Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Tinggal Kenangan

Tak lama lagi awak akan duduki satu peperiksaan penting.
Saya sedang menduduki peperiksaan penting.

Harap saya ada dalam doa awak, walaupun awak tak kata apa-apa.

Awak dan dia, harap bahagia.

Saya tak menyesali 28 Februari 2009.

Saya harapkan yang terbaik. Ya sudahlah, biarkan tinggal kenangan. :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Meski Tak Sempurna

Lafaz itu wajarnya sakinah, mengapa harus ada yang terluka?
        Dhiya memandang ke sekeliling. Langit luas terbentang, saujana mata memandang. Kehijauan pohon menghiasi bumi yang tua. Subhanallah, meskipun sudah terlalu lama bumi ini menjadi persinggahan, serinya masih ada biarpun kian kelam.
        "Wuhuuuuu!"Suara pemuda yang sedang menunggang motosikal bersama rakannya menusuk gegendang telinga Dhiya. Wajah mereka agak mencerminkan kenakalan. Jelas itu bukannya adab muslim yang sejati, yang wajar menghormati  anak dara orang. Astaghfirullahalazim, hanya itu yang mampu Dhiya lafazkan dalam hatinya. Tidak lama kemudian, Dhiya ternampak pula bekas rakan sekelasnya, Yana yang sedang menunggang motosikal bersama rakannya. Rambut ikal mayangnya dibiarkan bebas ditiup angin dan dibakar terik mentari. Hakikatnya, dia menyeksa rambut sendiri. Di dunia rambut itu dibakar terik mentari, nanti di akhirat pula menjadi bahan bakar api neraka.
        Dhiya tidak tahu cara untuk menegur rakan-rakan sekampungnya sendiri. Dia kurang bergaul dengan mereka. Keluarganya lebih banyak mengurus hal sendiri berbanding bersosial di luar. Dhiya tidak keluar rumah melainkan dengan ibunya, kecuali atas dasar program anjuran sekolah.
        Dulu, Dhiya benci diperlakukan sedemikian. Kini, dia besyukur dia dibesarkan dengan cara begitu.
                  
                 ******  

       "Ada orang tu kan, saya nampak dia buka tudung dalam kereta,"sindir Maria semasa berbual dengan Shahira.
           Dhiya yang sedang membaca meletakkan bukunya di atas meja tanpa menutup buku tersebut. Dia tahu Maria bercakap tentang dirinya.  
           "Kau nampak aku ya semalam?"Soal Dhiya. Rasanya soalan itu tidak perlu ditanya kerana cara Maria bercakap pun sudah jelas membuktikannya.       
         "Ya. Aku nampak kau semalam atas kereta, tak pakai tudung. Kereta kau di tepi jalan waktu itu,"ujar Maria tanpa perasaan bersalah. Buat apa dia rasa bersalah sedangkan dia membicarakan kenyataan? Boleh jadi Maria terlupa, aib Dhiya tidak patut didedahkan sewenang-wenangnya.
       "Aku pakai tudunglah masa keluar semalam,"nafi Dhiya. Dia tidak berbohong. Dia keluar semalam dengan mengenakan tudung.
         "Ala,katalah apa-apa sahaja kau nak kata. Aku nampak. Kalau kau nak tipu, suka hatilah. Allah pun nampak,"selamba Maria menjawab. Langsung tidak mahu menerima sebarang penjelasan.
         "Aku pakai tudung masa keluar semalam. Aku buka tudung selepas mandi sungai. Tudung aku basah, sebab itu aku buka. Kami sekeluarga berhenti di tepi jalan, jadi aku bukalah sekejap tudung aku yang basah itu," ujar Dhiya serba-salah. Baginya dia tidaklah melakukan sesuatu yang jijik. Dia hanya membuka tudung, bukannya berkepit dengan lelaki. Keluarnya pun bertemankan ibu-bapa. Tahulah dia menjaga diri. Lagipun dia baru darjah lima. Keluarganya tidak terlalu menitikberatkan soal agama terhadapnya.
        "Mana boleh buat begitu. Kau di dalam kereta pun, orang masih boleh nampaklah. Aurat kena tutup. Basah ke apa, tudung tetap kena pakai,"terus Maria menyambung kata-katanya. Memandangkan Dhiya sudah mengaku, elok sahaja dia terus bersuara. Shahira di sebelahnya cuma diam, sekali-sekala mengangguk. Baginya, anak kota bernama Dhiya itu memang perlu diajar.

       Dhiya panas baran. Dhiya mempunyai mulut yang berbisa. Dhiya sombong orangnya. Segala yang negatif ada tempiasnya pada Dhiya. Dhiya memang kaya, tetapi miskin budi.
        Di sebalik semua itu, siapa yang peduli tentang hidup Dhiya? Siapakah yang kisah pada air mata yang disorok Dhiya? Siapakah yang kisah fasal kesunyian hidup Dhiya? Siapakah yang peduli kalau Dhiya hanya minta diajar, dididik menjadi dewasa? Dan siapa pula yang sudi menyelami hati Dhiya ...
       Dhiya tidak solat. Itu sebuah hakikat. Dhiya baru bertatih hendak membiasakan diri dengan bertudung. Sejak darjah tiga Dhiya diajar bertudung, tetapi belum mampu istiqamah. Kadangkala Dhiya buka juga tudungnya. Dahulu, Dhiya bersekolah di sebuah sekolah kampung. Dhiya tidak banyak diasuh tentang agama di sekolah itu. Dhiya diajar fasal agama, tetapi jiwanya tidak dididik. Pembangunan mindanya mantap, tetapi spiritualnya lemah. Lebih kasihan, Dhiya baligh seawal usia sepuluh tahun. Sudah perlu menanggung dosa sendiri.
         Ya, Dhiya tidak banyak ambil kisah perihal agama. Semuanya dianggap hal kecil. Baginya, akademik ialah hal paling mustahak. Mendapat nombor satu ialah matlamat.
         Masuk ke sekolah baru di ceruk felda ini, Dhiya mencari perhatian. Dia tidak mahu sendirian. Oleh sebab itu, dia mengada-adakan cerita berkenaan masa lalunya. Kononnya dia gadis teraniaya yang dicari oleh rakan-rakan lama bagi mencari kemaafan. Semuanya supaya kawan-kawan menganggap Dhiya gadis yang sangat baik. Dhiya hanya mencari perhatian! Kehidupannya sebagai anak tunggal terlalu sunyi hinggakan Dhiya melakukan apa-apa sahaja demi sebuah perhatian.
         Maria salah seorang rakan Dhiya yang tertipu. Niat Maria sama ada baik ataupun jahat, hanya Allah yang tahu. Dia sentiasa menegur Dhiya atas segala kesalahan baik yang paling kecil hingga yang paling besar selepas penipuan Dhiya terbongkar. Namun Dhiya tidak tahan dengan mulutnya. Mungkin mesej Maria baik, tetapi cara penyampaiannya silap. Setelah penipuan Dhiya terbongkar, Dhiya banyak meminta maaf dengan rakan sekelas. Adakalanya perangai panas barannya datang juga, tetapi Dhiya banyak mengalah. Kadangkala ada yang mengambil kesempatan atas sikap mengalah Dhiya. Dhiya turutkan nasihat Maria dan rakan-rakan. Kerap kali Dhiya terluka dengan cara Maria mendekatkannya kepada agama, tetapi dia cuba mengikut ajaran itu.

         Tarbiah bukan paksaan. Tarbiah bukan soal memaksa orang, menghalal dan mengharamkan semata-mata. Tarbiah ini soal didikan. Didikan terhadap manusia yang pastinya memerlukan sentuhan terhadap manusia itu sendiri. Biar jiwa manusia itu lembut sehingga dapat menerima syariat halal dan haram dengan baik.
        Benar,didikan mampu dipaksakan. Alah bisa tegal biasa. Tetapi, sukakah kamu kalau sahabat menghadiahkan minyak wangi, tetapi dilempar ke mukamu hingga pecah botolnya dan berdarah pula wajahmu? Adakah mungkin kamu dapat memakai minyak wangi itu dengan wajah yang ceria, atau minyak wangi itu sendiri telah tumpah di jalanan seawal pemberian?
            
          "Kalau mak aku, tentulah mak aku tekankan pembelajaran agama. Bukan setakat subjek UPSR macam yang kau kata,"ujar Maria kepada Dhiya  semasa berbual dengan rakan-rakan sekelas.
            "Yalah, mesti tekankan agama. Takkanlah nanti dalam kubur malaikat hendak soal kita, satu tambah satu dapat berapa, kan?"Sahut Widya. Dia memang seronok kalau dapat mengenakan Dhiya. Baginya, Dhiya sentiasa lebih daripada semua orang dalam bab-bab pelajaran, biarlah Dhiya sedar diri, dia pun ada kekurangan!
        "Bukannya mak aku tak ajar langsung fasal agama, mak aku ajar juga. Memanglah agama ditekankan, tetapi subjek teras pun ada penekanan juga." Dhiya cuba membela diri, namun nampaknya penjelasannya tidak dilayan
.              'Tak apalah. Mereka ini orang-orang yang berilmu dalam agama. Mereka pergi sekolah petang. Aku ini apa yang ada?' Dhiya bermonolog sendiri. Kalau bertingkah bab agama, awal-awal Dhiya tewas. Namun Dhiya tidak kisah. Hanya tinggal sebulan dua lagi waktu Dhiya di sini. Selepas ini Dhiya akan bebas daripada belenggu 'orang kuat agama' di sekolah ini.

                                            *******         
               "Dhiya, sebut lafaz  takbiratul ihram,"arah Ustazah Zakiah. Dhiya terdiam. Pelajar kelas 6A itu tidak kenal, atau mungkin lupa fasal lafaz itu. Dhiya hanya dapat membisu.
               "Nurul? Kelas, tolong sebut lafaz takbiratul ihram. Tolong kawan kita,"arah Ustazah Zakiah. Laju sahaja lafaz 'Allahuakbar' bergema di kelas tersebut. Dhiya terasa malu. Adakah episod di sekolah lama akan berulang?
                  Di sekolah lama ada Maria, di sini ada Athiya. Dhiya diaibkan juga pada awal persekolahannya di tempat baru ini. Dhiya pernah ditohmah, 'Memanglah hang boleh dapat 5A, tetapi Pendidikan Islam? Gagal!' Jujur Dhiya malu. Dia mendapat markah kedua terendah dalam kelasnya untuk subjek tersebut, kerana dia memang tidak menghafal ayat-ayat Al-Quran dalam buku teks. Hukum tajwid pun tunggang-langgang biarpun dia sudah pernah khatam Al-Quran.
                
                Itulah Dhiya. Perkara yang disogokkan ke mindanya di sekolah lama dahulu terasa seperti racun. Namun di sini, setidak-tidaknya Dhiya kenal Hazwani. Dhiya ada Farah. Dhiya ada Nabila. Dhiya berkawan dengan pelajar biasa-biasa. Di kelas itu, mereka adalah antara yang tercorot dalam pelajaran. Dari segi latar belakang keluarga pula, mereka bukan berasal dari keluarga yang hidup mewah. Mereka bukan juga perempuan cantik. Mereka dan Dhiya jauh berbeza.                   Mereka tidak pandai tetapi mereka belajar bersama Dhiya. Mereka tidak kaya tetapi mereka menemani Dhiya. Mereka tidak terlalu tinggi pengetahuan agama tetapi mereka tidak mencaci Dhiya. Merekalah insan mulia yang menerima Dhiya seadanya.
               Bersama mereka, Dhiya mengenali erti kesederhanaan. Kadang-kadang Dhiya bertanya pada diri, mengapa orang yang tinggi pengetahuan agama mencaci dirinya yang serba jahil? Mengapakah dia dididik teman sebaya dengan sindiran? Kalau benarlah orang kuat agama itu orang yang baik, kenapa mereka ini yang lebih cetek ilmu agama yang menerima dia seadanya? Kalau benarlah orang kuat agama itu orang yang hebat, mengapa tidak tunjukkan dia jalan menjadi hebat? Ataukah dunia ini memang ada kasta, yang kuat agama dengan kelompok mereka dan yang lemah sepertinya di kelompok bawahan, menunggu di lurah neraka dan tak ada tangan untuk menarik mereka ke syurga?

              Inikah Islam?
              Dhiya tak mengerti.        

                                               *****
          Masa berlalu pantas. Dhiya lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan berjaya memasuki SMK Sultan Badlishah, salah sebuah sekolah terbaik di daerahnya. Dhiya yang kini berbeza dengan yang dulu.
             Sepanjang cuti sekolah selepas keputusan UPSR diumumkan, Dhiya mula memuhasabah diri. Dia belajar agama secara perlahan. Dhiya cuba istiqamah dengan solat dan jilbabnya. Dhiya belajar mengatasi sikap panas barannya. Dhiya belajar menjadi muslimah.
             Maka di sekolah ini, niat Dhiya cuma satu. Dhiya ingin menjadi lebih baik. Biarlah orang kenal betapa jahilpun Dhiya,dia rela. Asalkan Dhiya tidak terus jahil di akhirat.
             Di sekolah ini, pertama kali Dhiya belajar solat berjemaah dengan betul. Dhiya belajar menjadi makmum yang masbuk, iaitu makmum yang menyertai solat berjemaah ketika imam sudah solat separuh jalan. Sebelum ini Dhiya tidak tahu. Hakikatnya Dhiya tidak pernah pun solat berjemaah di rumah. Mujurlah dalam program orientasi sekolah, para ustaz dan ustazah memberi tunjuk ajar formal, siap dengan demonstrasinya sekali. Bagi Dhiya, hal ini agak luar biasa. Sekolah ini bukan sekolah agama tetapi sekolah sains, namun perihal agama cukup ditekankan.
             Di sekolah ini, setiap pelajar sesi petang diwajibkan solat zuhur dan asar berjemaah. Terdapat pemantauan daripada semua guru. Memang ada pelajar perempuan yang berpura-pura uzur, lantas guru-guru mengambil langkah proaktif dengan menyuruh wakil kelas mencatat kehadiran pelajar dalam solat berjemaah. Dhiya sendiri pernah gagal untuk istiqamah dalam solat berjemaah. Dia pernah sahaja menyertai kawan-kawannya untuk ponteng solat. Walaupun dia kenal erti dosa, tetapi manusia fitrahnya alpa.

           "Dhiya, kau masih cuti lagikah?"Soal Baniah, rakan sepermainan Dhiya di pusat latihan catur daerah. Dhiya terkedu. Dhiya sudah suci dari haid, tetapi belum menyucikan diri dengan mandi hadas.
            "Aku sudah suci, tetapi belum mandi hadas." Dhiya menjawab jujur. Hendak berdalih Dhiya tidak tahu mahu pusing ke mana lagi. Lebih kurang tiga minggu lepas Dhiya bertemu dengan Baniah semasa pertandingan dan Dhiya sedang uzur waktu itu. Dhiya yang temankan Baniah ke surau untuk melaksanakan sujud syukur kerana Baniah sudah berada dalam posisi selamat untuk bergelar juara selepas seri pusingan akhir. Dhiya sendiri berada dalam posisi selamat, iaitu di tempat ketiga untuk melayakkan diri ke peringkat negeri.
         Tidak mungkinlah tidak sampai tiga minggu, Dhiya sudah uzur semula? Agak-agaklah kalau hendak tipu pun,getus Dhiya dalam hatinya.
         "Maknanya sudah tiga minggu kau tak mandi hadas dan kau tak solat?" Baniah bersuara sedikit terkejut. Baniah merupakan pelajar sekolah berasrama penuh. Di asrama, lazimnya pendidikan agama memang ditekankan kerana adanya peranan Badan Dakwah dan Rohani atau singkatannya BADAR. Tidak hairanlah jika dia terkejut dengan kelakuan Dhiya.
           Dhiya hanya mengangguk. Baniah menghela nafas. Dia kemudian menegur perlahan, "Tak baik begitu,tahu tak?" Dhiya akur dengan teguran itu. Cara Baniah bertutur jelas tidak menunjukkan bahawa gadis itu mahu mengaibkan sesiapa. Baniah juga ada menyuruh Dhiya menarik sedikit pakaiannya yang agak ketat dan dan singkat agar melepasi paras pinggul. Dhiya akur. Bukannya dia degil sangat jika ditegur dengan cara baik.
             

           Di pusat latihan ini, Dhiya mengenali kakak-kakak senior yang jauh lebih baik berbanding dirinya. Ada Kak Qirah, Kak Najah, Kak Anis dan Kak Fa'in. MSSK 2009 telah menemukannya dengan ramai insan baik yang mengenalkannya kepada fikrah agama. Dhiya berasa sedikit terkongkong. Kesalahannya sering ditegur. Itu tidak kena dan ini pun tidak kena. Memang teguran mereka benar dan Dhiya akur.
         Namun di sini Dhiya lebih kenal erti hidup beragama. Mujurlah Allah temukan Dhiya dengan rakan-rakan yang baik. Apa-apa sahaja persoalan Dhiya, selalu ada yang sudi menjawabnya. Ironinya, di sini Dhiya tidak pula kelihatan jahil. Rakan-rakan tidak mengaibkannya biarpun mereka sebenarnya terkejut dengan keadaan Dhiya yang amat cetek agama. Dhiya banyak belajar dengan mereka.

                                                         *******

           Dhiya gembira berada di sekolah ini. Kalau Dhiya tidak menjejak SMK Sultan Badlishah, mungkin Dhiya tidak menjejak MSSK 2009. Kehidupan Dhiya banyak berubah di sini. Dhiya sedar, rakan-rakannya sudah cukup baik dengan asas agama sedangkan dia baru bertatih. Adakalanya Dhiya terjatuh dan gagal istiqamah dengan hijrahnya. Namun, Dhiya terlalu bersyukur kerana jalan untuknya berubah sentiasa ditunjukkan.
         Telah banyak dugaan yang Dhiya tempuh untuk berhijrah. Bukan sedikit air mata yang pernah tumpah. Mungkin dia belum cukup baik dan tidak akan pernah cukup baik, namun dia berharap agar Allah memandang usahanya.

          Hari ini, sudah lima tahun sejak Dhiya meninggalkan sekolah feldanya. Dhiya baru sahaja menghantar sahabat baiknya, Mira pulang ke rumah. Kini Dhiya berteleku di ruang tamu rumahnya.
        Segalanya sudah berbeza. Maria sudah banyak berubah. Rakan-rakan lama yang banyak mengajarnya dulu semua sudah berubah. Dhiya mendengar macam-macam khabar tentang mereka.
        'Maria, kenapa kau buat semua ini? Dulu kan kau marah aku kerana berbohong pada kamu semua, kenapa hari ini kau tipu keluarga kau? Dulu kau ajar aku fasal agama, kenapa hari ini kau yang suka bertabarruj? Dulu kau ajar aku fasal aurat kan?' Dhiya kusut mencari jawapan.
           Dulu, di tempat itu Dhiya dimarahi kerana agama. Hari ini, Dhiya seperti menjejak dunia yang berbeza. Dulu, dia menjadi bahan umpatan kerana ceteknya ilmu agama. Kini, kenapa semua yang mereka marahkan dia, mereka sendiri yang buat? Kenapa?
            Dhiya hanya mahu mencari jawapan. Niat Dhiya dahulu seperti tercapai. Dhiya ingin membuktikan dia juga mampu menjadi lebih baik. Dhiya ingin buktikan, orang yang pandai ilmu dunia tak semestinya jahil perihal agama. Niat Dhiya tercapai. Semua orang yang memandang rendah dirinya dulu kini menjadi cermin terhadap kelakuannya dulu, malah lebih dahsyat.
          Hari ini Dhiya antara pelajar yang belum terjebak dengan gejala sosial. Kesucian Dhiya masih terjaga. Setidak-tidaknya Dhiya tidak merempit dengan lelaki. Dhiya masih mengekalkan jilbab dan solat. Inilah gadis yang pernah dihina ramai dulu.
         
           Tapi Dhiya tak gembira!

           Bukan ini dakwah yang kakak-kakak ajar dulu, dakwah bukan perihal siapa lebih baik dan  dendam siapa yang terbalas. Air mata Dhiya terus menitik.  

            Meski tak sempurna caranya, di felda itulah tempat aku mula diasuh,titik awal aku kenal makna sakinah, bisik hati Dhiya sendirian.

                                                                                             ******TAMAT*******

  #Maaf atas kualiti cerpen yang kurang memuaskan. Jujur otak dah karat.
Namun mesejnya jangan putus asa andai dididik dengan cara yang salah.
Kita punya akal untuk menentukan sendiri siapa kita ingin jadi. Iman bukannya harta warisan.
Biarpun yang menegur tak kena gaya, kita pandang pada mesejnya.
Soal kelakuan dia dan niatnya, itu urusan dia dengan Tuhannya. Jangan kita hukum.
Kita kalau hendak mendidik, biarlah berhati-hati. Cara yang silap mungkin menariknya jauh daripada dakwah kita.   Salam Maal Hijrah ^_^  

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Jahil Bukan Tak Boleh Hijrah Kan? :')

Rasa malu,tapi bersyukur.
Selama ni aku pun tak tau yang ada kesilapan dalam solat aku.
Alhamdulillah, akhirnya nampak.
Ada saudara Islam yang tunjukkan.

Memang syukur sebab at least, Allah tunjuk before my last breath.
Masih ada lagi ruang dan peluang nak belajar solat dengan betul.

Betul-betul terasa jahil.
Benda basic yakni tiang agama pun tak betul lagi.

Ok, pesan untuk diri.
Jangan gatal nak menikah awal, nak kapel dengan level agama mcm ni.
Nanti apa benda kau nak ajar anak ?

Kena belajar lagi.

Jahil pun tak bermakna takda peluang nak hijrah dah kan?
Allah sayang itu pasal Allah tunjuk :')

#Nak kena cari husband ustaz dah gamaknya besar nanti, takpun biar yang arif pasal agama.Tak yang jauh ke dalam, arif bab ibadah wajib pun jadilah. Yang pastinya diri sendiri pun kena dalami ilmu. Bukan gedik nak zauj alim, tapi bakal zaujah satu habuk tak nak belajar. Kahwin dengan mufti pun tak guna kalau mcm tu. Buat berat dosa suami ja.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS