Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-11

*SIRI AKHIR DI BLOG ;)

Seminggu sudah berlalu. Ahli-ahli kelab catur dan bola sepak nampaknya sudah berupaya menarik nafas lega. Nampaknya isu pertelingkahan dua kelab ini dipandang sepi oleh guru-guru. Bagi ahli kelab bola sepak, kebisuan para guru merupakan satu khabar gembira buat mereka. Nampaknya bas sekolah tetap dikhaskan buat mereka.

Sayangnya, nafas lega yang sempat ditarik oleh kedua-dua kelab ini seperti tidak sempat dihembus. Mesyuarat tergempar yang diadakan dan khusus untuk dua kelab ini sahaja umpama batu besar yang menghempap ahli-ahli yang terlibat. Masing-masing tidak mampu mengelak daripada membuat spekulasi liar berkenaan 'hukuman mandatori' yang bakal dijatuhkan. Tambahan pula, mesyuarat kali ini dikelolakan oleh pengetua sendiri tanpa kehadiran guru penasihat. Bukan mudah sebenarnya mahu melihat pengetua campur tangan dalam urusan pelajar.

Belum pun sempat masuk ke dalam bilik mesyuarat, ketegangan sudah jelas terasa. Jelingan tajam saling dihadiahkan umpama suatu sapaan rasmi. Hanya Iskandar dan beberapa rakannya di kelab bola sepak yang enggan ikut campur.

Namun semua itu pudar sendiri apabila pengetua sudah berada betul-betul di antara dua kumpulan seteru itu. Jelingan tajam pengetua mengakhiri sesi jeling-menjeling antara pelajar. Ternyata jelingan pengetua lebih berbisa dan mendominasi suasana.

Lantas, para pelajar akhirnya menurut langkah pengetua ke dalam bilik mesyuarat. Rasa tidak suka cuba diselindungkan sedaya-upaya. Masing-masing tidak mahu menambahkan masalah sedia ada. Aduhai, jika berdamai terus bukankah lebih senang?

Setelah semua pelajar sudah mengambil tempat, pengetua senyum segaris, memberi salam dan membaca doa sebagai mukadimah. Sempat juga dia mendoakan kelembutan hati pelajar, yang membuatkan semua pelajar malu sendiri.

Mesyuarat itu tidak lama, hanya sepuluh minit, tetapi cukup untuk membuatkan para pelajar saling berpandangan dengan mata yang membulat. Pelbagai reaksi kelihatan di wajah mereka. Perkara yang pasti, aura perasaan panik hebat mewarnai atmosfera bilik mesyuarat berhawa dingin itu.

'Hukuman mandatori'? Mungkin lebih daripada itu.

*******

"Perlawanan persahabatan? Dua minggu dari sekarang? Macam hendak sabotaj kelab catur sahaja gayanya!"bentak Fariz. Pelbagai andaian sudah mewarnai kotak fikirannya, baik yang logik mahupun tidak. Benarlah, syaitan gemar mengambil kesempatan menghasut manusia yang sedang marah, untuk didampinginya sampai ke neraka.

"Isy, Fariz! Tidak adakah benda elok-elok sedikit yang engkau hendak fikir? Sekurang-kurangnya pengetua ada juga inisiatif hendak selesaikan masalah secara adil. Kedua-dua pihak kena bertanding. Jika tidak diberi langsung kepada kita, bolehlah engkau kata sabotaj,"tegur Nadia secara rasional, namun nampaknya tidak membantu, malah memarakkan lagi api kemarahan Fariz.

"Engkau cakap sahaja pandai, hal kelab bukannya engkau ambil tahu sangat pun,"sindir Fariz dengan suara yang meninggi. Nyata hal itu menyentak hati Nadia. Memori silam bertandang kembali.

"Fariz, sabarlah sedikit. Ada betulnya cakap Nadia,"ujar Iskandar. Dia tahu kehadirannya tidak disenangi kini, bahkan sejak dulu lagi Fariz tidak menyukainya ... tetapi dia tidak suka melihat Nadia ditempelak begitu.

"Engkau jika Nadia yang cakap memang semuanya betul,"sindir Fariz. Wajah Iskandar sedikit berubah, seolah-olah petanda akan adanya pertelingkahan antara mereka.

"Sudahlah, jangan bertengkar lagi! Kamu ingat kita boleh menang perlawanan itu dengan bertelagah? Tidak ada faedah kita menyindir sesama sendiri dan berperangai macam budak tadika. Lagilah seronok budak bola sepak ketawakan kita. Kamu sukakah jadi bahan ejekan mereka? Lebih baik kita berbincang mencari solusi daripada bertengkar tanpa inspeksi," teguran Suhaila ternyata mengembalikan semua ke jalan rasional. Masing-masing kini terdiam, biarpun tanpa lafaz maaf yang pasti. Sekurang-kurangnya mereka tidak lagi saling menempelak. Semuanya sibuk memikirkan jalan keluar dari masalah yang membelenggu.

"Aku tidak rasa kita semua boleh berfikir dalam keadaan tertekan begini. Lebih baik kita pulang dan tenangkan diri dulu,"ujar Hamzah memecahkan kebisuan.

"Betul juga cakap Hamzah. Kita pulang dahulu. Ambil masa fikirkan perkara yang patut dilakukan. Ahad ini ada perjumpaan ya,"ujar Fariz setelah fikirannya kembali rasional. Semua yang ada mengangguk setuju sebelum masing-masing mengorak langkah untuk bersurai.

Namun begitu, dalam diam Fariz sebenarnya tidak tenteram. Hatinya kesal atas tindakannya menempelak Nadia tadi. Pasti Nadia terasa tetapi disebabkan perwatakannya yang agak kasar dan tegas, dia kelihatan seperti tidak kisah langsung akan hal itu, padahal Fariz lebih mengenali Nadia yang sebenar.

Fariz hendak pergi memohon maaf daripada Nadia, tetapi dia membatalkan hasrat itu kerana keberadaan Suhaila bersama Nadia. Tidak mungkin dia akan menyebut peristiwa lama itu di hadapan Suhaila. Lantas Fariz melangkah pulang ke asrama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment