Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Pesanan Untuk Dia (Renungan)

Assalamualaikum, salam yang saya beri walaupun saya tidak pasti apakah akan ada yang menjawabnya nanti. Saya tidak menaruh harapan langsung untuk melihat awak membaca nukilan di sini. Memang semuanya sudah lama sirna.Cuma saya yang tidak sedar.

Tahukah awak, kenapa kini dengan mudah saya sendiri melafazkan ayat yang saya tidak pernah sanggup ucap sekalipun awak sudah lama lepaskan saya? Kenapa selama ini saya terlalu mempertahankan perasaan ini walaupun tidak pernah berbalas langsung?Kenapa sekarang tiba-tiba saya buat semua ini setelah lama saya perbodohkan diri dengan semua ini?

Saya kecewa. Bukan sekadar sebab awak tidak melayani saya sebaiknya atau apa jua jawapan yang terlintas di benak awak. Awak fahamilah, seandainya saja semuanya sebab awak ada yang lain, dari kali pertama saya dengar semua itu saya sudah marah awak. Seandainya saja sebab awak menolak mentah-mentah persahabatan yang awak hulurkan, tentu saja saya sudah lupakan semuanya waktu itu. Sendainya saja semuanya sebab awak tinggalkan saya kerana ilmu, tentu saja saya tidak menunggu lama untuk punya pengganti.

Semua sebab itu tidak cukup kuat untuk saya melepaskan awak. Tidak cukup. Hanya satu sebab utuh yang saya simpan. KEIMANAN AWAK YANG KIAN LAYU.

Saya hanya mencintai kerana Allah, dan insya-Allah perasaan itu hanya untuk insan yang mencintai-Nya juga.Soalan saya kalaulah awak masih setia pada-Nya (bukan pada saya), kenapa awak sanggup lari dari kehidupan beragama? Kenapa tidak mahu tetap thabat di jalan para salafussoleh? Kenapa awak tidak mahu istiqamah? Awak pentingkan teman-teman lebih daripada Islamkah?

Saya hanya ingin awak tahu.
Saya tidak mungkin sanggup tinggalkan awak kerana insan lain.
Saya tidak mungkin sanggup lepaskan perasaan kerana awak tidak membalasnya.
Saya tidak mungkin sanggup lupakan awak kerana jihad awak.
Saya tidak mungkin sanggup relakan awak kerana bencana atas awak.
Saya tidak mungkin sanggup..
kalau semuanya atas kekurangan lahiriah awak..

Tetapi saya hanya tekad melepaskan awak..
kerana apa yang saya cintakan ialah pemimpin saya ke jalan Allah !


Renungan untuk semua.. selalunya alasan kita meninggalkan seseorang ialah kerana kecurangan, cinta tak berbalas, dia nak sambung belajar, dia ditimpa sesuatu yang memang kita tidak boleh terima dan sebagainya. Jarang sekali kalau kita sanggup melepaskan seseorang ikhlas kerana Allah. Ya, bukan mudah untuk melakukannya. Selalunya kita lepaskan kerana perangai. Cuba bayangkan kalau kita sanggup bertahan dalam segala situasi, tak kiralah ada orang lain ke, jarak jauh ke, apa ke, semuanya okey. Kemudian kita dapati dia mula futur (menurun dalam amalan), adakah satu alasan itu mampu buat kita nekad meninggalkannya? Sedangkan pemilik cinta yang sebenar ialah Allah! Renungkanlah.. buat diri dan semua..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (12)

"Wynn, temankan aku keluar makan?" ajakan Amirul dipandang sepi oleh Darwina. Hendak katakan merajuk, pelik sangatlah kerana mereka memang tidak bergaduh. Namun Amirul tidak pula berasa pelik. Akhir-akhir ini, begitulah sikap Darwina. Tidak sudah-sudah lagi Darwina menjauhkan diri daripadanya.
Telefon bimbit yang dulu tidak berapa dipedulikan, kita tergantung kemas di dada.

"Malaslah,"

"Kalau malas hendak keluar, kenapa tidak masak?" soal Amirul. Entah mengapa, sedikit geram bertunas di hati apabila sikap Darwina yang acuh tidak acuh itu mula menguji kesabaran.

"Siapakah pula gerangan orang yang beritahu engkau aku malas hendak keluar? Aku malas hendak masak dan keluar. Engkau pandai masak bukan? Aku sudah makan sebelum pulang tadi," sinis nada Darwina menjawab. Matanya langsung tidak memandang Amirul.

'Ya, aku memang isteri biadab. Memang itupun yang engkau mahu selama ini, bukan? Engkau mahu aku berkasih sayang dengan orang lain. Engkau sudah syaratkan agar kita tidak saling jatuh cinta, bukan? Sekarang, baru engkau tahu!' fikir Darwina. Rasa bersalah ada menjengah, namun dia sudah malas hendak menghiraukan perasaan itu.

"Seriously, I'm tired. Really tired.Kalau aku ajak engkau keluar pun, aku minta engkau tolong memandu. Engkau pun tahu aku patah balik ke pejabat selepas hantar engkau tadi. Kalau aku tidak letih, pandailah aku masak sendiri. Bukan aku suka sangat hendak menyusahkan engkau," dua ayat terakhir itu ditekankan. Nadanya keras tetapi masih gagal menyembunyikan kehampaan yang tersirat.

Terusik hati Darwina mendengarnya. Matanya sudah mula mengerling sedikit memandang Amirul, namun dia tidak menyangka akan melihat wajah yang diselaputi redup kehampaan. Rasa bersalah mula terdetik, namun ditahan semampunya.

'Aku tidak akan tewas lagi pada sifat tanggungjawabnya! Cukuplah!' detik hati Darwina. Ya, dia memang benar-benar rasa berdosa, namun entah apa yang merasuknya, dia sendiri tidak tahu.

"Wynn, engkau berhubung dengan Syukri lagi ya?" tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibir Amirul. Dia pun tidak mengerti kenapa perlu soalan itu ditanyakan lagi.

'Kalau beginilah sikapnya, apa lagi yang mungkin menjadi punca? Syukri! Ya, hanya Syukri.' getus hati Amirul. Tiba-tibanya hatinya sungguh sebal. Langsung dia tidak mampu untuk terus berdiri di situ. Dia perlu berlalu sebelum tangannya ringan hendak merampas telefon bimbit di tangan Darwina. Apa yang pasti, dia perlu berlalu kalau dia tidak mahu mengasari Darwina. Apapun yang mahu Darwina jawab, tidak penting lagi untuknya.

"Okey, aku keluar dulu. Maaf kalau aku banyak menyusahkan engkau selama ini. Take care." Amirul pun berlalu tanpa sebarang kata. Sebelum sempat Darwina mengejar apalagi menghalang, kedengaran deruman enjin kereta. Darwina keluar terus ke pintu, setidak-tidaknya untuk memanggil Amirul, bahkan kalau tidak sempat biarlah dia yang mengunci pagar untuknya, namun suara itu menghalangnya.

"Engkau masuklah. Tudung pun engkau tidak pakai. Jangan tambahkan lagi dosa yang engkau sedang buat," tegas sungguh nada suara itu. Mungkin lebih baik dikatakan suara itu sebenarnya keras, bukan lagi tegas yang biasa. Darwina membisu. Tidak berdaya langsung dirinya untuk menjawab. Dia tahu, itu salahnya.

"Aku bersalahkah?" soal Darwina. Tentulah tiada siapa yang menjawab. Dia hanya bersendirian di rumah itu.

*****************

Jarum jam sudah menunjukkan angka sebelas.Amirul masih belum pulang. Telefonnya dimatikan. Jelas, dia memang tidak mahu diganggu sesiapa. Sudah sejam dia berehat di dalam kereta, cuba menenangkan hati sendiri. Keluhan yang berat dilepaskan entah untuk keberapa kalinya, dia sendiri tidak pasti.

'Aku yang suruh dia hubungi Syukri. Apabila dia melakukannya, kenapa aku kata dia berdosa? Bukankah aku yang menyuruh dia berbuat begitu? Salah diakah? Sepatutnya aku bergembira melihat dia bahagia. Bukankah ini yang aku mahu? Bodohnya aku!' hati Amirul terus menjerit.

Mungkin dia sebenarnya terlalu biasa dengan kehadiran Darwina di sisinya. Mungkin juga dia tertekan apabila Darwina mula mengabaikan dirinya. Mungkin juga... argh! Terlalu banyak kemungkinan yang ada di dunia ini. Namun, cuma satu kemungkinan yang tidak akan diterima olehnya sampai bila-bila.

"Darwina, aku cinta engkaukah?" terpacul soalan itu buat dirinya sendiri. Pantas dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Aku hanya tercabar dengan sikapnya. Aku hanya tertekan. Aku ego melampau, seolah-olah dia milik aku. Dia hanya pinjaman, bukan hak milik. Aku hanya silap," tanpa sesiapa pun yang mendengar, dia meyakinkan hati sendiri.

'Aku tidak mampu lagi berada dekat dengannya.' sebuah keputusan dicapai. Lantas dia memandu keretanya semula.

********************

'Ya Allah, kenapa dia belum pulang lagi? Sudah jam dua belas malam. Tidak pernah langsung dia buat perangai balik lewat malam.' doa Darwina dalam kerisauan. Jelas kini, Amirul benar-benar marah akannya.

"Aku tidak suka pulang lewat kecuali kalau ada hal yang aku tidak suka di rumah. Angin malam kadang-kadang buat aku lelah. Dalam poket aku sentiasa ada inhaler kalau keluar sampai lewat malam," cerita Amirul suatu masa dahulu membuatkan hati Darwina diterpa resah yang menggila. Kakinya melangkah masuk ke kamar tidur, namun matanya pantas menangkap sesuatu di atas meja milik Amirul.

'Ya Allah, dia tidak bawa inhaler! Tolonglah ya tuhanku, peliharalah dia!' doa Darwina. Air matanya mengalir tanpa mampu diseka. Segala macam kemungkinan yang tidak baik mula menjengah.

"Semua ini salah aku. Memang dia keluar kerana aku. Dia tidak mahu pandang aku. Akulah hal yang tidak disukainya itu," bisik Darwina. Dia melabuhkan punggung di birai katil, namun tidak ada niat langsung untuk tidur. Matanya liar mengintai ke luar jendela, menanti kepulangan Amirul. Lima belas minit berlalu, pandangannya sekadar hampa. Namun matanya pantas celik apabila nampak kereta milik insan yang ditunggu-tunggu sudah pulang.

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia terus ke pintu menyambut Amirul. Seribu kemaafan ingin dipohon. Namun akal warasnya tiba-tiba menghalang.

'Dia masih marah akan aku. Sudah cukup baik dia mahu juga pulang. Kalau dia langsung enggan pulang lagi parah. Mungkin melihat wajahku menyambutnya pulang sekarang hanya akan buat dia semakin marah. Nanti lain pula jadinya. Silap-silap dia keluar semula tanpa inhaler.'

********************

Darwina hanya pura-pura tidur. Telinganya pula kini bagai telinga musang, asyik mencuri dengar dan begitu peka dengan setiap bunyi di sekeliling. Hanya satu bunyi yang ditunggu. Bunyi itu pun kedengaran.

Krukk... kedengaran bunyi Amirul membuka pintu biliknya. Sangkanya tentulah Amirul mahu mandi dan terus tidur, namun semuanya meleset. Langkah kaki Amirul kedengaran sungguh berat membuatkan Darwina memberanikan diri membuka sedikit matanya, mengerling ke arah lelaki itu. Dalam kesamaran cahaya lampu tidur, dia mampu menangkap kepucatan wajah Amirul. Objek pertama yang dicapai oleh Amirul, cuma satu, inhaler. Lantas ditekupkan objek itu ke hidung dan mulutnya.

Bagai mahu tercabut jantung Darwina melihat Amirul berkeadaan begitu. Kalau boleh, dia ingin sangat untuk bangkit membantu, namun dia tahu, kehadirannya di sisi saat itu hanya akan memburukkan keadaan. Air mata sudah mengalir tanpa henti di pipinya.

*****************

Amirul mengerling sekilas ke arah Darwina. Dia yakin dia tidak salah nampak. Darwina belum tidur. Hatinya makin sebal saat itu hinggakan untuk tidur di sebelah Darwina dirasakan bagai beban berat yang menghempap kepalanya.

'Sampai hati engkau tidak mahu datang ke sini. Sampai hati engkau lihat sahaja aku terdesak memerlukan bantuan pernafasan dan engkau hanya membiarkan. Sampai hati engkau tidak membantu aku waktu aku bagai putus nafas. Ataukah memang kematian aku yang membahagiakan engkau?' hati Amirul memberontak. Dia kecewa saat itu.

Otaknya sudah tidak mampu berfikir panjang. Lantas dia melangkah ke bilik air. Pintu bilik air ditutup dan dia dapat melihat sendiri figura wajahnya di cermin bilik air. Pucatnya sudah berkurangan setelah masalah pernafasannya lega. Namun, apa yang nyata, pipinya sudah dibasahi setitik air mata lelaki. Laju sahaja tangannya mengesat air mata itu.

'Aku tidak patut menangis. Itukan haknya untuk meninggalkan aku? Aku bukan cintanya.' Amirul memujuk diri, namun nyata dia tidak berdaya. Tangannya menyeka setitik lagi air mata yang tumpah dari tubir matanya. Sudahnya, dia membasuh muka di sinki lalu mengambil keputusan untuk mandi. Sejuk? Biarlah! Biar sejuk hatinya, biar sejuk tubuhnya. Kalau lelah, inhaler ada. Kalau teruk, biar Allah tentukan hidup matinya.

Usai mandi, terus dia keluar dan menukar pakaian. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai toto baru yang masih di dalam beg berserta bantalnya di atas katil lalu keluar dari bilik. Mujurlah dalam marah, inhaler sempat juga diambil. Pintu bilik ditutup dan dia menuju ke kamar tetamu.

**********************

Darwina mencelikkan matanya. Air mata terus mengalir tanpa henti di pipinya. Sedikitpun dia tidak mampu menghentikan mutiara jernih yang terus menitis. Dia tidak menyangka bahawa Amirul akan masuk ke bilik air dan membahayakan diri sendiri. Bayangkanlah dalam keadaan cuaca malam itu yang sungguh sejuk selepas hujan senja tadi, ditambah pula dengan keadaan dirinya yang baru lelah, boleh pula dia mandi!

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu sanggup memilih tidur berasingan dalam keadaan tubuhnya tidak sihat. Kalau apa-apa yang buruk berlaku ke atas Amirul, dialah yang akan menyesal seumur hidup. Dialah yang patut dipersalahkan!

'Kalau dia sakit, siapa yang akan bantu dia nanti? Kalau dia perlukan apa-apa, siapa ada di sisinya? Sepatutnya aku yang jaga dia!' terus-terusan Darwina menyalahkan diri sendiri. Menyedari dia tidak mampu berbuat apa-apa, segera dia bingkas menunaikan solat sunat hajat memohon agar Allah memelihara Amirul.

Usai solat, kakinya terus melangkah ke kamar tetamu. Tangannya cuba memusing tombol pintu dengan harapan pintu itu tidak berkunci. Nyata, dia silap. Akhirnya, dalam longlai dia menuju ke kamar tidurnya. Air mata mengalir lagi.

*********************

Seminggu berlalu pantas namun lambat sungguh rasanya bagi Darwina. Rasa berdosa terus menghantuinya semenjak malam itu, dan hingga kini dia dan Amirul langsung tidak bertegur sapa. Ternyata rindu mula berputik di hatinya. Dia rindu akan senyuman lelaki itu. Dia rindu akan suara parau yang menegurnya dengan gurauan saban hari. Dia rindu akan cerita-cerita lelaki itu.

Telefon bimbit di sisi Darwina berbunyi. Nama Azmi tertera sebagai penghantar SMS. Langsung Darwina tidak hiraukan lagi. Dia serik. Disebabkan keasyikannya melayan Azmi itulah, tanggungjawabnya sebagai isteri terabai. Hakikatnya, dia bukan jatuh cinta pada Azmi. Dia hanya melayan Azmi sekadar untuk menunjukkan pada Amirul bahawa dia dan Syukri sedang bercinta. Ya, Azmi sekadar memegang lakonan sebagai Syukri. Bukankah Amirul menegurnya dahulu kerana tidak menghubungi Syukri?

"Kalau tidak salah aku, Syukri nama kekasih engkau. Sekarang sudah tukar jadi Azmi pulakah? Tidak sampai empat bulan pun, sudah tiga pasangan engkau dapat ya? Hebat sungguh engkau, tahniah aku ucapkan!" terkejut sungguh Darwina mendengar suara sinis Amirul. Pertama kali dia mendengar lelaki itu bertutur dengan nada sinis. Tentu dia nampak nama penghantar SMS itu.

"Aku..." belum habis Darwina menjelaskan, suara Amirul sudah memotong.

"Tidak perlu engkau jelaskan apa-apa. Balaslah SMS itu, sampai esok pagi pun tidak mengapa. Suami engkau ini hendak pergi lawat tapak projek. Harap-harap selamatlah ya suami engkau ini," terus sahaja Amirul melangkah. Tidak sampai empat langkah, dia berpaling.

"Aku tidak kisahlah mazhab mana yang engkau pakai, tetapi aku hanya hendak engkau fikir sendiri, apa hukumnya seorang isteri melayan lelaki lain sampai mengabaikan makan pakai suami sendiri. Sebesar mana dosanya. Assalamualaikum,"

Darwina terus mengejar Amirul namun tidak sempat. Lelaki itu sudah berlalu.

*********************

"Assalamualaikum," Darwina menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

"Apa?"

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Keyakinan Diri

Kita disuruh tawadduk tetapi tidak sampai meletakkan diri dalam kehinaan.
Kita disuruh yakin diri tetapi tidak sampai ujub.
Kita tidak pernah langsung disuruh meletakkan diri dalam sifat pengecut.

Kalau tiada keyakinan diri (macam penulis sekarang),
entah bilalah cita-cita dapat dicapai.
Secara ikhlas, keyakinan diri itu ada sedikit tapi malu menguasai.
Ya, ini dinamakan malu yang tidak kena pada tempat.
Malu hendak mengembangkan bakat yang tak seberapa agar menjadi lebih berupaya.
Malu hendak mengetengahkan karya yang sebenarnya insyallah berguna untuk maslahat Islam.
Memang malu yang langsung tidak berasas.

Sekarang, sambil mengorek keyakinan diri.
Sambil itu juga sedang mencari ilham untuk menyambung beribu-ribu patah perkataan.
Semoga Allah cepat datangkan ilham
Semoga Allah cepat datangkan keyakinan.

Pesanan buat diri dan semua,

ISLAM TIDAK MENGAJAR KITA UNTUK MALU MENEGAKKAN SYARIAT.
ISLAM TIDAK MENGAJAR KITA UNTUK MALU MENAIKKAN MARTABAT ISLAM.
ISLAM TIDAK MENGAJAR KITA UNTUK MALU BERHUJAH BUAT MASLAHAT ISLAM.
ISLAM TIDAK MENGAJAR KITA UNTUK MALU BERTAUBAT.

ISLAM MENGAJAR KITA UNTUK MALU KEPADA KEMAKSIATAN.
BUKAN BERERTI TIDAK MENCEGAHNYA.
TETAPI BERERTI MENJAUHINYA.
MALAH BERERTI MENGAJAK INSAN LAIN MENJAUHINYA.
KERANA DALAMNYA RASA MALU DAN BENCI KEPADA PERKARA YANG MEMALUKAN ISLAM ITU.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

If There's Another Way

I just cannot tell myself why am I feeling this way.
Now I'm disappointed.
I don't even care if now you're taken.
Enough with this stupid game, it's simply over.

I don't want your look.
I don't want your smartness.
I don't want your wealth.
I just want your Islamic way of life.

But now as I promise myself to only love Allah.
Love someone because of Allah.
Hate something because of Allah.
Everything has come to a meaningless point where everything should end.

I know you may not be the one.
I know you may also be the one.
As now I'm sitting here thinking it trough.
I know I couldn't be there for you.
You're doing more than that.
You don't even allow me to be there.

Enough.
End this nonsense.
You've let me go but I'm never ready to go.
Till the day.

The day that you changed.
You left your Islamic way of life.
Where's the rule of Muslim's life that make you let me go?
Isn't that strong enough for you to take care?

I think right now.
There is might still be love.
Love that need to be erased.
I just want someone to lead my life to Allah.

If there's another way for us again.
I want you to lead me in Islam.
If there's another way for us again.
Let Allah decide it for us.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Falsafah.. Sejauh Mana Kesahihannya ?

Perhatian buat sesiapa yang membaca,
janganlah menyaman diri ini kerana menulis artikel sebegini.

Hanya sekadar sedikit perkongsian pendapat,kerana ada juga falsafah yang ada pada hari ini,datang dari Barat dan ada sesetengahnya tidak selari dengan Islam.Kita tidak dilarang berpegang pada falsafah,asalkan kita benar-benar faham akan makna yang dibawa.Kadangkala sesetengah falsafah tidak berapa sesuai dengan cara hidup orang Islam, jadi falsafah yang sedemikian tidak sesuai kita jadikan pegangan. Selalunya falsafah yang tidak boleh kita pegang ini ialah falsafah cinta, sebab falsafah cinta dari sudut pandangan Islam tidak sama dengan apa yang dicanangkan media barat.Ya, kadangkala bukan setakat media barat bahkan media timur, media Malaysia sendiri pun serupa.

Untuk kali ini, kerana ilmu yang terbatas, cukuplah perkongsian yang termampu ini sekadar tentang falsafah cinta kerana memang jelas sangat kebanyakan falsafah cinta yang ada zaman sekarang tidaklah sesuai dengan apa yang Islam ajarkan.

1."Jangan pernah kita lepaskan insan yang kita sayang kerana kita hanya akan menemui insan seistimewa itu sekali sahaja dalam hidup kita, dan jika kita kehilangannya sekali tidak akan ada lagi yang kedua."

Bangkangan di sini ialah tentang takdir. Apa yang kita mampu ubah tentang takdir kita. Lazimnya falsafah ini digunakan untuk orang yang bercinta sebelum nikah sebagai satu layanan untuk perasaan cinta yang sangat mengasyikkan. Sebenarnya, ini sekadar propaganda yang menyebabkan seseorang yang jatuh cinta, hakikatnya walaupun pada usia muda yang tak ada kesediaan untuk bernikah pun, tidak sanggup untuk lepaskan saja perasaan itu.

Jawapan: Kun fayakun. Itukan firman Allah. Jadilah, maka jadilah. Soalnya sekarang kalau masih ada keraguan berdasarkan dalil Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri, jangan pula terlupa bahawa ajal dan jodoh itu ialah perkara yang kita tiada pilihan. Samada bercinta separuh gila atau sayang separuh mati pun, kalau dia bukan jodoh kita, tiada maknanya. Kalau kita benci tahap perang dunia sekalipun, kalau dia tertulis sebagai jodoh kita, then that's it. Tak perlu nak berjanji angkat sumpah sehidup semati, kalau kita lepaskan dia berlari sampai ke hujung dunia pun, silap-silap di Afrika Selatan pun boleh bertemu jodoh. Nothing would change that.Kalau lelaki, tulang rusuk anda tidak akan digunakan untuk menjadikan orang yang bukan jodoh anda. Kalau perempuan, anda tidak dijadikan dari tulang rusuk lelaki yang bukan jodoh anda.

2. "Jika anda mencintainya, lafazkanlah sebelum terlambat"

Sekali lagi bangkangan di sini ialah perkara yang hampir sama dengan yang tadi. Cuma di sini ada sedikit sentuhan tentang isu zina. Persoalannya, apakah relevan untuk melafazkan terlalu awal sebelum bersedia. Apa salahnya kalau bermujahadah melawan perasaan itu? Baiklah. Memang ada hadis yang menyuruh kita memberitahu insan yang dicintai tentang perasaan. Persoalannya itu atas dasar apa ? Dasar untuk mengambil insan itu sebagai teman hidup atau dalam maksud yang jelas untuk melangsungkan pernikahan. Sedangkan pada usia mentah, meluahkannya untuk apa ? Untuk dijadikan teman yang belum tentu menjadi jodoh kita. Sekadar teman berbuat dosa. Sekadar teman menghampiri zina.

Jawapan untuk pernyataan ini, kita lebih baik saja bertawakkal. Ya, tiada kejayaan tanpa usaha. Namun, jangan pula kita lupa bahawa matlamat yang suci tidak pernah menghalalkan jalan yang Allah tidak redha. Hakikatnya tiada istilah terlambat langsung sekiranya memang milik kita. Untuk apalah membazirkan luahan itu dan kemudian membuat orang menabur harapan, seterusnya apabila seruan jodoh jadi berbeza, harapan itu bakal kecundang. Dalam konteks ini tatkala kesediaan untuk bernikah belum ada, apa yang sebaiknya ialah menahan dahulu perasaan itu. Berdoalah. Jangan sambil berdoa sambil mengurat. Allah tidak suka perkara yang baik dan yang buruk bercampur aduk. Percayalah, kalau kita mendapatkan sesuatu setelah mujahadah yang perit, manisnya terasa jauh lebih bermakna berbanding mendapatkannya sekadar dengan berusaha tanpa ada mujahadah.Kalau kita dapat sesuatu setelah lama menanti dan berperang melawan perasaan, waktu memiliki kita pasti tahu menghargai.

3."Kita perlu bertemu dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan jodoh kita agar kita dapat belajar dari kekecewaan masa lalu."

Bangkangan di sini, adakah orang terdahulu yang salah itu sekadar tikus makmal untuk kita jadikan eksperimen? Adakah kita perlu bertemu dengan orang yang salah itu supaya tak kecewa di masa akan datang ? Mana dalil yang memberikan kita kepastian itu ? Ya, Allah mentakdirkan kita dengan orang yang salah untuk kita jadikan iktibar. Jangan pula lupa bahawa sepatutnya pengajaran yang kita perlu ambil juga adalah untuk menjauhi larangan Allah. Salahkah andai kita mujahadah untuk lawan perasaan hendak bercinta itu sehingga bertemu jodoh dengan yang sebenar? Kita sekadar meletakkan sedikit sisa perasaan pada tempat yang salah. Itukan lebih baik dari bercinta bagai nak rak dengan orang yang salah kemudian meninggalkannya dan berlalu dengan jodoh kita. Baikkah begitu?

Jawapan di sini, cinta sebelum nikah ialah haram. Tak ada gunanya kita mempertaruhkan pahala dan dosa, syurga dan neraka pada orang yang salah dengan harapan kita akan bahagia dengan cinta kita yang sebenar. Hal sedemikian hanya omongan kosong sahaja berdasarkan pemikiran mengikut akal berdasarkan nafsu. Kenyataannya, bukankah lebih baik kalau diri dan cinta kita terpelihara untuk jodoh kita? Kalau bimbang tidak bahagia kerana tiada pengalaman, lupakanlah kebimbangan yang datang dari hasutan syaitan dan nafsu itu. Bukan pasangan atau pengalaman yang memberi kita kebahagiaan. Sesungguhnya Allah sahaja yang memberi kebahagiaan.

Cukuplah sampai di sini dahulu perkongsian bersama semua. Semoga ada manfaatnya buat kita semua. Hingga jumpa lagi, wassalamualaikum..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Bila Jiwa Sudah Kacau

Tak tahu mengapa hati ini rasa kacau atas perkara yang kecil sangat.
Macam pelik sangat-sangat kalau nak difikirkan.
Okey maaf bahasa akan jadi sangat kacau bilau seiring otak kacau.

Mak nak pergi langkawi. Ada kursus induksi. So what?
Kena tunggu rumah tu biasalah.
But I just don't know why I'm so touched tonight.
Rasa sedih. Ala takut sunyi la tu.
Macam pelik je.

Yalah sejujurnya selalu mak tak ke mana.
Anak ni je yang slalu pergi rombongan, petandingan dan sbagainya.
Ada kawan yang teman ramai2.

So ini apa kes ?
Mak pergi kursus tok datang.
Maybe because I'm not so close to Tok.

Rasanya kepala ini ada memikirkan masalah lain.
Ya, masalah lain yang kacau otak aku.
Itu hanya sedikit saja yg cerita d atas.
Masalah peribadi, masalah jiwa, dan segala masalah!

Mirah, Kak Anis, Nurina, I NEED YOU NOW.

Then, whatz the prob huh ?
Argh, I'm not calm right now !
Seriously.

Maybe because a lot of things bothering me.
Oh, fine. Let it be.

3 hari dua malam tu kejap aje kan?
Menunggu seseorang dulu lagi lama kan ?

Oh, sila abaikan sajalah post yang tak betul ini.
Wayar di minda sambung ke jantung sedang ada masalah.

Maaf ya, dari jiwa yang sedang kacau !

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Gantung

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh...

Nampaknya sudah beberapa hari blog ini tidak update dengan siri terbaru novel mahupun artikel. Bukan niat untuk menggantungkan atau dalam proses membuang blog ini seperti blog-blog terdahulu. Namun, ada sedikit kesibukan yang menghalang.

Buat masa ini, nampak gaya mungkin novel di bahagian blog ini akan digantung seketika. Mungkin juga sekiranya apa yang dirancang menjadi, mungkin post-post novel akan dipadam separuh. Lagipun, sebenarnya masih ada lagi hasil karya yang perlu diberi perhatian. Secara jujur, ada satu lagi karya yang menuntut perhatian sehingga ana menaruh harapan lebih ke atas novel yang itu. Mungkin atas sebab itu juga, ana memilih untuk tidak menyiarkannya di blog.

Sekiranya blog ini diupdate, mungkin sekadar artikel biasa atau mungkin juga cerita. Sekiranya tidak, maknanya masih sibuk dengan aktiviti penulisan di luar blog. Rasanya buat masa ini, ana belum lagi mempunyai peminat untuk blog ini, jadi rasanya tiada masalah sangat. ^_^

Apa sekalipun, walaupun mungkin juga blog ini sekadar hasil nukilan yang mungkin syok sendiri, ana tidak mahu berputus asa. Penghargaan buat seorang ukhti yang sentiasa membantu ana dalam penulisan serta bertindak sebagai editor tidak rasmi ana. Jasamu kukenang.. =)

Oh ya, doakan ya semoga ana lekas dapat idea untuk habiskan novel Sekudus Nur Hidayah, mungkin sudah hampir sampai ke kemuncak cerita. Hehe. ^_^

Assalamualaikumwarahmatullahwabarakatuh... jazakumullahukhairankhatira..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (30)

Aisya sungguh tidak percaya apa yang didengarinya. Lama dia termenung panjang memikirkan cerita Zulfakar tadi. Perbualannya dengan Zulfakar telah membawanya kepada sesuatu yang tidak pernah difikirkan langsung selama ini.

***************************

"Abi pernah berkahwin dua kali sebelum abi berkahwin dengan ummi kamu, tetapi arwah isteri abi kedua-duanya sudah meninggal," itulah kata-kata Zulfakar yang pertama apabila dia meminta Zulfakar menceritakan kisah silamnya.


"Mereka meninggal sebab apa?" pantas Aisya bertanya apabila Zulfakar membisu agak lama. Boleh jadi dia memerlukan kekuatan untuk terus bercerita.


"Sebab dosa abi," wajah Zulfakar tampak sungguh sendu tatkala melafazkan ayat itu. Tampak jelas garis penyesalan di wajahnya. Air mata sudah bergenang di pelupuk matanya.


"Kalau abi rasa abi tak mampu nak terus bercerita, tak apalah. Sofea tak paksa," pantas Aisya berbicara. Kasihan pula dia melihat Zulfakar begitu.


"Tidak mengapa, Sofea. Abi akan cerita. Biarlah Sofea tahu siapa abi sebenarnya. Abi insan kotor. Abi banyak dosa!" terus sahaja Zulfakar memintas. Melihat Zulfakar ingin meneruskan bicara, Aisya memilih untuk terus diam sahaja.


"Dulu abi sudah ada hidup yang bahagia. Allah kurniakan abi sebaik-baik isteri dalam dunia ini. Allah pinjamkan abi seorang bidadari dunia. Abi dulu bernikah dengannya atas pilihan ibu bapa, tetapi pilihan mereka untuk abi memang terlalu sempurna. Nama arwah isteri abi, Elya Sumayyah," membulat mata Aisya mendengarnya. Bukankah itu nama arwah ibunya?


'Mungkin nama sahaja yang sama.' Aisya cuba menyedapkan hatinya sendiri, padahal dia tidak berdaya. Hatinya kuat menyatakan Sumayyah yang dimaksudkan ialah ibunya.


"Kami ada dua orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Dua-dua anak kami pintar dan baik. Yalah, ibunya pun solehah, tentulah dia bijak ajar anak-anak untuk beragama. Banyak sangat arwah isteri abi berkorban. Dulu, masa kami kemalangan, arwah sendiri pun kurang darah. Dia sanggup juga derma darah. Kemudian, arwah sendiri pengsan disebabkan kurang darah. Mujurlah ada penderma sebaik sahaja arwah lepas pengsan. Kalau tidak, waktu tu lagi mungkin arwah sudah meninggal," sayu Zulfakar menjelaskan.


'Rasanya kak long pernah cerita. Abang yang cedera parah masa tu. Kak long terima darah dan sembuh tidak lama selepas itu.' pantas Aisya teringat hal itu.


"Sayangnya, abi tak tahu nak menghargai. Selepas kemalangan tu, sistem peranakan arwah isteri abi ada masalah. Memang jarang abi boleh dapat layanan seorang isteri sebab dia cukup lemah. Doktor pun sahkan yang kemungkinan besar arwah sudah tidak boleh mengandung lagi selepas itu," lega sedikit hati Aisya mendengarnya. Kalau arwah isteri Zulfakar sudah tidak boleh mengandung selepas kemalangan, masakan pula dia boleh lahir sekiranya arwah itu ibunya.


"Mungkin sebab abi terlalu ikut nafsu, abi jadi tidak puas dengan layanan arwah isteri yang tidak seberapa, maklumlah sakit. Semuanya makin menjadi apabila umur arwah isteri sudah mencecah 40-an. Tubuhnya makin lemah, biasalah orang perempuan bila sampai umur 40-an, tambahan pula dengan sakitnya. Abi ada perempuan simpanan di luar. Waktu itu anak sulung abi tingkatan tiga, yang kedua tingkatan satu. Anak sulung abi masa itu sudah hendak ambil peperiksaan, tetapi abi selalu tiada di rumah. Dialah yang menanggung beban untuk menjaga ibu dan adik perempuannya," hampir menitis air mata Aisya mendengarnya.


"Apapun, anak isteri abi tidak pernah merungut. Abi bagi alasan kerja, mereka faham. Abi pun waktu itu ketika ada perempuan simpanan, abi tidak pernah tergamak hendak tinggalkan mereka. Ketika kekasih abi minta abang bercerai untuk berkahwin dengannya, atau setidak-tidaknya jadi isteri kedua, abi terus tinggalkan dia sebab abi sayangkan keluarga. Namun, semuanya berubah apabila abi bertemu dengan Suraya, seorang gadis dari Indonesia. Abi tidak tahu kenapa abi terlalu sayang dan ikutkan sangat kehendak Suraya, sampai abi abaikan kebajikan keluarga. Abi boleh selamba sahaja mengaku pada arwah isteri bahawa abi memang ada perempuan simpanan. Abi betul-betul kejam terhadap arwah isteri. Anak-anak langsung abi tidak ambil peduli. Abi tidak tahu apa yang merasuk abi. Apabila di luar, ada masanya abi terkenangkan keluarga. Namun apabila pulang,abi sendiri rasa panas apabila pandang arwah isteri. Abi rasa benci akan rumah itu," sambil menangis Zulfakar terus bercerita. Wajahnya benar-benar mendung saat itu.


'Seburuk apapun abi, kalau bertaubat dia betul-betul sudah suci.Lagipun, keadaan dia macam orang yang terkena jampi serapah sahaja.' Aisya cuba menyedapkan hati walaupun apa yang Zulfakar ceritakan memang sungguh aib pada pandangannya.


"Mungkin Allah cuba hendak sedarkan abi. Abi sendiri terkejut apabila arwah isteri abi mengandung lagi, padahal usianya 43 tahun. Waktu itu, abi sudah berura-ura hendak ceraikan arwah untuk berkahwin dengan Suraya. Abi betul-betul terkejut waktu anak sulung abi telefon abi tengah malam beritahu yang arwah isteri abi ditahan di hospital sebab pengsan. Alahan dia memang teruk waktu itu, tambah pula doktor kata rahim dia memang tidak kuat,"bertambah sayu Aisya mendengarnya.


"Sayangnya, abi buta dan bodoh. Abi tetap tidak ambil peduli hal arwah. Arwah sendiri menguruskan kedai makan bersama anak-anak. Abi nekad hendak nikah dengan Suraya sewaktu anak dalam kandungan arwah baru tiga bulan. Anak sulung abi yang hendak mengambil SPM tahun itu lagilah terbeban. Keputusan peperiksaan dia pun abi tidak pernah ambil tahu. Tanggungjawab mengurus keluarga semuanya terbeban di bahunya. Anak kedua abi pula hendak ambil PMR, tetapi kerjanya bertimbun-timbun. Abi tidak peduli. Cinta palsu pada Suraya membutakan abi," teresak-esak Zulfakar menangis. Dia sudah tidak malu lagi menangis di hadapan Aisya.


"Arwah sanggup tandatangan surat keizinan untuk abi kahwin dua sebab dia hendak lihat abi bahagia. Cuma dia tak sanggup bercerai sebab fikirkan anak yang masih bersekolah dan anak yang bakal lahir. Dia tidak mahu anak bongsu kami membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Abi sekadar bersetuju sahaja untuk belum bercerai, tetapi abi ambil keputusan untuk tinggalkan rumah itu. Walaupun isteri dan anak-anak halang, abi tidak peduli. Abi terlalu bodoh," seribu penyesalan menumpang di wajah Zulfakar. Aisya sekadar memandang sayu. Air matanya juga sudah berlinangan.


'Ya Allah, cucurilah rahmat ke atas roh wanita itu, meskipun aku tidak mengenalinya.'doa Aisya dalam hati. Namun seketika cuma apabila dia teringat sesuatu.

'Arwah isteri abi mengandung lagi ketika anak sulung SPM dan anak kedua PMR? Sama dengan tahun kelahiran aku!' fikir Aisya. Kepalanya sudah mula berat dengan persoalan.

"Er, anak abi yang bongsu lelaki atau perempuan?" dalam kesamaran, Aisya gagahkan juga dirinya untuk bertanya. Dia tidak sanggup berteka-teki lagi.Makin menjadi-jadi pula tangisan Zulfakar apabila mendengar soalan itu.

"Abi tidak tahu, Sofea. Abi betul-betul tidak tahu!" terus Zulfakar menyatakan sesalnya.

"Allah maha adil, Sofea. Abi bernikah dengan Suraya dengan mahar yang sangat tinggi. Sayangnya, tidak lama pun kami bertahan, Suraya minta cerai dengan abi sebab nak kahwin dengan kekasihnya, Firdaus. Lelaki itu hampir sebaya dengannya, lebih padan berbanding abi yang sudah tua ini. Abi sendiri tidak sangka dia sanggup buat abi begitu setelah dia sendiri yang dulu memujuk abi mati-matian agar bercerai dengan arwah isteri," Zulfakar menghela nafas panjang. Aisya pula terus diulit persoalan.

"Ketika abi hendak bawa dia keluar untuk pujuk dia, kami bergaduh dalam kereta. Memang dia agresif waktu itu sampai memukul abi yang sedang memandu. Tidak sangka, dia sanggup tolak stereng kereta. Abi cuba hendak kawal tetapi ada sebuah kereta hitam datang langgar kereta abi sampai terbabas. Kami kemalangan dan Suraya meninggal dunia. Abi sendiri tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Apa yang abi nampak cuma pemandu kereta hitam itu menelefon. Kalau tidak salah abi, lelaki itu Firdaus, tetapi abi tidak berani hendak menuduh sesiapa. Sampai sekarang,abi tidak pernah dedahkan kenyataan walaupun abi yakin, Firdaus sengaja langgar kereta abi," memang benarlah sangkaan Faizah dan Aisya selama ini. Memang kemalangan itu dirancang.

"Kenapa abi tidak dedahkan sahaja? Abi biarkan seorang pembunuh lepas lari," terus Aisya mengungkapkan sahaja pendapat dan persoalan di mindanya.

"Abi sudah banyak dosa. Tidak perlu dan tidak layak lagi untuk abi hendak dedahkan kesalahan orang,"

"Abi, ini bukan soal layak atau tidak layak lagi. Ini soal kebenaran. Abi tidak patut sembunyikan kebenaran. Abi, walaupun Suraya salah, tetapi arwah tetap tidak sepatutnya dibiarkan mati tanpa pembelaan.Abi hilang ingatan bukan selepas kemalangan itu? Abi patut tuntut bela!"

Akhirnya, Zulfakar terdiam. Melihatkan Zulfakar sudah tidak mampu untuk terus menyambung bicara, Aisya terus berlalu meninggalkan lelaki itu bertafakur sendiri. Zulfakar memikirkan kata-kata Aisya, sementara Aisya memikirkan kebenaran.

'Ya Allah, beritahulah aku, siapa sebenarnya aku? Adakah dia ayahku? Tolonglah khabarkan kebenaran untukku. Aku perlu petunjuk-Mu. Aku tidak tahu apa makna semua ini!' hati Aisya menjerit sendiri. Di dalam kamar, dia menangis sendirian. Semua yang didengarnya berputar bagaikan pita rakaman yang tersimpan di mindanya.

"Kak, tolonglah Sya. Sya tak mampu nak lalui semua ini seorang diri," rintih Aisya seorang diri. Barulah dia sedar, dirinya kini tandus kasih sayang, sedangkan itulah erti hakikat kehidupan. Betapa selama ini jiwanya gersang.

Ketika jiwanya dipalu resah, tiba-tiba matanya terpaku pada senaskhah tafsir Al-Quran di atas almari. Tafsir Al-Quran itu tampak berhabuk dan usang. Aisya pelik melihatnya, lantas dia mencuba untuk mencapai Al-Quran tersebut.

'Peliknya, ada juga Al-Quran berhabuk di rumah ini. Bukankah umi dan abi pastikan setiap naskhah Al-Quran di rumah ini sentiasa dibaca sekurang-kurangnya sekali sehari? Al-Quran ini kenapa dibiarkan. Musykil, musykil.' bisik hati Aisya. Tangannya baru sahaja hendak mengambil Al-Quran itu apabila dia teringat bahawa wuduknya telah batal. Lantas, dia mengambil wuduk sebelum mengambil Al-Quran itu semula.

Jemari Aisya pantas menyelak helaian demi helaian Al-Quran itu. Memang usang sungguh Al-Quran itu. Ketika sampai di halaman terakhir, jari yang tadinya tangkas menyelak terus terhenti. Mata Aisya membulat memandang sebaris nama yang tertera pada halaman Al-Quran. Air matanya pantas menitis.

"Elya Nur Hidayah Binti Ahmad Zulfakar. Memang tak salah lagi. Ayah ada dengan Sya, kak long!" Aisya bertutur dengan diri sendiri. Rindu terhadap kakaknya sudah tidak dapat dikawal lagi. Rasanya saat itu juga Aisya mahu membawa Zulfakar pulang ke kampung untuk bertemu dengan anak-anak yang ditinggalkan sekian lama.

**************************

"Abi biarkan seorang pembunuh lepas lari!"
"Ini soal kebenaran!"
Setiap patah kata-kata 'Sofea' bermain di minda Zulfakar. Jauh di sudut hati, dia sendiri mengakui kebenaran kata-kata 'Sofea'. Sayangnya, mati hidup semula pun kes itu sudah hampir 15 tahun berlalu. Adakah pihak berkuasa akan sanggup untuk menyiasat kes begitu?

Mungkin juga itu cuma alasan. Dia terlalu bimbang untuk mendapat pembelaan. Baginya, dia insan kotor yang tidak layak dibantu apalagi hendak dibela. Memang selayaknya dia diperlakukan begitu oleh Suraya dan Firdaus. Dia berlaku kejam pada orang lain, kemudian orang lain pula mengkejaminya. Aturan Allah itu Maha Adil.

'Ya Allah, apa yang patut aku lakukan?' fikir Zulfakar.

Lama berfikir, Zulfakar masih buntu. Akhirnya, dia mencapai telefon bimbitnya. Punat nombor ditekan sepuluh digit. Kemudian, telefon itu dilekapkan ke telinganya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (11)

Sebulan kemudian...

"Engkau hendak panadolkah?" soal Amirul. Sejak tadi, Darwina langsung tidak bangun dari perbaringan. Hari 'bendera merah' sudah diisytiharkan lagi. Sakit benar nampaknya Darwina sampai tidak bangkit memasak seperti selalu.

Darwina hanya mengangguk. Untuk ke dapur mengambil ubat sendiri, dia memang betul-betul tidak larat lagi. Sudahnya, dia membiarkan sahaja lelaki itu ke dapur mengambil ubat untuknya. Dia hanya menyimpan ubat itu di dapur kerana dia jarang mengalami sakit seteruk itu.

"Kalau tidak menyusahkan, tolong ambilkan aku air suam," pinta Darwina. Dia masih tahu mengirim diri. Tidak mungkin sesuka hati sahaja dia hendak mengarah bagaikan 'Lady Boss'.

"Tidak ada apa yang menyusahkan. Kalau hendak apa-apa lagi, cakap sahaja," ujar Amirul sebaik sahaja masuk ke kamar semula.

"Thanks." sepatah Darwina menjawab.Panadol yang dihulurkan itu ditelan sahaja.

"Welcome. Lagi satu, tidak perlulah kirim diri sangat. Aku ada tanggungjawab ke atas engkau. Apabila engkau sakit begini, minta tolong saja dengan aku,"

"Okey,"

"Er, Wynn. Boleh aku tanya sedikit?"

"Tanya sajalah. Engkau ada hak untuk bertanya," jawab Darwina lalu tersenyum.

"Engkau langsung tidak hubungi Syukri lagikah? Jangan buat Syukri macam apa yang Qistina buat pada aku. Aku lelaki, Wynn. Aku tahu bagaimana perasaan apabila orang yang kita sayang menyepi tanpa khabar," nasihat Amirul menyentap hati Darwina. Sudahnya Darwina hanya tunduk membisu.

"Aku nak tidur," akhirnya Darwina sekadar mengelak.

***************

"Engkau buat apa termenung di sini?" tanya Darwina lembut.

"Entahlah. Fikiran aku sangat tidak menentu. Macam-macam perkara bermain di minda aku,"

"Soal Qistina?" seperti biasa, telahan Darwina selalu tepat.

'Apa lagilah yang boleh buat engkau jadi begini kalau bukan Qis. Bukan sehari dua aku kenal engkau.' fikir Darwina. Dia sebenarnya berkecil hati namun tidak pula ditunjukkan.

"Sudah tiga bulan pun kita kahwin. Dia langsung tidak hubungi aku. Sejak pergi ke Australia, khabar tentang dia langsung tiada. Mungkin engkau anggap dia berkecil hati dengan komplot kita, tetapi dia sendiri yang setuju. Kalau engkau hendak tahu, sejak dia ke Australia, hanya sekali dia membalas e-mail aku untuk menyatakan persetujuan. Selain itu, aku langsung tidak pernah mendapat berita daripadanya. Aku cuba tanya ibunya nombor telefon barunya sekarang, sebab dia sudah tukar nombor telefon, tetapi ibunya tidak suka aku. Jangan haraplah dia hendak beritahu. Engkau bayangkanlah perasaan aku, apabila ibunya siap berpesan pada aku, kalau boleh jangan banyak berhubung dengan dia, takut pelajarannya terganggu. Kalau aku tidak hubungi anaknya langsung, aku pasti dia juga yang akan kata aku tidak serius dengan anaknya. Perangai ibu Qistina itu memang betul-betul memeningkan kepala aku," habis semua yang berlaku Amirul ceritakan pada Darwina. Tanpa disedari, Darwina sedang menahan bungkam di hati.

'Kalau kesetiaan itu untuk aku, mungkin engkau tidak akan merana begini.' fikir Darwina.

"Engkau memang betul-betul pencinta yang setia. Aku sendiri rasa perbuatan Darwina memang tidak patut. Sikap ibunya pun lagi satu masalah. Walaupun aku tidak kenal semua orang yang engkau ceritakan tadi, aku tidak suka perbuatan mereka. Atas rasional apa sekalipun,perbuatan mereka itu tetap menyakiti engkau. Engkau pula masih bertahan. Aku tidak sangka masih wujud lagi lelaki seperti engkau di dunia ini. Bukan semua lelaki sanggup bertahan dalam keadaan begini,"

"Wynn, apapun yang terjadi, cinta aku tetap untuk Qistina. Aku tidak mahu kehilangannya," luahan perasaan Amirul menikam sukma Darwina.

'Argh! Buat apa aku hendak kecewa atau cemburu? Cintanya milik Qistina!' jeritan batin Darwina terlalu kuat bergema dalam hati.

"Ya, aku faham. Bukan mudah untuk merelakan pemergian seseorang yang sangat kita cintai," mudah sahaja jawapan Darwina. Sebenarnya jawapan itu memaksudkan hatinya sendiri.

"Aku rindu Qistina,"

Darwina menepuk-nepuk bahu Amirul tanda memahami. Senyuman palsu dilemparkan khusus untuk suaminya. Dia sendiri sebenarnya sedih. Dia sedar, tiada guna mengharap cinta palsu yang tidak berbalas.

*****************

Lama Darwina termenung semasa makan tengahari. Tangannya asyik mengacau jus epal di dalam gelas menggunakan straw. Matanya memandang ke jalan raya tetapi fikirannya melayang. Melihat keadaan Darwina yang kurang baik, Ina mengambil pesanan untuknya. Apabila Ina ke tandas, Darwina masih mengelamun.

"Darwina, sudah habis engkau buat haji di Mekah?" soal Ina. Dia sudah pulang dari tandas, tetapi Darwina masih belum kembali ke alam nyata. Nampak sangat, fikiran Darwina sedang berserabut.

"Eh, apa engkau cakap tadi?" Darwina terpinga-pinga. Ina pula sekadar menggeleng. Dia sendiri kasihan melihat temannya bersikap begini.

"Engkau fikir soal apa? Amirul buat halkah? Teman wanitanya masih di Australia, bukan?"

"Sebab Qistina masih di Australialah aku jadi begini," Darwina melepaskan keluhan berat. Seksa sungguh rasanya menanggung beban di hati. Hakikatnya,beban itu dia yang cari.

"Wynn, this is not you. Tell me exactly what happened." terus Ina bersuara tegas. Tangannya sudah mengepal penumbuk.

'Amirul, engkau patut bersyukur kerana tiada di depan aku sekarang. Kalau tidak, silap-silap restoran ini menjadi saksi engkau kena penangan silat cucu Tok Salleh!' getus hati Ina. Dia tertanya-tanya, apa sebenarnya yang Amirul sudah lakukan.

"Nothing happened. I just cannot explain what am I feeling right now. He advised me not to keep myself away from Syukri. He asked me to contact that guy. But, the worst is, he misses Qis. He told me everything. Oh my God, he's suffering because of that girl! I can't help it but to feel jealous and hurt, when my own husband asks me to take care of another guy's love, and confess everything to me about his love for his girlfriend. It hurts me, Ina." hilang terus Bahasa Melayu dari bibir Darwina. Sedar tidak sedar, air mata sudah mengalir di pipinya.

"Syh, jangan menangis. Aku faham perasaan kau," pantas jemari Ina mengesat air mata yang mengalir di pipi Darwina. Dia tahu, Darwina betul-betul kecewa.

"Aku tidak boleh jatuh cinta padanya, Ina. Aku betul-betul tidak boleh! Aku sedar diri, tetapi kenapa perasaan aku meronta-ronta untuk memperoleh kasih sayangnya?" soal Darwina tanpa menghiraukan sesiapa di sekelilingnya.

"Sabar, Wynn, sabar. Ingat Allah," mati kutu Ina hendak memujuk apabila esakan Darwina makin menjadi-jadi. Dia akhirnya beralih tempat ke sebelah Darwina. Dipeluknya bahu wanita itu untuk memberi secebis kekuatan.

"Ina, kenalkan aku dengan mana-mana lelaki," Darwina bersuara nekad setelah tangisnya reda. Bulat mata Ina memandangnya.

"Engkau biar betul, Wynn!"

"Ya, aku serius. Aku hendak berkenalan dengan mana-mana lelaki melalui telefon bimbit. Aku tahu engkau akan cakap aku gila, tetapi aku sudah tidak tahan melihat suami aku merindui perempuan lain. Aku tidak tahan lagi sekiranya suami aku menasihati aku tentang Syukri. Aku hendak bertelefon dengan lelaki lain. Jika dia tanya, aku akan katakan lelaki itu Syukri. Engkau tidak akan faham, tetapi jiwa aku yang sedang terseksa. Aku hendak membalas perbuatannya, Ina. Aku tidak mahu menyeksa diri sendiri lagi," terus sahaja Darwina menyatakan tekadnya itu.

Akhirnya, dalam serba salah, Ina mengenalkan Darwina dengan sepupunya, Azmi. Dia sendiri rasa bersalah terhadap Amirul, namun apabila mengenangkan seksaan jiwa yang Darwina alami, dia menurut juga kehendak wanita itu.

'Ya Allah, engkau peliharalah sahabatku. Tolonglah. Pimpinlah dia dalam setiap tindakannya.' doa Ina dalam hati. Tanpa pengetahuan Darwina, secara senyap-senyap Ina hampir menghubungi Azmi untuk menjelaskan kedudukan sebenar, namun niat itu dibatalkan. Kalaulah nanti Amirul sudah menceraikan Darwina seperti janjinya, tiada salahnya kalau Azmi berkenan pada Darwina pula.

******************

Darwina sendiri serba salah, namun perasaan nekadnya mengatasi segalanya. Apabila mengenangkan statusnya sebagai isteri, dia betul-betul tidak sampai hati. Memang dia tidak mampu untuk menafikan, hatinya berbelah bagi antara dendam dan sayang. Dia masih kenal dosa dan pahala, tetapi kali ini rasionalnya betul-betul sudah hilang.

'Maafkan aku, Myrul.' air mata berlinangan di pipi Darwina. Pantas dia menyeka dengan jari sendiri.

'Argh! Wajar lagikah aku mohon maaf darinya? Dia sendiri yang mahu begini! Tiada maknanya lagi andai aku mencuba untuk menjadi isteri sempurna buat dirinya, sedangkan dia tak pernah ingin aku di sisinya.Myrul, kau betul-betul menyeksa aku.'

******************

'Ya Allah, dayuskah aku kerana menyuruh isteri menghubungi kekasih lain? Aku sendiri masih merindui wanita lain walaupun aku punya dia sebagai isteri. Aku hanya ingin dia bahagia. Aku tidak mahu dia setia pada aku. Aku tidak sanggup menyeksa bidadari sepertinya, sebab aku tahu aku akan meninggalkannya. Ampunkan aku!' fikir Amirul.

Dia dan Darwina langsung tidak bercakap sejak pagi tadi lagi. Entah mengapa, sedikit sebanyak hatinya rindu juga hendak berbual dengan Darwina. Ternyata, hatinya terusik dengan kehadiran wanita itu dalam hidupnya.

Qistina dan Darwina dua wanita yang berbeza. Kedua-duanya mengusik jiwa tiap kali nama mereka disebut. Tiada siapa yang mampu mentafsirkan gelojak hatinya. Saat mengingati Qistina, dia rasa berdosa menduakan cinta Qistina. Jika mengingati Darwina, dia rasa berdosa di atas tindakannya.

'Qistina, Darwina.. maafkan aku.' getus hatinya. Lamunannya hanya terhenti apabila suara Darwina memanggilnya ke meja makan. Wajah lembut Darwina direnung tanpa kata. Rasa bersalahnya makin menjadi-jadi.

Sepanjang waktu makan, masing-masing tidak bersuara. Kedua-duanya ralit melayan perasaan berdosa yang tersimpan. Sampai bila kisah ini akan terhijab, entahlah. Mereka saling tidak mengerti.

Malam itu, lena mereka diulit resah. Tidur mereka yang saling membelakangi menghalang mereka daripada melihat wajah masing-masing. Air mata mengalir deras di pipi Darwina, namun Amirul tidak mengerti. Sendu wajah Amirul menahan rasa, pasti Darwina tiada melihatnya. Segalanya kekal rahsia.

Dipendam sakit, diluah seksa. Tiada siapa yang akan mengerti hati mereka. Semuanya salah, semuanya dusta. Tiada yang benar lagi ketika semuanya suatu pembohongan. Tanpa mereka sedari, sesungguhnya pembohongan itulah yang menjadi bara. Pembohongan itulah hijab yang memisahkan hati mereka tanpa sedar. Kasih yang bermukim sekadar terpendam di balik dusta.

'Biarkanlah. Biarkanlah air mata menemaniku, untukku jalani sebuah kisah denganmu, kerna ini kisah kita.'

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Facebook !

Facebook boleh jadi perkara lagha kalau salah cara gunanya. Kalau bijak guna, itu saluran dakwah yang hebat. Di sini ana sekadar hendak berkongsi, di mana silapnya hingga facebook boleh menjadi perkara yang silap-silap membawa kita kepada perkara yang jatuh ke hukum haram. Wallahualambisawab.

1. Pendedahan aurat. Apabila gambar yang tidak tutup aurat pamer di facebook. Terutama muslimah. Antunna boleh fikir sendiri, apa hukumnya seorang perempuan tidak menutup aurat, bukan?

2. Medium pergaduhan. Fikirkan sendiri, apa hukumnya apabila saling memaki hamun dan mencarut bahkan putus silaturrahim? Khalayak dapat lihat, betapa banyak status saban hari yang dihiasi dengan kata-kata kesat.

3. Promosi maksiat. Kadangkala perkara-perkara maksiat seperti ber'dating' dan pelbagai perkara maksiat dicanang-canang pula di laman sosial. Tidak cukup dengan itu, ramai pula yang menekan butang 'like'. Tidakkah kita meraikan maksiat namanya itu?

4. Tabarruj. Gambar diedit sampai kelihatan macam artis korea! Apa antunna fikir lelaki di facebook semuanya tiada nafsu? Apa antunna yakin bahawa ikhwan di luar sana tidak akan rasa tergoda atau terangsang sama sekali? Kalau ada, antunna menanggung dosa.

5. Ikhtilat. Segala macam bentuk pergaulan, semuanya ada. Bukan main berani lagi bermesra-mesra. Jangan fikir, kerana tidak bersua, hanya di facebook, semuanya tak apa. Facebook tidak pernah menghalalkan yang haram.

6. Mengumpat. Ayuh renung, berapa ramai yang kita umpat di ruangan komen di facebook! Berapa ketul daging manusia yang sudah kita ratah? Astaghfirullahalazim.

7. Melalaikan ibadah wajib. Dek sibuk online, terlupa waktu solat. Kalau tidak pun, bertangguh soal ibadat wajib.

Astaghfirullahalazim. Ana sendiri mengaku, ana manusia tidak terlepas dari salah silap. Ana sendiri mengaku pernah jua melakukan antara kesalahan tersebut. Moga Allah sudi mengampuni kita semua. Allahuakbar!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Komplot Kita (10)

"Engkau okey?" soal Amirul. Setelah Ruzial melepaskan diri bersama teman lelakinya tadi, Amirul enggan mengejar lagi. Kalau ikutkan memang dia boleh mengejar, tetapi hatinya kasihan melihat reaksi Darwina tentang kata-kata Ruziah.


"Aku okey," Darwina sekadar menyedapkan hati Amirul sahaja. Hakikatnya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sakitnya hati mendengar kata-kata Ruziah. Segala yang didengarnya tadi umpama satu tamparan hebat yang singgah di pipinya.


"Maafkan aku atas kelakuan Ruziah tadi. Aku tidak sangka dia sanggup cakap begitu pada kau tadi,"


"Tidak mengapa. Bukannya engkau yang cakap begitu. Tidak perlulah engkau minta maaf,"


"Engkau pun satu hal juga. Kenapa paut lengan aku tadi? Kalau engkau tidak halang, aku rasa sudah lebam muka Ruziah aku kerjakan. Perangainya melampau," geram pula Amirul apabila mengingatkan tindakan Darwina tadi.


"Kalau engkau pukul dia, belum tentu dia dengar cakap engkau. Silap hari bulan engkau dengan dia jadi perang dunia ketiga pula!" tegur Darwina dengan nada berseloroh, sekadar untuk menjaga hati Amirul.


Larian mereka tidak dihabiskan. Sebaliknya, tikar dibentang dan mereka berkelah di situ. Kedua-duanya asyik bergurau senda hingga masing-masing terlupa hal tadi. Amirul yang tadinya sangat marah sudah hilang api kemarahannya. Ternyata, setiap kali bersama Darwina, wanita itu memang punya terapi ajaib untuk menenangkannya.


*******************


"Myrul, engkau tak pergi kerjakah hari ini?" soal Darwina. Dia sudah bersiap dengan pakaian kerja. Sangkanya tentulah Amirul bersiap lebih awal dan menunggunya di sofa seperti biasa, namun sebaliknya berlaku apabila lelaki itu lena di sofa dengan pakaian kerja yang sudah berkedut jadinya. Tiada siapa yang menjawab pertanyaan Darwina.


'Isy, aku pun terlebih bijak! Kalau sudah lena tentulah tidak jawab.' Darwina menuju ke arah Amirul. Dia berura-ura untuk mengejutkan lelaki itu, namun melihatkan wajahnya yang sedikit pucat, Darwina membiarkan sahaja Amirul terus lena di sofa. Dia melabuhkan punggung di sisi Amirul.


Tangannya menjamah dahi lelaki itu. Dek perasaan risau, malu dan segan entah dicampak ke mana. Memang benar jangkaannya, panas betul dahi Amirul. Dia menuju ke dapur untuk mengambil panadol lalu kembali ke sofa.


'Kenapalah aku 'bijak' sangat hari ini? Dia lena, macam mana hendak makan ubat?' fikir Darwina. Segalanya serba tidak kena. Dia malu dan tidak sampai hati hendak mengejutkan Amirul.Tiba-tiba, dia kakinya tersadung di meja kopi dan terus rebah di atas Amirul yang sedang lena!


'Ya Allah! Malunya aku. Minta-minta janganlah dia terjaga. Sudahlah dia demam, kena hempap pula.'


"Mmm..Err..." lelaki itu terjaga tetapi masih mamai. Seketika kemudian, barulah matanya dapat menangkap susuk tubuh Darwina yang masih berada di atas badannya. Terbeliak terus matanya!


"Ya Allah, Myrul! Engkau dah terjaga?" merah padam muka Darwina. Malu sungguh dia!


"Mana tak terjaga kalau ada perempuan cantik tidur atas badan aku," usik Amirul. Bertambah merah wajah Darwina.


"Isy, jangan hendak menggatal! Aku bukan sengaja hendak landing atas badan engkau. Kaki aku tersadung meja kopi tadi," pantas Darwina menjelaskan. Di mindanya sudah terbayang perkara yang bukan-bukan.


"Aku tidak cakap apa-apa pun. Otak engkaulah agaknya yang menerawang," seloroh Amirul. Entah ke mana hilangnya sakit kepala yang dialami sejak subuh tadi.


"I'm sorry. Aku tidak sengaja. Engkau tidak pergi kerjakah?" soal Darwina lembut. Dia malas hendak berkasar dengan orang sakit.


"Alhamdulillah, dah baik rupanya perangai isteri aku!" makin merah muka Darwina mendengar kata-kata itu.


'Isteri? Yakah isteri? Eh, memanglah! Akad nikah sah,tahu?' getus hati Darwina. Semuanya sudah jadi serba tidak kena.

"Engkau belum pergi kerja lagikah? Maaflah hari ini aku tak dapat hantar engkau. Ambillah kunci kereta atas rak, aku simpan semalam. Petang nanti aku ambil engkau di pejabat," soal Amirul. Kepalanya masih berat. Bahaya juga kalau memandu dalam keadaan begitu.

"Engkau tak larat ya?" Amirul sekadar mengangguk.

"Tak apalah, aku tidak jadi pergi kerja hari ini. Lagipun, sudah lewat. Aku temankan kau sajalah," sejurus selepas menuturkan kata-kata itu, Darwina menyuruh Amirul makan panadol dan tidur di bilik.

"Waktu makan tengahari nanti aku kejutkan engkau," selepas itu, Darwina menyalin pakaian kerjanya lalu duduk di katil. Dia mengambil novel yang dihadiahkan oleh Amirul beberapa hari lepas, lalu dibacanya untuk menghabiskan masa. Kalau dia hendak memasak sajian tengahari, masih terlalu awal.

************************

Waktu makan tengahari, Darwina membawa masuk sepinggan makanan dan seteko air untuk Amirul. Dia tidak mengejutkan lelaki itu terlebih dahulu. Kalau dia mengejutkan Amirul, tentu lelaki itu berkeras hendak pergi makan di meja makan. Dia mahu lelaki itu berehat secukupnya. Kalau dia sendiri yang demam pun, memang Amirul akan melakukan hal yang sama.

"Myrul, bangun makan," Darwina mengejutkan Amirul sekadar dengan memanggilnya, tetapi tiada respon.

'Lena sungguh mamat ini tidur. Sah-sah penangan panadol yang aku bagi tadi.' fikir Darwina. Akhirnya, mahu tidak mahu, dia menggoncang sedikit bahu Amirul.

"Er.. Oh, Wynn. Maaflah, tidak sedar langsung tadi,"

"Tidak mengapalah. Aku faham. Engkau kan tidak sihat," lembut suara Darwina menampar cuping telinga Amirul. Tersentuh hati lelakinya dengan kelembutan seorang isteri. Malu pun ada tetapi dia senang begitu.

"Lauk engkau mana? Tidak mahu makankah?" soal Amirul.

"Tidak mengapa. Engkau makanlah dulu," hakikat sebenar, Darwina memang tidak berselera hendak makan apabila tiba hari 'bendera merah'. Selalunya, sepanjang hari dia hanya makan makanan ringan kalau uzur begitu.

"Engkau makanlah sekali. Seganlah aku makan seorang," pelawa Amirul sambil mengerutkan dahinya. Dia kurang senang apabila Darwina asyik membantunya hingga diri sendiri diabaikan.

"Er, aku tidak mahu makan makanan berat hari ini," teragak-agak Darwina menjawab.

"Sudah hampir waktu zuhur, pergilah ambil wuduk. Aku boleh makan sendiri," tegur Amirul, namun Darwina tidak menyahut. Wajahnya kemerah-merahan.

"Oh! I got it. Sorry." pantas Amirul mengangkat tangan seperti gaya orang yang diacu pistol. Dia tahu, Darwina pasti naik angin apabila isu sensitif seperti itu dibicarakan. Darwina hanya mencebik sahaja. Wajahnya merah padam.

"Sudahlah tu, pergi ambil wuduk!" pantas Darwina mencari alasan.

"Engkau nak habiskan nasi aku ya?" sela Amirul. Memang benar, nasi dalam pinggannya masih berbaki separuh. Lauk pun masih banyak. Darwina terdiam, dia tahu dia tersalah cakap. Malu menguasai dirinya lagi.

Amirul sekadar tersenyum. Dia terharu sebenarnya dengan layanan Darwina. Perempuan itu melayaninya dengan lembut walaupun lawaknya berbisa. Wajah ayu Darwina direnung mesra.

"Kenapa tenung aku?" hairan Darwina melihatnya.

"Thanks." Amirul tersenyum mesra, nampak tampan di mata Darwina. Darwina sekadar melarikan pandangan. Malu bermukim di dadanya.

*********************

Selepas makan tengahari, Darwina mengajak Amirul ke klinik. Mulanya, Amirul enggan namun setelah puas dipujuk, barulah dia bersetuju. Darwina terus bersiap dan masuk ke tempat pemandu.

"Engkau memandukah?" soal Amirul.

"Orang sakit kena duduk diam-diam di sebelah. Jangan cakap banyak," memang bunyinya seperti seorang komander, tetapi itulah satu-satunya cara untuk memujuk Amirul tanpa banyak soal. Darwina tahu dari cara Amirul memerhatikannya, lelaki itu dihujani rasa bersalah.

"Aku memang menyusahkan engkau," terus Amirul bersuara selepas Darwina mengunci pagar lalu masuk ke dalam kereta.

"Kalau engkau tunaikan tanggungjawab sebagai suami, tidak ada salahnya kalau aku tunaikan tanggungjawab aku sebagai isteri," mudah jawapan Darwina. Dia terus memandu sambil mendengar radio.

Pulang dari klinik, Amirul merenung MC yang diperolehnya. Dia mendapat cuti sakit selama tiga hari. Susah juga kalau begitu.

"Wynn, esok aku hantar engkau ke pejabat macam biasa ya,"

"Tidak perlu. Aku ambil cuti tiga hari untuk teman engkau. Aku sudah beritahu setiausaha aku," selamba Darwina menjawab. Dia memang tidak akan bekerja selagi Amirul belum sembuh. Akhirnya, lelaki itu diam sahaja. Dia tahu tiada guna bertekak dengan Darwina.

"Kenapalah engkau baik sangat, Wynn?" gumam Amirul.

"Apa engkau cakap tadi?" soal Darwina. Dia gagal menangkap bait kata yang diucapkan Amirul.

"Er, tiada apa-apa. Aku mengantuk sebenarnya," Amirul mencipta alasan.

Selepas itu, Amirul terlelap hingga mereka tiba di rumah. Tidak diduga, mimpinya ditemani wajah Darwina. Apabila terjaga, dia meraup muka. Khuatir mula menjelma, bimbang cintanya pada Qistina semakin goyah.

'Maafkan aku, Qis.' fikir Amirul. Hatinya sarat berdoa, semoga semua ini hanyalah bisikan hati yang akan pergi bagai angin lalu. Jiwanya makin tidak keruan. Segalanya tampak salah di matanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (29)

"Assalamualaikum," suara Rifhan kedengaran di luar pintu. Hidayah bagaikan sukar mempercayai telinganya. Tidak pernah Rifhan pulang menjenguk sejak mereka tinggal berasingan, malah kehadirannya di rumah Rifhan tempoh hari pun tidak diterima.


Hidayah menangis hiba di tingkat atas. Dia tidak menduga abangnya sendiri sanggup menolak kehadirannya tempoh hari. Lelaki itu membenci dirinya. Salahnya juga kerana jatuh cinta pada abang sendiri. Namun cinta memang tidak boleh dipaksa.


'Kau telah pergi. Kenapa kini kau hadir lagi?' bisik hati Hidayah.


'Bodoh! Dia pergi tapi kembali, sebab hidup dan mati, dunia dan akhirat, dia abang kau!' pantas akal menjawab persoalan itu. Hidayah masih berteleku sendiri. Dia tidak kuat untuk pergi membuka pintu buat Rifhan.


'Tak mungkin aku akan putuskan sebuah persaudaraan semata-mata kerana cinta fana bisikan syaitan.' Akhirnya Hidayah keluar juga membuka pintu buat abangnya. Lelaki itu tersenyum manis. Hidayah melarikan pandangan. Dia tidak betah bertentang mata dengan abangnya, seorang lelaki yang telah mencuri hatinya. Mereka masuk bersama ke dalam rumah. Pintu dan tingkap segera dibuka kerana enggan menimbulkan fitnah.


"Ada apa abang datang sini?" tegas suara Hidayah. Dia tidak berniat mengasari abang sendiri, tetapi kalau tidak begitu, mungkin sahaja dia rebah menangis di pundak Rifhan. Dia pasti tidak mahu begitu, dan dia tahu, Rifhan pun tentu tidak mahu.


"Abang sudah tidak boleh datang menjenguk adik sendiri lagikah?" soal Rifhan semula. Nyata dia agak terasa hati dengan bicara Hidayah.


"Hidayah masih adik abang lagikah? Seorang adik yang mencintai abang sendiri bukankah tidak layak lagi menjenguk abangnya? Adakah abang masih ada hak itu sekiranya abang telah nafikan hak Dayah?" soal Hidayah bertubi-tubi. Rifhan terdiam. Dia tahu Hidayah masih kecewa.


"Abang minta maaf banyak-banyak. Abang cuma tidak mahu Dayah ke sana sebab abang takut orang buat fitnah lagi,"


"Jadi, abang datang ke sini tidak takutkah fitnah orang?" perli Hidayah sinis.


"Dayah, abang datang sini hendak berdamai, bukan hendak bergaduh. Cukuplah. Sudah terlalu lama kita bersengketa begini,"


"Baru abang ingat hendak berdamai? Selama ini, abang tidak pernah pula kisah!"


"Abang minta maaf. Abang mengaku abang salah," Rifhan terus mengalah sahaja. Dia tahu marah Hidayah perlu disurutkan.
"Mudahnya abang bercakap. Maaf ya? Semudah itukah abang boleh ubati luka yang abang sendiri toreh di hati Dayah?" sudahnya, tangan Hidayah dicapai lalu dikucup ibarat tangan seorang ibu. Hidayah tergamam.


"Abang minta maaf atas segalanya," keadaan mula reda setelah Rifhan memohon maaf.


"Abang datang ke sini ada hajat hendak sampaikan,"


"Apa?" Hidayah sudah mula berlembut.


"Abang hendak nikahkan Hidayah dengan kawan abang. Rizal namanya. Dia berkenan pada Hidayah," bagai mahu luruh jantung Hidayah mendengarnya. Air mata terus berlinangan tanpa mampu diseka.


"Sampai hati abang,"


"Syy, jangan menangis lagi. Ini semua demi Hidayah juga," air mata Hidayah dikesat lembut oleh Rifhan, namun terus sahaja mengalir tanpa henti.


"Abang tahu Hidayah cuma sayang abang, kan?"


"Abang tahu," Rifhan berusaha untuk berlaku tegas. Dia tidak boleh menunjukkan bahawa dia lemah. Dia tidak boleh membiarkan Hidayah tahu bahawa mereka saling cinta. Hidayah tidak boleh tahu.


"Jadi, kenapa suruh Hidayah kahwin?"


"Sebab abang nak ada orang yang jaga Dayah,"


"Dayah cuma hendak abang jaga Dayah. Dayah tak mahu sesiapa selain abang,"


"Abang tak mampu," Rifhan menggeleng keras.


"Semua ni akan berakhir. Takkan selamanya orang fitnah kita,"


"Semua ini akan berakhir tetapi abang tetap tidak mampu menemani Dayah. Takkan selamanya abang hanyut dalam cinta buta ini. Haram hukumnya,"


"Dayah rela sendiri, tunggu abang sampai bila-bila,"


"Tak mungkin,"


"Kenapa?"

"Abang dah melamar Fatimah," air mata Hidayah tumpah lagi tanpa mampu disekat.

Rasa kehilangan menyelubungi setiap inci pembuluh darahya. Berkali-kali dia membohong hati, nyata cinta itu tetap bukan miliknya. Air mata itu tidak akan mampu mengubah apa-apa. Segalanya telah termaktub sejak azali. Hanya dia yang belum mampu meredhai.

'Oh tuhan, sampai bilakah cinta ini kan terhijab?' bisik hati Hidayah ditemani air mata. Rifhan di sisi hanya mampu membisu, bungkam sendiri. Rasa bersalahnya tidak mampu ditahan lagi. Akhirnya dia melangkah pergi, meninggalkan Hidayah sendiri. Dia tidak berdaya untuk terus di sisi Hidayah.

*******************

"Assalamualaikum, Kak Dayah," suara Mizah kedengaran di hujung talian.

"Waalaikumussalam, Mizah. Ada apa? Aisya macam mana, sihat?" soal Hidayah. Suaranya serak kerana terlalu banyak menangis,namun ditahannya jua.

"Er, Aisya ada telefon Kak Dayah tak dalam dua tiga minggu ni?" Mizah memulangkan soalan. Dia sudah dapat mengagak jawapannya berdasarkan reaksi Hidayah. Apapun, dia tetap cuba bertanya.

"Sejak dia pindah duduk dengan kamu semua, manalah dia ingat nak telefon kakak di kampung ni," lirih suara Hidayah. Hatinya kesal akan sikap Aisya yang lupa akan keluarga setelah berhijrah ke bandar.

"Kak, Mizah harap kak sabarlah ya," takut-takut Mizah meluahkan. Dia tahu, Hidayah pasti akan mengamuk apabila mendengar apa yang ingin disampaikan olehnya.

"Kenapa Mizah? Apa dah jadi? Mizah!" tepat telahan Mizah. Suara Hidayah kedengaran sungguh panik.

"Er, sebenarnya Aisya hilang. Sudah dua tiga minggu dia tidak balik ke rumah kami. Kami fikir dia balik kampung, tetapi setiap kali telefon dia, telefon bimbitnya sudah ditamatkan talian. Kami tidak tahu dia di mana sekarang,"

"Ya Allah!" jerit Hidayah.

"Kak, Mizah minta maaf,"

"Minta maaf tak boleh pulangkan adik kakak, Mizah! Mizah tunggu di Stesen LRT Jalan Dato' Keramat jam lima pagi nanti. Kakak nak pergi sana," Hidayah sungguh panik. Dia terus mematikan talian dan menyiapkan barang ala kadar.

Habis sahaja semua barang dikemas, dia segera menunggang motosikal ke sebuah kedai sewa kereta. Sebuah kereta Proton Saga disewa dan dia terus memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan kepada sesiapa akan pemergiannya.

"Eh, Zal! Itu Dayah,kan?" panggil Hafiz apabila melihat Hidayah masuk ke dalam perut kereta dan terus memandu laju. Dia sebenarnya sedang membantu Rizal untuk memilih kereta.

"Ha'ah! Apa dia buat dengan kereta sewa tu? Dia hendak ke mana?"

"Jom kita tanya Encik Lim," dua lelaki itu pantas menuju ke arah majikan Hafiz.

"Encik, tadi ada seorang perempuan yang sewa kereta Proton Saga warna biru tua kan?"

"Ya. Kenapa?"

"Dia ada cakap ke mana dia hendak pergi?"

"Katanya hendak ke Kuala Lumpur cari adiknya," mendengar kata-kata itu, Rizal pantas menelefon Rifhan. Dia memaklumkan hal itu lantas menyewa sebuah kereta. Apabila Rifhan sampai, mereka terus memulakan perjalanan. Mereka mahu mengekori Hidayah sekiranya mampu.

*********************

Jam sudah menunjukkan angka 3.45 pagi. Hidayah masih belum tidur. Dia memandu kereta dengan laju tanpa rehat langsung sejak petang tadi. Matanya sudah mula merah kerana mengantuk, tetapi dia tetap meneruskan pemanduannya. Dia perlu tiba di Stesen LRT Jalan Dato' Keramat jam 5.00 pagi.

Pemanduannya sudah kurang stabil. Kelajuan keretanya sudah perlahan sedikit berbanding petang tadi kerana keletihan. Rifhan dan Rizal sudah berjaya menjejaki kereta yang dipandu oleh Hidayah walaupun kelajuan yang berbeza menyebabkan mereka gagal menyaingi kereta Hidayah. Dari belakang, mereka memerhati penuh risau kerana gaya pemanduan Hidayah nampak kurang stabil.

"YA ALLAH!" jerit Rifhan dan Rizal apabila apa yang mereka takuti benar-benar berlaku.

Kereta yang dipandu Hidayah tersalah memasuki lorong kanan sementara sebuah lori balak sedang memecut laju ke arah keretanya. Kereta Hidayah hanya terbabas sedikit ke lorong kanan, namun disebabkan dia di tempat pemandu sebelah kanan, berlaku impak pelanggaran dahsyat. Kereta Hidayah terus terbabas ke penghadang jalan. Lori tersebut terus berhenti pada kadar segera, namun pelanggaran yang dahsyat telahpun terjadi. Sekelip mata, segalanya bertukar menjadi igauan ngeri.

"Allahuakbar..." lafaz Hidayah sebelum segalanya sirna dari pandangan mata.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (28)

Rizal bertemu dengan Fatimah bertemankan adiknya Fahmi. Fatimah sendiri ditemani oleh Fatin, Syafiqah dan Husna. Fatimah sudah sedia maklum bahawa tujuan Rizal menemuinya di rumah itu adalah untuk tujuan merisik Fatimah bagi pihak seseorang. Namun dia tidak tahu pula siapa gerangan lelaki yang diwakili oleh Rizal.

Hakikatnya, dia betul-betul mengharapkan biarlah orang lain yang mewakili Rizal untuk merisiknya. Jauh di sudut hati, dia amat mengagumi peribadi pemuda itu. Sikap wara' yang dipegang oleh lelaki itu memang berjaya menambat hati wanitanya. Sejak dahulu lagi, dia memang menyimpan impian agar dirinya dimiliki oleh seorang putera agama.

'Mungkin juga aku bukanlah wanita yang layak untuknya. Diriku kotor dan banyak dosa. Jodohku mungkin dengan insan lain. Dia terlalu hebat untuk aku miliki.' begitulah cara Fatimah memujuk hati saban hari sejak mengetahui hasrat Rizal untuk mewakili seseorang untuk merisiknya.

"Assalamualaikum. Ana Rizal, datang mewakili seekor kumbang yang berhajat menyunting ukhti. Ana datang sebagai perantaraan kerana pihak sang kumbang segan, dikhuatiri timbul perkara lagha kalau dia berjumpa anti. Dia pun sedia maklum anti tiada wali mujbir," Rizal sopan memperkenalkan diri. Dia bimbang juga kalau-kalau Fatimah masih belum mengenalinya. Fatimah hanya tertunduk malu, keadaan itu akhirnya memaksa Husna untuk bersuara.

"Waalaikumussalam. Ana Husna, teman serumah Fatimah Nazifa. Asif jiddan, teman ana ini memang pemalu benar orangnya. Harap pihak anta tidak berkecil hati," seperti tadi juga, Fatimah masih tertunduk malu. Dia langsung tidak berani mengangkat pandangan.

"La ba'sa. Ana tidak kisah. Bukankah malu itu syauqah buat mawar yang sedang mekar di taman larangan?" seloroh Rizal cuba menghidupkan suasana. Hakikatnya, Allah sahaja yang tahu apa yang dia rasakan.

'Fatimah, engkau tertunduk menahan malu. Aku di sini terpaksa mengangkat wajah untuk tetap berani walaupun malu dan kecewa menerjah ke dadaku.' getus hati Rizal. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia membuat lamaran atas namanya sendiri. Peribadi Fatimah tampak terlalu sempurna pada kaca mata imannya.

"Jadi, ana rasa tidak perlu bertangguh lagi. Berlama-lamaan begini, takut jadi ikhtilat pula. Boleh ana tahu siapa akh yang ingin menyunting teman ana ini? Ana yakin, mawar di taman ini pun ingin tahu juga gerangan kumbang yang berani menghulurkan salam taaruf untuknya," mahu tidak mahu, Husna terpaksa mengambil peranan sebagai jurucakap setelah Fatimah kelihatan malu sampai tidak bersuara. Hairan juga dia melihatnya.

"Ana datang membawa hajat taaruf daripada rakan ana, Rifhan Fazly. Akh itulah yang memohon agar ana mewakilinya untuk menyampaikan hajat kepada ukhti Fatimah,"

Suasana terus sepi. Pelbagai reaksi berlegar di minda setiap insan pada saat itu.

'Ya Allah! Belumpun elok hubunganku dengan Hidayah, Engkau timpakan pula dugaan cinta abangnya. Ya Allah, apa sebenarnya yang tersirat di sebalik semua ini. Aku tidak berdaya, Ya Allah.' fikir Fatimah. Rasanya mahu saja dia menangis di situ juga.

'Rifhan ingin bernikah dengan Fatimah? Apakah maknanya selama ini aku cemburu pada Hidayah? Rupanya sahabatku yang jadi pilihannya. Mengapa bukan aku?' monolog Fatin.

'Ya Allah, peliharalah persahabatan kami semua. Cukuplah dulu Fatin sanggup memfitnah Hidayah semata-mata kerana Rifhan, janganlah Fatimah pula mendapat nasib yang sama!' Syafiqah sudah mula risau, tangannya menggenggam erat tangan Fatimah dan Fatin. Kedua-duanya sejuk sekali.

'Lelaki yang buat sumbang mahram itukah yang hendak jadi suami Fatimah? Na'uzubillah!' fikir Husna. Baginya lelaki tidak layak buat Fatimah, sahabatnya yang berperibadi mulia dan berpelajaran pula.

'Ya Allah, kuatkanlah jiwa aku! Aku tidak mampu berlama-lama di sini. Aku betul-betul tidak tahan menjaga pandanganku Ya Allah. Kuatkanlah aku untuk menafikan perasaan aku pada wanita ini Ya Allah! Jauhkanlah aku darinya kalau memang tiada jodoh antara kami.' Rizal masih berperang dengan hatinya sendiri.

"Er, maaf ana menyampuk. Hanya satu sahaja yang ana ingin jelaskan sebelum kita bincangkan hal taaruf. Boleh izinkan ana bersuara?" Fahmi, adik Rizal, menyampuk sebentar setelah lama semuanya membisu. Setelah mendapat keizinan, dia pun meneruskan bicara.

"Ana faham mungkin pihak ukhti akan berbelah bahagi untuk menerima risikan ini kerana fitnah yang hebat dibicarakan di kampung ini. Mungkin pihak ukhti juga akan serba salah dan meragui akh Rifhan kerana fitnah sumbang mahram antara akh dengan Hidayah, adik perempuannya. Ana di sini hendak membetulkan keadaan kerana ana berani menjunjung Al-Quran dan bersaksi bahawa semua itu fitnah belaka. Mereka tidak pernah melakukan sumbang mahram. Ana menjadi saksi kesucian Hidayah,"

"Asif jiddan. Ana rasa anta tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kesaksian begitu. Anta ada bukti yang jelaskah?" soal Husna. Hatinya masih ada su'zhon yang mengatakan boleh jadi Fahmi sedang membela Rifhan semata-mata.

"Hidayah pernah membuat pemeriksaan dahulu untuk membuktikan kesuciannya. Waktu itu, ana yang menghantar Rifhan dan Hidayah ke klinik swasta. Hidayah disahkan masih suci oleh doktor yang merawatnya. Sayangnya, tiada siapa yang hendak percaya kerana selepas itu masih ada lagi yang menabur fitnah," kata-kata Fahmi buat semuanya terkejut. Tiba-tiba, Fatimah yang lama tertunduk terus bersuara.

"Sesungguhnya apa yang anta katakan itu benar. Hidayah ialah teman baik ana walaupun beza umur ana dengannya agak jauh. Ana sudah tidak larat hendak mengira lagi berapa kalikah Hidayah pernah menangis kerana kesuciannya yang telah dipertikaikan. Demi Allah, ana mohon kepada semua, percayalah, Hidayah seorang wanita yang mulia. Dia tidak pernah melakukan segala apa yang dituduh ke atasnya selama ini. Ana kenal siapa dia. Dia bukan tidak boleh bernikah. Dia boleh sahaja bernikah. Sudah banyak risikan yang dia tolak. Semuanya bukan kerana kesuciannya dirampas oleh akh Rifhan, tetapi kerana adiknya Aisya. Fitnah yang mengatakan Aisya pergi kerana hamil anak zina juga tidak benar sama sekali. Dia berpindah mengikut rakan-rakannya yang menuntut di universiti. Dia tinggal bersama mereka. Sebelum dia ke Kuala Lumpur dahulu, Rifhan memaksa Aisya ke klinik untuk buat ujian kehamilan bagi membuktikan kepalsuan tuduhan itu. Ana masih simpan laporan kesihatan Aisya, Hidayah tertinggal di bilik ana ketika dia datang ke sini dua minggu lepas," Fatimah beransur ke biliknya untuk mengambil laporan itu.

Sebaik sahaja masuk ke bilik, Fatimah menangis sambil mencari laporan itu. Nyata, laporan itu masih ada dalam lacinya.

'Ya Allah, peliharalah hatiku. Jangan sampai aku jadi tidak redha pada takdir-Mu. Sekiranya Rizal bukan untukku, jauhkanlah diriku daripadanya.' bisik hati Fatimah. Dia segera mengambil laporan itu lalu menemui semua yang hadir di ruang tamu.

"Ini laporannya," laporan pemeriksaan kesihatan Elya Aisya Humaira bertukar tangan. Seorang demi seorang membaca laporan kesihatan itu. Jelas sudah, gadis itu tidak pernah berzina. Fatin memendam rasa bersalah terhadap Hidayah.

Setelah keadaan mula reda, Rizal akhirnya bersuara.

"Nampaknya salam taaruf ini telah membongkar banyak perkara, alhamdulillah. Izinkan ana berbalik kepada tujuan asal kedatangan ana dan Fahmi ke mari. Ana ingin mohon kepastian daripada ukhti Fatimah. Sudikah ukhti menerima risikan ana mewakili akh Rifhan, agar nanti boleh ana aturkan majlis taaruf?" Suasana sepi lagi. Fatimah berbisik sesuatu di telinga Husna. Sejurus kemudian, Husna bersuara lagi.

"Asif jiddan. Nampaknya pihak perempuan masih memerlukan masa untuk berfikir. Maklum sahajalah, soal nikah kahwin ini, perempuan lebih perlu berfikir panjang, kerana talak di tangan suami. Andai tersalah tingkah, banyak pula hal yang mendatang. Harap pihak anta dapat memahami dan bersabar dahulu," Rizal dan Fahmi redha. Setelah habis urusan, mereka berdua beransur pulang.

'Maha Suci Allah, setiap satu kejadian-Nya disertai hikmah yang terlalu berharga. Bergembiralah wahai Hidayah, fitnah untukmu hampir terlerai, walaupun belum semua.' fikir Fatimah. Setidak-tidaknya, ada juga hikmah walaupun dirinya ditimpa musibah cinta.

"Soalnya hati, mampukah aku menerima Rifhan? Tegakah aku mengkhianati Hidayah? Ya Allah, tunjukkan aku jalan yang lurus," gumam Fatimah sendirian.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS