Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Jika Amanah Jadi Pertikaian

Assalamualaikumwarahmatullahwabarakatuh..

Ingin sekali saya kongsikan tentang sesuatu hal yang hakikatnya merupakan situasi biasa dalam kehidupan baik persekolahan mahupun pekerjaan. Ya, pasti sahaja tidak lari daripada tajuk di atas. Saya masih belum melalut. ^_^

Soal amanah. Rasulullah mendapat gelaran al-amin kerana kebolehpercayaan dan sikap menjaga amanahnya yang amat-amat tinggi. Seandainya sahaja teladan baginda yang satu ini dicontohi semua pihak, saya yakin insya-Allah dunia ini bebas penipuan, rasuah, riba dan sebagainya. Namun sayang, seperti yang pernah saya baca suatu ketika dahulu, kadangkala sunnah Rasulullah ini diambil sekadar mengikut selera dan kepentingan. Mana yang mudah, diambil. Mana yang susah, diabaikan.

Jawatan itu amanah. Pangkat itu amanah. Tugas itu amanah.

Jadi, salahkah kiranya amanah itu dilaksanakan?

Perkara yang paling berat dalam dunia ini ialah memegang amanah. Nyata sudah bukan mudah melaksanakan amanah yang diberi kepada kita. Kadangkala kerana amanah kita perlu berkorban. Sebagai contoh, polis yang amanah mungkin terpaksa memenjarakan anaknya sendiri. Tentu sahaja itu sulit dan menyakitkan. Namun hebatnya Rasulullah, baginda pernah bersabda.

Jika anakku Fatimah mencuri, nescaya akan kupotong tangannya.

Kalau kita pula, adakah kita sanggup melakukan itu? Hakikat sebenar, kita tentu sukar untuk menghukum manusia yang kita sayangi meskipun tatkala dia bersalah. Lagi pula kalau dia tidak sengaja. Memang sukar. Namun itulah kewajipan. Kita bermujahadah melawan perasaan sayang itu untuk menjaga sebuah amanah yang terpikul di atas bahu kita.

Baru pagi tadi, saya menahan seorang ukhti yang saya amat hormat selama ini meskipun dia junior saya. Saya hormat dia kerana ketokohannya. Saya hormat dia kerana kefahamannya dalam ilmu agama. Saya sendiri tidak jangka dia ada buat kesalahan pagi itu. Saya nampak dia lalu dan untuk mempercepat urusan saya terus sahaja melakukan tugas ke atasnya seperti kelaziman. Saya terus sahaja mengambil tindakan sewajarnya ke atas dia dan saya tahu dia memang tidak sengaja kerana kemudiannya dia sendiri tanya saya tentang satu soalan berkenaan hukum. Saya beritahunya penjelasan yang benar. Dia pergi tanpa banyak soal menurut arahan saya. Saya pula yang malu sendiri. Kemudian saya terfikir, adakah saya salah kerana tidak beri peluang padahal dia tidak tahu? Astaghfirullah.

Kemudian ketika pulang dari sekolah dan kebetulan bertemu dengannya di kantin, dia beri salam dan tersenyum seperti biasa bagai tiada yang terjadi. Saya pula yang serba salah dan terus bertanyakan perasaannya. Adakah dia marah kerana saya menahannya tadi? Nyata tidak. Saya kagum padanya kerana dia malah menyatakan bahawa dia berterimakasih atas penjelasan yang saya berikan semasa mengambil tindakan. Kami kemudian bertukar senyuman sebelum dia beredar dengan ucapan salam. Ya, saya memang benar-benar berlapang dada saat itu. Saya agak serba salah sebenarnya kerana dia teman baik saya tetapi amanah tetap amanah. Saya pun yakin kalau saya mahu lepaskannya pun dia tidak akan mahu. Saya kenal siapa dia.

Itulah cerita ukhti yang saya kagumi.

Di sini, satu lagi pula cerita. Kisah cacian dan pertikaian atas amanah. Jika yang seorang tadi begitu tawadduk padahal dirinya jauh lebih hebat dan berketokohan berbanding pengawas yang menahannya atas kesalahan yang dilakukan dalam keadaannya tidak tahu, yang ini lain pula ceritanya.

Dia ditahan atas kesalahannya sendiri. Bukan saya yang menahannya. Saya memang tidak terlibat tetapi saya kebetulan sahaja mendapat tahu. Kalau barang anda hilang, bukan pengawas yang menghilangkan barang itu. Itu kecuaian anda sendiri. Kenapa pula mahu salahkan orang lain? Pengawas itu hanya menahan anda atas arahan guru juga. Kalau sudah guru amanahkan begitu, pengawas perlu jalankan bukannya melepaskan. Nanti di akhirat, anda pun disoal, dan dia juga disoal.

Hakikatnya, memang ada yang mengambil ringan dan ada pula yang serius. Terpulanglah kepada pilihan insan itu kerana amanah itu di bahu masing-masing. Namun janganlah apabila ada yang melaksanakan amanah secara teliti dia disalahkan. Cakap sahajalah terus terang secara DIPLOMATIK. Jika dia memang salah pun, janganlah sampai hendak memaki hamun. Salahkah jika lapangkan dada sedikit untuk memaafkan saudara anda tanpa dendam?

Pujilah sahabat anda di khalayak ramai, dan tegurlah dia secara bersendirian.

Saya tidak mahu menuduh atau melagakan sesiapa dalam soal ini. Cukuplah pandangan umum yang menceritakan segalanya. Saya mohon agar sesiapa janganlah menjadikan artikel ini sebagai penghangat keadaan. Saya harap perkara itu sudahpun berlalu. Lupakan sahajalah. Kisah lalu jadikan pengajaran.

Semoga umat Islam bersatu tanpa cengkaman dendam dan hasad dengki. Ameen.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Apabila Kewajipan Bergelar Dosa

Assalamualaikumwarahmatullahwabarakatuh..

Setelah lama blog ini tidak dikemaskini langsung gara-gara kesibukan. Ya, cuti pun ada kesibukan dan akhirnya sekolah sudah dibuka semula baru ada masa untuk mengemaskini laman ini. Yes, I do sound weird. ^_^

Setakat ini alhamdulillah saya mampu tangani situasi dengan baik untuk mengimbangkan semua yang perlu saya lakukan, namun sejauh mana tahap tawazun saya pada penilaian Allah, wallahualam. Saya hanya mampu memuhasabah dan menyedari kekurangan di sana sini dan memperbaiki, namun tentu sahaja saya tidak mampu mencari 100% kesalahan saya yang terlalu banyak. Kita manusia berusaha sehabis daya. Insya-Allah, usaha kita walaupun sedikit asalkan niat ikhlas kerana Allah akan dikira ibadat. Setiap satu yang kita lakukan itu ibadat (tidak termasuk mencuri, membunuh dll. Itu sudah menyimpang!), kerana tidaklah Allah  jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadat kepada-Nya.

Oh ya, apabila lama sudah tidak kemaskini blog, sekali tekan papan kekunci untuk mengemaskini blog tentu sahaja banyak benda hendak dicerita. Sayangnya sekarang sudah 2.20 pagi dan esok saya perlu bangun jam 6 lebih. Mulai post ini, gelaran 'saya' akan digunakan atas rasional penggunaan Bahasa Melayu Standard.

Berbalik kepada topik dalam tajuk di atas kerana saya bercadang untuk melelapkan mata 2.30 pagi, 7 minit dari sekarang (sempatkah?).

Kewajipan sekarang semakin dipandang enteng. Kebejatan moral merata-rata. Secara spesifik saya ingin menyebut tentang aurat. Ya, lagi-lagi aurat, mungkin itu kata pembaca. Kali ini saya mungkin menulis perkara yang acap kali kelihatan di laman-laman sesawang lain, cuma bezanya saya menulis ini sebagai luahan hati saya berdasarkan pengalaman yang berlaku ke atas diri sendiri baru-baru ini.

Kenapa saya kata kewajipan bergelar dosa?

Dosa akan selalu membuat hati tidak tenang. Dosa ialah perkara yang DIBENCI. Persoalannya sekarang ini nampaknya dunia sedang perlahan kembali ke zaman Jahiliyah apabila kewajipan yang dilaksanakan dibenci dan dijadikan kutukan. Oh, manakah kesedaran fasal hukum menutup aurat semasa seorang Islam menyindir rakan hanya kerana menutup aurat? Perkara ini berlaku ketika saya mengikuti kelas tambahan di luar sekolah. Tidak perlulah saya sebutkan di mana sebab saya pun tidak mahu mengaibkan atau mencari fasal dengan sesiapa.

Bagi saya, perlian sedemikian di kelas itu perkara biasa. Acapkali saya menerima sindiran begitu. Saya diejek dengan soalan sindiran bertanyakan saya hamil berapa bulan ketika saya mula-mula berstokin ke situ. Astaghfirullahalazim. Sehingga kini, hari pertama saya di kelas tahun ini saya sudah dihadiahkan sindiran 'duk tutup aurat pa tak tau!' walaupun nun di belakang tetapi saya ada telinga yang Allah pinjamkan.

Perkara yang buat saya tergerak hati menulis semua ini adalah kerana perasaan malu saya terhadap seorang kawan sekolah saya yang ada di situ. Dia satu-satunya pelajar bukan Islam dalam kelas itu. Sebagai kawan sekolah dia, saya boleh diumpamakan sebagai duta Islam di matanya bukan ? Meskipun saya tidak berdakwah kepadanya dan dia tidak pernah bertanya soal Islam, namun mungkin dia buat penilaian berdasarkan umat Islam dalam diam. Kita tak pernah tahu.

Persoalannya, manakah rasa malu terhadap yang bukan Islam ketika Islam sendiri memperlekehkan tuntutan agamanya? Ini suatu krisis moral kerana hilangnya penghormatan terhadap tuntutan agama. Saya hanya mampu diam dan tidak menjawab kerana sindiran itu diselitkan semasa guru mengajar dan tiada peluang untuk saya jawab sindirannya. Namun bagi saya, cukup sekadar artikel ini sebagai jawapan untuk sindirannya. Saya hanya menegur bukan menyindir.

Kewajipan itu wajib dilaksanakan. Kalau anda rasa anda sudah cukup hebat untuk lawan perintah Allah, ya saya tiada hak untuk melarang itu ini selain usaha menegur sekadar termampu. Namun, jika anda sudah tahu anda tinggalkan kewajipan dan memang tiada perasaan untuk berubah langsung, biarkanlah orang lain melaksanakan kewajipan itu. Jangan pula diri sendiri hendak terjun ke lembah dosa, tarik sekali orang lain ke sana. Malah, mencaci pula orang yang berjalan di atas jalan biasa.

Kita boleh berdakwah. Kita boleh mengkritik. Semuanya ada cara tersendiri.

Jangan pula memperlekehkan orang lain kerana melaksanakan tuntutan Allah. Sewajarnya kita menyokong. Kalau tidak mahu menyokong pun, diam sahajalah. Itu kewajipan kita tetapi kalau kita tidak mahu tunaikan, jangan kacau orang lain yang hendak menunaikannya. Hal ini sama sahaja dengan anda malas solat malah perli kawan anda solat kerana tunjuk alim.

So, after all, here, the point is NOT TO DENY WHAT ALLAH SET FOR US AND EVEN IF YOU ARE DENYING IT, JUST DO IT BY YOURSELF AND DO NOT PULL OTHERS INTO THE HELL YOU ARE JUMPING IN.

*Perkataan hell saya itu tidak membawa maksud carutan. Maksud saya biasa, jangan tarik orang bersama ke dalam neraka yang anda sedang melompat ke dalamnya. Harap terjaga dari fitnah dan umpatan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS