segala yang didengarnya tadi umpama satu tamparan hebat yang singgah di pipinya.


"Maafkan aku atas kelakuan Ruziah tadi. Aku tidak sangka dia sanggup cakap begitu pada kau tadi,"


"Tidak mengapa. Bukannya engkau yang cakap begitu. Tidak perlulah engkau minta maaf,"


"Engkau pun satu hal juga. Kenapa paut lengan aku tadi? Kalau engkau tidak halang, aku rasa sudah lebam muka Ruziah aku kerjakan. Perangainya melampau," geram pula Amirul apabila mengingatkan tindakan Darwina tadi.


"Kalau engkau pukul dia, belum tentu dia dengar cakap engkau. Silap hari bulan engkau dengan dia jadi perang dunia ketiga pula!" tegur Darwina dengan nada berseloroh, sekadar untuk menjaga hati Amirul.


Larian mereka tidak dihabiskan. Sebaliknya, tikar dibentang dan mereka berkelah di situ. Kedua-duanya asyik bergurau senda hingga masing-masing terlupa hal tadi. Amirul yang tadinya sangat marah sudah hilang api kemarahannya. Ternyata, setiap kali bersama Darwina, wanita itu memang punya terapi ajaib untuk menenangkannya.


*******************


"Myrul, engkau tak pergi kerjakah hari ini?" soal Darwina. Dia sudah bersiap dengan pakaian kerja. Sangkanya tentulah Amirul bersiap lebih awal dan menunggunya di sofa seperti biasa, namun sebaliknya berlaku apabila lelaki itu lena di sofa dengan pakaian kerja yang sudah berkedut jadinya. Tiada siapa yang menjawab pertanyaan Darwina.


'Isy, aku pun terlebih bijak! Kalau sudah lena tentulah tidak jawab.' Darwina menuju ke arah Amirul. Dia berura-ura untuk mengejutkan lelaki itu, namun melihatkan wajahnya yang sedikit pucat, Darwina membiarkan sahaja Amirul terus lena di sofa. Dia melabuhkan punggung di sisi Amirul.


Tangannya menjamah dahi lelaki itu. Dek perasaan risau, malu dan segan entah dicampak ke mana. Memang benar jangkaannya, panas betul dahi Amirul. Dia menuju ke dapur untuk mengambil panadol lalu kembali ke sofa.


'Kenapalah aku 'bijak' sangat hari ini? Dia lena, macam mana hendak makan ubat?' fikir Darwina. Segalanya serba tidak kena. Dia malu dan tidak sampai hati hendak mengejutkan Amirul.Tiba-tiba, dia kakinya tersadung di meja kopi dan terus rebah di atas Amirul yang sedang lena!


'Ya Allah! Malunya aku. Minta-minta janganlah dia terjaga. Sudahlah dia demam, kena hempap pula.'


"Mmm..Err..." lelaki itu terjaga tetapi masih mamai. Seketika kemudian, barulah matanya dapat menangkap susuk tubuh Darwina yang masih berada di atas badannya. Terbeliak terus matanya!


"Ya Allah, Myrul! Engkau dah terjaga?" merah padam muka Darwina. Malu sungguh dia!


"Mana tak terjaga kalau ada perempuan cantik tidur atas badan aku," usik Amirul. Bertambah merah wajah Darwina.


"Isy, jangan hendak menggatal! Aku bukan sengaja hendak landing atas badan engkau. Kaki aku tersadung meja kopi tadi," pantas Darwina menjelaskan. Di mindanya sudah terbayang perkara yang bukan-bukan.


"Aku tidak cakap apa-apa pun. Otak engkaulah agaknya yang menerawang," seloroh Amirul. Entah ke mana hilangnya sakit kepala yang dialami sejak subuh tadi.


"I'm sorry. Aku tidak sengaja. Engkau tidak pergi kerjakah?" soal Darwina lembut. Dia malas hendak berkasar dengan orang sakit.


"Alhamdulillah, dah baik rupanya perangai isteri aku!" makin merah muka Darwina mendengar kata-kata itu.


'Isteri? Yakah isteri? Eh, memanglah! Akad nikah sah,tahu?' getus hati Darwina. Semuanya sudah jadi serba tidak kena.

"Engkau belum pergi kerja lagikah? Maaflah hari ini aku tak dapat hantar engkau. Ambillah kunci kereta atas rak, aku simpan semalam. Petang nanti aku ambil engkau di pejabat," soal Amirul. Kepalanya masih berat. Bahaya juga kalau memandu dalam keadaan begitu.

"Engkau tak larat ya?" Amirul sekadar mengangguk.

"Tak apalah, aku tidak jadi pergi kerja hari ini. Lagipun, sudah lewat. Aku temankan kau sajalah," sejurus selepas menuturkan kata-kata itu, Darwina menyuruh Amirul makan panadol dan tidur di bilik.

"Waktu makan tengahari nanti aku kejutkan engkau," selepas itu, Darwina menyalin pakaian kerjanya lalu duduk di katil. Dia mengambil novel yang dihadiahkan oleh Amirul beberapa hari lepas, lalu dibacanya untuk menghabiskan masa. Kalau dia hendak memasak sajian tengahari, masih terlalu awal.

************************

Waktu makan tengahari, Darwina membawa masuk sepinggan makanan dan seteko air untuk Amirul. Dia tidak mengejutkan lelaki itu terlebih dahulu. Kalau dia mengejutkan Amirul, tentu lelaki itu berkeras hendak pergi makan di meja makan. Dia mahu lelaki itu berehat secukupnya. Kalau dia sendiri yang demam pun, memang Amirul akan melakukan hal yang sama.

"Myrul, bangun makan," Darwina mengejutkan Amirul sekadar dengan memanggilnya, tetapi tiada respon.

'Lena sungguh mamat ini tidur. Sah-sah penangan panadol yang aku bagi tadi.' fikir Darwina. Akhirnya, mahu tidak mahu, dia menggoncang sedikit bahu Amirul.

"Er.. Oh, Wynn. Maaflah, tidak sedar langsung tadi,"

"Tidak mengapalah. Aku faham. Engkau kan tidak sihat," lembut suara Darwina menampar cuping telinga Amirul. Tersentuh hati lelakinya dengan kelembutan seorang isteri. Malu pun ada tetapi dia senang begitu.

"Lauk engkau mana? Tidak mahu makankah?" soal Amirul.

"Tidak mengapa. Engkau makanlah dulu," hakikat sebenar, Darwina memang tidak berselera hendak makan apabila tiba hari 'bendera merah'. Selalunya, sepanjang hari dia hanya makan makanan ringan kalau uzur begitu.

"Engkau makanlah sekali. Seganlah aku makan seorang," pelawa Amirul sambil mengerutkan dahinya. Dia kurang senang apabila Darwina asyik membantunya hingga diri sendiri diabaikan.

"Er, aku tidak mahu makan makanan berat hari ini," teragak-agak Darwina menjawab.

"Sudah hampir waktu zuhur, pergilah ambil wuduk. Aku boleh makan sendiri," tegur Amirul, namun Darwina tidak menyahut. Wajahnya kemerah-merahan.

"Oh! I got it. Sorry." pantas Amirul mengangkat tangan seperti gaya orang yang diacu pistol. Dia tahu, Darwina pasti naik angin apabila isu sensitif seperti itu dibicarakan. Darwina hanya mencebik sahaja. Wajahnya merah padam.

"Sudahlah tu, pergi ambil wuduk!" pantas Darwina mencari alasan.

"Engkau nak habiskan nasi aku ya?" sela Amirul. Memang benar, nasi dalam pinggannya masih berbaki separuh. Lauk pun masih banyak. Darwina terdiam, dia tahu dia tersalah cakap. Malu menguasai dirinya lagi.

Amirul sekadar tersenyum. Dia terharu sebenarnya dengan layanan Darwina. Perempuan itu melayaninya dengan lembut walaupun lawaknya berbisa. Wajah ayu Darwina direnung mesra.

"Kenapa tenung aku?" hairan Darwina melihatnya.

"Thanks." Amirul tersenyum mesra, nampak tampan di mata Darwina. Darwina sekadar melarikan pandangan. Malu bermukim di dadanya.

*********************

Selepas makan tengahari, Darwina mengajak Amirul ke klinik. Mulanya, Amirul enggan namun setelah puas dipujuk, barulah dia bersetuju. Darwina terus bersiap dan masuk ke tempat pemandu.

"Engkau memandukah?" soal Amirul.

"Orang sakit kena duduk diam-diam di sebelah. Jangan cakap banyak," memang bunyinya seperti seorang komander, tetapi itulah satu-satunya cara untuk memujuk Amirul tanpa banyak soal. Darwina tahu dari cara Amirul memerhatikannya, lelaki itu dihujani rasa bersalah.

"Aku memang menyusahkan engkau," terus Amirul bersuara selepas Darwina mengunci pagar lalu masuk ke dalam kereta.

"Kalau engkau tunaikan tanggungjawab sebagai suami, tidak ada salahnya kalau aku tunaikan tanggungjawab aku sebagai isteri," mudah jawapan Darwina. Dia terus memandu sambil mendengar radio.

Pulang dari klinik, Amirul merenung MC yang diperolehnya. Dia mendapat cuti sakit selama tiga hari. Susah juga kalau begitu.

"Wynn, esok aku hantar engkau ke pejabat macam biasa ya,"

"Tidak perlu. Aku ambil cuti tiga hari untuk teman engkau. Aku sudah beritahu setiausaha aku," selamba Darwina menjawab. Dia memang tidak akan bekerja selagi Amirul belum sembuh. Akhirnya, lelaki itu diam sahaja. Dia tahu tiada guna bertekak dengan Darwina.

"Kenapalah engkau baik sangat, Wynn?" gumam Amirul.

"Apa engkau cakap tadi?" soal Darwina. Dia gagal menangkap bait kata yang diucapkan Amirul.

"Er, tiada apa-apa. Aku mengantuk sebenarnya," Amirul mencipta alasan.

Selepas itu, Amirul terlelap hingga mereka tiba di rumah. Tidak diduga, mimpinya ditemani wajah Darwina. Apabila terjaga, dia meraup muka. Khuatir mula menjelma, bimbang cintanya pada Qistina semakin goyah.

'Maafkan aku, Qis.' fikir Amirul. Hatinya sarat berdoa, semoga semua ini hanyalah bisikan hati yang akan pergi bagai angin lalu. Jiwanya makin tidak keruan. Segalanya tampak salah di matanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment