Faizah mengadu sakit kepala lagi. Zulfakar memilih untuk menemankan Faizah tidur di bilik mereka. Aisya yang memang tidak mahu membuat mereka merasa canggung, awal-awal lagi masuk ke biliknya setelah menghulurkan ubat tahan sakit.
"Ummi masuklah tidur dalam bilik, rehat dulu. Mungkin ummi letih sangat agaknya," Aisya memang risau akan keadaan ibu angkatnya itu.
"Tidak mengapalah, Sofea. Ummi dah biasa," ujar Faizah lemah.
"Kita kenalah betulkan yang biasa ummi, lepas tu biasakan yang betul. Ummi masuklah tidur, boleh juga berehat elok-elok. Kalau ambil ringan aje, hari ini sakit itu lega, esok hari sakit semula. Kan susah kalau asyik sakit aje? Sofea pun risau kalau ummi selalu sakit," kata-kata lirih Aisya akhirnya membuatkan Faizah mengalah.
Akhirnya, Faizah masuk ke biliknya ditemani Zulfakar. Semasa hendak masuk ke bilik, Zulfakar membuat isyarat 'bagus' kepada Aisya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan Faizah. Aisya tersenyum sahaja. Niatnya memang mahu membantu merehatkan wanita berusia separuh abad itu.
Setelah Faizah dan Zulfakar masuk, Aisya duduk sebentar di sofa. Mindanya menerawang memikirkan sesuatu. Pertama, rumah sewanya. Kedua, rumah di kampung halamannya.
'Kalaulah aku biarkan keadaan begini, tentu susah kalau kakak-kakak tu telefon polis. Telefon polis pula akan menyebabkan polis telefon keluarga aku. Waktu itu, habis kecohlah jadinya. Kalau aku hendak telefon mereka, bolehkah mereka simpan rahsia? Bolehkah aku jamin bahawa mereka tidak akan beritahu keluarga aku?'
Aisya masih kebingungan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan.
'Kalau mereka telefon polis, lambat laun polis akan sampai ke sini juga. Waktu itu, kalau mereka ada gambar aku saja sudah cukup. Wajah aku memang tidak berubah langsung. Masa itu, tentu kecoh jadinya. Kalau aku tidak berhati-hati, silap cara ummi dan abi pula yang dituduh menculik.'
Akhirnya, dia bergerak ke biliknya semula dan berteleku.
'Sekarang sahaja peluang keemasan yang aku ada pun. Selepas ini, belum tentu aku ada peluang sebebas ini untuk menggunakan telefon dalam keadaan bersendirian. Paling perlu untuk aku ialah hari ini. Sekarang boleh jadi masih sempat untuk menghentikan kakak-kakak rumah aku buat laporan polis. Masalahnya, pastikah aku bahawa mereka memang belum buat laporan polis? Kalau mereka sudah laporkan pada polis, aku hanya cari masalah. Ya Allah, apa aku patut buat sekarang?'
Sudah lama berfikir, akhirnya dia nekad untuk berdiam diri. Ada baiknya dia menyembunyikan diri di sini. Dia masih dahagakan sentuhan tarbiyyah dari keluarga itu. Jika dia memunculkan diri, hampir pasti sahaja bahawa dia akan segera dihambat pulang ke kampung. Dia bukan tidak mahu pulang, tetapi ilmu di dada sebagai bekal masih belum cukup.
"Kak, abang, tunggulah. Sya pasti akan pulang jumpa abang dan kakak," terlafaz kalimah itu dari bibir mungil Aisya. Dia memang sudah nekad hendak tinggal di situ buat sementara waktu.
*****************
Waktu terus bergulir, seminggu pun telah berlalu. Aisya masih dengan jalannya untuk mengubah dirinya sendiri bersama keluarga Faizah dan Zulfakar. Hijrahnya kali ini bukanlah setakat bermain-main, tetapi benar-benar penuh tekad. Sebenarnya, jihad Aisya kini berperang dengan kerinduan batinnya sendiri.
'Kak, Sya rindu sangat pada kak dan abang. Sya janji, Sya takkan lama meninggalkan keluarga kita. Sya masih sayang keluarga. Maafkan Sya kak. Sya pergi dahulu dengan kejahilan, dan Sya tak mahu pulang juga dengan kejahilan. Cukuplah kak menderita lepaskan Sya pergi dengan seburuk-buruk cara, Sya tak nak pulang sekarang, sebelum Sya mampu tunaikan tanggungjawab Sya pada keluarga nanti. Sya pun rindu kak, tapi ini semua demi masa depan,kak.' Monolog Aisya pada suatu hari. Waktu itu dia berpura-pura tidur selepas solat dhuha.
Sengaja dia mengurung diri untuk mententeramkan jiwa. Dia terlalu rindu pada kakak dan abangnya. Tidak mungkin dia akan menangis begitu di hadapan Zulfakar dan Faizah. Mereka masih belum tahu lagi identitinya yang sebenar. Mereka masih memanggilnya 'Sofea' dan menyangkanya tiada keluarga. Malah umurnya yang sebenar pun mereka tidak tahu. Mereka diberitahu bahawa Aisya berusia 19 tahun, walhal dia baru hendak masuk tingkatan empat awal tahun hadapan. Dek kerana fizikalnya yang tinggi langsing beserta raut wajah yang matang, mereka tidak mengesyaki apa-apa.
"Ya, aku tentu akan balik. Cuma tinggal lebih kurang dua bulan sahaja lagi sebelum sesi persekolahan tahun hadapan bermula. Mustahil aku tidak mahu sambung pengajian lagi. SPM pun belum ambil, bagaimana masa depan aku nanti?" Aisya bertutur sendiri. Dia yakin akan rancangannya. Biarlah buat sementara waktu ini, dia menghabiskan cuti di situ dan pulang ke kampung apabila hampir tiba waktu persekolahan.
Kotak wang di dalam lacinya dibuka. Setiap minggu, RM50 yang diberi oleh Faizah dan Zulfakar tidak pernah langsung disentuh. Setelah dua minggu di situ, sudah RM100 diperoleh. Aisya kini sudah makin pandai berjimat. Setiap kali diberi RM10 untuk membeli makanan untuk dirinya sendiri,pasti dia hanya berbelanja RM4, selebihnya disimpan. Sewaktu membeli pakaian pun begitu. Hasilnya, dalam tempoh dua minggu sahaja kotak wang itu sudah ada RM150.
Selepas ini, Aisya merancang untuk membuat kerja sambilan. Bakat menulisnya ingin digunakan untuk menjana pendapatan sampingan. Tempat tinggalnya di bandar tentu memudahkan. Setakat ini, dia sudah mencuba untuk menghantar cerpennya ke akhbar-akhbar dan majalah. Minggu hadapan, tahulah keputusan peraduan mingguan itu. Jika menang, RM100 menjadi miliknya.
******************
"Kenapa abi termenung saja?" Aisya menegur tingkah laku Zulfakar yang tidak sudah-sudah termenung seorang diri.
"Abi fikirkan ummi kamu,"
"Rindu ya?" Aisya sengaja mengusik Zulfakar. Dia mahu memancing perhatian lelaki itu.
"Isy, kamu ni. Abi bukan apa, cuma risaukan dia. Yalah, baru-baru ini selalu sakit kepala. Abi ajak ke klinik dia tak mahu," gusar di hati Zulfakar akhirnya diluahkan juga.
"Er, ummi tertekan dengan kehadiran Sofea agaknya. Sofea menyusahkan ummi ya?"
"Tak adalah. Ummi bukan main seronok lagi sejak Sofea ada. Ada juga teman dia nak bersembang kalau abi tiada di rumah. Abi nak keluar pun taklah risau sangat, Sofea ada temankan ummi. Sofea dah banyak membantu dalam keluarga ni. Kenapa pula ummi nak tertekan?"
"Manalah tahu kehadiran Sofea menyusahkan. Yalah, tanggungan keluarga pun jadi bertambah. Duit asyik keluar. Sofea dahlah tak kerja," Aisya berkata begitu datangnya dari hati. Memang benar, dia sendiri rasa bersalah kerana kehadirannya bagai biawak hidup dalam keluarga itu.
"Tak adalah. Duit untuk keluarga ini memang cukup. Gaji ummi dan abi sebenarnya lebih dari cukup kalau setakat makan bertiga macam sekarang. Sofea nampak kami macam kurang duit sebab kami kurang belanja sikit kan?"
Sofea hanya mengangguk. Pertama kali bertemu mereka pun, dia sudah fikir begitu. Kereta mereka cuma Proton Saga. Rumah mereka rumah teres sederhana satu tingkat. Ruang rumah pun tidak begitu luas. Memang sederhana sahaja gaya mereka.
"Sebenarnya, ummi dan abi yang memilih hidup begini. Wang memang ada tetapi sengaja kami tidak mahu hidup mewah. Cukuplah bersederhana saja seperti Rasul junjungan kita,"
"Duit yang lebih semuanya ummi dan abi simpankah?"
"Kami hanya menyimpan RM100 dari gaji kami masing-masing. Kami ketepikan wang itu untuk buat haji dan umrah. Memandangkan kami dah pernah buat haji, kami menyimpan pula untuk buat umrah empat atau lima tahun sekali, sementara tubuh ni masih ada kudrat untuk ke sana,"
"RM100? Selebihnya buat apa?"
"Sedekah. Kami tidak mahu simpan atau guna terlalu banyak wang untuk peribadi. Kalau kita lihat sirah Rasulullah, sampai akhir kematiannya, tidak banyak yang tinggal. Hampir seluruh isi rumahnya disedekahkan. Sampaikan pada waktu hujung nyawa baginda pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah, apa yang masih tinggal, maka disuruhnya agar bersedekah. Sebabnya baginda tidak mahu dipersoalkan atas harta yang tidak disedekahkan. Cuba fikirkan, kalaulah Rasulullah yang dijanjikan syurga sampai begitu sekali tahap sedekahnya, adakah wajar kita yang bila-bila masa boleh dihumban ke dalam api neraka ini berat hendak bersedekah? Rasul junjungan tidak mahu bermewah-mewah, sentiasa zuhud terhadap dunia, adakah rasional kita hendak bermewah-mewah dan bermegah-megah?" Hujah Zulfakar membawa Aisya berfikir dari perspektif agama.
"Alhamdulillah, Sofea kagum dengan pendirian ummi dan abi. Patutlah dapat bina keluarga sakinah. Baitulmuslim yang penuh berkat rupanya,"
"Amin. Itulah doa abi siang dan malam. Biarlah kehidupan rumah tangga ummi dan abi ini jadi suatu ibadat sebagai bekalan untuk ditimbang di mahkamah Mahsyar kelak. Abi tidak mahu nanti di akhirat, ummi dan abi yang saling berkasih sayang nanti bermusuhan di akhirat,"
"Bolehkah kita bermusuhan dengan orang yang kita sayang di dunia?" Aisya hairan seketika.
"Sekiranya di dunia ini, kita berkasih sayang dengan cara yang tidak diredhai Allah, di akhirat nanti akan bermusuhan dan saling mendakwa. Sebabnya, di dunia berkomplot buat maksiat, di akhirat nanti akan saling menuduh pula atas maksiat yang dilakukan,"
"Ummi dan abi kan sudah bernikah, kenapa pula takutkan maksiat? Bercinta dan saling merindui itu kan sudah dapat jadi pahala juga untuk ummi dan abi?"
"Yalah, tetapi kena selalu jaga agar tidak mengatasi cinta dan rindu kepada Allah. Ingatlah teladan kisah Abdullah Bin Abu Bakar r.a yang bernikah dengan Atikah Binti Zaid, seorang wanita yang rupawan, berbudi luhur malah tinggi ilmu dan datang pula dari keluarga bangsawan. Abdullah terlalu cinta akan Atikah, tentulah, suami mana yang tidak cinta pada isteri sesempurna itu. Namun cintanya sampai melalaikannya hingga lalai pada solat fardhu. Akhirnya, Saidina Abu Bakar memerintahkan Abdullah agar menceraikan Atikah. Tanpa dalih lagi, Abdullah menceraikan isteri yang amat dikasihinya itu," cerita Zulfakar panjang lebar.
"Wah, pertama kali Sofea dengar cerita ini! Tidak sangka, taat sungguh Abdullah kepada ayahandanya. Apabila diperintahkan begitu, terus saja dia menurut. Ketaatannya kepada Allah juga jadi keutamaan,"
"Itu zaman dahulu. Cuba lihat zaman sekarang, apa yang berlaku? Anak-anak zaman sekarang terlalu agungkan cinta manusia. Kalau sekarang, suruh tinggalkan kekasih sebab lalai sembahyang, cubalah suruh. Silap-silap kita dimakinya semula. Cuba kalau mak ayah halang cinta kerana alasan begitu, silap-silap anak lari terus dari rumah. Cinta pada Al-Khalik sudah lama dilupakan, ditinggalkan sepi saja. Nanti apabila dah kehilangan cinta fana dari manusia, baru kalut tercari-cari cinta Allah. Itu kalau yang masih ada secebis kesedaranlah. Kalau yang lebih teruk lagi, apabila kecewa terus merana. Jadi gilalah, bunuh dirilah, bunuh oranglah, dan macam-macam lagi perkara yang salah,"
Kritikan Zulfakar menerobos terus ke jantung Aisya. Perkataan 'lari dari rumah' itu benar-benar tepat pada batang hidungnya. Dia jadi malu dan rasa berdosa. Sebak mula bermukim di dada.
"Er, abi pernah tak tersilap langkah dalam soal cinta? Sofea teringin nak dapatkan pedoman dari nasihat abi,"
Zulfakar menghela nafas panjang. Sukar sungguh untuknya membuka cerita lama itu. Kisah silam yang penuh air mata dan dosa.
"Abi juga manusia, Sofea. Abi banyak kesilapan, tetapi kesilapan abi ialah dosa yang terlalu besar. Abi hina Sofea, hina. Abi tak layak memberi peringatan pun untuk Sofea,"
"Abi, sebesar mana pun dosa abi, taubat itu penyucinya. Abi jangan bersedih kerana dosa silam,"
"Dosa abi terlalu besar. Abi sentiasa sukar untuk menenangkan diri dari gelojak rasa berdosa ini,"
"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang, surah Al-Ra'd ayat 28. Abi janganlah banyak bersedih, tenangkan diri dengan mengingati Allah," entah dari mana munculnya kekuatan untuk Aisya berhujah begitu. Dia tersenyum apabila melihat wajah Zulfakar yang tadinya keruh kini mula jernih.
Aisya dan Zulfakar diam. Aisya hanya bersedia untuk mendengar sementara Zulfakar mengumpul kekuatan untuk meneruskan bicara.
Jemput Follow :)
Sekudus Nur Hidayah (25)
Labels:
karya,
Sekudus Nur Hidayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment