Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Janji Tiada Dusta

"Kau ni sihat atau tidak?"tanya Zack. Bahu Imran ditumbuk perlahan. Hairan dia melihat tindakan Imran tempoh hari. Sekarang, Imran yang dilihatnya seperti bukan yang dulu lagi. Bukan lagi orang kuat Hardcore yang dikenalinya pada hari dia diambil masuk ke dalam kumpulan Hardcore. 


"Apa jenis soalan kau tanya aku ni?"ringkas jawapan Imran. Gaya kasarnya tetap seperti biasa. 


"Kenapa kau lepas budak perempuan tu?"soal Zack. Soalan itu memang seringkali berputar di benaknya. 


Imran, kalau dia buru maknanya memang dia buru. Dia bukan manusia yang cakap kosong tanpa melaksanakannya. Malah sesiapa yang mempermainkannya memang akan menanggung akibat. Selalunya, Zack akan dikerah memburu orang itu, sehinggalah dapat. Zack akan disuruh membelasah orang itu terlebih dahulu sebelum dibawa berjumpa dengannya. Apabila bertemu dengannya pula, satu lagi habuan akan dihadiahkan kepada mangsa. 


Tetapi, tempoh hari berbeza. 


"Tangkap dia di hadapan kawasan kolej, tetapi ingat, jangan 'sentuh' dia sesuka hati. Tidak perlu belasah dia teruk-teruk. Lumpuhkan dan bawa ke sini. Bawa pulang dia tanpa luka,"


Itulah arahan Imran yang paling aneh pada pendengaran Zack. Bawa pulang mangsa tanpa luka? Selalunya, bawa pulang dengan penuh luka itulah yang digemari Imran. Pengajaran katanya. Paling kelakar, kerana mangsa tersebut perempuan. 


Imran jatuh cintakah pada gadis itu? 


"Aku mahu jumpa dia lagi."


Gila, bisik hati Zack. Tidak sangka orang kuat Hardcore ini kenal erti cinta, biarpun suatu masa dahulu Zack terselamat kerananya. 


******


IMBAS KEMBALI


"Bakar saja rumah ini. Peti besinya yang banyak wang itu tidak akan rentung. Tunggu api marak di tingkat bawah bahagian hadapan, baru masuk ambil peti besi itu di tingkat dua. Panjat melalui pokok besar belakang rumah. Waktu itu tidak akan ada yang perhatikan belakang rumah,"ujar Rafiq, ketua Hardcore. Arahan itu ditujukan khas kepada Imran. Imran mengangguk yakin. 


'Peduli apa aku? Rumah ini kosong. Tiada nyawa yang akan melayang.'


Sejahat-jahat lelaki itu, hakikatnya dia punya pertimbangan. Sejak awal dia sengaja memilih saat tiada sesiapa di rumah supaya tiada nyawa yang melayang dalam kebakaran itu. Dia hanya mahu mengambil wang di dalam rumah tersebut dan menjahanamkan kekayaan orang kaya bongkak yang memiliki rumah itu. 


Orang kaya itu, yang pernah memusnahkan kehidupan keluarganya. 
Rafiq, lelaki yang menyelamatkannya pada masa itu. 
Imran, anak lelaki kepada keluarga yang teraniaya ... tujuh tahun sebelum itu. 


Lantas Imran dan orang bawahannya menyalakan api yang merebak dengan sangat cepat. Apabila api mula marak, kumpulannya bergegas ke belakang rumah sebelum sesiapa nampak mereka di situ. Bagi mengelakkan kesan tapak kaki, awal-awal lagi mereka sudah mencuri kasut tuan rumah sehari sebelum kejadian. 


Imran kemudiannya memanjat pokok besar di belakang rumah itu seperti yang dirancangkan oleh Rafiq sebentar tadi. Dia terus sahaja masuk melalui balkoni rumah itu ke bilik anak lelaki tuan rumah tersebut. 


Dari situ, dia melangkah ke bilik penyimpanan wang milik keluarga orang kaya bongkak itu. Namun, suara tangisan budak kecil menghentikan langkahnya. Dia berpaling dan mencari arah suara itu. Mujurlah dekat sahaja dengan kedudukannya. 


"Budak, kau buat apa di sini?"tanya Imran. Dia tahu budak itu bukan anak lelaki tunggal pemilik rumah itu. Dia benar-benar terkejut. Setahunya, orang kaya bongkak itu hanya ada seorang anak lelaki. 


"Ini rumah ayah saya. Dia tidak ada. Dia keluar dengan abang dan mak."


Imran terkejut. Sejak bila wujudnya anak lelaki kedua dalam keluarga itu?


"Kau siapa sebenarnya? Jangan bohong,"keras suara Imran. 


"Saya Zakrul. Saya tak tipu. Saya anak ayah. Tetapi ayah tak beritahu orang saya anak dia. Saya cacat. Ayah malu bawa saya keluar,"kanak-kanak itu menangis teresak-esak. Dia masih ingat, dia dipaksa belajar bersungguh-sungguh dan menjalani pelbagai aktiviti pemulihan yang dia tidak faham, tetapi doktor kata pemulihan carakerja dan fisioterapi. Semuanya kerana kakinya yang sejak dilahirkan capik dan sedikit lemah. Dia tidak sehebat abangnya yang serba cukup, bahkan genius pula otaknya. Sejak kecil, abangnya hebat dan dia lemah. 


Imran yang mendengar mengepal penumbuk. Ingin sekali dia membunuh orang kaya bongkak itu. Anak sendiri pun dia malu mengaku demi menjaga status. Di luar sedar, hatinya jatuh kasihan. Lantas kanak-kanak itu ditarik untuk mengikutinya. Peti besi diambil dan mereka keluar dari rumah itu. 


"Imran, budak mana kau bawa keluar ini?"soal Rafiq.


"Ini anak kedua orang tua itu. Dia sembunyikan budak ini dari pengetahuan orang luar."


"Habis yang kau bawa dia keluar kenapa? Tinggalkan dia dalam rumah itu! Dia sudah tengok muka kita. Bahaya!"


"Kau jangan risau, Rafiq. Aku ada rancangan aku sendiri. Orang tua itu sorokkan anaknya sendiri semata-mata nak jaga status. Aku nak bawa budak ni dalam kumpulan kita,"senyuman sinis terukir di bibir Imran. Lelaki itu sudah punya rancangan tersendiri.Seketika kemudian, dia membisikkan sesuatu di telinga Rafiq. Kedua-dua mereka kini tersenyum. Imran menghampiri Zakrul.


"Budak, mulai sekarang, kau orang kami. Nama kau, Zack."


******


Imran melangkah menuju ke arah Syafiqa. Gadis itu nampaknya baru habis kelas, tentu menuju ke rumah sewanya yang tidak jauh dari situ. 


"Nurul Syafiqa,"


Syafiqa berpaling. Matanya membesar. Tetapi tidak pula dia melarikan diri. Rasanya, dia tidak perlu gentar berhadapan dengan lelaki ini. Entah mengapa, gerak hatinya berkata begitu. 


"Ada apa?"tanya Syafiqa. Saat itu,Imran bagaikan kehilangan kata. 


"Er ... aku nak jumpa kau. Boleh kau ikut aku?"pelawa Imran. Ah, kenapa aku gagap pula?bisik hati Imran. Jantungnya berdebar-debar. 


"Maaf. Kalau nak bercakap di sini sahaja. Saya tak gemar ikut lelaki,"ujar Syafiqa sedikit tegas. Imran tersentak. Selama ini, para gadis yang mengekorinya kerana dia orang kuat Hardcore yang dianggap kuat serta tampan. 


"Menarik ... baiklah. Kita berbual di sini sahaja.Saya berhasrat untuk kenal rapat dengan awak. Salam perkenalan,"Imran menghulur tangan tetapi nyata hulurannya tidak bersambut. 


"Muslim dan Muslimah, kedua-duanya tidak boleh bersalaman dengan bukan mahram."Syafiqa bertegas. Dia kemudiannya terus berpeluk tubuh, sebagai tanda tidak senang dengan gaya Imran. Tujuan dia terus di situ, cuma satu.


"Why do you like to play 'hard to get'?"soal Imran. Jujur dia hairan dengan Syafiqa, bahkan dia pelik dengan ceramah percuma yang diberikan gadis itu pada perbualan pertama. Oh, perbualan ketiga sebenarnya. Kali pertama ketika beg Azlan dirampas. Kali kedua ketika Syafiqa memohon maaf. Kali ketiga, ialah kali ini, saat dia menghulurkan salam perkenalan. 


"Muslimah sejati tidak akan mudah didapati. Maaf, saya bukan muslimah sejati tetapi saya berusaha ke arah itu. Apa yang Allah tetapkan, saya perlu taat kepada-Nya,"jelas Syafiqa menyuarakan pendirian. 


"Ada apa yang kau tidak suka pada aku? Sejak awal kau seperti membenci aku,"


"Awak rasa,adakah manusia yang akan suka pada ahli kumpulan yang telah bunuh ayahnya? Awak rasa, adakah manusia yang akan suka pada orang yang menzalimi orang lain atas nama wang ringgit? Atas semua sebab itu, awak rasa mungkinkah saya akan menerima salam perkenalan awak dengan bahagia dan gembira?"terlepas semua ketidakpuasan hati Syafiqa. 


"Saya tak membenci awak sepenuhnya. Saya yakin orang macam mana pun, kalau Allah hendak, maka akan berubah jadi mulia. Saya yakin hidayah Allah ada di mana-mana. Saya tak berhak hukum awak, tetapi saya tetap mahu ingatkan awak bahawa perbuatan awak selama ini tak lebih dari menjual akhirat untuk dunia. Setiap satu sen duit riba yang awak makan hasil menindas orang takkan bantu awak di akhirat, hatta kalau awak sedekah berjuta dolar sekalipun. Duit bunga yang awak ambil tu haram, apatah lagi awak ambil dengan cara kekerasan, bahkan suatu masa dahulu kumpulan awak menyebabkan kematian ayah saya, Encik Jusoh kerana hutang tersebut, sedangkan untuk pengetahuan awak, ayah saya hendak bayar awak keesokan harinya hasil duit jualan tanah pusaka. Adik-adik saya masih kecil waktu itu. Awak tak faham kesusahan kami masa itu,"ujar Syafiqa. Air matanya mengalir di pipi, diseka keras. 


"Setelah adik-beradik kami menderita dan kakak sulung saya bekerja keras untuk sara saya dan adik-adik, saya sampai ke sini. Alhamdulillah. Dan sekarang? Awak nak hulur salam perkenalan kepada saya? Ya Allah, jujur inilah dugaan berat untuk saya. Jangan buat saya betul-betul benci awak. Saya tunggu di sini, kerana saya mahu sedarkan awak. Setelah saya katakan semua, terpulanglah awak hendak memilih hijrah atau rebah. Sedangkan di pihak saya, perempuan ada hak menerima atau menolak, dan saya pilih menolak kerana agama awak. Assalamualaikum."


Perbualan itu mati di situ. Imran tersentak, sementara Syafiqa berlalu dengan tangisan. Sejurus kemudian, pertama kali Imran tersungkur, melutut di jalanan. Fikirannya bagai hilang kewarasan. Seorang lelaki yang menjadi mangsa Hardcore suatu masa dahulu, rupanya ayah kepada gadis yang menambat hatinya kini. 


"Zack, aku nak keluar kumpulan. Sampaikan pada Rafiq,"talian dimatikan. Imran ... bukan lagi lelaki Hardcore.


******


Dahulu, Imran menyertai kumpulan Hardcore semata-mata mencari wang membiayai pembelajaran adiknya. Dia menyertai kumpulan itu semasa tingkatan empat, ketika ibu bapanya bercerai. Keluarganya waktu itu benar-benar kesempitan wang, sedangkan yuran persekolahan adik-adik tetap perlu dibayar. 


Datangnya Rafiq bersama tawaran menyertai kumpulan Hardcore dengan pulangan tinggi benar-benar membutakan mata Imran untuk membuat sebarang pertimbangan. Bukan ibu dan adiknya tidak melarang, tetapi dia teruskan. 


'Aku tahu ini salah, tetapi apa mampu aku buat sekarang? Masa depan aku akan tergadai, tetapi tidak apa. Andai aku nanti mati dalam pertempuran pun, adik-adikku sudah mampu bekerja dan menyara keluarga.'


Itulah yang ada dalam fikiran Imran. Hakikatnya dia sendiri pun ada cita-cita.Siapakah yang suka untuk menyertai kumpulan penyangak itu?


Namun semuanya tidak lama. Hasil pertempuran, akhirnya ada kumpulan yang membalas dendam. Rumah buruk keluarganya dibakar. Adik-adik dan ibunya meninggal dunia. Setelah itu, misinya terus dalam kumpulan Hardcore cumalah membalas dendam. 


'Nafsu. Selepas kematian mak dan adik, semuanya nafsu amarah dan dendam yang menggila. Mak, maafkan abang.'


Siapa sangka, lelaki yang dahulunya tangkas bertempur kini tersadai di pintu masjid, menangis tanpa arah...


******


"Assalamualaikum, nak..."itu suara pertama yang didengar Imran ketika terjaga dari pengsan. Matanya dibuka perlahan-lahan. Pandangannya mula meliar. Aku ada di rumah orang rasanya,getus hati Imran. Imran senyap. Jujur dia terlupa cara menjawab salam. Sejak bila kumpulan Hardcore pernah berbalas salam sesama mereka? 


"Ya ... pakcik ini siapa?"tanya Imran cuba mengelak dari menjawab salam. 


"Kalau ya pun, jawablah salam dulu. Wajib tu nak,"ujar lelaki separuh abad itu. 


"Saya jawab dalam hati.Pak cik, ini mana?"rimas pun ada apabila seolah-olah dipaksa menjawab salam begitu. Macam tahu-tahu saja aku tidak ingat cara jawab salam, getus hati Imran.


"Kamu pengsan di hadapan masjid. Pak cik bawalah kamu pulang,"ujar lelaki itu. Terasa bersalah pula Imran kerana kurang menghormati lelaki itu. Benar, khilafnya banyak. Terlalu lama dia tidak kenal budi bahasa setelah pemergian ibu dan adik-adik. 


"Iman, bawakan kopi yang ayah suruh bancuh tadi ke mari. Budak ini sudah sedar,"laung lelaki itu tanpa kedengaran nada yang kasar. Seketika kemudian, muncul seorang gadis yang bertudung labuh. Sudahlah bertudung labuh, jalannya pula tunduk. Imran langsung tidak dapat melihat wajah gadis itu, tetapi dia seolah-olah kenal gadis itu. Siapa ya? Tadi bapa gadis itu ada menyebut, tetapi dia tidak ambil tahu. 


Takkanlah aku nak tanya pula, bisik hati Imran. Nanti tidak fasal-fasal kena halau sebab kacau anak dara orang. Perempuan ini bukan jenis boleh kacau. 
Ya, Imran hormat dan malu berhadapan dengan gadis sedemikian. Teringat dia pada ketegasan Nurul Syafiqa yang akhirnya membawanya ke sini. 


Ketika gadis itu mengangkat muka sedikit sekadar untuk menanyakan bapanya keperluan lain yang perlu dibawa, barulah Imran berkesempatan untuk melihat wajah itu. Matanya membesar sedikit. 


"Iman? Nur Iman?"


Gadis itu mengangkat muka, memandang tepat ke arahnya. Wajahnya memerah, matanya seakan sayu, lantas dia berlalu tanpa menjawab persoalan Imran. Malunya tidak tahu hendak digambarkan.


'Ya Allah, kenapa perlu aku jumpa dia lagi?'


******


IMBAS KEMBALI


"Kau tahu, aku dengar ada pelajar kelas sebelah yang suka akan kau."


Imran mengangkat kening. Matanya memandang Adha. Pelik mendengar khabar sedemikian. Di sekolah ini ada lagikah yang hendak berkenan dengan samseng sepertinya? Satu sekolah lihat dia kena rotan semasa perhimpunan bulan lepas. 


"Perempuan gedik mana pula tu?"selamba Imran bertanya. Baginya, kalau sudah suka padanya, tentu atas sebab ketampanannya. Gadis sedemikian, apa lagi gelaran yang layak diberi selain gedik?


"Amboi, sedapnya mulut! Dia tak gediklah. Kalau kau tengok pun memang kau tak akan cakap dia gedik. Setakat banyak cakap dan riuh dengan rakan-rakan perempuan itu biasalah. Takkanlah 'silent mode' memanjang,"Adha mula memuji gadis tersebut. Dia sudah biasa dengan Imran. Semua perempuan yang suka padanya dianggap gedik. Maklumlah, Imran tidak berminat mahu ada teman wanita, malah bagi Adha, inilah kali pertama dia lihat kewujudan gangster yang bukan kaki perempuan. 


"Siapa?"


"Iman. Nur Iman. Budak bahas itu ... satu kumpulan dengan kau masa ujibakat dulu,"ujar Adha. Lantas Imran cuba mengingat kembali sebaris nama itu. 


Yang terlintas di benak Imran ialah seorang gadis bertudung labuh yang kurang bercakap. Gadis yang nampaknya diam-diam ubi berisi. Kali pertama melihatnya berdebat pun Imran terdiam.Kalau gadis itu yang dimaksudkan Adha, memang tidak gedik. Dia cuma riuh sedikit dengan rakan-rakan perempuan dan suka mengenakan orang. 


Imran cuma diam. Tidak memburukkan mahupun memuji. Ketika di tingkatan lima dua tahun kemudian, sekali lagi khabar itu diterima, tetapi dia tetap diam. Tidak memburukkan, tidak menolak. Tidak menerima, tidak memuji. Namun yang paling mengejutkan, ketika satu mesej masuk ke telefon bimbitnya. 


'Maaf mengganggu ketenangan hidup awak. Saya suka awak. Saya minta maaf.'


Dan dalam hati Imran tahu, pasti Nur Iman penghantar mesej itu. Dia tetap membisu.


******


"Kenapa nak lari? Bukan dulu kau suka aku?"tajam soalan Imran menusuk pendengaran Nur Iman.Tidak sangka pula Imran masuk ke dapur ketika dia berada di situ. Ya Allah, ujian apa kau beri pada aku ini? Aku tak kuat menghadapi kehadirannya lagi ya Allah. 


Nur Iman diam, tetap diam. Langsung tidak berkutik. Malu dan bersalah merajai hati. Tidak henti-henti hatinya beristighfar. Mujurlah dia membelakangkan Imran sekarang. Terasa maruahnya seakan melayang apabila perasaan hatinya dulu dijadikan permainan bicara. 


"Kenapa diam?"tanya Imran. Kali ini sedikit lembut. Tetapi Imran tidak tahu, perbuatannya itu menambahkan gelisah di hati Nur Iman. Sedar tidak sedar, Nur Iman terhiris jari sendiri dengan pisau pemotong sayur. Darah mengalir, lukanya terasa pedih. Lantas dia ke sinki membasuh luka. Dia perlu cepat, takut-takut ... 


Ah, kelihatannya terlambat. 


"Pak cik!"


Nur Iman sudah pening. Badannya seperti melayang sebelum dia rebah. Sayup-sayup dia dengar suara ayahnya. 


"Maaf pak cik, saya tidak tahu pun Nur Iman mabuk darah."


Imran diserbu rasa bersalah. Kasihan melihat Nur Iman yang terbaring dengan wajah pucat. Dia tahu, Nur Iman terhiris jari sendiri kerana gelisah dengan kehadirannya. Bukan dia tidak nampak bahu Nur Iman menggeletar biarpun membelakangkannya. 


"Tidak mengapalah, nak. Anak pak cik yang cuai, bukan salah kamu."Imran malu sendiri. Kalaulah Nur Iman menceritakan perbuatannya kepada bapanya, pasti dia akan dihalau keluar dengan segera. 


Azan berkumandang. Imran buat pertama kalinya diam dan merasai kesayuan dan ketegasan seruan azan. Habis sahaja azan, dia menadah tangan dan mengaminkan doa bapa Nur Iman. 


"Pak cik mahu solat, kamu duduklah di luar dulu. Tidak manis kamu berdua di sini."


Ketika bapa Nur Iman ingin berlalu, Imran sempat menahan. 


"Pak cik." Lelaki itu berpaling menghadapnya. 


"Ajarkan saya solat."


******


Usai solat, Imran sengaja lalu di hadapan bilik Nur Iman, sekadar mahu tahu samada gadis itu sudah sedar atau belum. Dia berhenti sebentar mendengar alunan suara yang merdu. Gadis itu menyanyikah?


Tidak. 


Imran terpegun. Suara gadis itu melagukan bacaan Al-Quran benar-benar lunak di pendengarannya biarpun perlahan. Sepatutnya dia tidak dapat dengar dari luar pintu, cuma kebetulan Nur Iman tidak menutup pintu betul-betul rapat. Imran diserbu rasa malu. Jika begitu perlahan bacaannya, tentulah Nur Iman berhasrat menyembunyikan kemerduan suaranya dari pendengaran lelaki asing, iaitu Imran. 


Imran tidak tahu sebabnya, tetapi dari luar dia merapatkan pintu bilik Nur Iman hingga suaranya tidak dapat didengari dari luar pintu itu. 


Senyuman terukir di bibirnya. Dia suka perasaan tenang saat mendengar bacaan Al-Quran itu.  Alangkah baik jika dia dapat mendengar bacaan itu selalu.


******


Imran semakin berubah biarpun sedikit payah. Bukan mudah untuk Imran meninggalkan gaya Hardcore. Bukan mudah untuk istiqamah solat berjemaah. Bukan mudah untuk mengikut Haji Rasydan menghadiri kuliah agama dan usrah setiap minggu. Bukan mudah untuk bertatih membaca Al-Quran sejuzuk sehari. Semua itu bukan mudah bagi orang biasa, apatah lagi lelaki sepertinya. 


Hakikatnya, Imran merasakan dirinya kerdil berbanding Nur Iman yang suatu masa dahulu pernah diperkotak-katikkannya. Nur Iman yang pernah menyimpan rasa padanya tetapi tidak dihiraukan. Dia malu melihat Nur Iman yang istiqamah bertudung labuh dan berstokin di dalam rumah hingga ke malam kerana menyedari adanya lelaki ajnabi di dalam rumah. Dia malu melihat Nur Iman yang sentiasa menghabiskan masa lapang dengan membaca buku-buku karya ulama tersohor seluruh dunia. Lagu yang didengarnya kerapkali selawat-selawat dan nasyid. 


Andainya dahulu dia melihat yang solehah ...


"Nur Iman."


Lembut suara Imran memanggil Nur Iman. Sumpah, di dadanya ada debar yang menggila. Malu yang tidak tergambar. Dia berjanji, tidak akan sesekali menyakiti gadis ini. Dia terlalu baik untuk disakiti. 


"A ... ada apa?"


Nur Iman tertunduk lantaran tidak dapat menahan segan. Dia lebih suka mengira pasir daripada memandang Imran. 


"Masihkah ada sedikit sisa perasaan itu untuk saya?"


Imran sendiri tidak sedar apa yang ditanya olehnya kepada Nur Iman. Perasaan malunya sukar diungkap. Nur Iman pula lebih-lebih lagi. Wajahnya merona merah, tidak sanggup menjawab soalan itu. Masih adakah sisa rasa itu?


Imran terluka. Jika dahulu dia yang membisu, kini Nur Iman pula berlalu masuk ke bilik tanpa sebarang jawapan. Barulah dia mengerti perasaan Nur Iman yang tidak dihiraukan suatu ketika dahulu. Mungkin cintanya yang tidak kesampaian pada Syafiqa itu kifarah atas kesalahannya terhadap Nur Iman. 


"Nur Iman, saya memang jahat. Saya tahu awak tak dapat terima lagi lelaki sejahat saya. Tetapi saya sayang awak. Izinkan saya berhijrah. Izinkan saya miliki awak,"jujur Imran akhirnya meluahkan rasa pada kali terakhir dia bertemu Nur Iman di hala.


"Imran, dulu saya salah. Cara saya ingin miliki awak itu sudah rendahkan diri saya di mata awak serendah-rendahnya. Saya bersalah. Dan saya berubah. Maka ini bukan caranya awak miliki saya dengan meredah hak wali saya. Saya tak berhak mengizinkan awak berhijrah. Tanyalah diri awak, awak berhijrah ... kerana saya atau Dia?"


Imran terdiam. Benar. Asalnya dia berhijrah kerana Nurul Syafiqa. Kemudian perlahan ikhlas kerana-Nya. Kini kerana Nur Iman. Semuanya ... adakah Allah menerima semua itu?


******


"Imran!"laung Haji Rasydan. Wajahnya nampak panik. Langkahnya tergesa-gesa. 


"Kenapa, pak cik? Sabar pak cik, penat nanti,"ujar Imran. Tangannya menepuk-nepuk belakang Haji Rasydan. Biarpun Nur Iman tidak mahu membalas perasaannya,namun Haji Rasydan tetap dikasihinya umpama bapa kandungnya sendiri. 


"Iman ... Iman ... Ya Allah, baca ni nak,"


Sekeping kertas bertukar tangan. Imran membaca tulisan itu satu per satu. 


'Datang ke gudang XX jam 3 petang jika mahu Nur Iman selamat. Kau patut tahu gudang mana.'


Bagai mahu gugur jantung Imran. Nur Iman kini tebusan. Semua kerananya. Pakaian lama yang telah empat bulan tidak disentuhnya itu dipakai semula. Dia menyalami tangan Haji Rasydan dan memeluk lelaki itu seerat mungkin serta meminta maaf kerana menjadi punca Nur Iman ditangkap. Nyata Haji Rasydan tidak menyalahkannya. 


"Pak cik, dua jam dari sekarang, bluetooth sebarang fail ke telefon bimbit jiran. Mereka akan telefon polis. Itu isyarat daripada pak cik. Jika pak cik telefon sendiri nahaslah, rumah ini pasti sudah dikepung nanti. Ingat ya, jangan telefon atau mesej sesiapapun. Jangan bercakap pun dengan jiran, dan komputer jangan dibuka. Bluetooth sahaja dua jam dari sekarang."


******


Letupan yang amat kuat kedengaran. Nur Iman selamat dalam pelukan Haji Rasydan biarpun ketakutan. Zack yang tercampak ke luar gudang memerhati gudang yang terbakar dalam api yang marak itu dengan rasa tidak percaya. Matanya berkaca. 


"Imran ..."


Nur Iman menangis dalam ketakutan juga kesedihan. Kenapa? Akhirnya Allah mentakdirkan mereka berakhir begitu. Begitukah akhirnya kisah itu? Kenapa? 


"Kenapa nak lari? Bukan dulu kau suka aku?"


"Nur Iman, saya memang jahat. Saya tahu awak tak dapat terima lagi lelaki sejahat saya. Tetapi saya sayang awak. Izinkan saya berhijrah. Izinkan saya miliki awak,"


Bukan mudah untuk akhirnya dia mendengar lafaz yang ditunggunya selama ini. Hajatnya termakbul. Tetapi harganya?


Imran terkorban dalam gudang yang meletup itu, semata-mata kerana menyelamatkannya. 


Lafaz yang didengarnya dulu ... kali pertama dan terakhir.


******


Lima tahun kemudian ...


"Iman, umur kamu dah 25. Molek rasanya kalau Iman bawa balik teman Iman jumpa ayah,"ujar Haji Rasydan. Fahamlah Nur Iman, bapanya mahu dirinya memikirkan soal jodoh. Dia sendiri pun mengerti naluri bapanya, pasti mahu melihat anak perempuannya ini berkeluarga. 


"Ayah nak Iman nikahkah?"sengaja Nur Iman bertanya soalan itu. Jawapannya dia sendiri tahu. 


"Ya, itupun kalau Iman dah ada calon."


Lama Nur Iman membisu. Dulu memang ada,kini telah tiada. Imran sudah pergi dan takkan kembali. Sejak itu dia tidak pernah ada teman lelaki. Yang ada dalam hatinya hanya cinta Allah. Dia tidak mampu menipu diri. Dia masih terbelenggu dalam kenangan semalam. 


Dia tidak sanggup melihat mana-mana lelaki berkorban untuknya lagi. 


"Ayah ..."lembut Nur Iman bersuara akhirnya. Haji Rasydan mengangguk tanda ingin terus mendengar. 


"Ayah pilihlah jodoh yang soleh untuk Iman. Iman tak kisah siapapun, asalkan dia dapat bimbing Iman dunia dan akhirat. Iman percayakan ayah."


'Kerana hati Iman tak mampu memilih selain dia, ayah,'bisik hati Nur Iman. 


"Insya-Allah, Iman doakanlah ayah dapat mencari calon yang membahagiakan Iman dunia dan akhirat."


******


Tersentak jantung Nur Iman mendengar nama bakal suaminya. Namun dia sudah berjanji dengan bapanya untuk menerima, maka inilah yang harus diterima. 


Imran nama tunangnya. Jujur Nur Iman terseksa. 


'Bagaimana aku hendak ikhlas menyayanginya ya Allah, saat hati aku terbayangkan lelaki lain ketika mendengar namanya? Berdosanya aku ya Allah kerana melakukan itu andai dia suami aku.'


Nur Iman dihimpit rasa bersalah. Astaghfirullahalazim. Inilah sebenarnya salah satu hikmah Islam mencadangkan agar menikahi segera calon yang dicintai. Tidak perlu banyak-banyak bekas teman lelaki atau wanita. Kelak kita akan suka bandingkan dengan jodoh yang Allah beri. Kelak hati kita mungkin sudah terbelah. Saat ini Nur Iman benar-benar sedar akan perkara itu. Dia merasainya. 


Lantas, saat dia mendapat alamat e-mel tunangnya, e-mel ikhlas dikarangkan untuk lelaki itu. 


Assalamualaikum.
Ana di sini ingin memohon beribu kemaafan dari pihak anta. 
Ana ingin mengaku, ana pernah mencintai lelaki yang sama namanya dengan anta beberapa tahun lamanya.
Sungguh ana akui kesalahan ana menyerahkan hati pada insan lain selain suami biarpun ana belum bersuami.
Jujur ana katakan ana terlalu rasa bersalah. 
Ampun dan maafkan ana. 
Anta lelaki soleh, ana yakin dengan perkhabaran ayah ana. 
Maka, ana tidak akan sama sekali menyalahkan anta andai memilih putuskan ana. 
Anta berhak memilih suri terbaik untuk hidup anta, meskipun bukan ana. 
Hakikatnya,ana ikhlas menerima anta dalam hidup ana.
Jika anta ingin teruskan,ana amat menghargai kesanggupan anta menerima ana. 
Wassalam.


E-mel itu tidak berbalas. Nur Iman hanya mampu mendiamkan diri. Ya, ini kifarah untuknya, maka dia haru redha selayaknya. 


******


"Aku terima nikahnya Nur Iman Binti Mohamad Rasydan dengan mas kahwin 30 ringgit tunai."


Sekali lafaz, Nur Iman menjadi milik lelaki pilihan ayahnya. Saat terdengar suara itu, sungguh terasa lemah seluruh sendinya. Suara yang terlalu mirip dengan suara lelaki yang pernah dicintainya, cuma suara ini lebih lembut. Arwah Imran nada suaranya kasar. 


Saat hendak bersalam pun, Nur Iman tidak mampu mengangkat muka. Malu yang melampau berserta sayu yang menggila menguasai diri. Dia masih tertunduk saat bersalaman.


"Assalamualaikum, Nur Iman. Akhirnya saya tiba menjemput bidadari ini,"


Nur Iman terpana. Tangan suaminya kini menyentuh dagu, mengangkat wajahnya untuk melihat. Subhanallah!


Imran?


"Waalaikumussalam. Awak ..."


Nur Iman tidak mampu meneruskan kata. Hanya matanya saja menampakkan soalan. Suaminya cuma tersenyum lembut. 


"Percayalah saya, Nur Iman. Ini saya, Imran, lelaki yang lukai awak dahulu. Nanti saya dan ayah jelaskan,"ujar Imran sebelum beralih untuk bersalaman dengan ahli keluarga baru yang lain. Nur Iman terlalu sayu. Air matanya menitis. 


******


"Iman, maafkan ayah atas semua yang berlaku. Imran mohon ayah rahsiakan daripada semua orang bahawa dia masih hidup. Letupan di gudang itu memang rancangannya supaya dia dapat melesapkan diri dari kumpulan Hardcore. Lima tahun tempoh yang diminta supaya kumpulan Hardcore mengesahkannya mati, begitu juga pihak akhbar, meskipun pihak polis tahu keadaan Imran yang sebenar. Awal-awal ayah sudah minta bantuan kawan ayah di pejabat polis."


Nur Iman sudah tidak dapat mengira berapa kali air matanya menitis hari ini. Sungguh, Imran kotakan kata-katanya. Lelaki itu telah berubah, bahkan mendapatkannya dengan sebaik-baik cara. Subhanallah, semuanya dengan izin Allah. 


"Nur Iman, maafkan saya. Saya tidak ada pilihan. Saya sedar banyak kisah silam saya yang tidak selesai saat itu. Saya terpaksa selesaikan semua agar tidak membebankan awak, Iman, pada hari kemudian. Saya tak sanggup hilang awak kerana kebodohan saya,bahkan saya sedar saya belum layak mengimamkan awak. Hingga kini pun, hakikatnya saya belum layak untuk memiliki bidadari seperti awak ..."


Bicaranya mati. Telunjuk Nur Iman tepat di bibirnya, mematikan ayat seterusnya.


"Sudahlah, tak perlu kita sebut lagi. Allah dah izinkan awak berubah, dan Dia takdirkan saya milik awak, dipinjamkan kepada awak.Saya redha."


"Ehem ... sampai bila nak bersaya awak?"usik Haji Rasydan sebelum berlalu meninggalkan pasangan itu. Nur Iman tertunduk malu. Wajahnya merona merah. 


"Betul soalan ayah. Sampai bila ya?"Imran mengulang soalan. Makin merah wajah Nur Iman. Dia mana pernah ada abang atau saudara lelaki yang dipanggil dengan gelaran abang!


Diam. Nur Iman tahu, dia pasti terpaksa akur.


******


Ya Allah, sungguh kusyukuri segala nikmat-Mu. Benarlah,janji-Mu tiada dusta. Ikhlas kerana-Mu pasti ketemu bahagia. Kumohon pada-Mu, bahagiakanlah kami di akhirat sana...


Janji Ilahi ... janji tiada dusta







  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Yang Terbaik Hanya Milik-Nya

"Ke manalah agaknya Iqa pergi? Aku cakap kalau dah lega telefon aku, aku hantarkan dia balik. Degil juga budak ni," Azlan merengus geram. Jemarinya digenggam menjadi penumbuk. Sudahnya dinding bangunan menjadi mangsa. Akhir sekali, tangan sendiri juga yang sakit. 


Azlan berundur masuk ke bangunan apartmen itu. Dia tahu tidak ada guna pun dia cuba mencari Syafiqa dalam gelap malam begitu. Nampak sangat sejak awal Syafiqa enggan menerima bantuannya. Lelaki itu akhirnya masuk ke kawasan balkoni rumah apartmennya itu dan terus duduk di lantai sambil matanya meliar ke persekitaran. Cuma ketenangan saja yang diinginkan sekarang. 


'Gadis kebal'. Nurul Syafiqa. 

********

"Kau kalau nak balik barang dalam beg kau ni, bayarlah dulu duit aku. Ingat senang-senang aku nak tolong kau?"sinis suara Imran menyindir. Tangannya memegang beg kecil milik Azlan. Dia tidak kisah memegangnya tidak terlalu erat. Dia tahu, Azlan bimbang barang dalam beg itu terdedah di hadapan orang ramai. Jika perlu, boleh sahaja itu menjadi senjata untuk melemahkan Azlan.

"Aku dah cakap, sebulan dua ni memang aku tak untung. Aku nak bayar kau dengan apa? Duit makan pun aku tak bawa sebab nak kumpul duit bayar kau,"

"Macam ini punya hal, aku tak dapat nak tolong. Duit tetap duit. Aku tunggu kau dua hari lagi,"ujar Imran lalu berpaling untuk berlalu. Namun dia kaget. Beg di tangannya sudah ditarik dengan selamba. Seketika kemudian, beg itu sudah kembali ke tangan Azlan. 

"Ambil ni. Lain kali jangan mengalah senang sangat,"tegur gadis berpakaian sukan dan bertudung hitam bermanik jernih. Tangannya menghulurkan beg tersebut kepada Azlan. Azlan mencapai beg itu walaupun teragak-agak.

"Aku tak tahu apa harta dalam beg itu, tapi jaga elok-elok."

Kemudian gadis itu terus berlalu tetapi sempat pula ditahan oleh Imran. 

"Hei, biadab! Nama kau siapa?"

Gadis itu berpaling seraya menjawab,

"Nurul Syafiqa."

Sedikit pun tidak nampak gentar. Imran pula yang terkedu. Padanya gaya Syafiqa yang tidak makan saman itu amat mengejutkan.Langsung dia tidak peduli dengan siapa dia bercakap. Kemudian, Syafiqa berlalu dan hilang dari pandangan. 

"Jangan ingat kau boleh lepas, biadab."

*******

"Syafiqa!"laung Azlan. Bukan main susah dia hendak menjejak Syafiqa sebentar tadi. Dia mahu berbual sebentar dengan 'gadis kebal' itu. Syafiqa berpaling. Raut wajahnya sama, tidak beriak. 

"Ada apa?"tanya Syafiqa. 

"Terima kasih atas pertolongan semalam. Ini untuk awak,"hulur Azlan. Jujur dia malu. Ini kali pertama dia memberi hadiah kepada perempuan selain ibu dan adiknya. Namun dia mahu berterimakasih pada Syafiqa.


"Saya tolong awak bukan sebab nak hadiah. Ini bukan hari Valentine dan kalau ya pun saya memang tak minat nak sambut. Boleh saya pergi dulu?"selamba Syafiqa berkata sebelum dia berlalu meninggalkan Azlan. Terpaku Azlan dibuatnya. 


"Benar kata orang. Dia memang gadis kebal,"gumam Azlan. Selalu dia mendengar orang memanggil Syafiqa begitu, tetapi tidak sangkalah pula sikapnya sampai begitu sekali. Memang tahan godaan. Memang melukakan!

Namun, terdetik di hatinya, semudah itukah Imran akan melepaskan orang yang mencabar egonya? Risau mula bertandang. 


********


"Helo, bro." 


Azlan berpaling. Suara itu ... Imran. Dia tidak terperanjat. Lelaki itu selalu ada di mana-mana. Cuma yang diharapkannya, jangan sampai Syafiqa pula dijejaki.


"Aku tak datang nak tuntut hutang hari ni. Aku nak bagi kau tawaran."


Meremang bulu roma Azlan dibuatnya. Sungguh ... dia tidak sedap hati. 


"Tawaran apa?"


"Aku bagi potongan 80% daripada hutang kau berserta bunga, dengan syarat kau bawa Syafiqa ke tempat aku,"senyuman sinis terukir di bibir Imran. Benar telahan Azlan, Imran tidak akan mudah melepaskan Syafiqa. Gadis itu telah merendahkan egonya ke tahap paling bawah dengan tindakannya tempoh hari. Wajah Azlan serta-merta berubah. 


"Maaf,tawaran ditolak. Aku rela bayar kau sedikit-sedikit macam sekarang,"tegas suara Azlan. Dia sendiri tidak percaya dia melawan kata samseng yang bersandar di dinding bangunan itu. Sedangkan boleh jadi pistol pun dibawa Imran. 


Imran ketawa kecil. Bertambah sinis senyumannya. 


"Hebat, hebat. Ok, tawaran aku ditolak. Tidak mengapa. Cuma kau tolong aku, kirim 'salam perkenalan' pada budak itu. Kau tahu apa akibatnya cari fasal dengan budak Hardcore kan?"kata-kata akhir Imran membuat Azlan tersentak.


'Salam perkenalan' bagi definisi Imran ialah, 'Aku sedang buru kamu.'


******


"Syafiqa, ikut saya. Saya ada benda nak cakap,"ujar Azlan kelihatan agak panik. Syafiqa buat tidak endah. 


"Ada apa? Cakap saja di sini. Tempat terbuka,"tegas suara Syafiqa. Pelik juga dia. Tempoh hari beri hadiah, ini apa pula?


"Awak kena ikut saya. Ini soal keselamatan awak,"


"Keselamatan? Awak merepek apa ni?"Syafiqa bertambah bingung dengan perangai Azlan. Sejak bila aku ada upah pengawal peribadi tidak bertauliah ini?


"Awak dengar sini. Imran tengah buru awak fasal awak tolong saya tempoh hari. Tak pernah ada lagi orang berani campur tangan hal samseng tu di kawasan ini. Ego dia dah tercabar dan dia cari awak,"ujar Azlan sedikit panik. Dia sebenarnya mahu bercakap di kawasan sunyi supaya tidak dilihat orang-orang Imran.


"Oh, fasal dia. Tidak mengapalah. Itu bukan alasan untuk saya ikut awak ke sana ke mari,"tepat dan jelas ayat Syafiqa. Jujur Azlan tidak mampu uruskan gadis sebegini. Nama pun 'gadis kebal'.


Syafiqa terus berlalu, tetapi kali ini dia sempat berpaling. 


"Terima kasih atas perhatian awak, tetapi saya rasa saya tidak pernah mengupah pengawal peribadi setakat ini. Harap awak faham. Saya tak selesa diapit lelaki,"jelas. Muktamad. Azlan terdiam, tetapi dia tetap mahu melindungi Syafiqa. Gadis itu sebenarnya tidak kenal kumpulan Hardcore. 


Dan ... kedengaran deruman motosikal. Motosikal itu memecut laju ke arah Syafiqa. Azlan sempat menarik gadis itu ke tepi, dan kedua-duanya tersungkur di bahu jalan. Namun kaki dan tangan Azlan cedera agak teruk berbanding Syafiqa. Pedih menjalar ke semua urat sarafnya. 


Ketika itu, lelaki yang menunggang motosikal itu turun dan terus menarik tangan Syafiqa. Sempat gadis itu menepis. Ternyata bukan calang-calang orang gadis itu. Bunga silatnya mula kelihatan. Sesuatu yang amat janggal, perempuan bertempur dengan lelaki. Zack, lelaki bermotosikal itu, tidak menjangka pertarungan sedemikian akan berlaku. Azlan pula terkedu. Sekarang, siapa yang melindungi siapa?


Kehandalan Syafiqa menepis serangan demi serangan serta membalas balik sepakan Zack, akhirnya memaksa Zack menggunakan ilmu persilatannya. Asalnya sedikit pun dia tidak berniat menggunakan kudrat sepenuhnya, memikirkan yang diburunya itu perempuan. Tetapi jika begini, dia perlu menggunakan persilatan jika tidak mahu ditewaskan. 


Dua pesilat bertembung, tetapi nyata kudrat Syafiqa tidak setara kudrat lelaki berbadan tegap seperti Zack. Kaki dan tangan yang panjang serta susuk tubuh yang tinggi memberi kelebihan kepada Zack. Lama Syafiqa bertahan, tetapi ternyata dia dahulu yang kehausan tenaga, memberi kesempatan kepada Zack untuk melepaskan sepakan tepat di perut gadis itu. Tujuannya cuma satu, melumpuhkan pergerakan Syafiqa. 


Kali ini, Azlan campur tangan melihatkan Syafiqa tumpas. Pertempuran yang agak sengit berlaku. Jujur, Azlan tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk dia melawan Zack. Dia yang selama ini sentiasa lemah. Kekuatan yang datang dari fitrahnya sebagai lelaki, ingin melindungi. Kekuatan yang datang dari amarahnya yang meluap-luap. Ternyata Zack berjaya ditumpaskan. 


Tiada pilihan selain bergegas, Syafiqa yang pengsan dibawa ke apartmen miliknya. Lewat seminit, pasti orang-orang Imran sudah tiba.


******


"Mmm ..." gumam Syafiqa. Seketika kemudian dia mengerang kesakitan. Tendangan di perut itu masih terasa kesakitannya. Hendak bangun berdiri pun rasanya dia memang tidak berdaya. Memorinya yang bagaikan bersepah mula berkumpul kemas untuk dia mengingati peristiwa sebelum itu.


"Awak dah sedar?"soalan spektakular drama Melayu. Nampak jelas kan gadis itu sudah buka mata?


"Ya. Aku di mana? Boleh benarkan aku balik? Kau kurung aku di mana ni?"hilang bahasa 'awak' yang digunakan Syafiqa. Mungkin mindanya belum stabil atau dia panik melihat dirinya berada sebilik dengan lelaki asing. Oh, mungkin bukan bilik. Mereka di ruang tamu. Dia terkulai di sofa sementara Azlan duduk di meja makan. Jarak yang jauh, tetapi tetap tidak menyenangkan. 


"Boleh bangun?"duga Azlan. Dia mahu ketawa sebenarnya. Bukannya dia tidak tahu, Syafiqa itu hendak bangun pun belum mampu. Ada hati hendak pulang pula. 


Syafiqa cuba bangun, tetapi ternyata perutnya amat sakit. Kepala pula masih pening. Kalau berjalan, dia hanya perlu tiga saat untuk rebah dan pengsan semula. Sudahnya dia kekal berbaring, tetapi dengan keras dia bersuara. 


"Beritahu aku kita di mana, dan sebab kau perlu berada serumah dengan aku."


"Kau ada di apartmen aku. Aku terpaksa bawa kau ke sini. Kau pengsan tadi. Aku bukan sengaja nak serumah dengan kau. Aku tengok-tengokkan kau saja dulu. Kalau kau dah sedar sekarang, aku keluar dulu ke apartmen sebelah. Nanti kalau dah lega telefon aku. Aku hantar kau balik. Itu atas meja, aku letak nombor telefon aku, air panas satu termos, dan sup cendawan panas untuk kau hangatkan badan. Ubat tahan sakit pun ada. Aku keluar dulu, nanti kena cekup kahwin percuma pula. Kau nakkah suami macam aku?"seloroh Azlan sebelum meninggalkan Syafiqa sendirian. Syafiqa pula dalam lemah menahan geram. Boleh tidak kalau aku mandikan lelaki ini dengan air panas ataupun sup panas itu? Masalahnya aku tidak larat. 


Selepas Azlan keluar, Syafiqa terlelap seketika. Apabila bangun ,tubuhnya lebih bertenaga. Dia menghirup sup panas yang sudahpun suam serta air panas. Ubat tahan sakit tidak disentuhnya. Dia tahu, banyak mudaratnya memakan ubat tahan sakit. Buah pinggang memang terkesan. Belum lagi dikira kesan sampingan yang lain. 


Dia sudah mampu bangun, lantas diambil barang-barang miliknya dan berlalu keluar. Rasanya dia cam kawasan apartmen ini, tidak jauh dari rumahnya sendiri. 


Azlan? Tidak dihubungi.


******


Azlan berasa aneh. Sudah pukul lapan malam dan tiada khabar daripada Syafiqa? Teruk sangatkah sakit gadis itu? Nyata, apabila ke apartmen dia mendapati Syafiqa sudah tiada.
Apabila turun ke bawah, gadis itu juga sudah tiada. Azlan merengus geram. Syafiqa benar-benar menempah bahaya. 


Mentang-mentanglah kuat, fikirnya. 


Dia benci Syafiqa. Dia marah. Tetapi dia risau. Dia mahu lindung gadis itu. Benar, perasaannya gila. Apakah rasa ini?


*******


"Semalam kenapa balik terus tak beritahu saya, Syafiqa?"tegur Azlan sedikit keras apabila mereka terserempak lagi. 


"Saya sudah sihat waktu itu. Saya boleh balik sendiri."


"Saya patut hantar awak untuk keselamatan awak."


"Azlan, awak sedar tidak yang matlamat tak menghalalkan cara? Cara awak salah. Awak nak jaga saya tapi sebenarnya awak ancam saya dan diri awak. Kenapa tak tinggalkan saya dengan mahram saya? Saya takut Allah murka daripada bahaya makhluk-Nya yang tak mampu bahayakan saya tanpa izin-Nya!"marah Syafiqa. Benar, terasa maruahnya melayang apabila teringatkan keadaan semalam.


"Awak sedar tidak yang awak dalam bahaya? Kalau orang-orang Hardcore dapat awak memang nahaslah awak!"marah Azlan. Seketika kemudian bibirnya diketap. Dia sudah tersalah sebut. 


"Hardcore? Pemiutang samseng itu?"tanya Syafiqa. Matanya merenung tajam wajah Azlan.  Azlan? Menyedari dirinya tertangkap, terpaksa mengiakan. 


"Awak hutang merekakah?"tanya Syafiqa keras. Sekali lagi Azlan terpaksa mengakui. 


"Astaghfirullahalazim. Sekarang awak yang cari penyakit, bukan saya. Berapa awak hutang?"
Nombor lima angka itu Azlan sebutkan walau payah. 


"Awak dengar sini, awak tunggu. Saya pinjamkan awak duit, awak bayar semua sekali termasuk bunga duit hutang itu. Kemudian bayar saya perlahan-lahan. Saya tidak kutip bunga. Tak ada gunanya duit banyak tetapi hidup musnah,"bergetar suara Syafiqa memberi arahan. Cukuplah dulu keluarganya maut kerana hal itu, dan akhirnya dia mewarisi harta ayahnya. Tetapi, duit tanpa nyawa apa gunanya pula?


Melihat Azlan diserbu pelik, Syafiqa menceritakan perihal keluarganya. Jujur dia bersedih.Akhirnya,dengan bantuan Syafiqa, selesai juga hutang Azlan dengan Imran. Dengan paksaan Azlan,akhirnya Syafiqa akur meminta maaf daripada Imran. Jujur gadis itu tidak dapat menahan rasa malu, dan mujurlah Imran hanya berniat mahu memberi pengajaran kepada gadis itu semata-mata. Hakikatnya, Azlan dan Syafiqa tidak mungkin tahu, jauh di sudut hatinya ingin sekali mengenali gadis itu.


"Inilah jadinya bila berhutang tak ikut syariah. Islam dah larang pengambilan riba adalah sebabnya. Duit bunga itu ialah riba tahu tak? Tengok, hutang RM1000 boleh jadi sampai lima angka. Riba itu menindas golongan seperti awak,"


Teguran Syafiqa membuatkan Azlan terdiam. Seketika kemudian, soalan Syafiqa menusuk pendengaran Azlan. 


"Dalam beg itu ada apa sebenarnya?"


Lambat-lambat Azlan menjawab, "Saya jual VCD, yang agak kurang sesuai untuk tontonan umum. Tetapi sumpah, saya jual pada orang bukan Islam sahaja. Saya tak ada pilihan. Saya perlu bayar hutang Imran,"


Syafiqa menggeleng-geleng perlahan. "Sudahlah. Lepas ini jangan lagi ulang,"


Azlan mengangguk akur. Gadis kebal itu benar-benar 'mengajar' subjek kehidupan kepadanya. 


*******


"Syafiqa, boleh saya jaga awak? Saya ingin balas budi ... dan ... saya rasa, saya ..."belum habis ayat Azlan, Syafiqa sudah memotong.


"Tidak. Cukuplah Allah jaga saya. Jika memang saya bahaya, pasti Allah kirimkan tentera-Nya. Dia sebaik-baik pemelihara. Awak jangan risau. Allah yang jaga saya. Allah yang akan letakkan saya di tempat yang sebaiknya. Jalan  takdir saya dalam naungan-Nya,"ujar Syafiqa sebelum berlalu pulang. Kakak sulung Syafiqa sudah tiba untuk mengambil gadis itu. 


Azlan terdiam. Nyata tidak sempat dia menghabiskan ayat di lidah, lantas hatinya saja berbicara.


'Awak ... saya rasa ... saya sudah jatuh hati pada gadis kebal.'


Tetapi benar. Allah sebaik-baik penjaga. Maka jagakanlah dia untuk aku dan jagakanlah imanku,getus hati lelakinya. Perlahan dia akur berlalu dan memilih menghormati pendirian Syafiqa. Banyak lagi tanggungjawabnya selaku Muslim yang belum selesai, bukan sekadar cinta. 


Mungkin dia tampak jahat dengan kerjanya, tetapi apabila seorang Muslim mengorak langkah hijrah kerana-Nya, percayalah langkahnya diiringi restu Allah.


********


"Iqa, itu teman Iqakah?"usik Syahidah, kakak kepada Syafiqa. Syafiqa menjeling kakaknya itu. 


"Tidaklah. Banyak tanggungjawab lain, kak. Mana ada masa lagi untuk bercinta apabila tanggungjawab pada Islam belum selesai. Iqa muda lagi untuk ada teman,"jawab Syafiqa tenang.


Benar.Belum masanya, getus hati Syafiqa. 


"Dia suka Iqa kan?"


Syafiqa mengangguk perlahan. Dia tahu. Dia faham maksud Azlan tadi. Dia mengerti. Sengaja dia memotong percakapan itu. Dia tidak ingin mendengar luahan cinta itu. Dia mahu mendengarnya daripada pecinta yang halal. Sekarang bukan waktunya. 


"Iqa suka dia?"Syahidah menduga. Sebenarnya, hatinya kuat mengatakan soalan itu tidak perlu ditanya. Tidak pernah Syafiqa begitu baik dengan mana-mana lelaki.


Diam. Wallahualam, getus hati Syafiqa. Biar Allah yang jaga hatinya. Pilihan-Nya ... sentiasa terbaik.





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tarbiah Hospital #3 : Betapa Kita Sering Terlupa

9 hari, 3 kematian di wad yang ayah saya huni. 
Saya berada di sebalik tirai yang membataskan kami dan pesakit lain. 


Saya dengar tangisan ahli keluarga mereka. 
Saya dengar sendiri bagaimana ahli keluarga mengajarkan pesakit di ambang maut itu kalimah Allah dan syahadah. 
Ada di antara mereka tampak kesal dengan kematian dan keadaan pesakit. 
Berdasarkan pertuturan, dapat saya tebak yang mereka menghadapi masalah dengan pesakit. Mungkin masalah keluarga. 


Benar. Buruk macam mana pun ahli keluarga kita, tak sanggup kita kehilangannya. Naluri kita, fitrah kita sebagai manusia tetap punya kasih sayang. Kita manusia. 


Saya tak dapat mengawal diri dari terfikirkan ayah saya yang ketika itu disahkan tenat oleh doktor yang merawatnya. Saya khuatir. Akankah ayah saya mengalami keadaan itu dalam waktu terdekat? Saya dan ibu tak mampu mengawal perasaan sebenarnya. Tetapi kami senyap. Kami tak mahu menangis depan abah. Kami tak nak abah lemah. 


Hakikatnya, ketika itu terdetik dalam hati saya. 


Seorang pesakit jatuh di rumah, terus diserang strok dan dibawa ke hospital. Sampai di hospital baru sahaja dimasukkan ke hospital sudahpun pergi menghadap Ilahi. Sungguh terlalu pantas masanya. 


Mereka yang sakit ini, sekurang-kurangnya sempat buat persediaan terakhir. Setidak-tidaknya bertaubat dengan hati jika kaki tangan tak berupaya. Mereka rasa kesakitan di tubuh. Mereka dapat kifarah terakhir. Mereka tahu, mungkin hayat mereka sudah tak lama lagi. 


Bagaimana jika saya?


Jika kita yang sihat ini sudah hampir dengan maut, apa kita menyedarinya?
Adakah peluang kita buat taubat terakhir?
Adakah kita bersedia?


Ataukah nyawa dicabut saat kita lalai?


Lihat saja ada penonton mati dipijak dalam perlawanan bola sepak. 


Adakah saat dia ke sana dia sudah lebih tahu dia akan mati di situ?
Sedangkan dia ke sana dalam keadaan sihat sejahtera!


Bukankah selalu kita dengar,yang paling hampir dengan kita ialah maut. Tetapi, berapa kalikah kita muhasabah diri, andai waktu yang tersisa cuma hari ini, apakah sudah cukup bekalan buat ke sana?


Saya teringat pesan guru Biologi saya, Puan Rohana. 
Katanya, semasa beberapa kali dimasukkan ke hospital, setiap hari yang terlintas di benaknya, esok nak mati, adakah cukup amalnya nak bawa jumpa Ilahi? Katanya lagi,cuba bayangkan, kalau esok kamu nak mati, hari ni kamu main? Jadi, janganlah bersenang-lenang di dunia ni.


Jujur, tersentak juga saya dengar tazkirah ringkas guru kesayangan kami ini. 


Sungguh, betapa kita sering terlupa...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS