Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Komplot Kita (9)

"Myrul, I'm sorry for my harsh words." Amirul segera berpaling apabila mendengar suara Darwina di belakangnya. Dia memang berura-ura mahu duduk berbincang dengan Darwina untuk berdamai sekiranya mereka bersengketa, namun tidak diduga wanita itu lebih dulu memulakannya. Dia hanya membiarkan sahaja apabila Darwina mengambil tempat duduk di sebelahnya dengan selamba.

"It's okay.Aku tak kisah pun. Maafkan aku sebab tidak rasional tadi. Apabila muhasabah, barulah aku sedar sebab hati aku kurang tenang dan cepat marah hari ini. Secara langsung mahupun tidak langsung, engkau yang jadi mangsa," sebenarnya Amirul sekadar berlagak tenang. Dia memang terasa benar dengan jawapan Darwina petang tadi, namun dia malas hendak memanjangkan sengketa. Lagipun, hal itu memang berpunca daripadanya.

"Boleh kongsi dengan aku sebabnya?"

"Aku belum solat lagi sewaktu aku sampai di rumah tadi. Mungkin itu balasan Allah untuk aku sebab melengah-lengahkan solat. Macam manalah Allah hendak pelihara aku kalau aku tidak pelihara waktu untuk menyembah-Nya," Amirul berkata jujur. Darwina pula berfikir sendiri setelah mendengar kata-kata itu.

'Sejauh itu dia berfikir di atas setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan. Aku pula sesuka hati sahaja hendak solat awal atau lewat, asalkan belum habis waktu solat. Myrul, I need to learn a lot from you.'

"Wynn, kadang-kadang aku lihat engkau lebih rasional kalau ada masalah. Nampaknya, engkau perlu jadi tutor psikologi aku dalam soal mengawal nafsu amarah!" permintaan Amirul membuatkan Darwina tergelak kuat.

"Aku rasa aku lebih cepat marah berbanding engkau. Apapun, kalau engkau hendak suruh aku jadi tutor psikologi engkau, maknanya engkau kena bayar gaji untuk akulah!" Darwina mengusik nakal. Sebenarnya, dia tidak berhajat langsung untuk meminta ganjaran dari Amirul. Dia menganggap itulah bayaran atas wang yang diberikan lelaki itu untuknya.

"Aku tidak kata pun aku memerlukan tutor psikologi yang bergaji. Maknanya FOC ya. Harap maklum," bijak pula Amirul memulangkan paku buah keras. Darwina ketawa lagi.

"Aku bergurau sahajalah. Engkau sudah beri aku gaji lebih awal. Oh, ya! Aku rasa engkau gagal mengawal perasaan marah engkau apabila terlalu memikirkan masalah tertentu. Apa kata engkau cari seorang kawan untuk dibuat teman berbicara. Kalau engkau ada masalah, engkau boleh terus sahaja cerita pada dia sebelum engkau naik angin. Kalau tidak boleh sangat, bermunajatlah setiap kali engkau ada masalah. Mintalah bantuan Allah dalam setiap urusan. Teori psikologi pun memang mengiyakan hipotesis bahawa apabila manusia berkongsi beban dalam fikiran, emosinya boleh disurutkan dan semakin stabil," panjang lebar bicara Darwina. Terlopong Amirul mendengar jawapan yang cukup matang itu.

"Cara engkau bercakap macam pensyarah bidang Psikologi,"

"Aku dulu pelajar pengkhususan tambahan bidang Psikologi," Darwina mengaku. Dia tahu, Amirul tidak pernah tahu tentang latar belakang pengajiannya secara teliti.

"Wow, seronoklah engkau! Dulu aku pun berminat juga hendak belajar bidang itu, tetapi keluarga aku semuanya ambil pengkhususan tambahan bidang Al-Quran dan Sunnah. Jadi, ibu aku minta aku ambil jurusan itu sebagai pengkhususan tambahan. Dia tidak pernah memaksa, tetapi aku sendiri tidak sampai hati hendak mengecewakan hajatnya. Lagipun, seronok juga dapat mendalami agama,"

"Maknanya, kalau engkau tidak dapat kerja di syarikat seperti sekarang, boleh jadi engkau merupakan ustaz di sekolah berdekatanlah ya," Darwina mengusik nakal. Hakikatnya, dia kagum mendengar bicara Amirul.

'Seluruh keluarga ambil pengkhususan Al-Quran dan Sunnah? Macam manalah ibu dia boleh berkenan hendak bermenantukan aku.' Fikir  Darwina. Dia teringat akan latar belakang keluarganya. Ibunya memang seorang ustazah, tetapi dia tidak pernah dipaksa dalam memilih kerjaya dan pengkhususan bidang pengajian.

Sampai sekarang, dia tidak pernah langsung melihat dua orang kakak Amirul. Semasa mereka berkahwin dahulu, Kak Zahra masih belajar di Mesir dan tidak dapat pulang kerana imtihan sudah terlalu hampir. Kak Hafsyah pula berada di Jordan dan tidak dapat pulang kerana masih dalam pantang.

"Betul juga cakap engkau. Seronok tahu jadi pendidik, dapat banyak peluang berdakwah. Pahala boleh datang dari setiap percakapan kita dengan anak murid," jujur Amirul meluahkan. Darwina mengangguk lalu tersenyum.

"Engkau mesti suka benar melayan budak-budak,"

"Memang aku suka budak-budak. Sebab itu, kalau boleh aku memang teringin sangat hendak mempunyai ramai anak. Biar ramai yang dapat mendoakan aku apabila aku sudah tiada. Anak merupakan saham akhirat,"

Darwina menahan malu apabila Amirul membangkitkan soal anak. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia lari masuk ke dalam bilik. Namun, dia lekas tersedar. Tentulah Amirul ingin menimang ramai cahaya mata bersama Qistina, bukan dirinya. Secebis hampa mula bermukim di dada.

"Thanks, Wynn. Aku sudah mula lega selepas berbual dengan engkau. Engkau memang teman berbual yang cukup baik. Seronok bersembang dengan engkau," lelaki itu kini sudah boleh tersenyum lebar.

"Kalau begitu, aku boleh jadi kawan engkau untuk bercerita. I'm all ears." pantas Darwina menyatakan kesanggupannya. Dia memang tidak kisah untuk membantu Amirul.

Lelaki itu tersenyum senang. Memang begitulah sikap Darwina yang dikenalinya. Wanita itu tidak pernah keberatan untuk membantu dalam segala urusan, hatta semasa memberikan bantuan sebagai rakan komplot untuk menjadi isteri sementara pun dia akhirnya sanggup.

'Mungkinkah ada lagi perempuan di dunia ini yang sanggup mengerti aku sepertimana engkau memahami aku, Wynn?' getus hati Amirul. Pantas dia menepis bisikan itu.

'Ya, Qistina. Dia pasti mampu membahagiakan aku. Bukankah kami telah berjanji?'

********************

Hujung minggu itu, mereka keluar ke taman berdua untuk berjoging. Sedikit bekalan dan tikar turut dibawa bersama untuk berkelah di sana. Sampai di sana, mereka terus memulakan larian. Sepanjang larian, mereka tidak habis-habis bergurau senda sambil menjamu mata menikmati keindahan ciptaan Allah. Pandangan Darwina tertancap pada sepasang kekasih yang sedang asyik memadu asmara.

"Myrul, cuba engkau lihat pasangan kekasih yang duduk di bangku kayu itu. Bukan main mesra lagi, langsung tidak ingat dosa. Kita yang sudah kahwin pun tidak berani buat begitu," terus sahaja Darwina mengungkap perasaan tidak suka terhadap tingkah laku pasangan muda itu.

"Aku dan Qistina pun bercinta juga, tetapi aku tidak pernah pula hendak sentuh dia. Kalau keluar pun, tidaklah duduk rapat sangat begitu," luahan tulus Amirul menyebabkan Darwina terdiam. Dia bungkam sendiri.

"Eh, itu adik susuan akulah, Wynn!" Darwina segera berpaling apabila mendengar kata-kata Amirul.

'Masya-Allah! Betullah, itu Ruziah, adik Myrul. Dia ada sekali masa akad nikah kami dulu.' fikir Darwina. Dia sendiri terkejut melihat gadis itu sedang bercanda dengan teman lelakinya dengan gaya yang langsung tidak menghiraukan batasan agama. Hatinya beristighfar panjang. Dia dapat melihat sendiri garis-garis kemarahan di wajah Amirul. Tampak jelas ketegasan seorang abang.

"Aku hendak ke sana, Wynn!" Amirul terus menuju ke arah adik perempuannya itu. Ruziah bukanlah adik kandung Amirul, cuma saudara susuan sahaja kerana ibu Ruziah dulu gagal menyusukan Ruziah kerana koma setelah terlibat dalam kemalangan. Namun, rasa tanggungjawab Amirul tetap ada untuk Ruziah, mungkin kerana dia memang tiada adik.

"Ruziah!" seru Amirul dengan lantang. Pasangan muda itu lantas berpaling ke arahnya. Wajah Ruziah bertukar pucat.

"Engkau buat apa di sini? Sudah tidak ingat dosa lagikah?" terus sahaja soalan itu ditujukan tanpa belas kasihan. Bagi Amirul, tiada istilah toleransi dalam soal maksiat. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia menampar teman lelaki Ruziah yang menjelingnya tajam. Tangan lelaki itu masih menggenggam erat tangan Ruziah, kononnya hendak memberi kekuatan, padahal menambah dosa semata-mata.

"Zie duduk-duduk dengan teman lelaki pun salahkah? Kecohlah abang ni!" pantas Ruziah menjawab.

"Duduk rapat-rapat begini, engkau tanya aku salah atau tidak? Berpegangan sana sini engkau tanya aku salah atau tidak? Engkau jangan bercakap macam orang tiada agama!" Amirul terus menjerkah. Dia sudah hilang sabar mendengar jawapan Ruziah.

"Pegang tangan sahaja, bukannya Zie buat maksiat! Abang yang sibuk sangat. Abang kandung Zie sendiri pun tidak kisah Zie keluar dengan Rizal. Dia ada dengan Zie tahu masa Rizal datang ambil Zie di rumah dengan motosikal tadi? Abang aje yang sibuk hendak betulkan Zie, macamlah abang bagus sangat!" Ruziah memandang sinis.

"Engkau jangan kurang ajar, Zie!" Tangan Amirul sudah melayang ke pipi Ruziah, namun lengannya sempat dipaut oleh Darwina di sisi lalu belakangnya diusap menyuruhnya bersabar. 

"Zie, janganlah cakap kasar sangat dengan abang Myrul. Dia nasihatkan Zie benda yang betul, bukannya dia ajar Zie buat benda tidak baik. Apa yang Zie memang tidak elok pun. Orang Islam tidak patut berdua-duaan dan bermesra begini. Zie dengan Rizal belum bernikah lagi," Darwina bersuara mengingatkan Ruziah. Dia tidak mahu suaminya bersuara. Kalau Amirul yang bersuara, silap-silap patah tulang Ruziah dikerjakan.

"Huh, sebelum Kak Wina nasihatkan Zie, Zie rasa lebih baik kalau Kak Wina tarbiyyah dulu suami Kak Wina! Kak Wina ingat dia baik sangatkah? Kak Wina pun bukannya perempuan pertama dalam hidup Abang Myrul. Macamlah Zie tidak kenal Qistina. Entah-entah, dia kahwin dengan Kak Wina pun sebab hendak isi tempat kosong saja. Kalau Kak Qis sudah balik Malaysia nanti, mungkin dia ceraikan Kak Wina begitu sahaja. Bukannya Zie tidak tahu, sampai lepas nikah pun Abang Myrul tidak setia pada Kak Wina, masih ingatkan Kak Qis lagi. Baju yang Abang Myrul pakai ini pun hadiah hari jadi daripada Kak Qis. Macamlah Zie tidak ingat," Ruziah memerli sinis. Darwina dan Amirul terpaku.

Melihatkan reaksi Amirul dan Darwina, Ruziah jadi hairan sendiri. Kesempatan itu lantas diambil oleh Rizal untuk mengajak Ruziah melepaskan diri. Mereka terus beredar dari situ. Darwina pula tunduk membisu. Antara malu dengan terkilan, semuanya berebut-rebut mahu bertapak di hatinya.

Amirul pula sudah terdiam sejak tadi. Dia malu benar dengan kata-kata Ruziah. Darwina di sebelah dikerling seketika. Lengan Amirul masih dalam pautan Darwina. Amirul sekadar membiarkan sahaja kerana dia pun tahu Darwina sedang lemah semangat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment