Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Komplot Kita (2)

Malam pertama pernikahan itu berlalu bersama masa yang menginjak pergi. Darwina bangkit dari tidurnya dan mandi seperti biasa. Sebaik sahaja keluar, dia memandang suaminya yang memang duduk di birai katil, menunggu giliran untuk mandi. Darwina segan sendiri melihat dirinya yang cuma berkemban. Dia terus mencapai persalinan dan masuk ke dalam bilik air semula. Setelah siap berpakaian, barulah dia keluar semula dari bilik air.


Keluar dari bilik air, dia terus mencapai telekung untuk solat, namun suara Amirul menghalangnya.


"Jangan solat lagi. Tunggu aku dulu, kita solat berjemaah," Darwina cuma menurut. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia tidak betah dengan keadaan sebegitu.


Usai mandi, Amirul menunaikan kata-katanya. Dia mengimamkan solat subuh berjemaah dengan didahului dan diakhiri dengan solat sunat rawatib. Darwina terpegun sendiri saat mendengar suara Amirul mengimamkan solat. Suara yang sungguh merdu pada pendengaran Darwina. Amirul memang imam yang baik. Tamakninahnya juga sempurna, sesuatu yang kadangkala terabai oleh imam yang masih muda.


"Awal lagi ni, kau nak bertadarus Al-Quran?" Tawaran Amirul diterima baik oleh Darwina. Daripada cara Amirul, jelas dia memang sudah biasa menjadikan bacaan Al-Quran sebagai rutin paginya.


"Okey, tapi tak lama. Selepas ini, aku nak pergi siapkan sarapan. Kau bacalah seorang dulu selepas tu, sementara tunggu aku masak," terang Darwina dengan cara yang berhemah. Dia bimbang suaminya berfikir bukan-bukan pula jika dia salah bicara.


'Aik,kenapa susah-susah pula aku nak jaga hati dia?' gerutu Darwina sendiri.


"Tak apa. Kita baca sehelai sahaja. Lepas tu kau pergilah masak, aku sambung halaman seterusnya. Aku pun tahu kau kena masak," selepas itu, mereka sama-sama membaca surah An-Nur. Sekali-sekala Amirul membetulkan bacaannya. Waktu itu, Darwina malu sendiri. Jauh di sudut hati, dia makin mengagumi peribadi suaminya, walaupun dia tahu lelaki itu hanya suami pada nama.


'Ah, sudah! Memang sah aku kena luku kepala mamat ni, jangan sampai aku tergoda, cukup! Ya Allah, peliharalah aku daripada jatuh cinta dengan lelaki ini, hamba-Mu ini memang tak mahu jatuh cinta pada dia.' Monolog Darwina. Apabila difikirkan, dia rasa pelik dengan monolognya sendiri. Adakah logik berdoa pada Allah agar tidak jatuh cinta pada suami sendiri? Ish, pelik sungguh!


"Wynn, baca Al-Quran jangan mengelamun. Ingat Allah semata-mata, khusyuk dan tunduk pada kalam-Nya," Amirul menegur Darwina yang kelihatan ralit dibuai angan. Darwina malu sendiri. Dia memilih untuk mendengar bacaan Amirul, memang tarannum sungguh.


Sampai pada ayat kesebelas surah tersebut, Amirul berhenti.


"Kenapa berhenti?"


"Aku nak cerita sikit pada kau tentang sirah. Kalau nak tahu, ayat kesebelas hingga sembilan belas ini diturunkan untuk membersihkan Saidatina Aisyah daripada fitnah dalam peristiwa haditsul ifki. Sebenarnya, Saidatina Aisyah memang difitnah, tetapi Rasulullah tidak mahu terburu-buru menafikan cerita yang didengar, sebaliknya hendak membuktikan sendiri kepalsuan tuduhan. Hakikatnya, baginda juga terkesan dengan fitnah tersebut. Saidatina Aisyah sebenarnya isteri yang mulia dan menjaga kehormatannya. Walaupun berendam air mata dan merana dengan tuduhan itu, namun akhirnya rumah tangganya dengan kekasih Allah dapat diselamatkan. Akhirnya, Allah menurunkan wahyu untuk membersihkannya dari tuduhan itu. Aisyah seorang isteri yang sejati, sangat dicintai Rasulullah. Hingga hari-hari terakhir hidup baginda, baginda memilih untuk bersama Aisyah. Aisyah memangku nabi pada saat hujung nyawa. Dia isteri solehah yang beruntung bersuamikan kekasih Allah. Aku sendiri sangat mengharapkan agar Allah jodohkan aku dengan seorang isteri yang solehah sepertinya. Aku sedar, Allah akan menemukan aku dengan wanita solehah hanya jika aku menjadi soleh. Semestinya seorang soleh yang akan menawan hati perempuan solehah. Aku perlu perbaiki diri aku seeloknya," panjang lebar Amirul mengisahkan sirah untuk Darwina, diakhiri dengan menyatakan harapan hatinya.


"Eh, dah pukul 6.30. Aku pergi masak dululah," Darwina beransur keluar dari bilik itu. Dia menutup pintu dan tercegat seketika. Dia diam, bermonolog lagi.
'Myrul memang lelaki unik.'

Namanya diseru oleh Amirul. Dia menoleh ke dalam bilik dan menjengah di muka pintu.

"Ada apa?"

"Masak elok-elok. Baca bismillah dan selawat banyak-banyak. Jangan sampai hangus dapur tau," pesanan itu terselit gurauan. Darwina pantas mencebik.

"Apa kau ingat aku ni macam kau ke?" Darwina terus melangkah pergi meninggalkan Amirul yang ketawa mendengarkan kata-katanya.

'Ish, perangai gila tu juga yang tak pernah nak berubah!' getus hati Darwina.

Dia ke dapur melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri buat kali yang pertama. Apabila dia mahu mengambil piring untuk meletakkan roti bakar yang baru siap, dia meninggalkan dulang air di atas meja dapur. Apabila dia berpaling ke belakang, dulang itu sudah tiada!

"Ish, mana pula dulang ni? Ada hantu ke dalam rumah Myrul ni? Takkanlah! A'uzubillah," bebel Darwina sendiri. Dia menuju ke meja makan, mungkin dia sendiri yang sudah meletakkannya di sana.

Apabila dia tiba di situ, dia melihat Amirul sedang menghidangkan air di meja dan meletakkan semangkuk kurma di atas meja itu. Dia terpaku melihatnya.

'Bertuah aku dapat suami yang macam ni. Sayangnya, he's not for me.' fikir Darwina. Dia perlu segera membetulkan kedudukan hatinya agar tidak berlaku hal lain pula nanti.

"Wynn, kenapa tercegat? Sorry sebab aku hidangkan air terus, terlupa nak beritahu. Ingatkan kau nampak," Amirul menyedari bahawa dia telah mengejutkan Darwina dengan tindakannya tadi.

"Tak apa. Thanks," Darwina terus ke dapur mengambil roti bakar untuk dihidangkan. Dia terpana lagi. Adakah patut lelaki itu memohon maaf walhal dia yang sepatutnya berterimakasih?

*****

Darwina dan Amirul makan berdua di meja. Darwina mengikut sahaja apabila Amirul memulakan sarapannya dengan kurma. Dia tahu makan begitu baik untuk kesihatan.

"Aku rasa lepas ni kita sarapan dengan kurma, badam dan kismis. Elok untuk kesihatan," Darwina mengangguk sahaja.

"Air apa yang kau minum tu?" Soal Darwina apabila melihat Amirul ada membancuh separuh cawan air lain.

"Air kosong campur madu. Khasiat madu ada disebut dalam Al-Quran," mudah jawapan Amirul. Setelah meneguk sedikit, dia menyuakan cawan itu kepada Darwina, menyuruhnya minum.

Darwina minum air tersebut dengan wajah yang mula merona merah. Dia minum di tempat bekas Amirul minum. Bukankah selalunya orang mengatakan itu sebagai satu cara ciuman tidak langsung?

Malu.

Darwina benar-benar merasakan dirinya kerap tersalah tingkah. Entah kenapa, dia merasakan Amirul yang kini tinggal serumah dengannya itu jauh berbeza daripada Amirul yang dikenalinya semasa di kampus dulu. Lelaki itu memang salah seorang best student tetapi gayanya tidaklah menampakkan bahawa dia lelaki yang soleh begitu.

"Wynn, pergilah ambil wuduk semula," Darwina menjongket kening kehairanan.

"Untuk apa? Kan dah solat tadi,"

"Kita solat dhuha," ajakan Amirul diturut. Rasa kagum datang lagi. 

'Ya Allah, lelaki jelmaan apakah ini yang engkau utuskan untuk jadi suami aku?'

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment