Aisya sungguh tidak percaya apa yang didengarinya. Lama dia termenung panjang memikirkan cerita Zulfakar tadi. Perbualannya dengan Zulfakar telah membawanya kepada sesuatu yang tidak pernah difikirkan langsung selama ini.
***************************
"Abi pernah berkahwin dua kali sebelum abi berkahwin dengan ummi kamu, tetapi arwah isteri abi kedua-duanya sudah meninggal," itulah kata-kata Zulfakar yang pertama apabila dia meminta Zulfakar menceritakan kisah silamnya.
"Mereka meninggal sebab apa?" pantas Aisya bertanya apabila Zulfakar membisu agak lama. Boleh jadi dia memerlukan kekuatan untuk terus bercerita.
"Sebab dosa abi," wajah Zulfakar tampak sungguh sendu tatkala melafazkan ayat itu. Tampak jelas garis penyesalan di wajahnya. Air mata sudah bergenang di pelupuk matanya.
"Kalau abi rasa abi tak mampu nak terus bercerita, tak apalah. Sofea tak paksa," pantas Aisya berbicara. Kasihan pula dia melihat Zulfakar begitu.
"Tidak mengapa, Sofea. Abi akan cerita. Biarlah Sofea tahu siapa abi sebenarnya. Abi insan kotor. Abi banyak dosa!" terus sahaja Zulfakar memintas. Melihat Zulfakar ingin meneruskan bicara, Aisya memilih untuk terus diam sahaja.
"Dulu abi sudah ada hidup yang bahagia. Allah kurniakan abi sebaik-baik isteri dalam dunia ini. Allah pinjamkan abi seorang bidadari dunia. Abi dulu bernikah dengannya atas pilihan ibu bapa, tetapi pilihan mereka untuk abi memang terlalu sempurna. Nama arwah isteri abi, Elya Sumayyah," membulat mata Aisya mendengarnya. Bukankah itu nama arwah ibunya?
'Mungkin nama sahaja yang sama.' Aisya cuba menyedapkan hatinya sendiri, padahal dia tidak berdaya. Hatinya kuat menyatakan Sumayyah yang dimaksudkan ialah ibunya.
"Kami ada dua orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Dua-dua anak kami pintar dan baik. Yalah, ibunya pun solehah, tentulah dia bijak ajar anak-anak untuk beragama. Banyak sangat arwah isteri abi berkorban. Dulu, masa kami kemalangan, arwah sendiri pun kurang darah. Dia sanggup juga derma darah. Kemudian, arwah sendiri pengsan disebabkan kurang darah. Mujurlah ada penderma sebaik sahaja arwah lepas pengsan. Kalau tidak, waktu tu lagi mungkin arwah sudah meninggal," sayu Zulfakar menjelaskan.
'Rasanya kak long pernah cerita. Abang yang cedera parah masa tu. Kak long terima darah dan sembuh tidak lama selepas itu.' pantas Aisya teringat hal itu.
"Sayangnya, abi tak tahu nak menghargai. Selepas kemalangan tu, sistem peranakan arwah isteri abi ada masalah. Memang jarang abi boleh dapat layanan seorang isteri sebab dia cukup lemah. Doktor pun sahkan yang kemungkinan besar arwah sudah tidak boleh mengandung lagi selepas itu," lega sedikit hati Aisya mendengarnya. Kalau arwah isteri Zulfakar sudah tidak boleh mengandung selepas kemalangan, masakan pula dia boleh lahir sekiranya arwah itu ibunya.
"Mungkin sebab abi terlalu ikut nafsu, abi jadi tidak puas dengan layanan arwah isteri yang tidak seberapa, maklumlah sakit. Semuanya makin menjadi apabila umur arwah isteri sudah mencecah 40-an. Tubuhnya makin lemah, biasalah orang perempuan bila sampai umur 40-an, tambahan pula dengan sakitnya. Abi ada perempuan simpanan di luar. Waktu itu anak sulung abi tingkatan tiga, yang kedua tingkatan satu. Anak sulung abi masa itu sudah hendak ambil peperiksaan, tetapi abi selalu tiada di rumah. Dialah yang menanggung beban untuk menjaga ibu dan adik perempuannya," hampir menitis air mata Aisya mendengarnya.
"Apapun, anak isteri abi tidak pernah merungut. Abi bagi alasan kerja, mereka faham. Abi pun waktu itu ketika ada perempuan simpanan, abi tidak pernah tergamak hendak tinggalkan mereka. Ketika kekasih abi minta abang bercerai untuk berkahwin dengannya, atau setidak-tidaknya jadi isteri kedua, abi terus tinggalkan dia sebab abi sayangkan keluarga. Namun, semuanya berubah apabila abi bertemu dengan Suraya, seorang gadis dari Indonesia. Abi tidak tahu kenapa abi terlalu sayang dan ikutkan sangat kehendak Suraya, sampai abi abaikan kebajikan keluarga. Abi boleh selamba sahaja mengaku pada arwah isteri bahawa abi memang ada perempuan simpanan. Abi betul-betul kejam terhadap arwah isteri. Anak-anak langsung abi tidak ambil peduli. Abi tidak tahu apa yang merasuk abi. Apabila di luar, ada masanya abi terkenangkan keluarga. Namun apabila pulang,abi sendiri rasa panas apabila pandang arwah isteri. Abi rasa benci akan rumah itu," sambil menangis Zulfakar terus bercerita. Wajahnya benar-benar mendung saat itu.
'Seburuk apapun abi, kalau bertaubat dia betul-betul sudah suci.Lagipun, keadaan dia macam orang yang terkena jampi serapah sahaja.' Aisya cuba menyedapkan hati walaupun apa yang Zulfakar ceritakan memang sungguh aib pada pandangannya.
"Mungkin Allah cuba hendak sedarkan abi. Abi sendiri terkejut apabila arwah isteri abi mengandung lagi, padahal usianya 43 tahun. Waktu itu, abi sudah berura-ura hendak ceraikan arwah untuk berkahwin dengan Suraya. Abi betul-betul terkejut waktu anak sulung abi telefon abi tengah malam beritahu yang arwah isteri abi ditahan di hospital sebab pengsan. Alahan dia memang teruk waktu itu, tambah pula doktor kata rahim dia memang tidak kuat,"bertambah sayu Aisya mendengarnya.
"Sayangnya, abi buta dan bodoh. Abi tetap tidak ambil peduli hal arwah. Arwah sendiri menguruskan kedai makan bersama anak-anak. Abi nekad hendak nikah dengan Suraya sewaktu anak dalam kandungan arwah baru tiga bulan. Anak sulung abi yang hendak mengambil SPM tahun itu lagilah terbeban. Keputusan peperiksaan dia pun abi tidak pernah ambil tahu. Tanggungjawab mengurus keluarga semuanya terbeban di bahunya. Anak kedua abi pula hendak ambil PMR, tetapi kerjanya bertimbun-timbun. Abi tidak peduli. Cinta palsu pada Suraya membutakan abi," teresak-esak Zulfakar menangis. Dia sudah tidak malu lagi menangis di hadapan Aisya.
"Arwah sanggup tandatangan surat keizinan untuk abi kahwin dua sebab dia hendak lihat abi bahagia. Cuma dia tak sanggup bercerai sebab fikirkan anak yang masih bersekolah dan anak yang bakal lahir. Dia tidak mahu anak bongsu kami membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Abi sekadar bersetuju sahaja untuk belum bercerai, tetapi abi ambil keputusan untuk tinggalkan rumah itu. Walaupun isteri dan anak-anak halang, abi tidak peduli. Abi terlalu bodoh," seribu penyesalan menumpang di wajah Zulfakar. Aisya sekadar memandang sayu. Air matanya juga sudah berlinangan.
'Ya Allah, cucurilah rahmat ke atas roh wanita itu, meskipun aku tidak mengenalinya.'doa Aisya dalam hati. Namun seketika cuma apabila dia teringat sesuatu.
'Arwah isteri abi mengandung lagi ketika anak sulung SPM dan anak kedua PMR? Sama dengan tahun kelahiran aku!' fikir Aisya. Kepalanya sudah mula berat dengan persoalan.
"Er, anak abi yang bongsu lelaki atau perempuan?" dalam kesamaran, Aisya gagahkan juga dirinya untuk bertanya. Dia tidak sanggup berteka-teki lagi.Makin menjadi-jadi pula tangisan Zulfakar apabila mendengar soalan itu.
"Abi tidak tahu, Sofea. Abi betul-betul tidak tahu!" terus Zulfakar menyatakan sesalnya.
"Allah maha adil, Sofea. Abi bernikah dengan Suraya dengan mahar yang sangat tinggi. Sayangnya, tidak lama pun kami bertahan, Suraya minta cerai dengan abi sebab nak kahwin dengan kekasihnya, Firdaus. Lelaki itu hampir sebaya dengannya, lebih padan berbanding abi yang sudah tua ini. Abi sendiri tidak sangka dia sanggup buat abi begitu setelah dia sendiri yang dulu memujuk abi mati-matian agar bercerai dengan arwah isteri," Zulfakar menghela nafas panjang. Aisya pula terus diulit persoalan.
"Ketika abi hendak bawa dia keluar untuk pujuk dia, kami bergaduh dalam kereta. Memang dia agresif waktu itu sampai memukul abi yang sedang memandu. Tidak sangka, dia sanggup tolak stereng kereta. Abi cuba hendak kawal tetapi ada sebuah kereta hitam datang langgar kereta abi sampai terbabas. Kami kemalangan dan Suraya meninggal dunia. Abi sendiri tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Apa yang abi nampak cuma pemandu kereta hitam itu menelefon. Kalau tidak salah abi, lelaki itu Firdaus, tetapi abi tidak berani hendak menuduh sesiapa. Sampai sekarang,abi tidak pernah dedahkan kenyataan walaupun abi yakin, Firdaus sengaja langgar kereta abi," memang benarlah sangkaan Faizah dan Aisya selama ini. Memang kemalangan itu dirancang.
"Kenapa abi tidak dedahkan sahaja? Abi biarkan seorang pembunuh lepas lari," terus Aisya mengungkapkan sahaja pendapat dan persoalan di mindanya.
"Abi sudah banyak dosa. Tidak perlu dan tidak layak lagi untuk abi hendak dedahkan kesalahan orang,"
"Abi, ini bukan soal layak atau tidak layak lagi. Ini soal kebenaran. Abi tidak patut sembunyikan kebenaran. Abi, walaupun Suraya salah, tetapi arwah tetap tidak sepatutnya dibiarkan mati tanpa pembelaan.Abi hilang ingatan bukan selepas kemalangan itu? Abi patut tuntut bela!"
Akhirnya, Zulfakar terdiam. Melihatkan Zulfakar sudah tidak mampu untuk terus menyambung bicara, Aisya terus berlalu meninggalkan lelaki itu bertafakur sendiri. Zulfakar memikirkan kata-kata Aisya, sementara Aisya memikirkan kebenaran.
'Ya Allah, beritahulah aku, siapa sebenarnya aku? Adakah dia ayahku? Tolonglah khabarkan kebenaran untukku. Aku perlu petunjuk-Mu. Aku tidak tahu apa makna semua ini!' hati Aisya menjerit sendiri. Di dalam kamar, dia menangis sendirian. Semua yang didengarnya berputar bagaikan pita rakaman yang tersimpan di mindanya.
"Kak, tolonglah Sya. Sya tak mampu nak lalui semua ini seorang diri," rintih Aisya seorang diri. Barulah dia sedar, dirinya kini tandus kasih sayang, sedangkan itulah erti hakikat kehidupan. Betapa selama ini jiwanya gersang.
Ketika jiwanya dipalu resah, tiba-tiba matanya terpaku pada senaskhah tafsir Al-Quran di atas almari. Tafsir Al-Quran itu tampak berhabuk dan usang. Aisya pelik melihatnya, lantas dia mencuba untuk mencapai Al-Quran tersebut.
'Peliknya, ada juga Al-Quran berhabuk di rumah ini. Bukankah umi dan abi pastikan setiap naskhah Al-Quran di rumah ini sentiasa dibaca sekurang-kurangnya sekali sehari? Al-Quran ini kenapa dibiarkan. Musykil, musykil.' bisik hati Aisya. Tangannya baru sahaja hendak mengambil Al-Quran itu apabila dia teringat bahawa wuduknya telah batal. Lantas, dia mengambil wuduk sebelum mengambil Al-Quran itu semula.
Jemari Aisya pantas menyelak helaian demi helaian Al-Quran itu. Memang usang sungguh Al-Quran itu. Ketika sampai di halaman terakhir, jari yang tadinya tangkas menyelak terus terhenti. Mata Aisya membulat memandang sebaris nama yang tertera pada halaman Al-Quran. Air matanya pantas menitis.
"Elya Nur Hidayah Binti Ahmad Zulfakar. Memang tak salah lagi. Ayah ada dengan Sya, kak long!" Aisya bertutur dengan diri sendiri. Rindu terhadap kakaknya sudah tidak dapat dikawal lagi. Rasanya saat itu juga Aisya mahu membawa Zulfakar pulang ke kampung untuk bertemu dengan anak-anak yang ditinggalkan sekian lama.
**************************
"Abi biarkan seorang pembunuh lepas lari!"
"Ini soal kebenaran!"
Setiap patah kata-kata 'Sofea' bermain di minda Zulfakar. Jauh di sudut hati, dia sendiri mengakui kebenaran kata-kata 'Sofea'. Sayangnya, mati hidup semula pun kes itu sudah hampir 15 tahun berlalu. Adakah pihak berkuasa akan sanggup untuk menyiasat kes begitu?
Mungkin juga itu cuma alasan. Dia terlalu bimbang untuk mendapat pembelaan. Baginya, dia insan kotor yang tidak layak dibantu apalagi hendak dibela. Memang selayaknya dia diperlakukan begitu oleh Suraya dan Firdaus. Dia berlaku kejam pada orang lain, kemudian orang lain pula mengkejaminya. Aturan Allah itu Maha Adil.
'Ya Allah, apa yang patut aku lakukan?' fikir Zulfakar.
Lama berfikir, Zulfakar masih buntu. Akhirnya, dia mencapai telefon bimbitnya. Punat nombor ditekan sepuluh digit. Kemudian, telefon itu dilekapkan ke telinganya.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (30)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment