Kejujuran itu selalu pahit,
kebenaran itu selalu menyakitkan.
Kenapa?
Kebatilan itu terlihat indah,
kepalsuan itu terasa nikmat.
Kenapa?
Kebenaran itu keimanan,
maka lumrah bagi keimanan,
pasangannya ialah dugaan dan cabaran.
Kebatilan itu kekufuran,
jelas lumrahnya bayangan syaitan,
hasutan laknatullah membutakan pancaindera.
Ternyata,
menghadapi kenyataan sesukar itu,
membuat hati ditusuk sembilu,
antara berpura tidak sedari,
ataupun melangkah mendepaninya,
segalanya tetap akan serupa.
Tertulis jadi maka pasti akan terjadi,
lantas apakah guna berselindung,
di balik tirai sebuah penipuan,
tidak akan bertahan,
tercarik juga pabila waktunya.
Setelah letih lidah bersuara,
jenuh jari menarikan madah,
berselindung di sebalik tiap senyuman,
ternyata,
kepahitan itu dalam kebenaran,
tiada guna bersembunyi.
Untuk itu,
relakanlah,
nyatakanlah kepahitan,
yang akan berlalu dan perlahan menghilang...
*Bukanlah puisi atau madah, sekadar perkongsian buat diri dan kalian...
Jemput Follow :)
Nyatakan Kepahitan
Papan Catur-1
Papan Catur- Prolog
Kerana Kita
Lepaskan cerita itu,
biarkan semua berlalu,
kerana kita,
tidak seperti dahulu.
Setiap antara kita,
punya haluan berbeza,
betapapun kita menyamakan,
kita masih tidak serupa.
Di balik tiap senyuman,
kita yang berpura-pura,
menganggap semuanya akan tetap serupa,
sedangkan kita tahu,
dalam tiap hati,
ada impian tersendiri,
dan pastinya nanti,
akan mengejar impian itu.
Iringkan sahaja dengan doa,
tiap pertemuan ada perpisahan,
selagi landasan kita menuju Allah,
hanya di situ persamaan kita,
kerana kita diciptakan untuk-Nya,
untuk beribadat kepada-Nya.
Setiap ketika,
saban hari berlalu,
biar tahun bergulir,
kenangan itu,
tidak pernah akan terlupa,
dan andai bertemu lagi...
Pasti,
senyuman mekar di bibir,
ketika bahagia masa lalu itu tersingkap,
hanya Allah yang lebih tahu,
hikmahnya kita semua berbeza.
Hmm... Thinking
Sekarang saya tengah berfikir (pada tajuk dah beritahu, lagi perlu cakapkah?). Adakah saya akan promote blog ini seperti cadangan kawan-kawan saya tertentu, atau continue sahaja as 'bicara hawa'? Nampaknya, kalau saya sorok pun, sudah tidak lama lagi sebelum saya akan diketahui juga nanti. Rasanya masa itu lagi malu sebab ketika ada yang berkunjung kemudian... sunyinya blog ini. Saya tidak mahu komen jenis itu yang saya dapat. Jadi bagaimana? Kepala saya sedang berpusing-pusing seperti kipas angin di hadapan mata saya ini. Aduhai!
Setakat ini dalam senarai followers saya memang hanya ada kawan-kawan terdekat yang memang sudah tahu sejak mula yang saya tuan blog ini. Dengan lain perkataan memang readers yang dijemput secara khusus. Yang lain belum ada lagi.
Ada yang berpandangan, sekiranya kita anoynimuous, adakah orang yang baca rasa nak follow? Selalunya identiti seseorang itu pun ikut memainkan peranan dalam mengembangkan blog. Contoh, kalau kita kenal itu blog member kita, kita rasa nak follow. Sebaliknya berlaku kalau kita tak kenal, kita cenderung untuk jadi silent reader. Hmm.. which one ya? Pening!
So sekarang, yang mana satu idaman kalbu agak-agak. Identiti setakat ini memanglah kerahsiaan kerana menulis atas nama bicara hawa. Namun selama mana sangatkah nama palsu ini boleh bertahan? Ah, pening kepala saya!
Entri kali ini memang tersangatlah berterabur kerana kepala yang ikut sama berterabur. Memang tahap teruk artikel ini, tak ada standard BMT langsung. Maaf ya!
Jadi keputusannya?
Tunggulah dulu.Kepala masih pening!
Hanya Engkau
Natrah termenung di tepi jendela. Tangannya menyentuh pipi yang terasa perit. Setitis air mata tumpah di pipinya. Terlalu cepat semua ini berlaku. Natrah belum bersedia menghadapi segalanya.
"Engkau memang anak tak guna! Jika bukan engkau, tidak mungkin Ashraf meninggal dunia."
"Pandai-pandai hendak ubah tradisi keluarga, sekarang tengoklah sendiri perkara yang sudah berlaku!"
"Mentang-mentanglah sudah jadi ustazah, dia rasa dirinya sempurna sangat agaknya. Dasar pembunuh!"
Satu demi satu penghinaan kembali berputar dalam ingatan Natrah. Dia bingung. Salahkah dia memperbetul perkara yang salah? Adakah salah dia menegakkan kebenaran? Demi Allah, dia hanya mahu menjaga ketetapan Ilahi. Dia tidak pernah berniat untuk menentang keluarganya apalagi hendak menunjuk kehebatannya sebagai ustazah. Dia tidak pernah pun berasa dirinya hebat kerana status ustazah yang dipegangnya.
Semuanya bermula ketika dia menemui Ummu Balqis semasa di universiti dahulu. Wanita itu menyuruhnya agar menanggalkan gelang tangan yang selama ini dipakai sentiasa. Ibu saudaranyalah yang menyuruhnya memakai gelang itu. Katanya sebagai pelindung. Ketika Ummu Balqis mendapat tahu bahawa gelang itu berfungsi sebagai pelindung, terus dia menyuruh Natrah menanggalkan gelang itu dan membuangnya terus. Kata Ummu Balqis, mempercayai perkara sebegitu merupakan kepercayaan khurafat yang membawa kepada syirik. Sewajarnya kita memohon pertolongan hanya daripada Allah, bukannya benda-benada karut sebegitu.
"Nanti keluarga saya pasti marah. Semua ahli keluarga kami sudah memakai gelang ini sejak turun temurun."
"Natrah, keluarga Natrah juga hamba Allah. Natrah tidak boleh mengutamakan mereka dalam hal-hal yang melawan perintah Allah. Natrah perlu berusaha memujuk mereka agar menghapuskan kepercayaan karut-marut itu. Kalau bukan Natrah yang sudah punya kesedaran dan kefahaman tentang agama, siapa lagi?"
Sehingga kini, nasihat Ummu Balqis masih berada dalam ingatannya. Dia sama sekali tidak akan lupa amanah Ummu Balqis itu biarpun Ummu Balqis kini sudah jauh dari pandangan. Wanita mulia itu kini berada di Australia untuk menyambung pengajiannya. Namun persaudaraan mereka tetap utuh. Ada sahaja peluang, pasti mereka akan berhubung baik di laman sembang maya ataupun dalam telefon.
Segalanya berubah semenjak peristiwa hitam yang baru sahaja melanda kehidupan Natrah. Kini, telefon bimbit Natrah dirampas dan talian internetnya pula sudah disekat. Semuanya kerana keluarga Natrah tidak mahu Natrah menghubungi Ummu Balqis lagi. Mereka amat benci akan Ummu Balqis, malah mungkin membenci Natrah jika Natrah terus berpaling tadah.
Natrah menangis lagi. Kenangan lalu berlayar di hadapan matanya seperti sebuah siaran kenangan silam.
"Abang, boleh tidak kalau Natrah hendak cakap sedikit dengan abang?"tanya Natrah perlahan. Abangnya, Ashraf, yang cuma bekerja sebagai mekanik di kedai motosikal itu memang antara ahli keluarganya yang paling senang menerima teguran. Dia berharap agar Ashraf mampu membantunya mengubah cara hidup keluarga mereka.
"Cakaplah,"
"Sampai bila abang hendak hidup dengan bergantung kepada tangkal? Adakah seumur hidup abang akan memakai gelang itu?"tanya Natrah sedikit mendesak. Ashraf pula terdiam memikirkan kata-kata Natrha.
"Abang tidak tahu. Cuma abang ingin tanya Natrah, benarkah memakai tangkal seperti ini boleh membawa kepada syirik?"tanya Ashraf. Rupa-rupanya Ashraf sudah lama memikirkan persoalan itu.
"Ya. Sebenarnya dengan memakai gelang itu sahaja sudah khurafat namanya. Abang, sebenarnya kalau boleh Natrah hendak ajak abang tanggalkan sahaja gelang itu. Tiada maknanya kita bergantung kepada benda tanpa nyawa seperti itu. Sepatutnya hanya Allah yang kita jadikan sandaran. Abang lihat sendiri betapa karutnya benda itu. Natrah sudah buang gelang itu hampir sebulan, tetapi Natrah baik-baik sahaja. Jika ada apa yang berlaku pun, kita patut setiasa berpegang kepada Allah. Yakinlah bahawa kecelakaan yang berlaku itu adalah daripada Allah, bukan daripada benda-benda karut begitu."
Tidak sangka benar, sebaik sahaja mendengar kata-kata Natrah, terus sahaja Ashraf membuang tangkal itu. Pada saat mula-mula Ashraf memakai tangkal itu, sememangnya dia selesa kerana berasa selamat. Namun, lama kelamaan Ashraf juga berasa kurang selesa untuk terus menaruh kepercayaan terhadap perkara khurafat sebegitu. Kata-kata Natrah benar-benar memberi kesedaran untuknya menanggalkan terus tangkal itu.
"Betul cakap Natrah. Tidak ada gunanya abang menyimpan benda seperti ini. Mujurlah Natrah nasihatkan abang selama abang masih ada. Natrah, malam ini temankan abang buat solat sunat taubat ya? Abang hendak sucikan diri abang daripada semua ini. Manalah tahu kalau-kalau nanti tiada lagi kesempatan untuk abang bertaubat,"ujar Ashraf dengan suara yang kedengaran sayu. Natrah berasa aneh dengan tingkah laku Ashraf tetapi dia hanya memendam sahaja perasaannya itu.
"Ya. Natrah bersyukur kerana abang sudi meninggalkan semua perkara karut itu,"jawab Natrah lembut.
Petang itu, apabila pulang ke rumah, teruk Natrah dan Ashraf dimarahi oleh ibu dan nenek mereka. Tidak lain dan tidak bukan, puncanya kerana ibu dan nenek mereka menyedari bahawa tangkal itu telah dibuang.
"Natrah, Ashraf! Kamu berdua hendak jadi anak sial ya? Pandai-pandai sahaja kamu tanggalkan tangkal itu. Cakap dengan nenek, di mana kamu tinggalkan tangkal itu!"jerkah nenek mereka, Mak Senah. Belum sempat Ashraf hendak berdalih, Natrah sudah terlebih dahulu menjawab dengan tegas.
"Kami tiada niat hendak jadi anak sial atau melawan mak mahupun nenek. Natrah sudah buang tangkal itu bulan lepas. Alhamdulillah Allah masih menjaga Natrah. Abang pun kini sudah sedar bahawa semua ini amalan khurafat, sebab itu abang juga buang tangkal itu. Nenek, cukup-cukuplah dengan semua benda khurafat itu. Bertaubatlah, nenek ..." belum habis Natrah berbicara, tangan Mak Senah sudah lebih dulu hinggap di pipinya. Dia tersungkur di tepi tangga. Mujurlah Ashraf sempat menahan tubuhnya daripada terus tercampak ke dinding.
"Nenek, janganlah buat Natrah begini! Natrah tidak salah. Dia bercakap perkara yang benar. Kita orang Islam, mak. Tidak sepatutnya kita berpegang pada amalan karut-marut begini. Cukuplah selama hayat kita ini, kita bergantung kepada benda-benda ini. Serahlah diri kepada Allah!"ujar Ashraf.
"Ashraf, diam!"bentak Puan Salmiah. Dia tidak boleh menerima kata-kata Ashraf dan Natrah. Sebenarnya apa yang merasuk minda Natrah? Adakah ...
"Ashraf, Natrah, masuk bilik kamu berdua! Mak tidak mahu lihat muka kamu! Keluarga mak tiada pengkhianat sebegini. Natrah, mak hantar kamu belajar tinggi-tinggi sampai ke Mesir bukan untuk melawan cakap keluarga begini!"jerkah Puan Salmiah. Ashraf hanya mampu membisu. Tangannya pantas membantu Natrah untuk bangun lalu membawanya ke tingkat atas. Kaki Natrah nampaknya sudah terseliuh.
"Maafkan Natrah. Tidak sepatutnya abang turut dimarahi. Natrah punca semua ini,"ujar Natrah dalam esak tangisnya. Kakinya terasa amat sakit setiap kali diurut oleh Ashraf. Maklumlah, tangan lelaki seperti Ashraf memang keras sentuhannya.
"Syh, jangan cakap begitu. Natrah tidak salah. Kita tidak salah. Kita hanya mahu menegakkan keislaman kita. Allah tahu niat kita,"ujar Ashraf.
"Nampaknya mungkin Natrah tidak dapat temankan abang bangun malam ini. Menyusahkan abang sahaja hendak papah Natrah untuk ambil wuduk,"tutur Natrah sedikit hampa.
"Tidak mengapa. Natrah rehatlah. Natrah masih ada masa lagi untuk solat tahajjud dan mempertingkatkan amal. Nanti abang sudah tidak sempat lagi,"ujar Ashraf sambil tersenyum. Dia meletakkan minyak angin di kaki Natrah sebelum keluar meninggalkan Natrah sendirian di biliknya.
"Sal, mak engkau sudah dalam keadaan begini pun engkau hendak bermusuh dengan Zamrikah? Sudahlah dengan dendam kesumat engkau itu! Fikirkan keadaan emak engkau!"jerkah Puan Latifah mengejutkan semua orang. Natrah pula membeliakkan matanya. Ibunya berdendam dengan Ustaz Zamri, kenapa?
"Mak, dendam apa ini? Sebenarnya apa yang terjadi? Mak, jawab mak. Mak cik, tolong beritahu Natrah, mak cik! Semua ini apa?"desak Natrah.
"Natrah, sudah! Jangan buang masa lagi. Pergi panggil Ustaz Zamri, sekarang!"arah Mak Cik Hasnah. Beberapa orang wanita sudah bersedia untuk menghalang seandainya Puan Salmiah ingin menahan tindakan Natrah.
Dalam serba salah, Natrah menggagahkan jua kakinya untuk terus melangkah keluar. Jeritan marah Puan Salmiah menggugat hatinya, tetapi dia tidak boleh menurut arahan ibunya untuk kali ini. Mak Senah perlu diselamatkan. Hanya Ustaz Zamri yang arif dalam hal-hal begini. Meskipun Natrah terluka, dia tetap perlu berhadapan dengan Ustaz Zamri.
"Assalamualaikum!"laung Natrah tanpa mempedulikan sesiapa lagi. Dia perlu berhadapan dengan Ustaz Zamri. Dia memerlukan pertolongan lelaki itu!
"Ustaz Zamri!"
Ustaz Zamri yang berada di dalam biliknya terpana. Adakah dia sudah tersalah dengar? Suara Natrahkah itu? Natrah tidak mungkin datang ke rumahnya. Hanya dia seorang yang berada di rumah. Berbual berdua-duaan pun Natrah sudah terlalu malu, inikan pula hendak datang ke rumahnya begitu.
"Ustaz Zamri!"
Laungan itu membuatkan Ustaz Zamri membuka tingkap biliknya dan memandang ke luar. Ya, itu Natrah!
"Natrah, kenapa datang ke sini?"
"Ustaz, saya tahu kita sudah tiada apa-apa hubungan. Saya tahu ustaz tentu tidak mahu lihat muka saya lagi, tetapi saya benar-benar minta pertolongan ustaz kali ini! Tolonglah, ikut saya ke rumah sekarang!"laung Natrah. Dia kini sudah melutut di hadapan pintu rumah itu. Dia benar-benar terdesak.
'Aku tidak mahu dia? Apakah maksud Natrah?
Islam Tidak Merendahkan Umat!
Hati saya tiba-tiba terpanggil untuk membicarakan soal ini. Entahlah, mungkin hasil daripada perbualan dengan seorang teman. Soal keyakinan diri dan keperluan merendah diri seringkali dicampur aduk. Mungkin saya bukanlah orang yang tepat bagi membicarakan soal ini, tetapi sedaya yang termampu, tiada salahnya kita mencuba bukan?
Sahabat saya itu bercerita kepada saya tentang hasratnya ingin berhijrah, alhamdulillah. Cuma saya rasa saya bukanlah orang yang tepat untuk menjawab persoalannya, maka saya cuba membantunya dengan mengesyorkannya kepada rakan saya yang lebih arif dalam soal yang ditanyakannya kepada saya.
Dia pula menyatakan perasaan segannya kepada saya. Bukan apa, katanya dia segan kerana berasa rendah diri apabila bercakap secara berhadapan dengan sahabat saya itu. Dia memilih untuk menghubungi sahabat saya itu di alam maya sahaja. Saya gembira kerana dia tetap mencari inisiatif untuk bertanya di sebalik rasa segannya itu. Saya sempat menasihatinya tentang soal kerendahan yang tidak sewajarnya. Namun apabila difikirkan, saya rasa nasihat pendek saya itu mungkin masih belum mencukupi. Bukanlah dia tidak faham, cuma saya sahaja yang rasa tidak puas hati mengenangkan jawapan yang saya beri untuknya.
Tawadduk. Islam memang menyuruh kita agar sentiasa bersikap merendah diri, tetapi merendah diri yang digalakkan ini bukanlah bererti Islam merendahkan umatnya. Merendah diri tidak bermakna kita perlu hilang keyakinan diri dan sentiasa meletakkan diri di bawah.
Konsep tawadduk bererti merendah diri tetapi tidaklah sampai ke tahap meletakkan diri dalam kehinaan. Kita merendah diri dalam kehidupan sebenarnya adalah untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam penyakit hati seperti ujub, riyak dan takbur. Kita juga bersikap merendah diri kerana tidak mahu timbulnya permusuhan sesama insan. Kita tidak mahu orang lain berdengki atau menaruh sakit hati sekiranya kita tidak merendah diri.
Allah menyuruh kita sentiasa merendah diri agar kita tidak lupa kepada-Nya. Sekiranya konsep tawadduk diabaikan, kita akan menjadi manusia bongkak yang lupa asal usul kita padahal setiap satu nikmat yang kita banggakan itu sebenarnya tidak lebih daripada sekadar pinjaman Allah yang pasti akan dikembalikan kepada-Nya. Sehebat apapun kita, akhir nanti dimakan cacing tanah juga. Secantik apapun busana kita, nanti di padang Mahsyar bangkit tanpa berpakaian juga.
Biarpun tawadduk ialah suatu kemestian, kita tetap perlu mengawal sikap tawadduk kita. Tawadduk bukan bererti kita merasakan diri kitalah manusia yang paling hina dalam dunia ini malah sampai menyisihkan diri daripada masyarakat. Itu bukan tawadduk yang sebenar. Tawadduk yang sebenar ialah merendah diri tetapi sewajarnya sahaja, bukanlah sehingga menghina diri sendiri. Tawadduk juga tidak bermakna kita perlu merendah diri sehinggakan nampak sahaja ulama, terus menyorok di sebalik langsir. Nampak sahaja pelajar cemerlang, lari menyorok dalam tandas. Bukan begitu maksud tawadduk.
Tawadduk perlu diiringi rasa izzah (kebanggaan terhadap Islam). Kita merendah diri apabila menuntut ilmu kerana mahu mempelajari sesuatu daripada guru kita dan juga kita merasakan bahawa rakan-rakan jauh lebih pandai, tetapi kerana rasa izzah, kita masih boleh menonjolkan diri di dalam kelas untuk bertanya kepada guru kita dengan mengenepikan perasaan segan yang menghalang.
Di sini kita perlu membezakan rendah diri daripada syaitan dan daripada iman. Rendah diri daripada iman akan sentiasa mengawal tindakan kita ke arah kebaikan bukan kehinaan, tetapi sekiranya daripada syaitan, perasaan itu akan selalu menghalang niat baik kita. Contohnya, rendah diri sehingga bersembunyi dalam selimut dan tidak mahu ke sekolah dengan alasan kita terlalu bodoh berbanding sahabat lain. Itu apa namanya? Tawadduk atau malas sebenarnya? Tawadduk bersangkut paut dengan malu. Kedua-duanya perlu dibezakan antara kebaikan dan keburukan. Jika dalam situasi tadi, sah-sahlah rendah diri tahap melampau itu datang daripada syaitan yang sebenarnya memang tidak mahu kita menuntut ilmu di sekolah!
Justeru, sebagai umat Islam, perasaan rendah diri iaitu tawadduk perlulah dijadikan pagar yang mengawal tindakan kita tetapi bukanlah dengan cara menghina diri sendiri. Perasaan izzah perlu juga ada agar umat Islam tidak menjadi pasif dan sama sekali tidak bertindak kerana meletakkan diri pada tahap kerendahan yang melampau. Tawadduk ialah kerendahan hati, bukan kehinaan.
Renung, fikir dan amalkanlah. ^_^
Cinta-Nya
Termenung di jendela,
terenung masa silam,
tatkala malam semakin kelam,
ketika purnama datang menjengah..
Hati lalu bertanya
saat kosong di manakah dia?
Saat hiba di manakah dia?
Segalanya..
Saat kita jatuh dan dia menghilang
saat kita rebah dan dia mengalah
saat kita rapuh dan dia tiada untuk berteduh..
Berpaling seketika,
terpandangkan mushaf yang kian usang,
habuk berbicara,
menyatakan mushaf kian dilupakan.
Duhai hati,
kenapa sering terlupa?
Hakikat cinta tiada padanya,
hakikat cinta bukan haknya,
ternyata cinta ada pemiliknya,
tetapi kita sering terlupa..
Nyatakan duhai hati,
apa yang engkau cari?
Apa yang engkau kejar?
Adakah dia di sana untuk kau kejari?
Adakah tanganmu bisa menggapainya?
Adakah kakimu mampu menghalangnya pergi?
Ataukah engkau akan tersungkur dalam kehampaan?
Duhai iman,
ingatkanlah hati,
jagalah dia dari lembah yang hina,
jagalah dia dari mendurhaka,
jagalah dia dari menduakan cinta yang hakiki..
Duhai taqwa,
ingatkanlah hati,
cinta-Nya yang selalu ada,
cinta-Nya yang tak pernah pergi..
Dia,
kekasih yang abadi...
Jauh tetapi dekat,
tidak terlihat dengan mata,
hanya hati mampu mencari,
merasai kehadirannya..
Duhai iman dan taqwa,
yakinkanlah hati,
dia tidak kesunyian,
hanya Allah menuntun langkahnya..
Bicara Makna Abadi
Saat ini, saya teringat akan kata-kata guru Kimia saya, Cikgu Tan Ley Chan. Sebenarnya dia hanya mahu menerangkan definisi proses eksperimen dalam Kimia secara umum namun penerangannya amat spesifik dan ketika dia menyatakan analogi hidup sebagai bandingan, saya tiba-tiba tertarik pula.
Life is about solving problems.
Saya tidak tahu kata orang lain, tetapi secara peribadi saya menyetujui kata-kata ini. Masalah akan datang bertalu-talu dalam hidup manusia dan tentu sahaja diri saya sendiri. Kenyataannya, kadangkala manusia bukan diuji dengan kesusahan sebaliknya dengan kesenangan. Hebat cara Allah menguji kita. Tidak ada lembaga peperiksaan yang boleh mengadakan sukatan pelajaran sehebat suratan Allah dalam hidup kita. Justeru, rasanya tidak keterlaluan kalau saya kata begini pula.
Untuk apa kita takut akan ujian peperiksaan yang manusia buat dan jawapannya pun sudah kita kaji padahal ujian Allah yang tidak terduga bentuknya itu kita tidak takut dan bersedia, sedangkan ujian manusia ini kita sudahpun bersedia sekadar termampu?
Hakikat kehidupan ini penuh variasi. Namun yang pasti betapa hebatpun ujian yang dikenakan, tiba masanya akan terhenti sendirinya kerana panggilan azali. Sebelum sampai waktu itu, teruslah bertahan dengan ujian yang tidak jemu menjengah dalam hidup kita walaupun kita terlupa bahawa dia sedang bersama kita. Ya, dalam kesenangan dan kegembiraan itu juga adanya ujian.
Perasaan kita yang selalu teruji kalau kita tidak diuji dengan kesusahan lahiriah. Ada pula yang memang kedua-duanya teruji. Semuanya Allah tentukan berdasarkan kemampuan hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui kerana memang dia yang menciptakan kita.
Ketika bicara tentang cinta, saya ingin sekali menyebut satu persoalan. Abadikah cinta itu sekiranya waktu yang tidak sepatutnya dicalarkan dengannya, malah sampai mencalarkan amanah yang digalas pula selaku khalifah Allah? Bagi saya, itulah ujian yang selalu menimpa jiwa remaja.
Lazimnya, perkara ini tidak dianggap ujian kerana ia menyenangkan. Beritahulah saya, siapa yang benci dicintai? Namun, kealpaan itu tatkala kita menikmati sahaja manis cinta remaja itulah sebenarnya ujian yang Allah berikan. Astaghfirullah. Betapa kita sering terlena dan tidak menyedari hakikat ini.
Allah uji cinta kita. Allah uji, apakah kita cinta akan Dia, atau kita cinta akan hamba-Nya lebih dari-Nya. Kita boleh cakap kita cinta Allah, tetapi hebatkah kita mempertahankan cinta itu di atas atau cinta manusia juga yang kita agungkan?
Dunia ibarat penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir.
Ya. Jelas kebenaran itu. Penjara bagi orang beriman kerana terpaksa memenjarakan keinginan sendiri. Remaja tentu rasa terpenjara apabila segala hukum mula disingkap. Berikutan hal itulah, manusia seringkali alpa dan melanggar hukum Allah. Tidak wajar bagi kita mempertikaikan sebenarnya hukum Allah.
Perasaan remaja sering sahaja teruji dengan cinta sang adam. Lalu muhasabahlah. Apakah sebenarnya kita memerintah nafsu atau nafsu memerintah jiwa kita?
Dalam makna abadi. Bukan sekadar sesuatu yang zahirnya berkekalan selamanya itu maka sudah boleh dikatakan abadi. Sebenarnya abadi itu amat dalam. Biarpun zahirnya tampak seperti luput hakikatnya masih abadi dalam batinnya, maka itulah keabadian yang sejati, kerana kita semua manusia yang pasti akan pergi. Manusia pasti akan mati dan jasadnya akan luput begitu sahaja. Namun, namanya masih abadi di ingatan. Jiwa kita masih mempunyai pertalian dengannya maka itulah dia keabadian dirinya yang masih ada dalam hati kita.
Insan yang kita sayangi pergi tetapi dia masih dalam ingatan biarpun tidak lagi kembali. Namun lama kelamaan perlahan kita sudah mula dapat melupakannya. Kita tidak akan mampu sama sekali untuk menafikan hakikat itu. Maka buat masa ini sedarilah hanya Allah yang abadi. Dia tidak mati dan Dia tidak pergi. Dia teman sejati dan Dia kekasih. Segalanya hakikat.
Sekadar Di Hati
Hanya cerita
tak terlafaz
tersemat indah jauh di hati
Ketika cerita mula bersemi
aku yang hilang sendiri
takkusedari erti sebuah kisah
alpa merasuk minda
dan aku pun menghilang
Ketika itu
bukankah kita semua pernah bahagia
lantas apakah yang meragutnya
hingga kini kita yang terlupa
wujudnya cerita itu
bukankah DIA pencipta-Nya?
Lantas apakah yang kita sesali
ketika cerita tak lagi bermaya
nyata sudah akhir cerita
pasti kan datang
Betapapun kita mencuba
sejauh apapun kita melangkah
yang terjadi tetap akan terjadi
takdir cerita kita salah satunya
biarpun perit
bukankah itu namanya kehidupan
kita belum tiba ke syurga
Ketika cerita semakin malap
tirai yang menanti saat berlabuh
lepaskan
biarkan
usah lagi disesali takdir
betapapun ada yang terbuku
mungkin tempatnya di sini saja
sekadar di hati...
Untuk selamanya
Biar kita dipayungi-Nya....
Mencuci Sawang
Assalamualaikum.
Akhirnya saya dapat juga mengupdate semula blog ini. Rasanya saya pun tidak tahu lagi blog ini sudah jadi tempat sawang, sarang tebuan atau apa. Apabila dikira-kira rasanya sudah sebulan saya tidak update langsung blog ini.
Baru-baru ini disebabkan masalah yang melanda saya memang tidak berupaya hendak mengupdate blog ini. Namun alhamdulillah dengan pertolongan Allah, berjaya juga saya dan keluarga melalui cabaran itu. Saya sendiri pun terlupa sebenarnya hendak memasukkan sebarang entri sepanjang melalui cabaran yang memerlukan perhatian tidak berbelah bahagi daripada saya.
Saya harap mudah-mudahan selepas ini saya akan selalu berkesempatan dan ingat untuk memasukkan entri demi entri ke dalam blog ini. Kadangkala saya berkesempatan tetapi saya lupa pula. Biarpun followers belum mencapai jumlah yang banyak, tetapi blog ini tetap perlu diupdate. Manalah tahu kalau-kalau nanti ada yang sudi hendak membaca entri-entri picisan di blog saya ini.
Insya-Allah, saya tidak akan berhenti dari dunia blogging. Semangat saya perlu ada. Menulis itu jiwa saya. Saya tenang dengan terus menerus menaip dan mencatat ilham di minda. Saya gembira adanya pena. Semoga Allah meredhai aktiviti saya ini, dan tentu aktiviti kalian juga.
Sekadar sebaris pesan buat hari ini.
'Semua yang dilakukan perlukan keredhaan Allah. Jika kita tidak meredhai Allah, tiada apa yang kurang pada kesempurnaan-Nya. Namun andai Allah tidak meredhai kita, na'uzubillah.'
Renung-renungkanlah.