Sekadar perkongsian dalam bentuk perbualan~
Sang Duka: Aku tak tahu kenapa hidup aku jadi macam ni. Aku sedih, sangat sedih! Entah
kenapa aku perlu diuji sedemikian rupa. Aku inginkan bahagia, maka salahkah
itu? Tidakkah aku juga berhak diberikan makna bahagia?
Nurani Iman: Kau tak salah, sahabat. Benar, kau berhak bahagia. Tetapi lupakah kau, siapa
yang lebih berhak atas kebahagiaan kau? Siapa yang berhak menunaikannya?
Dan lupakah kau pada janji-Nya, tentang indahnya syurga akhirat, berjuta kali
berbanding syurga dunia yang sementara? Lupakah kau pada janji Dia, bahawa
kau takkan dibebankan melainkan sesuai dengan apa yang kau mampu?
Sang Duka: Bagaimana kau pasti bahawa aku mampu? Jika aku mampu, kenapa aku
masih menangis begini rupa? Apa yang buat kau begitu yakin? Adakah kau
sukat kemampuan aku dengan termometer? Atau kau guna skala ritcher?
Nurani Iman: Sekarang aku tanya kau, kalau kau cipta robot, kau tau tak kelemahan robot
yang kau cipta sendiri?
Sang Duka: Dah aku yang cipta mestilah aku tau!
Nurani Iman: Kelebihan dia kau tau tak?
Sang Duka: Memanglah aku tau. Buat apa aku cipta robot tu penat-penat kalau tak ada satu
kelebihan pun yang aku tau. Baik cari projek lain saja.
Nurani Iman: Jadi, ada alasan tak kau nak pertikaikan yang Allah tau serba-serbi kelemahan
mahupun kelebihan kau? Dah sahlah Allah tau takat mana kau mampu diuji.
Sang Duka: Sekarang aku nak tanya kau, kita buat ujikaji a.k.a ujian sebab nak tau benda tu
boleh tahan atau tak, kan? Jadi buat apa aku diuji sedangkan Allah tau semua
tu?
Nurani Iman: Kau nak masuk negara orang pun kena pakai passport. Kau nak
masuk Zoo Taiping pun kena ada tiket tau. Habis kau ingat syurga
yang serba-serbinya jauh lagi indah daripada dunia ni, senang-senang nak
masuk ikut suka? Pahala tu la tiketnya. Ujian tu pun saluran nak dapat pahala.
Sang Duka: Kau pasti ke aku ada bahagia tu, sama ada di sini atau di syurga?
Nurani Iman: Dia dah menjanjikan sebaik-baik tempat, sebaik-baik kedudukan untuk hamba
yang redha. Yakinlah. Kita dah mentauhidkan Allah sebagai tuhan kita. Siapa
lagi yang layak nak dipercayai melebihi Dia? Tanda kebesaran-Nya dah
berlungguk yang dikaji, belum lagi yang tak dikaji. Lihat sendiri mereka yang
ulama. Kita mungkin tengok hidup mereka macam susah. Tapi kita dapat rasa
ketenangan yang mengalir dalam diri mereka. Bahkan kita pun apabila merapati
golongan ni, kita rasa tenang. Itu bukti keesaan-Nya.
Percaya kan pada Dia?
Mencintai-Nya segenap hati
Menyepi tanpa diketahui
bukan kekasih gelap
Dia kekasih sejati :)
Jemput Follow :)
Percaya Kan Pada Dia?
Di Sebalik Bismillah dan Insya-Allah
1~ "Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya mewarnai dewan ini dengan pidato saya,"
Ertinya ...
"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, izinkan saya mewarnai pidato saya.
2~ "Insya-Allah, esok aku akan bawa buku yang engkau minta semalam."
Ertinya ...
"Dengan keizinan Allah, esok aku akan bawa buku yang engkau minta semalam."
Dua ayat ini adalah kelaziman dalam kehidupan kita seharian. Menjadi suatu kebiasaan bagi kita memulakan ayat dengan dua lafaz, "Bismillahirrahmanirrahim" dan "Insya-Allah". Namun sejauhmana kita tahu makna sebenar di sebalik kata-kata yang kita ucapkan? Berupayakah kita menanggung setiap amanah yang datang bersama lafaz di bibir?
Dengan nama Allah ...
Maka sesungguhnya kita seumpama mewakili agama Islam, agama Allah dalam perbicaraan atau perbuatan yang kita mulakan dengan nama-Nya! Apakah dengan itu kita tidak terasa akan amanah yang ada dalam lafaz itu? Sesungguhnya, di situ terdapatnya amanah untuk kita melaksanakan perkara yang kita mulakan dengan basmallah, sebaik-baiknya. Kita perlu buat yang terbaik atas sesuatu yang kita mulakan dengan nama Allah.
Mari renungkan ... adakah dengan nama Allah, ini yang patut dilakukan
- Dengan nama Allah, aku mulakan menjawab soalan peperiksaan ... tetapi kemudiannya tidur dalam dewan peperiksaan. Itukah sehabis baik?
- Dengan nama Allah, aku mulakan pidatoku ... tetapi kemudian 'aku' bicarakan bagai melepaskan batuk di tangga.
- Dengan nama Allah, aku mulakan menjawab soalan kuiz ... tetapi kemudian 'aku' meniru jawapan rakan sebelah.
- Dengan nama Allah, aku melangkah dari rumah ... tetapi kemudian 'aku' bertemu berduaan, malah bercengkerama dengan pasangan yang nyata belum halal sebagai mahramku.
- Dengan nama Allah, aku membaca Al-Quran ... tetapi khusyukku entah ke mana.
Contoh alasan skeptikal yang selalu ada
"Eh, bila masa pula aku janji dengan engkau ni? Aku cakap, 'Insya-Allah' aku belanja engkau hari ini. Tidak ada pun aku cakap 'Aku janji aku belanja engkau hari ini.' Lain aku cakap lain engkau faham."
Sebenarnya, apabila kita cakap maka wajib dikota. Allah bukankah sudah berfirman,
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Jadi, kalau sudah kita sendiri tidak berusaha mengotakan kata-kata kita, masakan Allah mengizinkan kata-kata itu terkota. Manusia tidak akan terus berada di bulan dengan sendiri. Dia perlu menaiki kapal angkasa, yang semestinya dicipta dengan usaha manusia-manusia juga. Rasulullah sendiri berusaha keras menyebarkan dakwah baginda, adakah kita yang tidak maksum ini boleh menunggu bulan jatuh ke riba? Astaghfirullahalazim ...
Ayuh renungkan, adakah dengan keizinan Allah, maka ini yang dilakukan ...
- "Dengan izin Allah, aku akan belanja engkau esok." ... kemudian sengaja meninggalkan dompet di rumah. Sebenarnya hati kata, memang tak mahu belanja pun.
- "Dengan izin Allah, aku akan mendapat 10A+ dalam SPM." ... kemudian buku pun tidak dibuka. Malaslah aku nak baca buku. Kalau baca pun Allah tak izinkan untuk dapat 10A+ buat apa.
- "Dengan izin Allah, aku akan menjadi penulis terkemuka suatu hari nanti." ... kemudian sepatah perkataan pun tidak ditaip. Allah tak izinkan ilham datang katanya, padahal diri sendiri tak pernah ingat nak usaha fikir dari pengalaman.
- "Dengan izin Allah, aku akan jadi jutawan!" ... kemudian siang mengira pasir, malam mengira bintang. Ya Allah, bilalah engkau nak turunkan rezeki untuk aku ni?
Maka, berhati-hatilah dalam pertuturan seharian. Adakah kita benar-benar menghayati amanah yang terkandung pada setiap patah perkataan? Wallahualam bisawab.
Radif Cerita Luka
Jemari terus berlari
menukil sebaris kata
yang mungkin takkan kau dengari
tak mencecah matamu yang dingin...
Pandangan itu
kelam akalku
terlontar ke dunia seakan teater
saat tirai disingkap akulah pelakonnya
ditemani irama sayu
melakar cerita luka
hanya menurut rentak muzikal
diri ini tidak mengerti...
Dan kenapa?
Tidakku orak langkah sendiri
mencipta tarian dari mindaku
biar koreografiku tak lagi sayu
bukan hati kelam ini yang mendorong langkahku
aku inginkan bahagia
di hujung cerita
tetapi semakin kupaksa semakin terluka...
Timbanglah kewajaran ini
dengan akal dipacu iman
timbanglah pilihan
dengan neraca langit
bukan dunia
kerna pasti terlupa dek indah kebatilan...
Tuhan tahu
setiap langkah yang diambil ini kerana sebuah kerinduan
Dia tak pernah lupakan isi hati kita
Dia kenal sedalamnya kita
Dia tahu
kita terperangkap dalam sunyi
bertahun lama jerat kehidupan
Tuhan tahu
kita inginkan bahagia
setiap doa yang menyebut nama cinta
Dia mendengar
tak pernah Dia abaikan
tetapi mungkin Dia mendiamkan doaku dahulu
sebab Dia juga tahu
Dia juga ingin hamba-Nya berbahagia dalam cereka
sebuah pentas kehidupan
Tuhan tak pernah kejam
selama aku bertahan
Dia tahu segala kesakitan ini
tetapi tidak dicabut lukanya
kerana Dia mahu aku mencari penawar itu.
Setelah kusedari
jalan cerita tak seindah melodrama yang lain
ketika tirai ditutup
aku pasti akan rebah
ditusuk pedang yang engkau hunus
ketika aku merasai sebuah kehilangan
akupun melangkah pergi
Tuhan ada
sentiasa ada
aku yakin dia menemani
jalanku dalam kehidupan ini
saat aku tinggalkan teater cerita kita
kerana tawarnya hati pada sebuah ketidakpastian
aku bertahan dalam sebuah kelukaan
berbekalkan kenangan itu
aku nukilkan
radif cerita luka...
(Puisi suka-suka)
Rak Buku Sudah Mahu Penuh, Catatan? ~.~
Rasanya ramai kawan-kawan tahu saya peminat novel dan buku.Sehingga kini koleksi novel dan buku-buku lain sudah belambak dalam simpanan. Kemudian tadi saya ternampak buku NILAM pula.
Saya ketawa sendiri. Senyum sampai telinga gelakkan diri sendiri. Baru teringat betapa S.E.D.I.K.I.T catatan NILAM saya. ^^
Kemudian saya teringat semula ... saya liat sangatkah hendak membaca? Rasanya tidak ... hampir semua buku saya layan (sila kecualikan buku teks dan buku rujukan subjek-subjek SPM dan yang seangkatan) tanpa kira masa dan tempat. Semalam dengan selamba saya membaca novel sementara menunggu guru tusyen saya sampai di kelas(Jangan contohi perangai ini. Sila ingat silibus peperiksaan yang lebih patut 'dilayan'. Abaikan saya. ^^).
Saya rasa ramai yang macam saya. Baca buku tetapi tidak catat. Nantilah, insya-Allah akan saya kemaskini catatan NILAM itu. =)
Melompat Lebih Tinggi
Assalamualaikum.
Entri kali ini tidak panjang.
Saya hanya meyakinkan diri sendiri,
menebus kembali entri sebelum ini.
Ya, saya kecewa dengan kegagalan saya.
Pada masa yang sama juga saya bagai terjaga.
Enough of my sad time.
Ya, harus bangkit semula!
Kegagalan dalam bahas, catur, mahupun pelajaran ...
saya yakin untuk terus bangkit semula.
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu berusaha mengubah sendiri apa yang ada pada dirinya. (Al-Ra'd:11)
Kerna itu saya yakin dan percaya,
Dia akan mengubahnya apabila saya berusaha.
Mungkin saya akan jatuh lagi,
tetapi di setiap kejatuhan itu,
saya akan bangkit semula.
Sesiapa pun yang membaca,
jika anda jatuh,
siap sedialah untuk melompat lebih tinggi!
Penuh dengan semangat nampaknya ... pergi studi dulu! =)
Keputusan Peperiksaan ... Saya Perlukan Perubahan!
Saya sudah dapat keputusan peperiksaan kali ini.
Tahniah kepada keputusan itu, kerana berjaya buat saya menangis.
Pertama kali dalam sejarah kehidupan,
saya GAGAL peperiksaan. =(
Saya gagal Matematik Tambahan, 35, gred F.
Peperiksaan lalu dapat juga C, 52.
Saya sedih sangat.
Tambahan pula kata cikgu saya yang membuatkan saya terasa,
"Effort tak cukup."
Cikgu tahukah saya sampai tengah malam belajar subjek itu?
Saya cuba buat latihan cikgu tapi kalau saya dah tak tahu sepatah pun nak buat ...
cikgu adakah sedikit idea apa saya perlu tulis di situ?
Saya cuba, tapi cikgu tidak tahu.
Saya bingung dan tak tahu macam mana nak buat soalan itu.
Tiada yang faham.
Masa cikgu ajar saya faham.
Masa itu saya boleh buat.
Balik rumah saya blank !
Saya tak tahu macam mana nak cakap lagi dah.
Enough.
Papan Catur-11
*SIRI AKHIR DI BLOG ;)
Seminggu sudah berlalu. Ahli-ahli kelab catur dan bola sepak nampaknya sudah berupaya menarik nafas lega. Nampaknya isu pertelingkahan dua kelab ini dipandang sepi oleh guru-guru. Bagi ahli kelab bola sepak, kebisuan para guru merupakan satu khabar gembira buat mereka. Nampaknya bas sekolah tetap dikhaskan buat mereka.
Sayangnya, nafas lega yang sempat ditarik oleh kedua-dua kelab ini seperti tidak sempat dihembus. Mesyuarat tergempar yang diadakan dan khusus untuk dua kelab ini sahaja umpama batu besar yang menghempap ahli-ahli yang terlibat. Masing-masing tidak mampu mengelak daripada membuat spekulasi liar berkenaan 'hukuman mandatori' yang bakal dijatuhkan. Tambahan pula, mesyuarat kali ini dikelolakan oleh pengetua sendiri tanpa kehadiran guru penasihat. Bukan mudah sebenarnya mahu melihat pengetua campur tangan dalam urusan pelajar.
Belum pun sempat masuk ke dalam bilik mesyuarat, ketegangan sudah jelas terasa. Jelingan tajam saling dihadiahkan umpama suatu sapaan rasmi. Hanya Iskandar dan beberapa rakannya di kelab bola sepak yang enggan ikut campur.
Namun semua itu pudar sendiri apabila pengetua sudah berada betul-betul di antara dua kumpulan seteru itu. Jelingan tajam pengetua mengakhiri sesi jeling-menjeling antara pelajar. Ternyata jelingan pengetua lebih berbisa dan mendominasi suasana.
Lantas, para pelajar akhirnya menurut langkah pengetua ke dalam bilik mesyuarat. Rasa tidak suka cuba diselindungkan sedaya-upaya. Masing-masing tidak mahu menambahkan masalah sedia ada. Aduhai, jika berdamai terus bukankah lebih senang?
Setelah semua pelajar sudah mengambil tempat, pengetua senyum segaris, memberi salam dan membaca doa sebagai mukadimah. Sempat juga dia mendoakan kelembutan hati pelajar, yang membuatkan semua pelajar malu sendiri.
Mesyuarat itu tidak lama, hanya sepuluh minit, tetapi cukup untuk membuatkan para pelajar saling berpandangan dengan mata yang membulat. Pelbagai reaksi kelihatan di wajah mereka. Perkara yang pasti, aura perasaan panik hebat mewarnai atmosfera bilik mesyuarat berhawa dingin itu.
'Hukuman mandatori'? Mungkin lebih daripada itu.
*******
"Perlawanan persahabatan? Dua minggu dari sekarang? Macam hendak sabotaj kelab catur sahaja gayanya!"bentak Fariz. Pelbagai andaian sudah mewarnai kotak fikirannya, baik yang logik mahupun tidak. Benarlah, syaitan gemar mengambil kesempatan menghasut manusia yang sedang marah, untuk didampinginya sampai ke neraka.
"Isy, Fariz! Tidak adakah benda elok-elok sedikit yang engkau hendak fikir? Sekurang-kurangnya pengetua ada juga inisiatif hendak selesaikan masalah secara adil. Kedua-dua pihak kena bertanding. Jika tidak diberi langsung kepada kita, bolehlah engkau kata sabotaj,"tegur Nadia secara rasional, namun nampaknya tidak membantu, malah memarakkan lagi api kemarahan Fariz.
"Engkau cakap sahaja pandai, hal kelab bukannya engkau ambil tahu sangat pun,"sindir Fariz dengan suara yang meninggi. Nyata hal itu menyentak hati Nadia. Memori silam bertandang kembali.
"Fariz, sabarlah sedikit. Ada betulnya cakap Nadia,"ujar Iskandar. Dia tahu kehadirannya tidak disenangi kini, bahkan sejak dulu lagi Fariz tidak menyukainya ... tetapi dia tidak suka melihat Nadia ditempelak begitu.
"Engkau jika Nadia yang cakap memang semuanya betul,"sindir Fariz. Wajah Iskandar sedikit berubah, seolah-olah petanda akan adanya pertelingkahan antara mereka.
"Sudahlah, jangan bertengkar lagi! Kamu ingat kita boleh menang perlawanan itu dengan bertelagah? Tidak ada faedah kita menyindir sesama sendiri dan berperangai macam budak tadika. Lagilah seronok budak bola sepak ketawakan kita. Kamu sukakah jadi bahan ejekan mereka? Lebih baik kita berbincang mencari solusi daripada bertengkar tanpa inspeksi," teguran Suhaila ternyata mengembalikan semua ke jalan rasional. Masing-masing kini terdiam, biarpun tanpa lafaz maaf yang pasti. Sekurang-kurangnya mereka tidak lagi saling menempelak. Semuanya sibuk memikirkan jalan keluar dari masalah yang membelenggu.
"Aku tidak rasa kita semua boleh berfikir dalam keadaan tertekan begini. Lebih baik kita pulang dan tenangkan diri dulu,"ujar Hamzah memecahkan kebisuan.
"Betul juga cakap Hamzah. Kita pulang dahulu. Ambil masa fikirkan perkara yang patut dilakukan. Ahad ini ada perjumpaan ya,"ujar Fariz setelah fikirannya kembali rasional. Semua yang ada mengangguk setuju sebelum masing-masing mengorak langkah untuk bersurai.
Namun begitu, dalam diam Fariz sebenarnya tidak tenteram. Hatinya kesal atas tindakannya menempelak Nadia tadi. Pasti Nadia terasa tetapi disebabkan perwatakannya yang agak kasar dan tegas, dia kelihatan seperti tidak kisah langsung akan hal itu, padahal Fariz lebih mengenali Nadia yang sebenar.
Fariz hendak pergi memohon maaf daripada Nadia, tetapi dia membatalkan hasrat itu kerana keberadaan Suhaila bersama Nadia. Tidak mungkin dia akan menyebut peristiwa lama itu di hadapan Suhaila. Lantas Fariz melangkah pulang ke asrama.
Mohon Maaf Daripadanya
Saya rasa nak campak sahaja diri keluar tingkap kereta apabila baca hasil tulisan sahabat saya. Sungguh saya tak sangka saya buatnya terasa.
Saya tahu dia pasti baca entri ini. Untuk itu saya menjelaskan semua di sini. Semua ... Daripada A sampai Z.
Saya bukannya berniat hendak hipokrit terhadapnya. Saya cuma bimbang dia terasa. Saya hendak jaga hatinya. Saya sayang sahabat saya yang seorang itu. Benar sayang sampai tak sanggup melukainya.
Saya tetap akan sampaikan maksud yang saya akan sampaikan. Maksud itu takkan pernah saya ubah biarpun sedikit. Saya cuma kata saya kan tapis, sebab saya akan sampaikan dengan bahasa lebih lembut.
Bagi orang yang mengenali saya, tahu yang kadangkala saya tegas dalam memberi ajaran. Tapi takkan dengan semua orang saya begitu. Saya tak mahu melukai sahabat sendiri dengan ketegasan yang saya miliki.
Saya sampaikan maksud ketika itu dengan cara yang boleh dikategorikan tegas. Saya bimbang dia terasa. Itu sahaja. Saya sedar siapa saya. Itu sahaja. Untuk hipokrit, tidak!
Saya bukan apa, saya sedar yang diri saya ini cumalah blogger picisan. Menulis yang biasa-biasa. Cogan kata saja mengetuk pintu sanubari, tapi isi tak seberapa. Saya tak nak dengan keadaan diri tak seberapa ni saya kelihatan tak sedar diri.
Dia guru saya. Kita tentu bimbang nak lukakan hati guru kan? Kalau kita nak tegur guru, pasti bertapis kan? Takkan main redah macam geng taiko sendiri pula.
Asif jiddan ya ukhti! T_T
Kamera Oh Kamera ...
Baca tajuk di atas, tentu sudah tahu benda yang saya mahu.
Saya mahu kamera!
Sebenarnya ibu saya sudahpun mempunyai satu kamera berjenama Olympus,
tetapi kami berdua kurang puas hati dengan kualiti kamera tersebut.
Jadi, rancangannya hendak trade-in kamera itu.
Cuma buat masa ini ongkos belum cukup lagi. Huhu
Ada sesiapa nak beri cadangan kamera apa yang berkualiti imejnya? Huhu
Papan Catur-10
Berkat
Banyak benda kita lakukan sehari-hari,
tetapi adakah kita pasti apa yang kita buat itu berkat?
Belum tentu.
Hal ini saya rujuk kepada beberapa ketewasan yang saya sendiri alami,
juga kawan-kawan terdekat dalam pelbagai bidang.
Bukan saya menyalahkan takdir,
atau meletakkan beban kesalahan pada diri sendiri atau mana-mana pihak,
saya cuma ajak kita semua renung-renungkan,
dan buat seruan, SELAMAT BERAMAL ~
Kadang-kadang kita tak sedar,
sepanjang tempoh persediaan untuk sesuatu perlawanan,
ada banyak khilaf atau dosa yang kita buat,
besar atau kecil pun dosa juga,
dan janganlah buat-buat lupa,
dosa itu salah satu sebab doa kita terhijab.
Jadi jangan hairanlah kalau kadang-kadang kita rasa kuat,
tetapi entah macam mana kita boleh tewas.
Renungkan balik kenapa rezeki itu bukan rezeki kita.
Kadang-kadang ... memang ujian,
kadang-kadang ... untuk kebaikan kita sendiri,
kadang-kadang ... satu peringatan,
kadang-kadang ... kifarah.
Ayuh fikirkan semula apa yang kita buat selama ini?
^_^
Jika Cinta Dia
Izzati menghela nafas berat. Dia bingung dan buntu. Jemu sudah dia bertemankan operator talian yang setia menjawab setiap panggilan telefonnya. Amri? Entah ke mana hilangnya temannya itu.
"Dia ni dah tak sayang aku lagi agaknya ..."keluh Izzati perlahan. Pandangannya dihalakan ke arah kejauhan. Matanya juga sudah berkaca. Ke mana Amri menghilang?
Perhubungan Izzati dengan temannya itu akhir-akhir ini kurang baik. Kerap benar panggilan telefonnya tidak berbalas. Pening dia dibuatnya. Jika dia cuba berbincang, pasti pertelingkahan kecil terjadi baik sengaja mahupun tidak. Mungkin benar kata sepupunya, Nur Iman, bahawa Amri sudah berubah. Tetapi kenapa?
Mata Izzati dipejamkan. Dia teringat akan peristiwa di Pulau Pinang sebulan lepas. Izzati masih terluka dengan hal itu, dan hatinya kuat mengatakan peristiwa itulah yang akan membawa musibah dalam kehidupannya. Amri ... I think I'm losing you.
Semasa berbual dengan Izzati, tiba-tiba sahaja pandangan Amri bagai tidak mahu lepas dari satu arah. Dan arah itu bukan menuju ke wajah Izzati. Amri tidak seperti biasa. Tidak pernah Amri bersikap begitu. Selalunya Amri bagaikan lelaki paling romantis seluruh petala langit dan bumi, hingga Izzati bimbang jika Amri itu sebenarnya spesis mat romeo. Tetapi jika Izzati mengatakannya begitu,selamba Amri menjawab,
"Yes, I am a Romeo, and my only Juliet is you."
Tetapi apa yang menarik pandangan Amri pada ketika itu? Izzati mengalih pandangannya ke arah yang sama. Pandangannya segera menangkap figura seorang wanita cantik yang kelihatan masih muda. Mungkin cuma dua tiga tahun beza dengan Izzati. Wanita itu bertudung bawal berbidang labuh, sedang berjalan bersama seorang lelaki tampan, mendukung seorang bayi comel dan memimpin tangan seorang budak lelaki. Lelaki tampan itu pula sedang mendukung bayi dan memegang tangan seorang budak perempuan.
Izzati hairan. Amri buang tabiatkah? Takkan isteri orang dipandang bagai nak tembus? Sudahlah suaminya ada di sebelah! Memang wanita itu kelihatan muda, tetapi sudah beranak-pinak begitu, tidak cukup kelihatankah bahawa dia isteri orang? Mungkin juga dia nampak muda kerana berkahwin awal.
"Amri!"tegur Izzati seraya menyiku lengan Amri. Hilang akal sungguh!
"Ya,"
"Awak pandang apa?"
"Mari kita balik,"ujar Amri. Tanpa menunggu Izzati, Amri sudah terus menuju ke kereta. Berlari-lari anak Izzati mengejar langkahnya. Susah juga kalau ditinggalkan seorang diri di Pulau Pinang begitu!
Sepanjang perjalanan pulang, Amri tidak bersuara walau sepatah. Hanya wajahnya tampak bercelaru. Izzati hanya mampu memandang penuh keliru. Mengapakah jadi begitu? Sampai di rumah Izzati, barulah Amri bersuara,
"Awak, saya minta maaf fasal hal tadi. Saya balik dulu. I love you."
Senyuman Amri mengembalikan senyuman Izzati. Kenapa? Kerana Izzati sayang akan dia.
Sejak itu hubungan mereka menjadi bercelaru. Kadangkala baik, kadangkala Izzati bagai tidak diperlukan. Sebenarnya apa yang berlaku? Kadangkala Amri muncul menyayangi dan kadangkala dia menyepi.
Jika cinta dia,
jujurlah padaku,
tinggalkan aku di sini tanpa senyumanmu...
Jika cinta dia,
kucuba mengerti,
mungkin kau bukan cinta sejati di hidupku...
Lagu nyanyian kumpulan Geisha itu mengusik hati Izzati. Mungkinkah? Air matanya terus menitis. Amri, jangan buat saya begini.
"Then its over, right?"tanya Izzati sedikit mengharap.
Blogging ... Do I Need To Be So Secretive?
I'm thinking about it right now.
The question is running all over my mind.
Ok, sebagai pengenalannya mari sini aku nak cerita sikit.
Blog ada macam-macam jenis.
Bukan setakat domain saja berbeza macam wordpress, blogger dan sebagainya,
tetapi juga pada gaya dan tujuan penulisan blogger tersebut.
Ada blog yang direka untuk tujuan kisah peribadi semata-mata.
Ada blog yang direka dengan tujuan dakwah, contohnya Nurina Izzati.
Ada blog yang direka untuk berkarya.
Semua itu bebas.
Tak ada siapa ada hak untuk tiba-tiba tunjuk pada seseorang dan cakap,
"blog kau ni sampah!" atau apa-apa sahaja.
Cuma, kalau blogger dah tulis benda tak elok, contohnya buat post cerita kemarahan diri kemudian mencarut bukan-bukan, jangan salahkan oranglah apabila blog anda dah kena kutuk~ even though its privacy, mulut orang pun privacy juga kan nak bercakap sesuka hati...
Persoalannya, apabila blog direka dengan tujuan dakwah atau karya, perlukah disorokkan? Berdakwah pada tiangkah? Itu persoalan dalam hati saya. Sebabnya, blog ini sampai sekarang pun saya tidak publish. Saya hanya beritahu kawan-kawan terdekat. Credit to 20 followers that I have (jumlah yang amat kecil) , they are all my invited friends. Cuma mungkin ada dua tiga orang yang terjumpa sendiri. Thanks.
Saya terfikir juga hendak mencari followers. Naikkan blog saya yang tidak seberapa ini. Saya sudah tidak tahu hendak kata apa, tak mahu keterlaluan promosi. Jadi, kepada silent readers di blog saya (jika ada) saya sudah tidak takut untuk jemput sesiapa sahaja follow blog saya (jika adalah yang sudi).
Ada kawan saya bertanya, kenapa rahsiakan agenda-agenda yang saya jalankan sekarang? Jawab saya, i don't want to listen to words from people who hate me. Yeah, dan itu jawapan paling jujur yang saya dapat beri. Saya tak mahu dituduh copycat atas agenda yang satu itu. Mungkin lepas SPM baru saya akan berani buka nama sendiri. I promise. Lepas SPM. Not now.
Saya tak mahu berdepan dengan cakap orang melainkan bila saya dah kukuh dan terjamin. Saya tak mahu diganggu-gugat.
Ok, back to the blog. Saya sudi publish nanti blog ini. Insya-Allah.Tolong-tolonglah ya create follower. Insya-Allah.
Apa Sudah Jadi?
Kenapa dengan saya?
Permainan catur saya jatuh merudum teruk sejak pulang dari perlawanan negeri di Langkawi.
Saya tak nafi saya menang perlawanan di Perlis 28.5.2011,
tetapi saya akur di tempat kelapan.
Cara saya main masa di sana?
WORST.
Saya tahu menang, tetapi cara saya main, terlalu banyak khilaf.
Cara saya menang tu, kalau pergi main lagi sekali peringkat negeri, memang lingkuplah saya jawabnya.
Untuk nak pastikan, saya ajak kawan saya yang boleh dikatakan pro, untuk main. Ternyata saya dapat kekalahan paling teruk. Sangat mudah dia kalahkan saya.
Saya tak tahulah dia nak gelak macam mana dekat saya. Biarlah.
Saya tak tahu nak kata apa.
Is it enough for me to say, I'm losing my chess skills? =(