Jemari terus berlari
menukil sebaris kata
yang mungkin takkan kau dengari
tak mencecah matamu yang dingin...
Pandangan itu
kelam akalku
terlontar ke dunia seakan teater
saat tirai disingkap akulah pelakonnya
ditemani irama sayu
melakar cerita luka
hanya menurut rentak muzikal
diri ini tidak mengerti...
Dan kenapa?
Tidakku orak langkah sendiri
mencipta tarian dari mindaku
biar koreografiku tak lagi sayu
bukan hati kelam ini yang mendorong langkahku
aku inginkan bahagia
di hujung cerita
tetapi semakin kupaksa semakin terluka...
Timbanglah kewajaran ini
dengan akal dipacu iman
timbanglah pilihan
dengan neraca langit
bukan dunia
kerna pasti terlupa dek indah kebatilan...
Tuhan tahu
setiap langkah yang diambil ini kerana sebuah kerinduan
Dia tak pernah lupakan isi hati kita
Dia kenal sedalamnya kita
Dia tahu
kita terperangkap dalam sunyi
bertahun lama jerat kehidupan
Tuhan tahu
kita inginkan bahagia
setiap doa yang menyebut nama cinta
Dia mendengar
tak pernah Dia abaikan
tetapi mungkin Dia mendiamkan doaku dahulu
sebab Dia juga tahu
Dia juga ingin hamba-Nya berbahagia dalam cereka
sebuah pentas kehidupan
Tuhan tak pernah kejam
selama aku bertahan
Dia tahu segala kesakitan ini
tetapi tidak dicabut lukanya
kerana Dia mahu aku mencari penawar itu.
Setelah kusedari
jalan cerita tak seindah melodrama yang lain
ketika tirai ditutup
aku pasti akan rebah
ditusuk pedang yang engkau hunus
ketika aku merasai sebuah kehilangan
akupun melangkah pergi
Tuhan ada
sentiasa ada
aku yakin dia menemani
jalanku dalam kehidupan ini
saat aku tinggalkan teater cerita kita
kerana tawarnya hati pada sebuah ketidakpastian
aku bertahan dalam sebuah kelukaan
berbekalkan kenangan itu
aku nukilkan
radif cerita luka...
(Puisi suka-suka)
Jemput Follow :)
Radif Cerita Luka
Labels:
puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment