“Cikgu, boleh saya bercakap dengan cikgu sebentar?”tanya Iskandar kepada Cikgu Saiful. Dia tidak mahu mengganggu Cikgu Saiful ketika sibuk. Orang yang sibuk mungkin tertekan, dan tekanan itu berpotensi untuk mempengaruhi keputusan Cikgu Saiful nanti. Dalam hati Iskandar sempat berdoa agar Cikgu Saiful lembut hati untuk menerima keputusannya.
“Ya, silakan.”
Dengan keizinan oleh Cikgu Saiful, Iskandar mengutarakan hasratnya datang bertemu dengan Cikgu Saiful. Berkali-kali Iskandar berdoa, semoga langkah yang diambilnya ini tidak menambahkan lagi sengketa yang sedia ada. Seperti yang dijangka, wajah Cikgu Saiful ternyata berubah, tanda kurang senang dengan perkara yang diutarakan oleh Iskandar.
“Cikgu pernah berjanji dengan saya untuk menuruti satu permintaan saya, tidak kiralah perkara yang saya minta itu susah atau senang, asalkan sesuai dengan kemampuan dan tidak membebankan. Itu janji cikgu semasa menjemput saya menyertai kelab bola sepak. Sekarang saya menuntut janji itu. Inilah satu-satunya permintaan saya,”Iskandar cuba berunding. Dia tidak mahu menimbulkan masalah dengan sesiapa lagi.
Lama Cikgu Saiful berdiam diri. Sepatah pun dia tidak bersuara. Pasti dia sedang serius mempertimbangkan permintaan Iskandar. Terdapat kebaikan dan keburukan untuk kelab bola sepak jika dia menunaikan permintaan Iskandar.
“Saya tidak dapat memberikan sumbangan melainkan sekadar tolong menjadi penjaga botol air pemain bola sepak sahaja. Cikgu pun sudah tahu awal-awal kan kecederaan di kaki saya? Sekurang-kurangnya dengan begini, dapat juga saya menyumbang sedikit untuk pasukan bola sepak. Cikgu pun mahu menang persaingan ini bukan?”
Cikgu Saiful mengangguk. Akhirnya, tanpa ragu dia memberikan keizinan kepada Iskandar untuk menjalankan agendanya.
***************
Puan Hajah Munirah mengetuk-ngetuk pen yang dipegangnya ke dagu sendiri. Wajahnya tampak tenang tetapi serius. Pasti otaknya sedang berputar ligat mencari solusi untuk permasalahan yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolahnya. Sebagai seorang pengetua, perselisihan sebegini tidak boleh dipandang enteng olehnya.
Dia amat gembira apabila ahli-ahli kelab permainan di sekolahnya sudah mula bersemangat untuk meningkatkan prestasi, tetapi bukanlah dengan cara begini. Mensabotaj pihak lain itu bukanlah suatu perbuatan yang mencerminkan semangat kesukanan. Nampaknya apabila sudah sampai ke tahap begini, dia juga perlu campur tangan.
Lama berfikir, akhirnya dia bangun sebentar dan mengambil angin di luar. Suatu idea sudah menjengah di benaknya. Lantas telefon bimbitnya dicapai dan dibawa bersama. Satu siri nombor ditekan pada punat telefon bimbit itu, lalu butang dail ditekan.
“Assalamualaikum, ini Cikgu Hamidah ya? Bolehkah kita berjumpa petang ini? Ada hal yang hendak saya uruskan,”
***************
Iskandar duduk di kantin sendirian. Dia sedang menunggu kelibat seseorang memunculkan diri. Tinggal sepuluh minit sahaja lagi sebelum perhimpunan bermula. Nanti apabila perhimpunan sudah bermula, susah pula dia hendak berbual dengan orang itu.
Merasakan dirinya sudah hampir terlewat ke perhimpunan, Iskandar segera berlalu ke tapak perhimpunan. Dia tidak berjanji dengan sesiapa, tetapi dia menunggu di situ kerana selalunya orang yang dicarinya itu akan singgah di situ setiap pagi sebelum ke tapak perhimpunan.
Sampai sahaja di tapak perhimpunan, Iskandar menghela nafas panjang. Patutlah orang yang dicarinya itu tidak kelihatan di kantin. Rupa-rupanya orang itu perlu bersiap-sedia kerana bertugas sebagai pengerusi majlis untuk perhimpunan hari ini. Dalam diam, Iskandar sudah merancang untuk berjumpa dengan lelaki itu selepas perhimpunan.
Namun hasrat Iskandar terbantut oleh pengumuman Encik Faizal, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Felda Keriswangsa. Dia tertanya-tanya. Mengapakah tiba-tiba sahaja guru tersebut mahu mengadakan mesyuarat khas kokurikulum dengan semua kelab? Kedengarannya seperti mesyuarat tergempar kerana diadakan terus selepas perhimpunan, malah pengetua juga akan turun padang dalam mesyuarat kali ini. Adakah … ah! Iskandar cuba menafikan kemungkinan itu.
“Hari ini, cikgu sudah lekatkan senarai nama ahli kelab mengikut tingkatan berdasarkan kelab yang kamu daftar sendiri pada awal musim persekolahan. Sekadar untuk peringatan, pelajar tidak dibenarkan sesuka hati hendak menukar penyertaan kelab. Jika kelab itu yang kamu sertai pada awal tahun, kamu wajib kekal di dalam kelab tersebut sehinggalah tamat sesi persekolahan tahun ini. Jangan memandai-mandai pula. Juga peringatan untuk guru-guru penasihat, anda tidak dibenarkan sama sekali mengubah penyertaan pelajar dalam kelab tertentu kepada kelab lain. Malah, saya tidak mahu dengar langsung ada kes sabotaj antara kelab. Saya dengar sahaja hal seperti ini, jangan terkejut kalau saya bubarkan mana-mana kelab penting di sekolah ini yang berkenaan,”kata-kata Encik Faizal kedengaran amat pedas sindirannya.Memanglah tidak ramai yang tahu hal sebenar, maka bagi mereka kata-kata itu tidak lain tidak bukan sekadar satu peringatan. Hakikatnya, bagi Fariz, Nadia, Hamzah, Iskandar, Suhaila, dan Cikgu Saiful, sindiran itu tepat mengenai mereka. Pasti Encik Faizal sudah tahu kemelut yang sedang melanda kelab catur dan bola sepak.
Pelbagai reaksi yang dipamerkan oleh ketujuh-tujuh insan yang berkenaan. Fariz,Hamzah, Nadia dan Suhaila sudah menampakkan reaksi kurang senang. Pengumuman itu bererti Iskandar akan kembali ke kelab catur, dan mereka masing-masing belum melupakan perbuatan Iskandar sebelum ini. Cikgu Saiful sudah tentu keruh wajahnya kerana sedar perancangan awalnya sudah musnah. Iskandar pula tersenyum. Dia tahu dia sudah memperoleh jalan pulang yang dicarinya.
Asalnya, Iskandar meminta izin Cikgu Saiful untuk pulang ke kelab catur dengan tujuan menjalankan misi mensabotaj kelab catur. Kononnya dia mahu mengajar kemahiran yang salah. Apabila prestasi kelab catur semakin menurun, sudah sahlah kelab bola sepak akan menjadi keutamaan dalam segala segi. Hakikatnya itu helah Iskandar untuk kembali ke kelab catur. Sungguh, Iskandar terasa bagaikan mengkhianati bapanya sendiri apabila meninggalkan bidang catur. Bukankah itu janji mereka suatu masa dahulu? Dia, bapanya, ibunya, dan … Tengku Natasya.
Tanpa disedari, dalam kalangan semua yang menghadiri mesyuarat itu, ada seseorang sedang memerhatikan mereka dengan segaris senyuman rahsia.
0 comments:
Post a Comment