Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Bangkitlah!

Taaruf,
Bermula dari satu pandangan kaca mata iman,
Cahaya ketenangan menerobos ke seluruh pelusuk kalbu,
Kasih dan sayang bermukim sesuci embunan pagi,
Insan berjabat salam mesra dihulurkan..

Qudwah hasanah,
Menjadi pemangkin segala iman dan amal,
Bukan model di pentas peragaan,
Bukan juga pelakon hebat di tabir drama,
Ketulusan jiwa terpancar mendidik pekerti..

Halaqah,
Bahtera pelayaran menuju negeri cinta abadi,
Terarahnya cinta mentautkan hati kerana Allah semata,
Menyalurkan cinta buat saudara seagama,
Enggan terjebak pada kemaksiatan dan fitnah..

Ikhwanulmuslimin,
Mewarnai hidup setiap insan saudara seiman,
Indahnya persaudaraan terbina dalam perjuangan yang satu,
Ombak mendatang ditongkah bersama,
Sungguh berpadu tiap hati yang menjalinkannya.

Jihad Fisabilillah,
Perjuangan suci tujuan para mukmin,
Tiada kenal gentar menghadapi musuh yang kafir,
Walau tak daya menghayun pedang,
Pena menari lisan bersuara,
memberi peringatan,

Ayuh, bangkitlah ummah!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (21)

Rifhan memandang siling rumahnya. Terbayang-bayang peristiwa tempoh hari. Wajah Hidayah yang terluka menari-nari di ruang mata. Tiada kata mampu menjelaskan apa-apa. Kesedihan merenggut tangkai hati saat cinta berlalu pergi. Setiap nafas yang dihela bagai tersekat, berat untuk dilepaskan.

Masih terasa sakit yang mencengkam tubuh sejak dia dibelasah. Seluruh badannya dipenuhi lebam dan luka. Bayangkanlah bagaimana sakit tubuhnya dikerjakan sepuluh orang lelaki dewasa. Mereka semua memang ada ilmu silat. Lagilah terasa bahang sakitnya.

Kalau ikutkan, memang Rifhan mampu melawan. Dia sendiri cukup handal dalam ilmu persilatan. Cuma sikap hormatnya pada orang kampung yang lebih tua menghalangnya berbuat begitu. Kalau dia membuka jurus silat, khuatir ada yang cedera. Rasanya tidak molek baginya untuk memukul orang yang lebih tua.

Itulah Rifhan. Sikap bertimbang rasa tetap sebati dalam diri walau nyawa jadi taruhan. Mujurlah selepas dia lembik dibelasah, dua orang rakannya lalu di situ dan memapahnya pulang ke rumah. Mulanya mereka hendak menghantarnya ke rumah Hidayah kerana lebih dekat dan selamat, namun niat mereka dihalang. Rifhan mahu ke rumahnya sendiri.

'Sakitnya badan aku, sakit lagi hati aku. Sakit hati aku, sakit lagi hati Hidayah.' getus hati Rifhan. Penyesalannya masih tidak berkesudahan. Tindakannya menghalau Hidayah memang keterlaluan. Namun, tujuannya tiada siapa yang akan faham.Hidayah sendiri pun tidak faham.

'Abang cuma tak mahu Hidayah turut menerima tohmahan dan cacian. Abang dah cukup merana atas semua yang berlaku ni. Abang tak mahu Hidayah juga menerima nasib seperti abang. Abang sedar Hidayah merana, tapi abang tak mampu nak buat apa-apa. Kita terjerat dengan fitnah manusia. Kita jadi mangsa angkara syaitan dan nafsu.'

Memang benar, itu tujuannya. Dia tidak pernah mahu menyakiti hati Hidayah dengan sengaja, tetapi ini namanya terpaksa. Kalau dia tidak memilih jalan begitu, siapa yang akan membersihkan mereka dari tuduhan fitnah? Soal cinta, kalau mereka masih serumah, dia tetap bimbang.

Rifhan gusar hendak tinggal sebumbung dengan Hidayah berdua begitu. Sejak dulu, hatinya sudah lama bergolak dengan kata cinta untuk Hidayah. Luahan perasaan Hidayah walaupun bagai batu yang menghempas kepalanya tetapi masih juga menggetarkan naluri. Pesoalannya, andai dia terus di situ, selama manakah naluri lelakinya dapat bertahan melawan nafsu batinnya?

Haram tetap haram. Itu memang kata iman. Masalahnya ada suara lain. Syaitan kata lepaskan saja nafsu yang bersarang. Nafsu kata lampiaskan saja pada wanita yang dicintai. Wajah dan tubuh Hidayah pula bagaikan magnet yang menarik dirinya. Mampukah dia bertahan dengan sebaris kata iman? Sebab itulah, dia memilih untuk berlalu pergi. Tak sanggup lagi menyeksa diri dan adiknya.

"Aduh.." sakit tidak terperi apabila hendak bangun dari perbaringan menuju ke bilik air. Rasa mahu tercabut sendi tulang belakang Rifhan. Apapun, solat tetap perlu ditunaikan walaupun sakit. Mujurlah ada rukhsah solat ketika sakit. Setelah wuduk diambil, dia duduk di kerusi menyembah Allah. Hanya solat dalam keadaan duduk yang termampu olehnya. Walaupun sakit menjalar, pengabdian diri pada Allah tetap perlu diutamakan.

Air mata tumpah dalam khusyuk solatnya. Dia diserbu rasa takut mengenangkan hari pembalasan. Hari ini dia diuji dengan kesakitan yang mendera atas kesalahan yang tidak pernah dilakukan. Hari esok entah siapa yang tahu. Hari ini dia berdiri di atas muka bumi yang fana, mendera jiwa dengan cinta pada insan yang pastinya akan pergi. Terasa bodoh tatkala diri merindui insan yang sekadar pinjaman, bahkan amanah untuk dia jaga sebelum kembali menghadap Tuhannya. Adakah Allah redha akan pilihannya berbuat begitu atau mungkin Allah sedang memurkai dirinya?

'Astaghfirullahalazim. Aku cinta pada makhluk-Mu. Aku menderita kerana makhluk-Mu. Aku ingin bersama makhluk-Mu selamanya di muka bumi yang fana ini. Mana perginya hasratku untuk bertemu Engkau? Adakah aku ini sedang memalingkan wajah dari-Mu? Ya Allah, tutupkanlah hatiku dari mencintai dunia semata-mata. Pagarlah diriku dengan zuhud dan taat seorang hamba. Aku tidak ingin jauh dari cinta-Mu. Sesungguhnya saat ini terasa berat diriku, tambah diberatkan dengan beban dosa yang menimbun. Allahuakbar. Allah pemilik sekalian alam, ampunkanlah aku. Jangan kau hidupkan aku lagi kiranya hari esok cumalah menimbunkan dosa untukku pikul sedangkan aku tidak berdaya. Izinkanlah aku bernafas lagi esok hari kiranya nafas yang kuhela hanya untuk-Mu semata-mata. Ya Allah, bantulah diriku, gagahkan jiwaku, perkasakan imanku. Ya Allah, peliharalah seluruh kaum keluargaku dari azab neraka-Mu. Cucurilah rahmat ke atas arwah ibuku. Sejahterakanlah insan yang melahirkanku itu dengan rahmat dan maghfirah-Mu. Sesungguhnya, tiada kudrat selain kudrat-Mu, tiada iradat selain iradat-Mu.' Tangis mengiringi doa. Hilang ego dan malu saat berhadapan dengan Allah Azza Wajalla.

Sesungguhnya, salah satu golongan yang matanya tidak akan disentuh oleh api neraka ialah mata-mata yang menangis kerana takut akan Allah.

******************

Malam itu menyaksikan Rifhan dalam gundah gulana sujud memohon maghfirah dan pertolongan Allah. Sayup-sayup suara paraunya memecah keheningan malam.

"Ya Allah, aku mohon Engkau permudahkanlah lorong kehidupanku. Sesungguhnya aku tiada berlindung selain di bawah kekuasaan-Mu. Ya Allah, aku rayu pertolongan-Mu. Aku tidak berdaya menempuh semua ini sendirian andai tiada bantuan-Mu. Aku perlukan Engkau, Ya Allah. Aku tidak mampu melawan hasutan nafsu dan syaitan tanpa-Mu. Imanku menderita. Aku hanya ingin hidup dengan cinta-Mu, tetapi kenapa mesti ada lagi cinta lain yang bersarang di jiwa ini? Kenapakah cinta yang hadir mesti cinta yang haram? Kenapakah yang terjadi ini cinta terlarang? Ya Allah, aku tidak mampu mentafsirkan setiap kalam takdir-Mu. Maha Suci Allah yang mentakdirkan segala sesuatu yang terjadi di muka bumi ini. Hanya Engkaulah yang mengetahui rahsia di sebalik segala dugaan, dan hanya kepada Engkaulah aku mohon segala pertolongan. Ya Allah, sisihkanlah aku dari sekalian manusia andai itulah kehendak-Mu, tetapi aku mohon janganlah Engkau sisihkan aku dari cinta agung-Mu. Aku lebih rela mati daripada hidup tanpa cinta-Mu. Aku insan yang lemah dan selalu terjatuh. Hanya rahmat-Mu yang mampu membangkitkan aku dari setiap kejatuhanku dan hanya rahmat-Mu yang mampu menjagakan aku dari setiap lena dan kealpaanku. Ya Allah, hidupkanlah aku ini sebagai hamba-Mu yang diredhai, bukan dimurkai. Aku mohon, Ya Allah."

Tangisan lelaki seringkali dianggap sebagai kelemahan. Sayangnya, ramai yang lupa bahawa dalam diri setiap insan itu ada diciptakan air mata bersamanya. Sesungguhnya, air mata keinsafan itu ialah sebaik-baik tangisan. Tangisan keinsafan itulah tanda pengabdian diri sebagai hamba Allah. Jika tangisan keinsafan itu menyebabkan diri dianggap lemah, biarkanlah. Memang Rifhan sedar, dirinya hamba Allah. Adakah hamba itu kuat? Hamba tidak kuat! Kenapa manusia dinamakan hamba Allah? Manusia dinamakan hamba Allah, kerana manusia sangat lemah! Salahkah hamba Allah yang lemah, baik lelaki mahupun perempuan, menangis sebagai hamba Allah kerana mengharapkan keredhaan-Nya?

Lantaran itu, sekalipun semasa zaman remaja Rifhan sering diketawakan, bahkan sampai dewasa masih diketawakan kerana sikapnya yang sering menangis tatkala mendengar ceramah agama, dia tidak peduli. Apalah yang dipedulikan dengan gelak ketawa manusia. Biarlah mereka menuduhnya berjiwa lembut dan mudah menangis, dia tetap tidak akan meninggalkan kebiasaan itu. Biarlah malaikat di sebelah kanannya sahaja yang mencatit pahala tangisan itu. Dia sudah tidak kuasa melayan cakap orang.

Biarpun takdir menentukan Rifhan ditimpa segala macam bentuk ujian, malah ditusuk dengan duri fitnah, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalannya. Dia sudah lama meredhai segalanya. Walaupun dia hina di mata manusia, dia tetap mengharapkan keredhaan Penciptanya. Biarpun terpaksa menempuh derita, dia sanggup menghadapinya. Tidak mengapa sekiranya dirinya dihina, namun janganlah dia dihina pula nun di padang Mahsyar nanti.

Dia tidak meminta agar ujiannya diringankan, bahkan sering berdoa agar imannya diteguhkan untuk menghadapi segala bentuk dugaan. Dia sedar siapa dirinya. Hakikat yang sentiasa disedari dan dan dijadikan pegangannya ialah generasi terdahulu pernah melalui perkara yang lebih dahsyat, namun tetap tegar menghadapi kerana keimanan yang teguh.

Saidatina Aisyah sendiri pernah ditimpa fitnah dalam peristiwa Haditsul Ifki, walhal dia isteri Rasulullah yang bergelar Ummul Mukminin. Wanita semulia itu telah ditimpa fitnah yang sungguh dahsyat iaitu mengkhianati cinta Rasulullah dengan sahabat bernama Shafwan Bin Mu'aththal, padahal pada waktu itu dia masih muda remaja. Berkat ketabahan dan kepasrahannya terhadap kekuasaan Allah, akhirnya Allah telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah melalui surah An-Nur ayat 11-19 yang membersihkan Saidatina Aisyah daripada tuduhan fitnah tersebut.

"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah sebahagian dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka akan beroleh seksa yang besar.

"Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman-lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka dan berkata "Ini adalah tuduhan dusta yang nyata".

"Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi untuk membuktikan tuduhan itu. Oleh itu, mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi Allah S.W.T (hukum-Nya) adalah orang-orang yang berdusta.

"Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah S.W.T dan rahmat-Nya kepada kamu, di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu.

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, padahal ia pada hukum Allah S.W.T. adalah perkara yang besar dosanya.

"Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah, dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah).

"Ini adalah satu dosa yang mencengankan." "Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

"Dan Allah S.W.T, menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukum-Nya) kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

"Sesungguhnya orang-orang yang suka melemparkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."

Rifhan terkenangkan Hidayah saat membaca ayat 23 hingga 24 dalam surah An-Nur yang bermaksud,

"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan lagi beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar; Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi ke atas diri mereka sendiri, berkenaan segala yang mereka lakukan."

Air mata lelakinya tumpah lagi. Ternyata Al-Quran itu kalam Allah yang kaya dengan mukjizat. Setiap ayatnya seolah-olah mengikuti skrip kehidupan manusia, kaya dengan petunjuk bagi orang-orang yang beriman. Sesungguhnya, beruntunglah bagi mereka yang sentiasa hidup berpandukan Al-Quran dan hadis.

"Rasulullah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya." (Hadis riwayat Abu Hurairah r.a)

Bahkan Nabi Yusuf sendiri pernah difitnah cuba menodai Siti Zulaikha, isteri al-Aziz, apalah hak Rifhan untuk menolak dugaan. Insan-insan mulia generasi terdahulu pun telah diuji dengan fitnah, apatah lagi dirinya. Lantaran itu, dia tetap redha dengan segala ketentuan Allah untuk dirinya. Dia tetap yakin, Allah menguji bersesuaian dengan kemampuannya. Akhirnya, Rifhan terlelap di sejadahnya dengan tenang. Segaris senyuman terlihat di bibirnya.

Percayalah, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang memohon pertolongannya terkapai-kapai sendiri melainkan diberikan rahmat dan ganjaran pahala-Nya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (20)

Fatin mengurung diri di biliknya. Dia enggan diganggu. Fikirannya melayang mengingati setiap satu peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. Dakapan kenangan silam itu sangat kuat, sukar untuk dilepaskan. Setakat ini, tiada siapa yang tahu punca sebenar kebenciannya terhadap Hidayah.


Diari di dalam lacinya dicapai. Memang benar, dia suka memendam perasaan. Selama ini, hanya diari usang itu yang memahaminya, yang benar-benar mengenali siapa dirinya.


'Aku tak kisah apa sekalipun tanggapan Syafiqah pada aku. Aku tak pernah kisah dan tak pernah peduli, walaupun  dia akan anggap aku ini seorang yang sangat-sangat ego. Aku tak kisah, sebab aku tahu aku bukannya perempuan macam tu. Dia tak tahu apa yang berlaku. Dia tak tahu apa-apa dan aku pun tak mahu dia tahu semua ni.


Peristiwa ini lambat laun tentu dia akan tahu juga. Aku tak mungkin boleh sembunyi. Keyakinan aku pada rahsia ini dah mula goyah. Aku tahu, dia bukannya bodoh. Lama-lama dia akan buka cerita pada semua orang. Waktu tu, aku pasti dah tak akan ada lagi orang yang percaya aku. Siapa yang nak dengar masalah dan keluhan seorang pendusta macam aku?'


Diari ditutup. Dia mungkin boleh menulis keluhan, tetapi rahsia yang terdalam biar kemas tersemat cuma di hati. Tidak mungkin ditulis hal itu. Seandainya dia hilang segala rahsianya kerana ada yang membuka diari itu, janganlah sampai rahsia itu terbongkar.


Fatin mengakui dalam diam. Memang dia jatuh cinta pada Rifhan. Sejujurnya, dia langsung tak ada rasa benci pada Hidayah pada awalnya, bahkan menyanjung tinggi ketabahan Hidayah sekeluarga. Namun, segalanya bertukar punah apabila dia mendengar khabar angin, Hidayah dan Rifhan saling mencintai. Hancur luluh hatinya mendengar khabar itu.


Sebuah cinta yang sememangnya tak mampu diterima akal fikiran. Bayangkanlah, pertalian darah yang terlalu dekat itu tidak menghalalkan cinta terlarang itu. Apa yang paling dikesalkan, kenapa Rifhan tak memilih seorang gadis yang mencintainya, tak melihat seorang gadis yang halal untuk dinikahi? Cinta terlarang juga yang jadi pilihannya, kenapa? Hingga kini, dia tidak mampu merungkai persoalan itu.


Anugerah cinta, cuma Allah yang mengurniakannya. Sampai sekarang, dia langsung tidak mengerti apa yang berlaku. Cinta yang dianugerahkan itu pelik. Tidak mengenal siapakah insan yang dicintai, padahal syariat telah awal menjelaskan sebaiknya.


Dia tidak membenci Hidayah. Hanya naluri kecemburuannya gagal dikawal. Apabila dikenangkan semula, Hidayah tak pernah berlaku salah terhadapnya. Dulu, dia sayang akan Hidayah. Baginya, kalaulah Rifhan miliknya, memang wanita itu bakal iparnya. Memang wajar dia menyayangi wanita itu, supaya mudah mencapai persefahaman dengan Rifhan.


Sayang seribu kali sayang, semua itu sekadar mimpi. Tidak mungkin akan jadi kenyataan. Rifhan dan Hidayah saling cinta. Apapun yang dilakukan, semua itu tetap perlu difikirkan. Apakah wajar baginya memusnahkan impian orang yang dicintainya?


Fatin sebenarnya pasrah apabila cinta itu bukan miliknya, tetapi, entahlah. Perasaan benci makin menular.  Syaitan yang merajai hatinya semasa menghalau dan memfitnah Hidayah tempoh hari. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang menguasai tindakannya, bahkan tidak tahu kenapa dia jadi begitu. P;erasaan benci itu kalau boleh ingin dipadamkan, tapi perasaan cemburu itu terlalu kuat.


Sebenarnya, dia kecewa apabila Rifhan yang disangka baik selama ini menerima tuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik sendiri. Secangkir harapan yang dirobek itu cukup menyakitkan, tambah pula benci akan maksiat yang dilakukan oleh lelaki itu. Dia benci apabila lelaki yang dicintainya sanggup melakukan maksiat sampai ke tahap seteruk itu. Bayangkanlah, seorang lelaki yang tampak soleh rupanya sampai hati melakukan maksiat dengan adik sendiri.


Malah, wanita yang selama ini dihormati rupanya tegar menyerahkan maruah diri kepada abang kandung sendiri. Apakah pakaian menutup aurat itu masih lagi bererti sekiranya pemakainya bergelumang dosa dan maksiat? Thiqohkah dua beradik itu atau semuanya topeng belaka?


Walaupun tindakannya kejam, sebenarnya dalam hati Fatin tetap mendoakan kebahagiaan buat Rifhan dan Hidayah. Dia sedar, sedalam manapun cintanya, tak semestinya cinta itu miliknya. Dia rela melepaskan lelaki yang dicintainya itu, kerana dia tahu lelaki itu tidak akan pernah menjadi miliknya. Dalam pada itu, dia masih berperang dengan impiannya sendiri. Impian itulah jua yang meracuni hatinya sehingga berlaku kejam.


Soal dia menghalau Hidayah, niatnya cuma mahu merenggangkan Fatimah dan Hidayah. Antara benci dengan sayang, dua-dua wujud untuk Hidayah, sedangkan dia sayang akan Fatimah sepenuhnya. Dia takut seandainya Fatimah pula yang akan menghampiri maksiat. Tujuannya adalah untuk menjaga sahabat yang benar-benar dia kasihi sepenuhnya.


"Kalaulah kau boleh faham, Fiqah...."


*********************


Fatimah masih nyenyak tidur. Tubuhnya benar-benar sudah keletihan. Sudah beberapa hari dia demam, semenjak menerima perkhabaran buruk tentang kata-kata Hidayah berkenaan dirinya. Kepercayaannya pada Hidayah memang cukup kuat. Sukar baginya hendak menerima perkhabaran itu.


Sudah dua hari Fatimah tidak pergi ke taska, tempat dia bekerja sambilan. Demam yang dialami buat dia rasa sungguh tidak bermaya. Kadangkala dia hairan, kenapa demamnya kali ini sampai lesu begitu sekali? Bukannya dia tidak pernah demam. Selama ini pun selalu demam juga, tapi tak adalah teruk sangat.


Syafiqah melangkah masuk ke bilik Fatimah. Punggungnya dilabuhkan di birai katil lalu tangannya menjamah dahi Fatimah. Panas. Kasihan Syafiqah melihatnya. Wajah putih bersih itu kelihatan pucat.


'Aku tahu punca kau begini, Imah. Kalau aku nak terus terang, aku sendiri tak boleh sebab aku perlu jaga kedua-dua hati kawan aku. Kalau aku nak sembunyikan, macam mana pula kau? Aku tak tahu mana satu yang perlu aku pilih. Aku bukan malaikat. Aku bukan nabi. Aku cuma manusia. Manusia bodoh yang tak tahu apa yang perlu dilakukan setiap kali berdepan dengan masalah. Imah, selalunya kau yang beri pendapat pada aku. Kalau kau beri nasihat selalunya memang betul pun. Kadang-kadang aku tak ikut, kemudian mesti aku yang menyesal. Kalau aku ikut, selalunya baik jadinya. Sekarang? Kau takkan dapat bantu apa yang aku alami sekarang, sebab kau tak boleh tahu. Soal Fatin, kalau kau tahu, mungkin Fatin merajuk nanti. Habis tu macam mana?'


Melihat wajah Fatimah memang selalu membuat orang-orang disekelilingnya tenang. Wajahnya yang mulus dipancari cahaya keimanan tidak jemu dipandang. Itulah Fatimah, gadis pingitan kampung yang tidak pernah cuba menagih perhatian mana-mana lelaki. Apa yang dia inginkan cuma keredhaan Ilahi. Prinsip yang dipegangnya, Allah segala-galanya. Syafiqah segera terkenangkan peristiwa beberapa bulan yang lepas, ketika dia nyaris-nyaris ditangkap kerana berdua-duaan dengan bekas teman lelakinya Nazim.


"Imah, nasib baik kau datang cepat. Pengawal tu asyik usha aku semacam aje. Aku rasa dia nak telefon pihak kolej. Kau datang, boleh aku kata kami berdua sebab tunggu kau tak sampai lagi. Kalau kau tak datang, tak tahulah apa nasib aku,"


"Lailahailallah,Pika, Pika. Yang Pika cari pasal duduk berdua-duaan dengan Nazim tu kenapa? Kan dah mengundang fitnah.Tak perlu nak ucap terima kasih pada Imah, tetapi bersyukur dan mohon ampun pada Allah. Pika buat dosa dengan Dia, bukan dengan Imah," Syafiqah mencebik. Kata-kata Fatimah menandakan dia akan membuka sesi ceramah agama tidak berbayar.


"Dahlah tu, Imah. Kau kalau cakap dengan aku, tak sudah-sudah dengan ceramah kau. Daripada kau buang masa sibuk ceramah aku, baik kau jadi penceramah bebas di surau-surau. Ada juga faedahnya untuk masyarakat. Kau dakwah aku sangat pun, aku tak pasti berapa peratus kemungkinan aku akan ikut saranan dakwah kau," akhirnya Syafiqah berterus terang juga tentang ketidakselesaannya. Fatimah menyambut kata-kata itu dengan senyuman tenang.


"Pika, tu kan tanggungjawab Imah sebagai kawan Pika.." hanya itu jawapan diberi. Syafiqah sendiri dapat merasakan bahawa kata-katanya agak melampau, namun tidak pula dia bersuara mohon kemaafan. Fatimah tetap senyum seperti tiada apa yang berlaku. Cuma tutur katanya makin kurang kedengaran.


***********************


Sekarang, apabila keadaan menjadi begini sukar, barulah Syafiqah tahu betapa pentingnya 'penceramah bebas' itu di hatinya. Betapa berharganya pedoman yang selalu diungkapkan dari seulas bibir itu. Entah mengapa, dia rasa benar-benar perlu akan kehadiran Fatimah di sisinya. Memang tiada orang yang mampu menggantikan tempat Fatimah. Lemah lembut dan santunnya sukar ditandingi.


Syafiqah teringat akan Hidayah. Dia sedar, faktor usia dan status Hidayah tidak pernah menghalang keakraban dua sahabat itu. Adakalanya, Fatin pun cemburu apabila Fatimah sangat akrab dengan Hidayah. Memang benar, Fatimah mempunyai peribadi yang sangat mulia. Sanggup menerima setiap kekurangan dan kelebihan orang lain.


'Adakah Hidayah benar-benar jahat sampai mampu memperdayakan mata Fatimah yang melihat dengan mata hati?' Tiada siapa yang mampu merungkaikan persoalan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (19)

Pandangan Fatin tertancap pada susuk tubuh yang amat dikenalinya. Hidayah. Dia pantas merencana idea. Fatimah ada di rumah sekarang. Jika dibiarkan, tentu Hidayah mahu berjumpa Fatimah. Tambah pula, sudah beberapa hari Fatimah demam, mungkin terkesan dengan hal Hidayah.
 "Pikah, Pikah. Sini kejap," Syafiqah mengangkat kening. Dia tidak selesa apabila keasyikannya membaca novel terganggu. Novel kegemarannya itu sudah berulang kali dibacanya namun tidak pernah jemu. Novel Kau Sayangku terbitan Alaf 21 itu selalu buat dirinya terawang-awang.
 "Ish, kau ni, Pika. Sinilah! Lekas,"hilang sabar Fatin dibuatnya dengan telatah Syafiqah. Fatin meluru ke sofa lantas menarik lengan Syafiqah. Hampir terjerit Syafiqah apabila ditarik dengan begitu kasar.
 "Kau ni nak panggil aku ke nak patah riukkan tangan aku? Agak-agaklah nak tarik orang pun,"
 "Eh, jangan nak marah-marah aku pula! Kau yang tak reti-reti nak datang. Dah berapa lama aku panggil kau, macam cakap dengan tunggul aje tahu tak?"

"Dah, dah. Sekarang, yang engkau panggil aku ni apasal? Kacau daun betullah," Syafiqah akhirnya mengalah. Memang tiada guna dia bertekak dengan Fatin yang agresif sejak dulu. 'Harap aje anak dara, kasar macam atlit bina badan.' getus hatinya.

"Tu, Dayah andartu tu datang!"

"La, dia datang pun jadi soal ke? Apa kau hilang akal ke nak menghendap dia? Selalu kau menghendap abang dia petang-petang kat kedai makan tak cukup lagi? Hai, macam-macam kerenah budak ni," pinggang Syafiqah dicubit kuat. Syafiqah hampir terjerit, tetapi cepat-cepat Fatin menekup mulutnya, bimbang Fatimah terjaga dari tidurnya.
"Umph, umph.." Syafiqah meronta-ronta. Beberapa saat barulah tangan Fatin lepas dari mulutnya. Baru lega Syafiqah hendak bernafas.

"Ish, kau ni! Pembunuh bersiri. Berapa juta ringgit orang upah kau suruh bunuh aku hah?" Siapa tidak geram kalau nafasnya disekat begitu?

"Siapa suruh mulut tu capul sangat, baru padan dengan muka engkau,"

"Eh, tak betul cakap aku? Memang kau ada hati dengan Abang An tu kan? Tiap-tiap hari kalau kau tak lalu kedai makan dia tu, tak sah. Boleh masuk dah dalam rutin harian kau, kan?" Merah padam muka Fatin. Pertama, dia malu kerana perasaannya diketahui. Kedua, dia malu kerana rahsianya terbongkar, mencintai abang perempuan yang paling dibenci olehnya dunia dan akhirat.
 "Eii, tolong sikit! Tak kuasa aku. Apakah dah pupus makhluk bernama lelaki muda sampai kau nak kata aku suka pada An. Tolonglah. Kalau dah adik dia aku benci, satu keturunan tu aku benci tau! Jangan haraplah nak dengar aku kata aku suka dia," nampak sangat Fatin sekadar mempertahankan ego. Muka sudah merah padam, mulut masih lancang nak berhujah?

"Dahlah tu, cik adik sayang. Macamlah aku baru kenal kau hari ni. Kalau dah suka cakap ajelah. Itu pun susah. Konon berani sangat,"teruk Fatin dipekena. Tidak pula dia menjawab. Antara mengaku atau menafikan, dua-dua terasa berat.

Sesusuk tubuh itu makin menghampiri, tetapi sekadar lalu dan tidak singgah di rumah Fatimah. Melihat rupa wanita itu, Syafiqah ketawa besar. Itu bukan Hidayah, tetapi Ustazah Filzah yang mengajar kafa di sekolah berdekatan!

Fatin terus terduduk di kerusi yang memang berada di sebelahnya. Antara pucat dan merah padam, dia sendiri tidak tahu bagaimanakah rupanya saat ini. Hanya kerana seorang wanita yang langsung tiada kaitan dengan Hidayah, habis semua rahsianya terbongkar. Alangkah malunya dia saat ini!

Syafiqah menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah lama sedar Fatin ada hati pada Rifhan, cuma dia malas hendak menyibuk soal peribadi Fatin. Tidak sangka pula telahannya selama ini benar belaka. Hairannya, selama ini Fatin seorang yang memilih.

Kalau ikutkan sejarah, Fatin sudah boleh dianggap ratu cinta di kampung itu. Sudah berapa kali dia bertukar-tukar teman lelaki. Semua teman lelakinya kaya-raya. Kacak dan berkarisma. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan Fatin seorang yang sungguh bercitarasa tinggi, malah berpotensi besar untuk menjadi perempuan pisau cukur. Sungguh pelik pada hemat Syafiqah, seorang perempuan seperti Fatin tiba-tiba sahaja jatuh cinta pada seorang lelaki yang sederhana. Syafiqah tersenyum sendiri. 'Adakah ini cinta atau memang seruan jodoh?' Getus hati Syafiqah.


*********************


"Ayang, kenapa sampai hati nak tinggalkan abang? Apa salah abang? Tak cukupkah apa yang abang bagi pada ayang selama ini?" Faizal hampir gila semenjak Fatin menyatakan hasrat hendak memutuskan perhubungan mereka. Baru dua bulan mereka bersama, tetapi terlalu banyak yang telah dicurahkannya untuk gadis bermata galak itu.

Meskipun Fatin hanyalah seorang gadis kampung yang normalnya sering dilabelkan 'tidak layak' untuk dirinya, dia tidak pernah peduli. Walaupun perbuatannya berulang alik ke kampung Fatin setiap minggu semata-mata hendak bertemu dengan kekasihnya itu seolah-olah mencemarkan darjat, dia tidak pernah kisah.

Adakalanya, cinta Faizal terhadap Fatin lebih sesuai digelar sebagai obsesi. Segalanya sanggup dilakukan demi gadis itu, hatta perkara-perkara yang boleh mengancam diri sendiri. Entah berapa kali agaknya dia menanggung risiko apabila bergaduh dengan ibu bapanya gara-gara hubungan itu tidak direstui. Ayahnya sudah jelas diketahui sifat panas baran dan suka mengugut. Dengan kuasanya sebagai ahli korporat yang cukup terkenal, macam-macam perkara boleh dilakukan.

"Awak tolonglah faham. Berapa kali saya nak cakap dengan awak? Saya rasa tak boleh nak teruskan hubungan kita. Apa awak ingat kita boleh nikah dengan harapkan cinta buta macam ni? Apa awak ingat mak ayah awak sanggup nak terima menantu kampung macam saya? Sudahlah. Buang masa saja awak buat semua ni. Tak ada guna awak pujuk saya sebab saya memang dah bulat hati tak nak teruskan," apa lagi yang mampu dikatakan Faizal apabila talian diputuskan. Berpuluh kali nombor telefon didail, balik-balik peti mel suara yang menjawab.

Sejujurnya, Fatin pergi kerana memilih Rifhan. Dia sendiri tidak tahu apa yang dirasakannya saat itu. Antara terharu dengan usaha Faizal yang tidak pernah kenal erti jemu dalam meraih cintanya, dan detak hatinya yang semakin hari semakin lemas merindui Rifhan. Kadangkala, tindakannya itu terasa bodoh sekali. Wajarkah kalau difikirkan tindakannya itu? Sanggup memilih seseorang yang tidak pernah sekalipun membalas cinta itu, padahal ada di sisi yang rela menyerahkan segalanya untuknya.

Benar kata orang, cinta memang tak dapat dipaksa. Ibarat burung, boleh terbang ke mana sahaja yang disukai. Hanya apabila bertemu dengan insan yang dipilih Allah, perjalanan itu akan berhenti untuk melabuhkan cinta pada yang selayaknya. Sudah kahwin lagikan bercerai, inikan pula belum ada ikatan. Separah apapun, sakitnya tetap perlu diterima. Pasrahkanlah harapan pada Yang Maha Esa. Hanyalah Dia penentu segalanya.


**************


"Kau takkan faham apa yang aku rasa sekarang. Aku rasa ada baiknya kalau kau jangan masuk campur dan jangan cuba nak menduga hati aku. Semua ini sekadar suatu kebodohan. Kalau kau tak tahu apa lagi baik kau senyap saja," kata-kata itu mendahului langkah Fatin ke bilik tidur. Sekali lagi, Syafiqah menggelengkan kepalanya.

'Sampai bila kau nak hidup dalam ego macam ni? Kau sendiri pun bukannya tak tahu gerak hati kau. Semata-mata kau bencikan Hidayah, kau nak nafikan perasaan kau pada Rifhan. Kau diamkan semuanya. Kau buat semua ni semata-mata kerana tak mahu ada pertalian dengan perempuan yang kau benci. Cuba kau tanya diri kau, adakah hidup kau perlu terhalang semata-mata kerana kebencian kau pada perempuan tu?'

Sayangnya, nasihat seorang sahabat itu tidak terluah. Bukan enggan meluahkan, tetapi Fatin tak akan rela mendengarnya sama sekali. Bukan dia tidak ada perasaan simpati, namun pertolongan itu tak akan diterima. Fatin lebih rela hidup begitu. Menahan perasaan semata-mata kerana ego yang melangit.

'Kalau dia terus begini, siapa yang mampu faham perasaannya?'
Memang benar kata orang, menghadapi seorang yang ego lebih susah daripada menjaga sekandang haiwan ternakan. Syafiqah jadi pening dengan kelakuan Fatin. Kalau mampu, dia ingin sekali melembutkan hati Fatin untuk berhenti menafikan perasaan semata-mata kerana ego. Teringat pula pesan Fatimah, 'kaedah melembutkan hati yang paling mujarab ialah al-Quran sebab itulah sebenarnya makanan rohaniah, jauh lebih hebat nilainya daripada makanan fizikal.'
 Ah,masalah! Syafiqah bukannya ustazah yang pandai al-Quran. Setakat menghafaz surah pendek mampulah sebab memang termasuk dalam silibus pelajaran sekolah rendah dan menengah. Tafsirannya sumpah dia tidak tahu. Fadhilat dan kafiatnya lagilah tidak tahu. Hendak tanya Fatimah?
 'Ish, tak boleh! Fatimah tak boleh tahu semua itu. Ini hal peribadi Fatin. Dia dah cukup tersinggung masa aku bongkar rahsia dia tadi. Kalau Fatimah pula tahu, lagi menambahkan masalah.

Tiba-tiba Syafiqah menyesal. Bukankah baik kalau dari dulu dia cuba mendalami kalam Allah dan mukjizat yang dikurniakan-Nya?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Fikirkanlah..

Kita semua punya fitrah mencintai insan yang kita sayang..
tapi kita juga perlu punya fitrah mencintai tuhan kita..
cuba kita ambil masa dan tanya diri kita sebentar..

PART 1:Sebelum Bercinta

"Ketika kita memandang wajah kekasih kita untuk kali pertama,
jantung kita berdegup kencang dan serba tak kena,
terlupa segala-gala yang berlaku selain dia,"

"Ketika kita berhadapan dengan Allah dalam solat,
untuk pertama kali menghayati makna solat,
apakah kita dapat melupakan semuanya selain Dia?"

"Kita jatuh cinta dengan kekasih,
sebab kita merasakan dia seorang yang sempurna,
paling tidak dia layak untuk kita cintai,"

"Adakah kita jatuh cinta dengan Allah?
adakah kesempurnaan-Nya buat kita rasa cinta,
atau bagi kita Dia bukan untuk dicintai?"

"Ketika kita terdengar orang menyebut nama kekasih kita,
hati berbunga-bunga dan rindu pun tercipta,
berdebar-debar rasanya hati,"

"Ketika kita mendengar orang menyebut nama Allah,
apakah kita menjadi rindu padanya,
berdebar-debarkah hati kita dengan cinta kepada-Nya?"

"Ketika orang menanyakan kita adakah kita cinta kekasih kita,
dalam malu tetapi yakin kita pun membisu,
mengangguk dengan rasa malu,"

"Ketika orang menanyakan kita adakah kita cinta Allah,
tanpa segan silu kita pun bangga mengiyakan,
tapi bukankah ada gentar jika tak sepenuh penghayatan?"

PART 2: MULA BERCINTA

"Setiap hari, tanpa mengira siang ataupun malam,
kita sedia merindui kekasih kita,
bagai tak mahu lepas renggang dari dirinya,"

"Setiap hari, siang malam pagi dan petang,
rindukah kita terhadap Allah,
sanggupkah kita jauh dari-Nya?"

"Setiap minggu, kita sanggup berhabis duit demi kekasih,
belikan hadiah, belanja makan tidakpun sms dan call,
kita tak kisah asalkan dia bahagia,"

"Setiap minggu, adakah kita sanggup mewakaf wang di jalan-Nya,
sanggupkah kita membeli buku agama demi mengenal cinta-Nya,
adakah kita tak merungut saat berbelanja untuk-Nya?"

"Setiap malam, kita sanggup korbankan masa,
chatting, sms, ataupun call dengan kekasih kita,
kita tak peduli sebab kita seronok sangattt,"

"Setiap malam, sanggup tak kita korbankan masa,
pergi dengar ceramah, tadarrus atau solat jemaah,
seronokkah kita bila sekolah buat program agama?"

"Setiap masa, kita sanggup korbankan semua,
tidur, wang dan masa makan demi kekasih,
nak dengar rintihan kekasih bila dia tak boleh tidur,"
"Setiap masa, sanggupkah kita korban,
waktu tidur dan waktu berhibur,
cuma nak tahajjud dating dengan Allah?"

"Setiap hari, kita selalu jaga hatinya,
kita sungguh takut akan kehilangannya,
kalau boleh sampai bila-bila nak hidup bersamanya,"

"Setiap hari, adakah kita jaga hati-Nya,
adakah kita selalu takut kehilangannya,
adakah kita berimpian untuk bercinta selamanya dengan-Nya?"

"Kita selalu jaga diri kita,
tak mahu sama sekali menduakan cintanya,
setia kita bagai tak mahu terlerai selamanya,"

"Adakah kita jaga diri kita,
tak mahu menduakan cinta-Nya dengan manusia,
apakah kita takut untuk hilang setia dari-Nya?"

PART 3: BILA DIA INGIN PERPISAHAN

"Hancurnya hati kita melihat dia menduakan,
sedihnya bila dia kata tak cinta lagi,
rasa nak bunuh diri bila dia nak putus,"

"Adakah kita tak sedih apabila buat mungkar,
tak kecewakah andai hilang cinta-Nya,
tak hancurkah hati kalau putus cinta dengan-Nya tanpa disedari?"

"Betapa sakit hati bila cintanya mati,
kita salahkan diri bila cintanya menjauhi,
kita renungkan apa salah kita apa kurangnya kita,"

"Adakah kita selidik kalau cinta-Nya mungkin jauh dari kita,
adakah kita menyesali dosa kita pada-Nya,
adakah kita muhasabah apa dosa dan cela kita?"

"Selepas dia pergi tiap hari kita merindu,
kita inginkan dia kembali bersama kita,
walau di manapun kita tetap nak bertemu dengannya,"

"Adakah setiap hari kita merindukan-Nya,
mengharapkan-Nya agar menemani kita setiap masa,
adakah kita mempersiapkan diri bertemu dengan-Nya?"

***********************

Kita selalu mempersiapkan diri secantiknya kalau nak berdating dengan kekasih,
tapi apakah pula cara kita memperindahkan diri kalau nak menghadap Allah...

Kita selalu menyediakan diri kalaulah kita ini nak berdua dengan pasangan,
tapi apakah pula persediaan kita kalau dijemput bertemu Ilahi..

Kita takut kalau kekasih kita tak suka penampilan kita,
tapi adakah kita tak takut jika Allah tak redha cara kita berpakaian..

Kita jadi tak tentu arah kalau kekasih tak puas hati dengan kita,
tapi adakah kita tak tentu arah bila buat sesuatu yang Allah tak suka..

***********

Selalunya kita ini sangat sangat jaga hati manusia,
tapi kita tak jaga pula kalau Allah mungkin murka pada kita..
Kekasih duakan kita kalau, itu mungkin kifarah,
sebab kita duakan Allah dengan cinta pada dia..
Kekasih tak suka pada cara kita,
mungkin diri kita ada tak kena pada pandangan Allah..

Buat sesiapa yang merasai pahit cinta ditolak,
bersyukurlah mungkin Allah sengaja tidak menggerak hatinya,
untuk terima cinta yang kau hulurkan,
kerna ingin memelihara dirimu juga..

Buat sesiapa yang tidak pernah terasa nikmat cinta berbalas,
bersyukurlah mungkin Allah mahu kau setia pada-Nya,
mungkin juga itulah kifarah dari-Nya atas dosamu,
semuanya untuk kesucianmu juga..

~PUT YOUR TRUST IN ALLAH, HE KNOWS BEST!~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (18)

"An, aku dengar kau dah pindah dari rumah? Kenapa pindah? Dulu aku ajak duduk serumah dengan aku, tak nak. Kalau tak boleh buat kelab bujang,"kata-kata Helmy buat Rifhan tersentak. Serta-merta hatinya teringat akan Hidayah. Memang benar dia risau dan rindu akan Hidayah. Terasa seolah-olah dia mengabaikan tanggungjawab saat dia meninggalkan rumah itu.

"Ha'ah. Memang aku pindah pun. Bukan apa, penat dengar orang mengata. Yalah, rumah tu siang malam aku duduk berdua dengan Hidayah. Bukan takutkan kata orang, tapi takut jadi fitnah. Kau taulah macam mana mulut orang," sengaja Rifhan bercakap dengan agak jelas. Siapa mahu dengar, dengarlah. Biar semua orang tahu betapa geramnya dia pada semua orang.

"Er, aku nak tanya ni," Helmy sengaja bertanya kerana sudah mendengar sedikit sebanyak buah mulut orang.

"Tanya apa?"

"Adik kau tu, fresh lagi tak?" Soalan diajukan dengan mata yang nakal. Nampak jelas dia mempersoalkan kesucian Hidayah. Nampak juga riak gatal di wajahnya.

"Apa maksud kau ni?" Memang Rifhan dapat mengagak makna kata-kata Helmy, namun digagahkan juga untuk bertanya dahulu. Kalau ikutkan hati, mungkin penumbuk sudah dihadiahkan.

"Err.. Betul ke orang cakap, kau pernah 'ehem ehem' dengan Hidayah?" Nasib baik itu yang Helmi tanya. Jika dia memaksudkan riak gatalnya sebentar tadi, habis lebam mukanya dikerjakan Rifhan.

"Isy. Gila apa? Dia tu adik akulah. Tak ada akal ke nak buat naya adik sendiri?" Rifhan pantas menafikan. Memang dia tidak pernah terlanjur dengan Hidayah. Selagi dia masih beriman, tak akan sesekali dia berzina, apa lagi melakukan sumbang mahram.

"Iye ke ni? Habis tu, kenapa dua-dua tak menikah sampai sekarang?"Sela Helmy. Dia memang seronok sekiranya Hidayah sudah ditebuk Rifhan. Bolehlah dia jadikan alasan untuk mendekati Hidayah, kononnya atas dasar simpati.

Elya Nur Hidayah, seungkap nama yang punya maksud tersendiri. Usianya sudah menginjak angka 30-an. Lima tahun lebih tua berbanding Helmy. Namun istimewanya Hidayah ialah wajahnya yang cerah berseri tanpa setitik noda pun. Dia bukan rupawan, hanya seorang yang berwajah jernih. Bukannya Helmy tidak tahu, bahawa Hidayah pernah dilamar sejak awal 20-an lagi, namun semuanya ditolak kerana mahu menjaga Aisya, adik yang sekarang langsung tidak mengenang budi.

"Dah belum sampai lagi jodoh kami, nak buat macam mana? Redha ajelah," mudah jawapan Rifhan.

"Ke sebab kau dah tebuk adik kau sampai hilang dara? Itu yang kau tak nak kahwin selagi dia tak kahwin. Alah, sebab adik kau tak laku, kan? Siapa nak, kalau dah hilang dara. Dulu mengada-ngada orang pinang nak menolak. Lepas tu, dengar-dengar orang kata mengandung anak abang sendiri. Cukup tunggu sembilan bulan, tak ada bersalin pulak, dah buang agaknya. Entah-entah dulu pinangan ditolak tu bukan sebab nak jaga makan minum adik tapi sebab seronok nak menggatal dengan abang sendiri,"

Dush! Penumbuk singgah tepat di muka Helmy. Rifhan memang sudah menahan sabar sejak awal perbualan. Apabila maruah dan kesucian Hidayah diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya, memang dia gagal mengawal perasaan. Fitnah yang dilemparkan itu terlalu tajam berbisa. Adakah patut Hidayah diberikan pelbagai bentuk fitnah?

Pertama, mengatakan adiknya ditebuk olehnya sendiri. Kedua, mengatakan adiknya mengada-ngada menolak pinangan. Ketiga, dituduh pula adiknya mengandung. Tidak cukup lagi, dikata pula adiknya pernah menggugurkan kandungan. Dikata lagi adiknya tidak bernikah bukan demi Aisya tapi semata-mata kerana dirinya!

"Kau jangan sesuka hati nak hina adik aku! Dia masih lagi anak dara. Bukan salah dia kalau jodoh dia lambat sampai. Kalau dia terima pinangan tu pun, seandainya bukan dia yang tersurat sebagai jodoh lelaki tu, tak akan jadi. Kau jangan cakap macam orang tak ada agama!" Kata-kata Rifhan merupakan provokasi bagi Helmy.

Terus Helmy membuka langkah silat. Rifhan tidak ketinggalan. Kedua-duanya memang mahir jurus silat. Nampak jelas garis-garis kemarahan di wajah masing-masing. Rifhan berasa maruah keluarganya tercalar. Helmy pula merasakan egonya dipijak keras.

Pertempuran mereka cuma sepuluh minit sebelum orang kampung datang meleraikan, tetapi Helmy sudahpun lembik. Memang Rifhan kuat orangnya. Badan tegap sedangkan Helmy cumalah kurus melidi. Silap besar sekiranya Helmy mahu mengajak Rifhan berlawan.

"Pak cik! Pak cik tengoklah perangai An! Saya tak sangka dia jantan keparat. Depan saya tadi dia mengaku ada rogol Dayah. Dayah dah tak mampu buat apa-apa. Sebab tu sekarang dia pindah, takut-takut kalau mengandung dia kena tanggungjawab. Dia mengaku, dulu dia dah mengandungkan Dayah, tapi mereka gugurkan kandungan tu! Sekarang Dayah dah serik, dia buat cara paksa. Dasar jantan tak guna!"Helmy terus membalas dendam. Sakit seluruh tubuhnya dipukul Rifhan. Tak dapat cara kasar, biar cara licik digunakan.

Orang kampung naik darah. Ada yang berbisik marah. Ada pula yang terus membelasah Rifhan. Sepuluh lawan satu. Di kalangan mereka ada pula guru silat. Memang teruk Rifhan dikerjakan. Akhirnya, setelah Rifhan lembik dikerjakan, tubuhnya dibiarkan terkulai di tepi jalan.

***********

"Kau dengar tak cerita? An kena belasah dengan orang kampung," Najwa memulakan cerita.

"Eh, kena belasah? Kenapa pulak?"

"Mana tak kena belasah, dia mengaku pada Helmy yang dia dah pernah tebuk Kak Dayah, sampai mengandung. Lepas tu, diorang gugurkan anak tu. Baru-baru ni, Kak Dayah dah kena paksa dek An tu. Kak Dayah ugut nak buat report, baru kalut si An tu nak pindah rumah. Yalah, takut rahsia terbongkar,"

Cerita itu pantas tersebar. Tidak sampai sehari, seluruh kampung sudah mengetahuinya. Hidayah yang terkejut besar mendengar cerita abangnya dibelasah, terus meluru ke rumah Rifhan.

"Assalamualaikum, abang! Abang okey tak ni? Abang kena belasah? Kenapa tak beritahu Dayah?" Bertubi-tubi soalan diajukan pada Rifhan yang terbaring lemah di katilnya.

"Dayah, baliklah," Rifhan enggan melihat Hidayah dilempar dengan fitnah lagi. Cukuplah semua yang sudah berlaku.

"Abang! Dah terlantar sakit macam ni pun masih degil nak suruh Dayah balik? Siapa yang nak jaga abang kat rumah ni? Abang sedar tak abang tinggal seorang je kat rumah ni?" Hidayah menyoal tanpa henti. Matanya bergenang dengan air mata. Kenapa abang kandungnya sendiri sanggup menolak kehadirannya?

"Sebab Dayah jatuh cinta pada abang?" perlahan soalan itu terpacul dari bibir Hidayah. Baginya, tiada sebab lain sekiranya Rifhan enggan dia berada di situ.

"Ya. Abang tak boleh terima seorang perempuan yang jatuh cinta pada abang sendiri, untuk berduaan dengan abang di sini. Dayah baliklah sekarang. Ini bukan tempat Dayah," bagai mahu retak jantung Rifhan mengucapkan kalimah itu.

"Abang, kalau abang benci Dayah pun, Dayah akan tetap jaga abang...."

"Balik!" Rifhan terus meninggikan suara.

"Abang,...."

"Abang kata balik!" Tengkingan itu membuat Hidayah tersentak.

"Terima kasih abang, sebab membuang adik sendiri. Dayah harap, abang dah halalkan setiap sen duit yang abang dah bagi selama ni, maafkan kesalahan Dayah. Hanya satu permintaan Dayah, abang jaga diri baik-baik. Moga Allah pelihara abang," Hidayah berpaling dan menuju ke muka pintu.

Tanpa menoleh ke belakang, hanya lafaz "Assalamualaikum" diucapkan. Sebak benar suaranya. Dia benar-benar sedang bersedih. Wajahnya yang basah dek air mata tidak mahu ditunjukkan kepada Rifhan.

Sayangnya, dari belakang, Hidayah tidak nampak tangan Rifhan bagaikan mahu menariknya, enggan melepasnya pergi.

***************

'Aku tidak pernah mengharapkan balasan cintanya. Mengapakah aku perlu menderita? Tidakkah semua ini palsu belaka? Aku yang tidak pernah sanggup meninggalkan keluarga demi cinta, sekarang dibuang keluarga kerana cinta. Aku bukan buta, aku bukan tuli. Barangkali aku sudah gila. Cinta ini membuatku gila.' monolog Hidayah.

'Pedih... terlalu pedih. Semua yang menyakitkan terbenam sendiri. Aku tahu dia terluka dan melukainya itu lebih melukai diri sendiri. Aku mengharapkan kehadirannya di sini saat aku terpuruk dalam kesakitan, tetapi aku tak mahu dia menderita. Salahku mencintainya. Cinta inilah yang buat dirinya merana sampai sekarang. Berpuluh tahun ini, berapa banyak pengorbanannya. Sayang, aku benar-benar tidak mampu untuk membalas segalanya. Biarlah Allah menjaga dirinya. Aku gagal, aku tidak mampu.' monolog Rifhan.

Biar hati yang meleraikan..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (17)

Hidayah cuba memulakan hidup baru dengan menepis bayangan Rifhan. Namun makin dicuba, makin gawat jadinya. Adakalanya, waktu malam dia bimbang untuk tidur. Bimbang rumahnya dimasuki anasir jahat. Sudah lebih tiga puluh tahun tinggal bersama keluarga, sekarang tinggal sendiri. Tambahan pula, orang kampung sudah gah bercerita tentang Rifhan berpindah ke rumah lain.

Segala macam tohmahan dilemparkan kepadanya. Pelbagai spekulasi dicanang keliling kampung. Ada juga yang dapat menebak perkara sebenar. Apa yang pasti, walau siapapun dapat menduga kenyataan sebenar, baik dia mahupun Rifhan sama sekali tidak akan mengakui.

"Entah-entah Dayah tu dah ditebuk dek An tu. Kalau tak kenapa tiba-tiba nak pindah pulak," Hidayah terdengar bicara Mak Senah semasa dia membeli sayur. Kalau ikut hati, mahu sahaja dimaki Mak Senah kerana memfitnah Rifhan. Kalaulah bukan kerana hormatkan orang tua, entah apa jadinya pada Mak Senah.

"Ha'ah. Jangan lagi empat bulan, ada perut yang kembung sudahlah," bertambah sakit hati Hidayah dengan cemuhan itu. Dia lantas membayar duit sayur dan terus menunggang motosikal pulang ke rumah. Sampai di rumah, habis segala pintu yang dilaluinya dihempas. Air mata tumpah lagi.

Perutnya dipegang. Mana mungkin berisi janin kalau tidak pernah langsung disetubuhi lelaki. Selama ini, dia sentiasa menjaga hijabnya dengan lelaki. Kenapa begitu mudah kesuciannya dipertikaikan? Hanya kerana dia tinggal berdua dengan abangnya lalu lelaki itu berpindah. Hanya kerana belum sampai jodohnya pada usia 30-an.

'Kalaulah Aisya ada di sini, mungkin tak separah ini keadaan keluarga kami. Aisya, kenapa sampai hati buat kami begini? Apa dosa kami? Kakak memang bukannya orang berada, tapi kakak sanggup beri nyawa kakak sekalipun kalau itu yang Aisya nak. Cuma kak harapkan kepulangan Aisya.'

Bisikan iman dan syaitan silih berganti menyelubungi hati. Kekuatan yang tersisa cuba juga digali, mengharapkan ketenangan datang menjengah.

'Kalau Aisya ada atau tak ada pun, takdir tetap takdir. Kau tak boleh asyik duduk menyalahkan takdir. Kau kena banyak berikhtiar, berdoa dan bertawakkal. Apa-apa sekalipun, dugaan itu ada pahalanya. Cuma kau perlu kuat untuk merebutnya. Kalau kau macam ni, bukan pahala yang kau dapat, tapi dosa sebab menyalahkan takdir.'

'Argh ! Kau apa tahu? Takdir tak habis-habis nak seksa aku. Syariat membebankan aku, tahu tak? Selama ni, aku sentiasa percaya apa yang berlaku ni ada hikmahnya. Tapi kau lihat sendiri apa yang terjadi? Kerana syariat, aku kehilangan cinta. Aku patuh pada syariat yang melarang sumbang mahram, tapi apa yang berlaku? Kenapa tuhan tak bantu aku? Kenapa tak hilangkan perasaan ini?'

'Hidayah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka berusaha mengubahnya. Duduk bersimpuh menyalahkan apa yang sudah berlaku tak dapat menegakkan kebenaran. Hakikatnya perasaan kau salah! Kenapa mesti kau salahkan takdir atas sesuatu kesalahan yang kau lakukan?'

'Nak aku cuba macam mana lagi!? Aku dah tak larat nak cuba! Aku jatuh cinta bukannya aku yang suka. Aku jatuh cinta pada abang aku bukannya aku sengaja. Kau faham tak!? Aku ni perempuan biasa, ada naluri untuk disayangi. Kau tak boleh samakan aku dengan malaikat yang tak tahu jatuh cinta!'

'Memang cinta kau tu terjadi secara tak sengaja. Tapi pernahkah kau terfikir, kenapa kau merana macam ni? Sebab kau melebihkan cinta manusia daripada mencintai Tuhan! Kenapa kau tak boleh lupakan cinta palsu ini? Sebab kau tak sanggup berkorban demi kemahuan Dia yang satu!'

'Cintakan Dia? Kau ingat Dia boleh peluk aku setiap malam? Kau ingat Dia boleh berbisik meluahkan kata cinta setiap malam?'

'Kau jangan buta, Hidayah! Kalau Dia tak cintakan kau, kau tau mana kesudahan kau? Neraka Jahannam kau tau tak! Memang Dia tak mendakap kau setiap malam, tapi Dia pelihara kau setiap malam dari ancaman. Memang Dia tak membisikkan ayat cinta, tapi Dia membenarkan kau menghirup udara nyaman setiap malam, udara yang menghembuskan ketenangan. Memang Dia tak bisikkan pada kau, tapi kalam-Nya dalam Al-Quran sudah lama menyatakan! Kenapa kau tak hayati kata cinta-Nya?'

Nafsu terdiam. Tinggal iman berbicara, memujuk hati Hidayah.

'Bukalah hatimu, Hidayah. Jangan mudah terpedaya dengan syaitan dan nafsu. Kau perlu kuat memegang prinsip, kau diciptakan sebagai khalifah, tahukah kau itu bukan tanggungjawab yang ringan? Kau tak patut. semudah itu nak mengalah setelah berpuluh tahun kau bertahan. Allah sayang kau, sebab tu dia uji kau. Dia biar kau kecewa pada cinta, sebab Dia nak tarbiah kau agar setia pada-Nya.'

Hidayah tidak tahu hendak berkata apa. Monolog hatinya meresahkan, tapi menenangkan. Entah yang mana yang menguasai. Saat itu, dia tahu, apa yang dia perlukan ialah ketenangan. Lantas dia menuju ke bilik sembahyang.

Sesudah solat, dia menuju ke rumah Fatimah. Sampai di halaman rumah, Fatin memandangnya tajam. Dia tunduk seketika mencari kekuatan. Sebentar kemudian, dia bersuara.

"Assalamualaikum, er.." cakap Hidayah terus dipintas.

"Waalaikummusalam. Kau buat apa kat sini? Nak ajak kawan aku buat maksiat pulak ke?" Perasaan Hidayah tidak dihiraukan. Fatin hanya mahu Hidayah tahu, perempuan sepertinya tidak dialu-alukan langsung di rumah itu.

"Kak tak ada niat nak buat maksiat..."sekali lagi, tiada peluang diberi.

"Eh, tak ada niat? Habis tu apa yang ada niat? Menggoda abang sendiri tak ada niat? Eii, tolonglah! Orang kalau dah berak tengah jalan, tak adanya dia nak mengaku tau! Sedarlah diri tu sikit, kalau dah buat zina tu, tak ada gunanya kalau tudung sampai ke kaki sekalipun. Kalau kau dah buat maksiat, jangan nak bawa sekali maksiat kau tu datang rumah ni! Dah dah, balik! Aku tak nak tengok muka kau kat sini,"

Hidayah melangkah pergi, longlai langkahnya. Dia tidak menyangka, seburuk itu layanan yang diperoleh daripada Fatin. Gadis itu muda sembilan tahun daripadanya. Sungguh 'indah' budi bahasanya. Selangkah cuma, dia berpaling ke arah Fatin.

"Fatin, kak tak kisah kalau Fatin nak buat apa sekalipun, nak tuduh kak ni apa sekalipun. Kak dah lali dengan fitnah orang. Penat dah telinga kak ni. Cuma satu yang kak nak cakap, walau apapun yang orang cakap, kak tetap sayang Fatimah,dunia dan akhirat. Apa Fatin nak cakap, cakaplah. Terpulanglah. Kak balik dulu, assalamualaikum,"

**********

Dari jauh, Fatimah nampak Hidayah berlalu dari rumahnya dengan wajah sugul. Kalau bukan sebab dia membawa ais dan khuatir cair, tentu dia memujuk. Dia segera melangkah ke rumahnya untuk menyimpan ais.

Fatin pula sudah awal-awal nampak kelibat Fatimah. Cepat-cepat dia menitiskan ubat ke matanya, biar mengalir air matanya. Dia perlu segera menguruskan diri agar tidak disedari oleh Fatimah. Dia tahu, Fatimah pasti marah sekiranya tahu dia sudah menghalau Hidayah.

"Assalamualaikum. Fatin, tadi Kak Dayah ada datang sini ke?"

Fatin tidak menjawab. Tunduk, mengalirkan air mata. Wajahnya dipaksa agar kelihatan seperti seorang yang sedang bersedih. Demi memperhebat dramanya, dia bingkas dan mahu berlalu. Kononnya menyembunyikan sesuatu daripada Fatimah.

Fatimah lantas memegang lengannya. Dia membalikkan badan Fatin menghadap tubuhnya. Dia dapat merasakan bahawa Fatin sedang menyorokkan sesuatu daripadanya. Ternyata, dia melihat wajah Fatin basah dengan 'air mata'.

"Fatin menangis ya? Kenapa ni, Fatin?"

Fatin terus membenamkan wajahnya di bahu Fatimah. Kononnya sangat sedih. Walhal mahu mengeringkan wajah. Dia tidak mampu mengalirkan air mata palsu lagi. Sungguh hebat lakonannya.

"Kak Dayah.."

"Kenapa dengan Kak Dayah? Fatin, apa dah jadi ni?"

Fatimah mengajak Fatin masuk ke dalam rumah. Dia duduk bersama Fatin di sofa. Teh o ais yang dibungkus dari kedai dituang ke dalam gelas yang memang tersusun di meja kopi. Minuman disua kepada Fatin.

"Sebenarnya, tadi Kak Dayah datang sini. Dia tanya, Imah ada tak. Fatin cakaplah Imah tak ada. Lepas tu, dia marah-marah. Dia kata Fatin tak nak bagi Imah jumpa dia. Fatin ajaklah dia masuk rumah sementara tunggu Imah, Fatin kesian tengok dia berdiri di luar. Tahu-tahu, dia maki Fatin. Dia cakap dia tak kan masuk rumah ni. Dia cakap kita ni ada bela hantu dalam rumah. Sebabnya, Imah ni berpakaian labuh, berstokin, beraurat lengan semua. Dia kata orang pakai alim ni banyak simpan hantu dalam rumah. Fatin tak suka dia cakap Imah macam tu, sebab tu Fatin bela Imah. Fatin cakap Imah baik, tak percaya benda khurafat. Dia marah Fatin balik. Dia kata Imah ni memang bela jin. Dia tengok pun tahu. Tapi Fatin tak percaya. Imah tak buat kan semua tu? Imah tak buat kan kerja haram macam tu? Fatin sayang Imah, Fatin percaya Imah. Fatin tak sangka dia sanggup nak fitnah Imah macam tu, padahal Imah yang selama ni buat baik dengan dia, sampai malam-malam buta sanggup temankan dia,"

Fatimah terpana. Benarkah Hidayah yang dipercayainya selama ini sanggup melakukan perkara sedemikian?

*********************

Sejak petang, Fatimah asyik termenung di biliknya. Fikirannya buntu. Kenapa Hidayah sanggup menuduhnya begitu? Apakah dosanya pada Hidayah? Selama ini, Hidayah kelihatan sangat baik dengannya. Setiap kali berjumpa, Hidayah sentiasa mengucapkan perkataan yang baik-baik sahaja. Hendak memaki jauh sekali.

"Kenapa tautan hati kami tak dapat membuat matanya percayakan aku?"

Setitis air mata tumpah di pipinya. Dia kesal dengan apa yang berlaku. Sampai hati Hidayah menuduhnya begitu. Semata-mata kerana pakaiannya. Matanya tertancap pada pakaian yang telah diseterikanya untuk esok. Jubah longgar berwarna biru lembut, dengan tudung labuh biru air yang sedondon. Aurat lengan dan stokin berwarna biru muda sudah tersedia.

Dek kerana warna tudung yang cerah seringkali memperlihatkan tengkuk, dia memakai tudung Syria yang kecil sebelum mengenakan tudung labuh. Rakan serumah selalu memandangnya pelik setiap kali dia berpakaian begitu. Memang jarang orang mengenakan tudung dua lapis. Hakikatnya semua itu adalah demi menjaga aurat.

Fatimah membuka almarinya. Matanya terpandang pada sehelai tudung labuh yang disertai kain purdah. Tudung itu dibelinya minggu lepas bersama Hidayah. Hidayah yang memberi cadangan agar dia memakai tudung tersebut.

"Imah tak nak beli tudung ni? Siap dengan kain purdah lagi. Harga pun murah. Kalau Imah pakai, tentu cantik. Manis aje dipandang," Hidayah menghalakan telunjuknya kepada sehelai tudung labuh berserta kain purdah berwarna ungu cair. Memang cantik pada mata Fatimah. Warnanya mendamaikan, disulam pula dengan bunga kecil. Tidaklah menarik perhatian lelaki kalau dipakai sekalipun nampak cantik. Biasalah, jarang lelaki mahu tertarik kalau melihat wanita berpurdah atau bertudung labuh. Lazimnya berani dipandang tapi susah mahu mengganggu.

"Ha'ah. Cantik sangat. Imah pun berkenan. Kak tak nak beli yang warna biru cair tu? Cantik, kena dengan kulit kak. Ada kain purdah juga,"Fatimah tidak ketinggalan mengusulkan untuk Hidayah. Dia memang teringin mahu mengajak Hidayah bertudung labuh dan berpurdah.

"Tak apalah. Buat orang pandang pelik saja pada kak. Kalau kak ni memang dari dulu bertudung labuh, tak apalah. Kak pakai tudung sederhana saja kan. Nanti apa pula kata orang. Dahlah satu kampung tengah riuh mengutuk kak,"

"Alah, kak mulakanlah dengan pakai tudung labuh dulu. Sebenarnya, kalau kak nak tau, tudung kak ni pun sebenarnya besar. Bawal 51' kan? Selalu orang pakai yang 45' saja. Orang tengok pun memang orang kata kak pakai tudung labuh juga. Kalau kak tukar tudung ni pun, orang tak hairan. Lagipun, apa nak dipedulikan dengan cakap orang. Yang nak kena tutup auratnya kita. Bukan mereka. Nanti bila kak dah bersedia, baru pakai purdah,"

Akhirnya, selepas dipujuk, Hidayah memilih tudung tersebut. Fatimah dengan murah hati membelikan Hidayah dua helai tudung labuh berserta kain purdah. Tidak cukup dengan itu, stokin turut dibelinya. Tujuannya untuk mendidik Hidayah agar menutup kaki. Tidak sempurna aurat seorang wanita walaupun bertudung labuh, jika kaki masih terdedah.

Hidayah terpana saat plastik berisi hadiah itu diserahkan kepadanya. Berkali-kali dia menolak, namun Fatimah tetap mahu menghadiahkan kepadanya. Niatnya cuma satu, mahu Hidayah menutup aurat dengan sempurna.

"Tak apa, kak. Imah memang ikhlas nak beli untuk kak,"

"Imah, kak tak naklah menyusahkan Imah. Imah dah banyak susah kerana kak,"

"Tak apa, kak. Macam nilah, kalau kak nak hargai hadiah ni, satu je Imah nak kak buat,"

"Apa?"

"Kak pakailah pakaian ini. Imah teringin nak tengok kak pakai. Itu aje Imah nak,"

Lama Hidayah terdiam, akhirnya dia tersenyum dan mengangguk. Fatimah tersenyum mesra. Dia benar-benar bersyukur.

"Tapi kak pakai bukan sebab nak hargai Imah,"Hidayah tersenyum simpul.

"Habis tu?"

"Kakak nak menutup aurat kerana Allah," terus tubuh Hidayah dipeluk Fatimah. Kalimah syukur dipanjatkan tidak henti-henti. Sesungguhnya, perkataan tulus itu lebih berharga dari segala-galanya.

'Sekiranya seseorang itu mendapat hidayah lantaran keranamu, maka itu lebih baik bagimu daripada segala apa yang disinari oleh mentari,' hadis itu sentiasa mekar di hati Fatimah.

Azan berkumandang. Fatimah terjaga dari lamunan dengan mata yang basah. Dia bingkas menunaikan solat. Hanya kepada Allah dicurahkan segalanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (16)

"Mak cik dan pakcik ni siapa?" Aisya bertanya. Memang jelas, suami isteri yang menemaninya itu tentulah insan mulia yang menyelamatkannya. Niatnya cuma mahu mengetahui gerangan insan berhati mulia tersebut.

"Adik panggil aje mak cik Ummi. Nama mak cik Faizah. Kami jumpa adik terbaring di tepi jalan semalam, itu yang kami hantar ke sini. Adik dah okey ke?" Faizah pantas menyesuaikan diri dengan Aisya. Dia mahu mewujudkan kemesraan dengan gadis itu.

"Dengan pak cik, kalau nak panggil abi pun boleh. Kalau selesa nak panggil ayah, suka hatilah. Pak cik ni Zulfakar," sikap mereka membuatkan Aisya lekas mesra. Walaupun dia sedikit kekok dengan panggilan yang disarankan tidak ubah seperti orang arab, namun dia tetap tersenyum.

"Em, dah okey dah sikit, ummi," dalam kekok, panggilan itu dibahasakan juga.

"Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dia yang beri kesembuhan buat hamba-Nya.Sakit itu ujian-Nya, sihat pun ujian-Nya juga sebenarnya. Adik ni kena ragut ke? Tinggal di mana?" Faizah pantas bertanya. Hatinya memang sudah sayang pada anak dara itu.

"Err, ya, adik diragut,"cuma itu yang dijawab. Kaku dan bisu seketika.

"Oh ya, lupa pakcik nak tanya. Nama adik siapa? Tadi masa masuk emergency,nama pun tak diisi sebab tak diketahui,"Zulfakar mendahulukan usul periksa. Mahu juga dia tahu siapa gadis itu.

"Nama adik.."Aisya terdiam seketika.

'Kalau aku beritahu nama betul dan siapa aku, mesti mereka hantar aku balik ke rumah sewa. Kalau hantar ke sana, ish, menyusahkan mereka. Kalau tak ke sana, silap haribulan hantar aku balik kampung terus. Baik aku tipu, boleh jugak aku tumpang free sebelum dapat kerja. Kalau dah stabil nanti, aku terus teranglah.' begitu mudah Aisya ingin mengambil jalan pintas.

"Nama adik siapa? Ingat tak?"Faizah risau sekiranya gadis tersebut hilang ingatan gara-gara hentakan di kepalanya sewaktu jatuh di tepi jalan. Mungkin juga ingatannya hilang sementara disebabkan trauma atau kejutan yang dialami.

"Err.. Nama adik Sofea," Aisya pantas mereka nama palsu untuk dirinya sendiri. Pada awalnya, dia ingin berpura-pura hilang ingatan, namun apa yang dirisaukannya, sekiranya suami isteri itu mengambil keputusan membuat laporan polis, malah mungkin mengiklankan di akhbar untuk mengenalpasti latar belakang dirinya. Tentu gawat jadinya.

'Ah, pedulikan! Yang penting aku dah usaha nak lepaskan diri. Pandai-pandailah nanti aku uruskan.'

"Ibu bapa adik tinggal di mana? Alamat ingat tak?"soalan Zulfakar menyentak hati Aisya. Ibu bapa tinggal di mana? Tinggal di alam barzakh. Alamat ingat tak? Tanah perkuburan. Aisya terdiam seketika. Wajahnya tetap cuba dimaniskan, tidak mahu rahsia kehidupannya dihidu oleh mereka.

"Err, ibu bapa Sofea dah lama meninggal dunia. Sofea banyak tumpang kawan-kawan aje,"

Faizah tersenyum lebar. Nampaknya hasrat itu semakin nyata. Dia berpaling ke arah suaminya. Mereka berdua sama-sama tersenyum.

"Sofea nak tak kalau tinggal bersama kami? Duduk rumah kami. Makan minum semua kami tanggung. Kami nak ambil Sofea jadi anak angkat," Faizah pantas menyatakan hasrat.

Aisya berpura-pura berfikir, padahal hati melonjak-lonjak. Tawaran yang diberi lebih dari apa yang diharapkan. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Wajahnya dikawal sehabis mungkin supaya tidak terlalu menunjukkan kegembiraan yang dirasai. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia terus melompat kegirangan, mengatakan, 'kecil tapak tangan, gurun sahara boleh saya tadahkan, mak cik!'.

"Err, tak menyusahkan ummi ke? Dahlah Sofea ni tak kerja,"

"Ish, ummi tak kisahlah, Sofea. Ummi bukan nak duit Sofea, nak suruh kerja sana sini," Faizah memberi jaminan. Hatinya pantas terpaut apabila Sofea menyatakan kebimbangan itu. Baginya, Sofea mempunyai ketulusan hati yang wajar dipuji.

"Kalau Sofea bosan nanti, rasa nak kerja, boleh aje datang kerja di kedai abi. Kedai buku," seronok benar Aisya apabila tawaran kerja turut datang menadah di hadapannya.

"Terima kasih banyak-banyak, ummi, abi. Sofea hargai sangat pertolongan ni. Kalau umi dan abi tak ada, entah apalah nak jadi pada Sofea. Entah ke mana pula tempat Sofea sekarang,"Aisya meluahkan penghargaan buat insan yang menyelamatkannya. Bicaranya itu tulus dari sekeping hati yang ikhlas. Meski  terselit penipuan, namun dia sedar penghargaan itu bukan lakonan.

Aisya tidak perlu ditahan di wad terlalu lama. Kecederaannya tidaklah terlalu kritikal. Tiada juga kesan psikologi yang ketara seperti trauma atau fobia. Faizah dan Zulfakar tanpa banyak soal membawa Aisya  yang dikenali mereka sebagai 'Sofea' pulang ke rumah terlebih dahulu. Pada hemat mereka, ada baiknya Sofea berehat dahulu di rumah. Pakaian boleh dipinjam dahulu, tidak perlu difikirkan sangat.

"Sofea, Sofea duduk rumah ummi kena pakai tudung tau, walaupun dalam rumah," Faizah pantas membuat ketetapan. Bukan tujuan memaksa, nanti pasti akan dipujuknya dengan hikmah.

"Eh, dalam rumah pun kena pakai tudung jugak?"Sofea bingung.

"Umi dan abi memang anggap Sofea bukan orang luar. Kami sayang Sofea macam anak sendiri, tetapi batasan syariat tetap ada.Kita kena patuh, aurat Sofea tetap perlu ditutup depan abi.  Sebab itu dalam rumah pun Sofea perlu bertudung," panjang lebar Zulfakaar menjelaskan.Dalam hati, dia memuji tindakan isterinya yang bijak memulakan langkah pertama untuk mentarbiah Sofea.

Sofea membisu. Akhirnya, dia mengangguk perlahan.

'Tak sangka, di KL ni pun aku ditemukan dengan ramai ustaz dan ustazah. Masing-masing kalut nak jagakan aurat aku. Fikir balik, bunyinya macam aku tak reti nak jaga sendiri. Tapi memang betul pun, aku sendiri tak jaga aurat, padanlah Allah suruh orang lain tutupkan aurat aku.'

*******************

"Aisya ni mana ? Sampai ke malam macam ni pun tak balik-balik. Merayau ke mana?" Syira meluahkan kegusarannya apabila Aisya masih belum pulang walaupun jam sudah menginjak ke angka sembilan malam.

"Takkan pergi cari kerja sampai malam-malam buta. Ada lagi ke tempat yang nak buat temuduga waktu macam ni?"Hamizah yang selesa dipanggil Mizah juga hairan. Yalah, kalau difikirkan secara logik, siapa yang mahu buat temuduga sampai pukul sembilan malam? Yang lebih pelik, adakah muda-mudi yang akan menghadiri temuduga pada waktu malam? Isy, sungguh tidak logik!

"Mizah, Syira, aku rasa kau orang buang masa aje tunggu dia. Dia ada kunci kan, tahulah dia nak buka pintu sendiri nanti.Kita masuk tidur pun ada faedah daripada melongo di sini," Siti sudah mula geram dan bersikap lepas tangan. Selalunya dia bukanlah orang begitu, tetapi kalau difikirkan, siapa yang tidak naik darah kalau rakan serumah buat perangai begitu? Sudahlah menumpang!

"Kau ni, Siti. Ikut suka kau aje nak tidur dulu. Kita tak tahu dia kat mana masalahnya. Dah lewat macam ni pun tak balik-balik. Kalau kita semua ni anak KL tak apalah. Memang pukul 12 baru reti nak balik rumah. Kita ni anak kampung. Aisya tu lagilah, baru berapa hari sampai KL. Entahkan sesat entahkan sampai," Syira meluahkan kegusarannya.

"Bukan aku tak nak peduli. Masalahnya, tengok sendirilah perangai dia. Ikut suka dia aje pukul berapa nak balik. Tak pasal-pasal kita jadi kuli nak menunggu sampai dia balik. Dia pula jadi tuan, padahal dia menumpang percuma aje. Duit sewa kita yang bayar. Sepatutnya, pandai-pandailah kirim diri," leteran Siti ada benarnya.

"Aku tak kisah kalau dia nak tumpang kita. Dia saudara sekampung kita. Cuma permintaan aku, janganlah buat masalah untuk kita semua. Macam sekarang ini, ada ke patut dia buat macam ni? Ini kalau kakak dan abang dia tahu, lembik dia dikerjakan. Sebab dia duduk dengan kita, dia naik kepala. Kita ni takkan nak bertegas sampai paksa dia macam diktator. Silap sedikit rotan,"

Siti memang kelihatan tegas dan suka berleter. Hakikatnya dia bukannya perempuan yang berperangai buruk. Leterannya bukan kerana cerewet. Semuanya kerana sikap ambil berat. Bukannya dia benci akan Aisya. Dia hanya geram dengan sikap liar Aisya.

"Apa-apapun, kita kena ingat, Aisya tu amanah untuk kita. Bukan boleh senang-senang nak lepas tangan. Anak orang, bukan anak kucing,"Mizah cuba bersikap rasional. Dia sedar, Aisya memang menguji kesabaran, tetapi amanah tetap perlu dijaga.

"Hmm, lagipun, kalau tak kerana Aisya nak ikut kita, aku tak tahulah mana kita nak tinggal sekarang.Entah menumpang rumah siapa pulak jadinya,"Syira masih ingat, hutangnya pada kehadiran Aisya.

"Hmm, risau, risau juga. Ingatlah esok ada test.  Jangan risaukan budak tu sangat sampai tak ingat nak study. Masa depan kita kena jaga juga," Siti mengingatkan. Dia kurang senang sekiranya mereka terlalu memikirkan Aisya hingga mengabaikan pelajaran.

"Tengok ni !" Mizah dan Syira mengangkat nota-nota ringkas mereka dengan wajah ceria. Mereka memang sudah berpakat mahu menelaah di ruang tamu sahaja malam itu. Sengaja tidak dikhabarkan kepada Siti kerana mahu melihat reaksi Siti jika mereka tidak mahu ulangkaji.  Siti pula tidak fokus, sedang fokus pada masalah peribadinya.

"Aik, Siti?Takkan marahkan kami kot?" Syira menduga apabila Siti tidak memberi sebarang respon terhadap gimik yang mereka lakukan.

"Err, kau orang study dululah ya. Aku ada problem ni. Tandas panggil aku," Siti terus berlalu ke tandas. Belum dua langkah dia menapak, Mizah dan Syira sudah terguling-guling ketawakannya. Siti bercekak pinggang dan mencebik.

"Kau orang ni kan.." namun kata-kata itu tidak mampu dihabiskan. Bom di dalam perutnya sudah benar-benar mahu meletup! Dia terus bergegas ke tandas.

Meletus lagi ketawa tiga sahabat. Memang benar, Siti cuma risau akan mereka sebenarnya. Jelas bukan?

************

Malam itu, Mizah, Syira dan Siti menelaah di ruang tamu sementara menunggu kepulangan Aisya. Jam 12 malam, akhirnya mereka bertiga terlelap di sofa. Aisya masih belum pulang. Telefon bimbitnya sudah jenuh didail, namun langsung tiada jawapan. Lima kali didail, sudahnya telefon bimbit dimatikan. Mereka sudah sangat risau, namun belum mampu membuat laporan polis. Aisya hilang baru beberapa jam. Jiran mengkhabarkan bahawa Aisya keluar rumah lebih kurang pukul 5.30 petang. Dengan lain kata, petang esok baru mereka boleh membuat laporan polis.

Sementara itu, Aisya pula sedang resah dalam perjalanan menuju ke rumah Faizah dan Zulfakar. Fikirannya melayang ke rumah sewanya. Tidak mengapakah tindakannya meninggalkan rumah tanpa memberitahu Kak Mizah, Kak Syira dan Kak Siti? Entah-entah mereka fikir Aisya diculik. Kalau mereka buat laporan polis, tentu gawat jadinya.

Aisya juga bimbang membayangkan kehidupan barunya di rumah keluarga angkat. Faizah dan Zulfakar nampak gayanya dari golongan beragama. Dia bimbang sekiranya mereka tidak boleh menerima sikapnya. Dia bukan gadis waro'. Silap haribulan mereka akan benci padanya.

'Kenapa ya, aku jadi begini? Jengkel pada orang baik-baik seperti Amir, pak cik dan mak cik? Lupakah aku bahawa keluargaku sendiri juga begitu. Kak Dayah,  wanita paling mulia pernah aku temui. Abang Rifhan, dialah lelaki yang paling thiqoh. Hakikatnya, aku lari dari rumah. Aku lari dari keluargaku. Aku tidak selesa hidup dalam batas agama. Penat rasanya. Sebenarnya itu yang terbaik. Tapi aku lelah. Jauh di sudut hati, datang ke Kuala Lumpur membuat aku rindu pada hidup berakhlak yang diamalkan abang dan kakakku. Sayang, aku jauh dari semua itu.'

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekudus Nur Hidayah (15)

Hidayah termenung di tepi jendela kamar Aisya. Dia masih terbayang-bayang cemuhan orang kampung terhadapnya. Semenjak malam dia keluar bertarawikh membonceng motosikal Rifhan, ada sahaja yang tidak kena. Sekarang sudahpun 18 Syawal. Cemuhan itu tidak pernah surut. Malah, makin menjadi-jadi apabila orang kampung sudahpun tahu bahawa Aisya melarikan diri dari rumah.

Orang kampung bukan setakat mengutuk tindakan Aisya lari meninggalkan rumah, malah menuduh Rifhan dan Hidayah tidak tahu menjaga adik. Masing-masing menuduh mereka bersalah, padahal lupa bahawa mereka punya terlalu banyak tanggungjawab. Selama ini, Rifhan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Hidayah juga begitu.

"Adik perempuan seorang pun tak reti jaga,"
"Bapaknya dulu lari bawa betina, sekarang anak lari ikut jantan,"
"Entah-entah si anak tu lari sebab dah termengandung,"
"Adik liar ke bandar, kakak sumbang mahram kat kampung ni,"
"Daripada bapak sampai ke anak, semuanya perangai buruk,"
"Hai, kotor kampung ni rasanya ada keturunan buat zina,"

Itulah antara cemuhan yang diterima oleh Hidayah. Paling dia tidak dapat terima, adiknya difitnah mengandung. Padahal dia pasti adiknya tidak pernah berbuat zina, apatah lagi mengandung. Memanglah Aisya liar, tetapi tidaklah sampai berzina. Malah, beberapa hari sebelum Aisya ke Kuala Lumpur, Rifhan telah memaksanya ke klinik untuk membuat ujian kehamilan.

Mana tidaknya, tiba-tiba hendak lari ke Kuala Lumpur. Demi memastikan kesucian adiknya masih terpelihara, dia terus memaksa adiknya membuat pemeriksaan di klinik. Alhamdulillah, kesucian adiknya masih kekal terpelihara. Namun sangka orang masih menular juga apabila Aisya berhijrah ke bandar.

"Abang, itulah Dayah dah cakap.Dayah tak nak bonceng abang malam-malam macam tu. Sekarang, semua orang tahu Aisya tak ada, semua orang sibuk mengata abang dan Dayah. Habis satu keluarga dikutuk orang,"Hidayah meluahkan kekesalannya pada suatu hari tentang perkara yang menimpa keluarga mereka. Tidak disangka hal itu menimbulkan kemarahan Rifhan.

"Dayah pun dah nak ikut orang kampung? Nak tuduh abang ni tak ada tanggungjawab? Tuduhlah! Suka hatilah Dayah nak cakap apa pasal abang. Abang tak kisah,"

"Abang..."kata-katanya dipintas Rifhan.

"Apa? Dayah nak salahkan abang sebab paksa Dayah naik motor dengan abang malam tu? Ya! Memang abang paksa Dayah malam tu. Jadi? Dayah nak salahkan abang, tak nak percayakan abang lagi?" Bertubi-tubi soalan Rifhan mengasak Hidayah. Jelas, Rifhan sedang diamuk kemarahan.

"Abang..."sekali lagi cakapnya dipintas.

"Sudahlah, Dayah..."kali ini, Hidayah enggan berdiam diri.

"Abang boleh tak jangan asyik potong cakap Dayah!? Beri Dayah peluang dulu nak suarakan apa yang Dayah nak cakap dengan abang!"Rifhan terdiam. Belum pernah adiknya menengking sebegitu.

"Dayah tak pernah pun cakap Dayah nak salahkan abang ke apa. Abang yang asyik fikir macam tu! Ya, Dayah tak nafikan, memang separuh dari perkara yang berlaku ni puncanya abang. Kalau abang biarkan Dayah pergi masjid sendiri, tak adanya jadi sampai macam ni. Abang ingat tak!?"

"Abang tak terfikir ke macam mana orang anggap tentang Dayah? Abang sedar tak apa yang berlaku selama ni!? Abang tahu Dayah ni macam mana kan!" Pertama kali Hidayah memberontak.

"Selama ni, Dayah korbankan hidup Dayah sendiri. Dayah sanggup tak kahwin, asalkan Aisya dengan abang okey. Padahal Dayah ada perasaan! Dayah bukan batu, bang. Dayah manusia! Terlalu banyak Dayah korban untuk keluarga ni, tapi apa yang Dayah dapat!? Satu kampung hina Dayah!" Hidayah diam selepas melepaskan segalanya. Rifhan merenungnya tajam.

"Dayah tau tak kenapa abang buat macam tu? Sebab abang risaukan adik abang. Pasal kahwin, dah berapa lama abang asyik bangkitkan soal kahwin pada Dayah. Apa yang Dayah jawab?" Hidayah membisu.

"Dayah sendiri yang tak nak kahwin!" Rifhan menyatakan semuanya.

"Sekarang Dayah beritahu abang, siapa lelaki yang Dayah cinta. Biar abang uruskan. Dayah kahwinlah. Abang tak mahu sekat kehidupan Dayah,"itulah keputusan terbaik yang mampu dilakukan.

"Tak mungkin Dayah beritahu abang,"

"Habis tu, macam mana abang nak tolong!?"

"Abang tak perlu tolong. Hakikatnya abang tak boleh tolong apa-apa. Dayah tak nak buat benda haram,"

"Dayah! Abang tetap nak tahu,"

"Perkara haram, bang!"

"Haram atau halal, abang tetap nak tahu. Itu saja,"

"Dayah cintakan abang." Lafaz itu mengakhiri perbualan. Hidayah terus lari ke bilik. Rifhan terduduk di lantai.

"Astaghfirullahalazim....."

***************************

Sejak itu, Rifhan mengambil keputusan tinggal berasingan. Hidayah turut bersetuju. Itulah yang terbaik bagi mereka berdua. Meskipun Hidayah mencintai Rifhan, dia perlu merelakan. Dia sedar, haram baginya mencintai abang kandung sendiri.

"Abang, Dayah minta maaf. Dayah tak pernah berniat untuk porak-perandakan keluarga ini. Dayah sendiri tak tahu macam mana Dayah boleh jatuh cinta pada abang.Dayah tahu Dayah berdosa sebab jatuh cinta pada abang kandung Dayah sendiri,"

"Tak apa. Abang tak marahkan Dayah. Cuma abang harap lepas ni, Dayah jaga diri baik-baik. Belajarlah untuk lupakan abang. Cintailah lelaki yang boleh mengahwini Dayah. Dengan abang, abang tak mampu bahagiakan Dayah,"

Mereka bersalaman sebelum Rifhan menunggang motosikal ke rumah sewanya. Hidayah tersenyum di muka pintu. Tawar. Sebaik sahaja dia menutup pintu rumahnya,dia terduduk di lantai. Air matanya tumpah bagaikan hujan. Itulah kali pertama dia jatuh cinta. Sudah lama perasaan itu bermukim. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia memilih jalan dosa sebegini.

Sesungguhnya, Hidayah kini bersendirian. Tiada sesiapa lagi di sisinya untuk meluahkan apa yang terbuku. Dalam longlai, dia melangkah ke biliknya. Tubuhnya direbahkan ke katil,menangis teresak-esak. Wajahnya ditekup dengan bantal. Seluruh jiwanya hancur. Memang benar, dia berdosa. Sama sekali dia tidak akan menafikan dosa itu.

'Ampunkan aku, Ya Allah. Ampunkanlah aku kerana jatuh cinta padanya.'

**********************

Di rumah baru, Rifhan kerisauan. Memang benar, pilihannya ini semata-mata kerana mahu mengelakkan maksiat. Masalahnya, dia tidak tahu apakah Hidayah selamat andai ditinggalkan seorang diri. Selama ini, dialah yang menjaga Hidayah.  Sekarang, siapa yang akan menjaga adik perempuannya itu? Rifhan tidak mengerti lagi apa yang terjadi.

Pena ditarik dari poketnya. Sehelai kertas diambil dari lacinya. Rasa hati diluah semahu-mahunya.

'Kenapa perlu ada cinta?
Kenapa cinta tak mengenal sesiapa?
Paling ingin kutanya..
Kenapa perlu kau cinta padaku?

Bukan salahmu kira kau jatuh cinta..
Kau tak pernah mengarahkan hatimu untuk jatuh cinta..
Tapi kenapa mesti,
Cintamu jatuh ke hatiku..'

Sejak dulu lagi, Rifhan punya bakat menulis. Selalunya, Hidayah suka benar memuji karyanya. Hidayahlah orang yang paling kerap memuji hasil nukilannya.

Kadangkala, Rifhan pun tertanya-tanya. Siapakah Hidayah di hatinya? Adakalanya, hati lelakinya turut goyah saat berhadapan dengan Hidayah. Rifhan sukar menafikan, cinta Hidayah terhadapnya berbalas. Apapun, dia tetap akan menafikan. Hidupnya perlu bermujahadah melawan nafsu. Tidak mungkin sama sekali untuknya mengikut jejak langkah syaitan.

".... Janganlah kamu ikuti jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu," (Surah Al-Baqarah:168)

Hidayah...maafkan abang kiranya hati ini turut gagal mengawal cinta... sungguh.. abang juga hanyut dalam cinta terlarang ini...

***************************

"Assalamualaikum,Kak Dayah," Fatimah memberi salam. Hidayah datang membuka pintu rumah. Fatimah dipersilakan masuk. Sebaik sahaja pintu ditutup, terus tubuh Fatimah dipeluk seerat-eratnya. Untuk kesekian kalinya, air matanya tumpah di bahu Fatimah.

"Sabar, kak. Imah faham perasaan kak. Ingat Allah," Fatimah cuba menenangkan Hidayah. Dia sudah tahu lebih awal tentang hal itu. Hakikatnya, dia sendiri kasihan melihat keadaan Hidayah. Wanita itu terpenjara dalam lubuk cinta yang terlarang. Fatimah sedar, itu bukan salah Hidayah.

Selama ini, Hidayah tidak pernah kenal erti cinta. Dia terlalu menumpukan perhatian untuk keluarga sampai tiada masa untuk melayani kehendak nalurinya sendiri sebagai wanita. Hanya Rifhan lelaki yang disayanginya sejak dulu. Hanya Rifhan yang menyayanginya sejak dulu. Sebab itulah, Hidayah mudah tersentuh lalu mencintai Rifhan.

'Cinta itu sebenarnya tidak pernah salah. Cuma ia terjatuh pada tempat yang salah. Kufahami duka hatimu, sahabatku.'

*************************

"Sesungguhnya... tewas menghadapi.. malah ku akui.. sepi menghantui..." lagu Teringin nyanyian Shima diputarkan di radio. Mengalir air mata Hidayah mendengarnya. Ya, dia mengakui. Kesepian itu sedang merobek jiwanya. Hancur berderai cintanya, menjadi butiran titisan manik jernih jatuh dari pelupuk matanya. Itulah air mata.

Apabila cinta menjadi bara, luluh hati, cair menitis ke wajah. Lahirlah air mata, penghuni hati yang setia menemani setiap hati yang kecewa. Cinta itu selalu menderita, walaupun betapa manisnya. Cinta terlarang itu selalu muncul tatkala hidup dirundung sunyi. Hati yang gersang ingin dibasahi cinta, namun sayangnya air mata yang membasahi.

Cinta tak semestinya bersatu. Jika ia bukan milikmu, relakanlah..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS