Powered by Blogger.
RSS

Jemput Follow :)

Papan Catur-9

Sulit rasanya menahan perasaan sendiri. Perasaan bersalah amat menyeksakan. Diri yang merasainya tersepit antara dua kehendak, tanpa pasti pilihan yang benar. Kehendak hati yang ingin memohon maaf dan meleraikan permasalahan yang timbul, dan kehendak ego yang enggan menunduk di hadapan yang lain.
Iskandar sedang mengalami semua itu. Dia berhadapan dengan situasi yang menjerat dirinya sendiri. Egonya sedang membunuh dirinya. Tindakannya tempoh hari yang sekadar berlandaskan ego kini menimbulkan masalah yang belum bertemu dengan solusi yang tepat.
Bukannya dia tidak ingat, dia belum menyatakan persetujuan kepada Cikgu Saiful pada hari Cikgu Saiful menyuarakan pelawaannya untuk memasukkan Iskandar ke dalam kelab catur. Sejujurnya, dia sekadar meminta tempoh berfikir sekadar untuk mengelak daripada membuatkan Cikgu Saiful tersinggung sekiranya dia menolak mentah-mentah pelawaan tersebut.
Segalanya berubah apabila Nadia terdengar perbualan tersebut separuh jalan lalu terus melabelnya pembelot tanpa mempertimbangkan sebarang penjelasan daripadanya. Malah, keikhlasannya bermain catur turut dipersoalkan. Kata-kata Nadia baginya terlalu mencabar keegoannya, dan hasilnya dia telah meninggalkan kelab catur tanpa banyak berfikir lagi. Rentetan itulah kini dia mendapat kesusahan.
Kaki kanan Iskandar yang terlindung di sebalik seluar panjangnya direnung lama. Kecederaan kekal di kakinya itu menghalangnya untuk melibatkan diri dalam sukan secara aktif. Itulah sebenarnya titik permulaan dia berada di kelab catur. Teringat Iskandar akan masa lalunya.
Iskandar tunduk menekur tanah. Pandangannya terasa kosong. Dia kini berada sekali lagi di atas bukit tempat dia bertemu dengan Nadia ketika gadis itu nyaris-nyaris kemalangan. Sejak mula dia berada di Felda Keriswangsa, bukit itulah tempat yang paling disukainya. Asal sahaja mendapat peluang ketika cuti hujung minggu dan pelajar dibenarkan keluar dari asrama,pasti dia akan ke situ. Dia hanya pulang ke rumahnya ketika hujung bulan ketika seisi rumah dapat berhimpun. Maklumlah, keluarga usahawan sering terperangkap dalam kesibukan dunia.
Mujurlah ayahnya, Datuk Tengku Hussein tidak pernah mengabaikan urusan akhirat. Meskipun jauh di luar negara, anak-anak tetap diperingatkan supaya tidak lupa solat dan membaca Al-Quran. Jika berkesempatan pulang awal ke rumah, tidak pernah Datuk Tengku Hussein tertinggal dari mengimamkan solat berjemaah biarpun kepenatan. Bagi beliau, solat itu kerehatan. Berkat keseimbangan usaha dalam kehidupan beliau itulah, perniagaan beliau berkembang maju, malah perkembangan akhlak Islamiah beliau sekeluarga terus menjadi contoh kepada masyarakat. Pastinya hal ini membuka mata semua pihak bahawa usahawan Muslim juga mampu berjaya tanpa melupakan syariat.
Sayangnya Iskandar belum dapat menghayati makna tarbiah dalam kehidupannya. Sehingga berusia lapan belas tahun pun, dirinya masih gagal mengawal kemarahan diri walau dia tahu marah itu sifat dan hasutan syaitan. Dia belum dapat memahami jalan kehidupan seorang Muslim sepenuhnya. Mungkin juga faktor persekitaran hidupnya di bandar turut mempengaruhi haluan hidupnya.
Iskandar masih ingat, bapanya itulah jua yang memberikan sokongan dan dorongan untuk dia menceburi bidang catur. Semuanya berlaku enam tahun lalu. Mata Iskandar terpejam seketika. Bayangan masa lalu itu melintasi ruang memorinya.
****************
“Tidak!”jerit Iskandar seolah-olah histeria. Kakinya yang masih berbalut setelah menjalani pembedahan itu ditumbuknya sendiri. Sakitnya hanya Allah yang tahu, tetapi emosi telah mengawal tindakannya hingga hilang perasaan sakit itu. Air matanya merembes keluar tanpa henti. Iskandar terus meronta-ronta dan meracau di atas katil wad yang dihuninya.
Datin Khalisah memeluk anak lelaki tunggalnya itu. Dia tidak menangis bukan kerana tidak berperasaan, tetapi air matanya seakan-akan sudah kering. Dia sudah lebih dahulu menangis semasa anaknya terkulai tidak sedarkan diri semasa kemalangan minggu lepas. Selama seminggu anaknya tidak sedarkan diri, setiap malam dia mendoakan keselamatan anaknya sambil menangis. Ketika doktor memberitahunya tentang keadaan kaki Iskandar, dia juga menangis. Kini, air matanya bagai sudah tidak mampu keluar lagi meskipun hatinya bagai disiat-siat melihat keadaan Iskandar.
“Sabar, Is, sabar. Mak faham perasaan Is. Is, bersyukurlah kerana Allah masih sayang akan Is. Dia mahu Is teruskan hidup. Jangan putus asa. Is masih boleh menggunakan kaki Is, bukannya lumpuh. Bersyukurlah,”pujuk Datin Khalisah lagi. Tangan kanannya mengusap kepala Iskandar.
“Benar kata mak kamu, Is. Kaki kamu hanya lemah, tetapi kamu masih boleh berjalan dan melakukan aktiviti seharian. Cuma kamu tidak boleh bersukan,”pujuk Datuk Tengku Hussein pula. Nada suaranya masih terkandung ketegasan seorang bapa, tetapi bukan bermakna dia tidak menyayangi Iskandar.
“ ‘Cuma’ ayah kata? Saya sudah tidak boleh bersukan untuk selamanya! Saya mengalami kecederaan kekal! Tidakkah ayah sedar bahawa kehidupan saya sudah hancur?”bentak Iskandar. Tekanan yang dihadapinya benar-benar mengganggu kewarasan akal fikirannya.
“Iskandar, tidak elok membentak begitu dengan ayah. Is tidak sayang ayah?”sela Datin Khalisah lembut tetapi tegas. Dia tidak suka Iskandar bertindak begitu.
“Maafkan Is, ayah. Is hendak tidur. Tolonglah, mak, ayah, tinggalkan Is sendirian dulu. Bukan Is tidak mahu bersama mak dan ayah. Is perlukan masa untuk bertenang dan menerima hakikat. Is tidur dulu,”ujar Iskandar selepas terdiam seketika dengan air mata yang masih mengalir. Kemudian, dia berbaring membelakangkan ibunya dan terus memejamkan mata.
Datuk Tengku Hussein dan Datin Khalisah berpandangan sesama sendiri. Sejurus kemudian, mereka keluar meninggalkan wad itu. Mungkin benar, Iskandar perlukan masa untuk menerima hakikat. Iskandar atlet larian pecut yang bakal menyertai kejohanan MSSM buat kali pertama minggu hadapan. Namun impian Iskandar telah hancur berkecai.
******************
“Iskandar, mari ikut ayah sebentar.”
Iskandar menurut langkah Datuk Tengku Hussein. Mulanya dia sukar hendak berjalan betul. Mujurlah Datuk Tengku Hussein memimpin langkahnya satu persatu. Sungguh Iskandar merasakan dirinya seperti tidak berguna lagi. Hendak berjalan pun ayah yang pimpinkan.
Datuk Tengku Hussein membawanya ke bilik bacaan perlahan-lahan. Mereka tidak berbicara sepanjang perjalanan pendek itu. Biarpun perjalan itu sangat pendek, tetap mengambil masa yang agak lama kerana keadaan kaki Iskandar. Namun Datuk Tengku Hussein tidak kisah. Beliau sanggup melakukan apa-apa sahaja selagi terdaya untuk mengembalikan anaknya yang dahulu, asalkan tidak melanggar syariat.
Sudah sebulan lamanya Iskandar berubah drastik. Iskandar bukan lagi dirinya yang dahulu. Dia bagaikan tidak mampu menerima hakikat bahawa impiannya berkecai sekelip mata. Dahulu Iskandar seorang yang nakal dan ceria, kini tidak lagi. Saban hari dia menghabiskan waktu termenung sambil memegang pingat emas yang diperolehnya semasa kejohanan olahraga peringkat negeri. Tidurnya pun masih memegang pingat itu. Ya, itulah pingat yang terakhir yang diperoleh Iskandar dalam olahraga.
“Ayah, kenapa bawa saya ke sini?”tanya Iskandar memecah ruang kebisuan antara mereka. Ayahnya hanya tersenyum seraya mendudukkan Iskandar di atas kerusi. Dia kemudiannya duduk di kerusi yang berhadapan dengan Iskandar. Matanya mengisyaratkan Iskandar agar melihat ke atas meja di antara mereka.
“Catur?”tanya Iskandar kehairanan. Dia berasa amat hairan. Mengapakah ayahnya mengajaknya ke situ dan menyuruhnya melihat papan catur? Buah-buah catur juga sudah tersusun elok di atas papan catur itu.
“Kamu tidak perlukan kaki yang lasak untuk bermain catur,”sebaris sahaja kata-kata Datuk Tengku Hussein namun tetap berjaya menyentak hati Iskandar. Iskandar tertunduk bisu. Hatinya masih terguris oleh masa lalunya.
“Iskandar, keadaan kaki kamu bukan pengakhiran hidup kamu. Ayah mahu kamu sedar. Kehidupan kamu bukan setakat di atas padang dan trek olahraga semata-mata. Ada harapan lain. Ketika tertutupnya satu pintu kebahagiaan, Allah telah membuka pintu kebahagiaan yang lain. Manusia selalu lupa hakikat itu,”ujar Datuk Tengku Hussein lagi. Iskandar tetap juga membisu. Dia tidak tahu mahu membalas kata-kata itu. Kata-kata ayahnya benar belaka.
“Mungkin harapan kamu juga sebenarnya ada di papan catur,”sambung Datuk Tengku Hussein sambil tersenyum. Iskandar mengangkat muka.
“Ayah berjanji akan menyokong saya?”
“Sentiasa.”
Wajah Iskandar bertukar ceria. Di wajah itu terpancarnya segunung harapan. Detik itulah permulaan penglibatan Iskandar dalam bidang catur.
******************
“Is, jangan gentar! Insya-Allah ada peluang untuk menang,”suara Tengku Natasya mengetuk gegendang telinga. Ketika itu Iskandar baru sahaja melihat senarai perlawanan untuk pusingan akhir pertandingan catur peringkat negeri. Sedikit sebanyak Iskandar gentar juga kerana terpaksa berhadapan dengan pemain yang sudah mewakili negeri dua tahun berturut-turut. Tambahan pula, berdasarkan pungutan mata yang diperoleh setakat ini, pusingan ini akan menentukan salah seorang pemain yang akan ke peringkat kebangsaan.
Iskandar boleh sahaja mengambil keputusan untuk seri dengan pemain tersebut melalui rundingan, tetapi kedua-duanya tidak dapat mewakili negeri kerana pungutan mata pemain yang menang dari meja lain akan mengatasi mereka. Jika menang, Iskandar yang mewakili negeri dan jika kalah, tentulah tidak. Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan pemain handalan pada pusingan akhir.
“Insya-Allah. Doakanlah yang terbaik untuk Is,”ucap Iskandar dalam senyuman sebelum beredar ke meja nombor dua. Dia cuba bertenang.
“Iskandar!”seru Tengku Natasya. Iskandar berpaling seketika dan mengangkat kening tanda menyoal.
“Jangan lupa bahawa lawan Is juga manusia. Dia juga boleh buat silap. Is jangan takut. Kami semua yakin Is boleh lakukannya,”ujar Tengku Natasya lembut. Senyumannya kelihatan seperti mahu meyakinkan Iskandar bahawa Iskandar boleh memenangi perlawanan tersebut.
Iskandar senyum dan terus menuju ke meja tersebut. Seketika kemudian, arahan arbiter di atas pentas menyuruh memulakan permainan bergema. Iskandar berjabat tangan dengan lawannya, menekan jam selaku pemain buah catur hitam, dan memerhatikan gerakan pertama pihak lawan selaku pemain buah catur putih. Sebagai pemain hitam, dia perlu lebih banyak bertahan dan menyerang sebaik sahaja terdapat kelompangan pada pertahanan pihak lawan. Namun ada juga pemain yang bersikap agresif dengan memulakan serangan biarpun bermain buah catur hitam.
Dewan sunyi tanpa bicara. Kesemua pemain sedang berhadapan dengan pertempuran minda. Sepuluh minit berlalu, sudah mula ada pemain yang selesai permainan. Ada juga yang sudah awal-awal memilih untuk seri dengan pihak lawan. Namun Iskandar masih belum menamatkan permainannya juga. Waktu terus bergulir sehingga sepuluh minit terakhir.
Sekilas Iskandar ternampak Tengku Natasya yang memerhatikannya dari luar dewan. Pasti gadis itu sudah menamatkan permainan. Wajahnya yang ceria menunjukkan bahawa dia menang, dan tentu sekali gadis itu akan berjaya ke peringkat kebangsaan. Ya, dia perlu menang untuk ke peringkat kebangsaan bersama Tengku Natasya!
*****************
“Ataukah mungkin hatimu membeku …”nada dering telefon bimbit Iskandar mematikan kenangan yang diulang tayang dalam mindanya. Rupanya ibu yang menelefon. Pasti dia mahu bertanyakan khabar. Lantas dia menjawab panggilan ibu tercinta.
Dalam hati Iskandar bertutur sendiri. Ternyata memori dalam perlawanan catur tidak pernah padam. Dia masih rindu akan masa itu.
Iskandar tersenyum pahit. Bibirnya diketap perlahan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Papan Catur-8

Burung berkicauan sudah tidak dapat didengar bunyinya lagi. Suara burung-burung itu sudah tenggelam dek kebisingan kelas 5 Sentosa yang diduduki oleh Nadia dan Suhaila. Suhaila mati kutu sendirian melihat Nadia yang sedang menyiapkan latihan Matematik Tambahan. Menyesal pula dia tidak membawa buku rujukannya kerana terlalu kalut pagi tadi. Silapnya juga, siapa suruh bangun lewat? Sekarang dia juga yang rugi.
            Hendak diajak bersembang, nanti bimbang mengganggu Nadia pula. Maklumlah, orang sedang fokus mengulangkaji pelajaran. Latihan Matematik Tambahan bukannya boleh dibuat sekadar dengan menutup sebelah mata dan berfikir ala kadar. Subjek itu antara subjek yang sukar dikuasai oleh para pelajar. Lantas, Suhaila hanya mampu diam dan memerhatikan sahabatnya yang amat tekun itu. Kepala Nadia sedikit pun tidak diangkat. Wah, fokus benar Nadia terhadap latihan tersebut! Bisik hati Suhaila.
            Sekali-sekala terdengar bisikan kecil Nadia menggumam formula tertentu. Suhaila yang kebosanan hanya mampu menggeleng kecil. Dia sudah tidak tentu arah. Perkara yang pasti, dia sudah mengambil pengajaran, bawalah satu buku rujukan ke sekolah walaupun tidak digunakan. Sekurang-kurangnya apabila ada waktu terluang begini, tidaklah dia kebingungan melihat Nadia yang sibuk ‘bertapa’ memahirkan diri dalam subjek Matematik Tambahan.
            Seketika terdiam, Suhaila teringat akan Iskandar. Rasanya lama sudah dia tidak mendengar khabar berita Iskandar. Langsung Nadia tidak menyebut nama Fariz mahupun Iskandar akhir-akhir ini. Lebih tepat lagi, perihal kelab catur sudah lama tidak mewarnai fokus perbualan Nadia dan Suhaila. Nadia juga dilihatnya sudah lama tidak bertegur sapa dengan Iskandar walaupun sekali. Apabila berselisih di koridor pun masing-masing berkelakuan bagai saling tidak mengenali sahaja.
            “Bergaduhkah mereka ini?”gumam Suhaila. Namun butir bicaranya yang sekadar tiga patah perkataan itu sempat ditangkap oleh pendengaran Nadia. Tangan Nadia yang tadinya lincah menarikan pena di atas kertas kajang terhenti seketika. Pen ditutup dan Nadia berpaling menghadap Suhaila.
            “Engkau cakap fasal siapa?”tanya Nadia tanpa berselindung. Mungkin juga dia tahu Suhaila sudah mula menghidu peristiwa pergaduhannya dengan Iskandar. Perlukah sebenarnya Suhaila tahu berkenaan hal itu? Tidakkah Nadia membuka aib sesiapa nanti?
            “Engkau dengan Iskandar,”jawab Suhaila selamba. Dia mahu mendapat kepastian daripada reaksi wajah Nadia. Dia tahu, Nadia bukannya jenis yang boleh menipu kerana wajahnya selalu bertindak bagaikan refleksi dari rahsia hatinya.
            “Engkau hendak kata kami bergaduhkah?”tanya Nadia lagi. Sedikit sebanyak dia mengharapkan agar Suhaila tidak dapat menghidu perselisihan antara dia dengan Iskandar. Nampak gayanya seperti harapannya tidak kesampaian. Jelas sekali bukan, Suhaila sudah dapat menebak isi hatinya?
            “Yalah. Sudah berapa lama engkau langsung tidak sebut nama dia? Jangankan nama dia, perihal kelab catur pun engkau tidak sebut langsung semenjak akhir-akhir ini!”pernyataan Suhaila kali ini pula seakan-akan mendesak Nadia menceritakan hal sebenar. Desakan lembut Suhaila ternyata berkesan. Sekejap sahaja Nadia sudah membuka mulut menceritakan segalanya. Bermula daripada tindakan Iskandar menyertai kelab bola sepak sehinggalah Nadia mengusirnya dari kelab catur, semuanya dikhabarkan kepada Suhaila. Ternyata Suhaila pendengar yang baik. Nadia berasa sedikit lega setelah meluahkan semuanya kepada Suhaila.
            Suhaila menghela nafasnya yang terasa berat. Tidak sangka pula perkara begini boleh berlaku. Walaupun begitu, secara peribadi, baginya Iskandar tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Mungkin juga Iskandar tidak sampai hati hendak menolak permintaan Cikgu Saiful. Lagi pula dia merupakan pelajar baru. Tidak eloklah sekiranya hendak pandai-pandai membuat keputusan sendiri dan membelakangkan kehendak guru. Cikgu Saiful guru tingkatan enam. Tentu susah jika Iskandar mencari masalah dengan guru itu.
            Nadia sendiri juga tidak boleh dipersalahkan. Memanglah secara kasar, Suhaila menganggap tindakan Nadia menghukum tanpa usul periksa itu suatu kesalahan, tetapi sesiapa pun mungkin bertindak seperti Nadia apabila berhadapan dengan situasi demikian. Tambahan pula, Nadia sedang tertekan dengan isu perebutan bas sekolah yang melibatkan kedua-dua kelab ini. Tentulah dia mudah terkesan dengan hal-hal demikian.
            Memilih jalan selamat, Suhaila sekadar menenangkan Nadia. Dia enggan mengulas dengan menjadi hakim untuk menentukan pihak yang benar dan salah. Cukuplah dia mengembalikan semuanya kepada hukum Allah. Segala yang ditakdirkan itu tetap akan berlaku walau betapa manusia cuba mengelak. Manusia mungkin menyalahkan diri sendiri ketika menjadi punca musibah kepada orang lain secara tidak sengaja, padahal sebenarnya sesuatu yang dikatakan tidak sengaja itu sebenarnya telah sengaja ditakdirkan. Perkara yang pasti, ada hikmah di sebalik setiap kejadian.
            Nadia diam tidak berkutik. Segala yang disampaikan oleh Suhaila meresap ke dalam sanubarinya. Perlahan dia beristighfar. Perasaan marahnya mula reda. Benarlah, segala yang berlaku di muka bumi ini ialah ketentuan-Nya. Nadia yakin, Allah tahu perkara yang terbaik untuknya.
**************************
            “Assalamualaikum,”
            Iskandar yang duduk di bangku kantin berpaling seketika mendengar suara yang memberi salam itu. Lafaz salam sempat dijawab sebelum dia terkedu. Suhaila dan seorang rakan yang tidak dikenali oleh Iskandar tercegat di belakangnya. Iskandar mengetap bibir. Rasanya dia dapat menduga perkara yang mahu disampaikan oleh Suhaila. Suhaila tidak akan datang menemuinya begini tanpa sebab yang kukuh.
            “Saya hendak tanya abang sesuatu, boleh?”soal Suhaila dengan nada suara yang terkawal. Dia tidak mahu melembutkan suara, bimbang disalahertikan oleh Iskandar. Dia memiliki harga diri dan perlu memeliharanya sebaik mungkin.
            “Er ... boleh,”menyedari Iskandar tiada jalan melepaskan diri, dia terpaksa bersetuju dengan permintaan Suhaila. Dia tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah. Dalam hati, dia berselawat. Doanya semoga perbualan dengan Suhaila dapat meleraikan kekusutan, bukannya menambahkan kekusutan seperti perbualannya dengan Fariz dan Nadia tempoh hari.
            Suhaila mengambil tempat di kerusi yang berhadapan dengan Iskandar, tetapi kedudukannya tetap dijaga agar tidak kelihatan seperti sedang bertemujanji pula. Rakannya, Balqis, mengambil tempat di sebelahnya.
            “Saya dengar cerita abang sudah tinggalkan kelab catur, benarkah?”tanpa sebarang mukadimah, terus sahaja Suhaila mengutarakan persoalan utama yang bermain di benaknya. Dia tidak mahu berlama-lama dengan Iskandar.
            “Ya.”
            Sepatah sahaja jawapan Iskandar. Selebihnya, dia menantikan soalan Suhaila. Dia tahu dia tidak perlu menunggu lama. Pasti Suhaila sudah menyediakan bermacam-macam soalan yang bakal diajukan bertubi-tubi kepadanya.
            “Kenapa?”soalan Suhaila juga sekadar sepatah perkataan. Namun nada suaranya sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dia benar-benar inginkan jawapan yang jujur.
            “Awak mahu abang jawab apa?”Iskandar memulangkan soalan kepada Suhaila. Susah rasanya dia mahu menerangkan hal sebenar. Biarlah Suhaila yang mengajukan soalan untuk dijawab olehnya.
            “Abang keluar dari kelab catur dan berpindah ke kelab bola sepak atas permintaan Cikgu Saiful. Betulkan jika saya salah,”jawab Suhaila tegas.
            “Tiada yang perlu diperbetul. Cakap Suhaila benar. Abang keluar dari kelab catur atas permintaan Cikgu Saiful. Jika tiada lagi yang hendak dibicarakan, abang perlu masuk kelas sekarang.”
            Tanpa menunggu respons Suhaila, Iskandar terus meninggalkan meja tersebut. Suhaila dan Balqis pula berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu, Nadia tidak berbohong. Memang benar Iskandar keluar dari kelab catur atas permintaan Cikgu Saiful.
            Suhaila sedikit terkilan. Mengapakah Cikgu Saiful perlu mengambil keluar pemain handalan kelab catur? Perlukah cara sedemikian digunakan untuk memenangi persaingan? Pada hakikatnya, baik kelab catur mahupun kelab bola sepak, kedua-duanya mewakili SMK Felda Keriswangsa. Relevankah wujudnya hasad dengki sesama sendiri?
            Soalan itu, biarkan Allah menentukan jawapannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Cinta Rasulullah

Tuhanku,
andai aku ditakdirkan jatuh cinta,
jadikan kisahku bagaikan dia...

Saidatina Fatimah puteri baginda,
dalam bisunya menyimpan harapan,
redha dengan ketentuan,
berserah pada takdir,
pasrah ketika ayahanda menerima pinangan,
dan ternyatalah sudah,
cinta hatinya termakbul juga.

Saidatina Khadijah srikandi tercinta,
tenang dan sabar seorang pendamping,
saudagar kaya tak pernah angkuh,
walau semuanya ada,
tetap baginda yang dipilihnya,
meski baginda tiada berharta,
Al-Amin menggamit cintanya,
lantas dia setia,
tatkala dipulau, dikeji dan dimaki,
hingga hujung nyawa,
pemergiannya ditangisi baginda.

Saidatina Aisyah permata baginda,
cintanya tak goyah walau difitnah,
haditsul ifki menggoncang kebenaran,
menggoyah keimanan,
tidak dia gentar,
dalam tangisnya tetap berharap,
biarlah tuhan membela kebenaran,
meski sepi menggoncang hati,
tetap bertahan,
maka tidaklah Allah mempersia-siakan ketabahan hamba-Nya.

Tuhanku,
sungguh aku sedar diri,
tak layak bagiku berharap,
menjadi srikandi sehebat mereka,
tetapi tetap kuharapkan,
setiap langkah ini,
setiap detak jantung ini,
biarlah dalam keredhaan-Nya.

Andai dia untukku,
datangkan dia dalam jalan keredhaan-Mu,
takkan kusesali takdir-Mu,
bila semuanya sukar mencabar,
kerna kuyakin,
redha itu sukar,payah ....
kerana manisnya iman mengatasi semua.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sepanjang Hidup

Aku bersyukur kau di sini, kasih
Di kalbuku, mengiringi
Dan padamu
Ingin kusampaikan
Kau cahaya hati
Dulu kupalingkan diri dari cinta
Hingga kau hadir ubah segalanya
Oooo
Inilah janjiku kepadamu

Chorus:
Sepanjang hidup
Bersamamu
Kesetiaanku tulus untukmu
Hingga akhir waktu
Kaulah cintaku, cintaku

Sepanjang hidup
Seiring waktu
Aku bersyukur atas hadirmu
Kini dan s'lamanya
Aku milikmu

Yakini hatiku
Kau anugerah sang Maha Rahim
Semoga Allah berkahi kita
Kekasih, penguat jiwa
Kuberdoa, kau dan aku di Jannah
Kutemukan kekuatanku di sisimu
Kau hadir sempurnakan s'luruh hidupku
Oooo
Inilah janjiku kepadamu

*Repeat Chorus
Yakini hatiku
Bersamamu, kusadari inilah cinta
Tiada ragu,
Dengarkan


(Sepanjang Hidup- Maher Zainlah kidung cintaku yang abadi

Setiap dari kita inginkan kebahagiaan itu sepanjang hidup,
tetapi jangan kita terlupa yang hakikatnya,
Allah takkan memberi tanpa kita berusaha.
Usaha itu pula, dengan jalan yang diredhainya.
Yang indah itu selalu perit.
Jika ditimbang neraca dunia, memang tak terkata sakitnya.
Jika ditimbang neraca akhirat, maka di situ timbulnya kekuatan untuk terus senyum tersenyum walaupun dengan menggigit bibir yang basah dengan air mata.
Kita manusia, fitrah kita tak dapat dilarikan.
Adakah kita mahu sementara atau selamanya?
Setiap air mata duka kita, Allah melihatnya.
Yakinlah Dia tahu yang terbaik untuk kita ... sepanjang hidup.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hijrah : Indah Dalam Payah

Bukan mudah hendak berubah.
Dari sarung nangka kepada jubah.
Dari rambut ikal mayang kepada bertudung.
Dari lagu disko kepada nasyid.
Dari sosial kepada thiqoh.
Semua itu bukan senang.

Setiap orang itu ada pilihan kehidupannya.
Persekitaran juga mempengaruhinya.
Bukan semua orang lahir dalam komuniti yang mementingkan agama.
Ada saja orang yang lahir dalam golongan sosial tahap maksimum.
Untuk melawannya bukan mudah,
tiap godaan yang selalu datang.

Kekuatan perlu, amat perlu.
Yakin dan percaya bahawa Allah membantu kita.
Terjatuh dan bangun kembali itu fitrah.
Cuma janganlah jatuh tak bangun-bangun.
Kalau tak boleh bangun,
mintalah yang terdekat untuk tarik bangun.

Tenang hadapi dugaan dalam hijrah,
sebab Allah nak uji keikhlasan hijrah kita.

Kadangkala terdetik di hati,
tetapi niat hijrah kerana yang lain.
Mungkin juga manusia, siapa tahu?
Mungkin sepatutnya kita kenalah ikhlaskan niat dulu baru buat.
Tapi takut-takut nanti, sampai bila pun tak buat.

Perlahan-lahan buat sambil mengikhlaskan  niat.
Tapi niat jangan dipandang enteng dan sambil lewa!
Itulah penentu amal kita sebenarnya.

Tak banyak yang nak dikongsi untuk kali ini.
Wassalam. ^_^

~sedikit coretan: alhamdulillah~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

I'll Be Missing You

Well, for today I'm gonna speak English.
I find it hard to explain in Malay, I'm gonna cry.
After a few sentences I might turn to Malay due to necessity.
Starting from a nice, loud laugh, it turns to hurt.
Yeah, seems like I've forgotten that I'm losing my seniors.

Nurul Syahidah Bt Zakaria
Nurul Syafiqa Bt Zainol
Nur Diyana Bt Zainal Abidin
Azlina Bt Azman Cheah
Nur Atiqah Bt Zulkiflee
Mohd Azlan Bin Basri

I read Versus, halfway.
Reading about changes in life nearly makes me cry.
I'm quite a stone-hearted and soft-hearted.
I'm complicated.
So what?

To the seniors, thanks for everything.
I'll miss you all, a lot!
Our team, isn't just a team.
It is a family,a big family.

Ok, BM's turn. BMT is not filtered.

Banyak sangat yang pasukan bahas ajar aku. Terlalu banyak.
Sampai aku tak boleh nak list out.
Bagi seorang yang complicated macam aku, bahas means a lot.
Too much to ask, and too much to say.
Aku belajar terlalu banyak dari bahas.

Bahas buat aku kenal ukhuwah.
Bahas buat aku belajar 'open'kan diri pada masa yang betul.
Bahas ajar aku lebih ikhlas.
Bahas buat aku lebih matang.
Mungkin tak ada yang sedar, tapi dalam dua tahun ni
(I'm in bahas since last year, although tak wakil)
aku terlalu banyak belajar.
Bahas juga ajar aku, jangan jadi bodoh untuk nilai orang berdasarkan khabar angin.
A person might be more than that.
Look at them in positive ways lah dear!

Terlalu banyak cerita dalam cerita.
Sebab itulah susah nak faham aku.
Okey, bak kata Kak Iman, abaikan~

Tadi aku melalut fasal novel Versus.
Sebabnya, aku suka mesejnya, perubahan.
Perubahan ke arah diri yang lebih baik.
Berubah 360 darjah dalam roda kehidupan.

Apa kena mengena dengan family bahas ni?

Kena mengenanya ialah, Kak Dena, dengan Kak Syidah yang recommend.

Kakak-kakakku sekalian, kita semua sama je sebenarnya.
Bila kita sembang, kami dapat rasa yang dalam hati kita ada satu cita-cita.
Kita nak berubah.
Kita nak jadi muslimah kan kalau boleh?
Berusaha.
Dalam haluan kita yang masing-masing beza, Allah himpunkan kita bersama.
Alhamdulillah.

Nanti kan, kita semua berpisah jarak tapi bukannya hati ya.
Kita akan jauh jarak tapi cita-cita kita jangan terlerai.
Kita nak jadi muslimah, the best ummah kan?
No doubt about it.
Tenang kakak sekalian, di mana pun kita, berusahalah.

Bertebaranlah kita di muka bumi Allah ini
mencari ilmu mengukuh iman
bila kita jumpa lagi
semoga kita semua muslimah yang dicari.

Untuk Azlan, Shuib Imran dan Adha,
hope you'll guys will be true Muslims,
now pun memang Muslims,
but there are always rooms for improvements kan?
rasanya korang semua memang nakal,
tapi boleh harap kan kalau nak suruh imamkan doa?
At least there's something.

Semoga semua antara kita,
akan jadi Muslim dan Muslimah sejati,
mewarnai muka bumi Allah,
dengan warna-warna indah lagi suci,
kemurnian Islam yang terpuji,
menebarkan haruman setanggi,
yang kita buru redha Ilahi.

Ameen.

P/S: di FB ada note lirik lagu I'll Be Missing You. Khas untuk family bahas! LUV U ALL.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Conversation With A Non Muslim

Ini berlaku secara kebetulan. Yang pasti, telah ditakdirkan.
Hikmah, Allah yang tahu.
Walaupun perbualan itu meninggalkan kesan bersalah dan juga rasa tanggungjawab.

Berlakunya benda ini ketika sedang basuh muka, dan senior bukan islam datang basuh tangan di sebelah.
Biasalah, lepas basuh muka tudung dah macam basah, jadi betulkan.
Senior senyum, jadi senyum sajalah.
Dia pandang saja saya, saya pandanglah balik, dan dia pun tanya.

"You pakai tudung? Actually wajib ke Muslims pakai tudung?"

Ya Allah,terkejut juga sebenarnya.
Tidak semena-mena dia tanya begitu.
Patutlah tengok saja kita betulkan tudung yang masa tu dah kebasahan.
Rupa-rupanya ada persoalan.
Cover rasa gementar, mana taknya, kalau silap cakap jatuh maruah agama.

Dengan rasa tanggungjawab, cubajawab sedaya upaya.
Jawapan itu mungkin tak cukup untuk dia.
Serius rasa bersalah sangat kalau jawapan itu sebenarnya tak cukup baik.
Rasa rendah sangat diri ni, tak layak langsung nak jawab sebenarnya!
Ilmu sendiri pun tak cukup. =(

"Ya, memang wajib. Semua perempuan Islam yang dah cukup syarat wajib pakai tudung."
(ok yang ni kena edit, paham sendirilah makna cukup syarat tu.)

Belum sempat nak menarik nafas lega, dia tanya lagi.

"Tapi why saya tengok ramai Muslims girls yang tak pakai pun tudung?"

Ya Rabbi ... inilah soalan yang paling takut.
Tak tahu sangatsangatsangatsangatsangat nak jawab apa!
Rasa nak lari tapi perlu jawab kalau tak mahu salah faham kan.
Serius berpeluh tangan.
Mujurlah dah basah dengan air sinki.
Tak adalah nampak sangat.
Bernafas dengan tenang dulu.
Jawablah dengan keyakinan tak seberapa. Tawakkal jelah!

"Actually, you boleh tengok sendiri kan di sekolah?
Peraturan punyalah banyak tetapi how many of us really obey kan?"

Dia angguk. Alhamdulillah.

"That's it. Kalau dalam agama, setiap agama ada peraturannya.
Tak ada agama yang suruh buat benda tak baik kan?"

"Setiap agama ada ketetapan.
Tapi you boleh tengok sendiri kan yang tidak semua penganut itu sejati,
benar-benar menurut kan? Maksud saya, memang ada golongan yang tak follow hundred percent kan?"

Dia diam. Dia angguk. Mungkin nak bagi ruang bercakap sampai habis. Mujur tak diasak lagi.

"Termasuklah dalam situasi ni.
Zaman sekarang, we Muslims percaya dah akhir zaman sekarang ni.
Situasi dah meruncing. But then, Islam tak boleh disalahkan atas penganutnya yang tak menurut.
For us, we believe Islam is forever perfect.
Cumanya sayang apabila ada penganutnya gagal menuruti.
Harap you fahamlah, I'm not a good one to answer sebenarnya.
Saya bukan orang yang baiklah kalau you nakkan contoh untuk tambahkan kefahaman.
Tapi one thing I can say, bukan salah Islam bila penganutnya buat salah.
Itu soal kesedaran masyarakat, dan itulah yang perlu dibina."

Dia senyum, lap tangannya dengan sapu tangan.

"Thanks. Saya dah faham sekarang.
Tapi kan, saya lagi suka tengok kalau Muslims girls pakai tudung,
baru nampak soleh,"

With that, she smiled and left me there.

Diam saja. Tak tahu nak kata apa. A non-Muslim says that? Subhanallah!

Malu sangat sebab jawapan mungkin tak seberapa, tak memadai.
Rasa bersalah pada dia.
Harap sangat jawapan tu tak membawa fitnah atau salah faham pada Islam.
I'm not the person, orang yang tepat untuk jawab soalan tu.
Tapi kalau tak jawab, fikirlah.
Silap-silap dia akan anggap umat sendiri tak faham agama sendiri.

Yang lebih malu, apabila a non-Muslim sees the beauty of Islam.
How about us, Muslims?
Adakah kita nampak, atau dah dibutakan dengan kecantikan gaya Barat?
Lets think...

Maybe Nurina, Kak Iman, Kak Syahidah, Kak Husna, Syahirah, lagi layak nak jawab soalan tu sebenarnya.
Malu bersalah dan segalanya ada sekarang. T_T

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kerdil Diri Ini

Aku renung dalam-dalam
tidak mengapa
aku tahu tak akan tembus dengan pandanganku
ini bukan alam mistik
juga bukan cerita fantasi.

Sungguh aku sedar
betapa dengan kalamnya berbicara
tak dipandang orang
tak siapa pun menyedari
bicara dalam kerahsiaannya
berjaya mengetuk hati-hati yang membaca.

Lantas aku terdiam
aku terpaku
menyedari kerdilnya diri ini
aku tak sehebat itu.

Terima kasih atas semuanya
menyedarkan aku tanpa berbicara pun denganku
dia takkan juga tahu
bahawa kalamnya telah kubaca
dalam bisu aku kagumi.

Aku bukan manusia itu
yang layak tersenyum
berdiri sebaris dengan orang sepertinya
aku insan lemah
terlalu rapuh untuk berdiri
apalagi mengetuk hati yang lain.

Teruskan perjuangan itu
aku akan menyusul
aku tidak sehebat engkau
tetapi dalam setiap langkah ini
aku pertaruhkan harapan.

Moga dengan usaha sekecil kuman
tidak setara kemampuan yang engkau miliki
masih mampu dinilai
walau sebesar darah.

Jangan berpaling,
engkau permata dakwah
usah hiraukan aku
watak kecil yang singgah dalam kehidupan
tak pernah disedari kewujudan ini,
engkau perlu bertahan
terus berjuang
segalanya di jalan Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Syukur Dalam Sendu

Kubilang sendiri
hari yang berlalu
detik yang bergulir
tahun yang menjauh.

Takdir tuhan bukan siapa mampu menebak
rahsia di sebalik kejadian
antara sebuah anugerah
ataukah sebuah ujian?

Terdiam sendiri
tak daya bersuara
cukup mataku memandang
ini kan juga pinjaman dari-Nya?

Perlahan
terasa panas mata ini
terlihat khabar yang satu
aku nilai perlahan dalam sepi
tatkala semua kukira terlena
Allah, inikah dugaan?

Yakini aku tak rapuh sendiri
yakini Dia menuntun langkahku
yakini hikmah di balik hijab

Tahukah
sedang mereka semua lena
sedang dia barangkali tersenyum
sedang dekat hamba dengan pencipta-Nya
aku hanyut dalam sendu

Mungkin ini dugaan untukku
dia telah lebih dari teguh untuk itu
aku redha
kerana satu doaku termakbul

Lama dulu
pernah aku mendoakan pada-Nya
mohon peliharalah dia
istiqamah dijalan Allah
ketika itu aku merebah
kerana itulah aku mohon pada-Nya
jangan dia sepertiku

Syukur kupanjat kepada-Nya
sungguhpun aku rapuh
lemah dan rebah
dalam sendu ini
aku tahu dia tak sepertiku

Syukur kupanjat kepada-Nya
melihat dia yang teguh berdiri
dalam kerapuhan ini
aku tahu
dia dalam keteguhannya pasti tiada tahu
keadaanku
kerapuhanku
dan aku tahu dia enggan tahu
tetapi cukuplah
dengan doa dalam tiap hariku
masih ada namanya
syukur dalam sendu

Redha takdirmu
sesungguhnya Engkau lebih tahu yang terbaik untukku sedangkan aku tiada tahu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Titik Perubahan ... Adakah Peluang?

Lama rasanya saya tak update. Sampaikan Nurina tegur. Saya minta maaf. Betul-betul saya tak boleh nak update walaupun saya nak dan internet saya okey. Sebab apa? Sebab saya tak mahu apa yang saya tulis jadi omongan kosong. Saya tak mampu nak tulis sesuatu yang bermanfaat. Kesian untuk sahabat yang membaca kalau saya merepek tak tentu hala.

Untuk diri sendiri pun saya tak terdaya, ini pula nak menulis untuk orang lain baca dan hayati. Saya rasa sangat lemah untuk terus menulis. Pena saya jika berbicara tak mampu mengetuk pintu sanubari serupalah saya tak perlu menulis.

Saya rasa malu sangat dengan diri sendiri dan orang lain. Kak Syahidah yang selalu mencari jalan perubahan. Kak Iman yang sentiasa istiqamah dengan jalannya. Kak Ummu yang tenang tanpa dengki. Nurina yang tabah menjaga diri. Saya malu! Saya rendah. Rendah segalanya berbanding mereka.

Saya mencari, mencari dan terus mencari. Saya ingin titik perubahan. Namun titik itu samar di mata saya. Allah ... saya mohon kekuatan hati. Bukakan dan teguhkan hati saya untuk tenang,berdiri dan menyusuri jalan-Nya.

Saya ingin dididik. Ingin sangat-sangat. Dididik dengan sibghatullah. Sangat mahu. Tapi saya tidak baik. Saya tidak sehebat mereka yang lain. Saban hari saya menjeruk rasa kepingin melihat mereka yang telah menemukan jalan mereka. Saya hanya mahu satu. Bimbingan.

Kak Iman ...
Kak Syahidah ...
Nurina ...
Syahirah ...

dan semua...
ajarkan saya erti kehidupan, erti kesabaran, erti istiqamah.

Malam ini, saya hampir menangis untuk kesekian kalinya.
Semangat saya macam tercabut.
Tolong, pandukan saya ke jalan pulang kerana saya pun tidak mampu lagi berpaut sendiri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS